Storage.googleapis.com



Kesihatan Mental Dalam Perkhidmatan Awam Di Malaysia

Ruziati Mior Ahamad Ariffin, PhD

Amran Hassan, PhD

Zuraini Ismail

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Nordin Yusoff

Kementerian Pertanian Industri dan Asas tani

E-mel: amran.hassan@.my

Abstrak

Mental health has been a serious issue of late. This is affecting all societies worldwide, including Malaysia. Public Service Officers are among those highly affected by this issue. The objective of this study is to discover the extent of mental health issues and the components amongst the Public Service Officers. This quantitative study is conducted using the "General Health Questionnaire 28". The descriptive and inferences analysis were done using the SPSS version of .24. A total population sampling was taken among the Public Service Officers from different government ministries, departments and agencies with a total of 14,418 respondents. The descriptive analysis results for demographic profiles found that 19.8% of the Public Service Officers showed symptoms of mental health with a high percentage of 57.7% from the Support Groups schemes. The study also showed that more women, 60.3% admitted having issues on mental health compared to men. All these are based on the four major components of the GHQ 28 - Somatic Symptom, Anxiety / Insomnia, Severe Depression and Social Dysfunction. The implication of this study can be used as a guide to the development of modules and plans to deal with the mental health issues in the Public Service.

Katakunci: issues, mental health, Public Services . Public Services, Malaysia,

1.0 PENGENALAN

Isu kesihatan mental merupakan isu yang global dalam perbincangan masyarakat dunia. Malah, elemen kesihatan mental sering dikaitkan dengan elemen tidak siuman dan juga biasa di sebut sebagai gila. Salah tafsiran sebegini telah menyebabkan banyak pihak melihat elemen ini sebagai elemen yang teruk, berat dan sukar untuk diubati lagi. Kesihatan mental ini mengikut takrifan World Health Organisation (WHO) sebagai “a state of complete physical, mental and social well-being and not merely the absence of disease an infirmity” (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2016). Jelasnya, elemen fizikal, mental dan kesejahteraan sosial antara paksi kepada elemen yang meletakkan kesihatan mental ini sebagai sesuatu elemen yang sihat. Sihat fizikal, mental dan juga sejahtera dari segi sosial, maka itulah kesihatan mental yang sebenar.

Perkembangan kesihatan mental seseorang bergantung kepada pelbagai faktor. Setiap individu berisiko untuk terjejas dari segi kesihatan mental yang sebenar.

Namun, sejauh mana individu itu mengawal dan menjaga kesihatan mental serta fizikal diri sendiri yang boleh membantu kesejahteraan dalaman untuk jangka masa panjang. Semua ini bergantung kepada diri individu itu sama ada ingin mengekalkan gaya hidup yang sihat atau sebaliknya. Kelemahan dari segi penjagaan diri sama ada secara mental atau fizikal akan mengundang pelbagai lagi musibah yang tidak membantu kesejahteraan seseorang individu.

Di dalam perkembangan seseorang yang sihat, kesihatan mental dikaitkan dengan faktor stres, kemurungan, matlamat dalam kehidupan dan juga kepuasan dalam hidup. Inilah antara elemen-elemen yang membantu kepada perkembangan kesihatan mental seseorang. Statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengaitkan keadaan ini dengan faktor kemurungan yang akan berada di tempat kedua, selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020 (Berita Harian, 2013).

Malah, di Malaysia pula keadaan penyakit mental mencapai 3 juta penduduk daripada 26 juta penduduk yang mengalami gangguan mental (Utusan

Malaysi, 2010). Gambaran sebegini sebenarnya telah menunjukkan bahawa kesihatan mental dalam kalangan penduduk Malaysia juga sangat membimbangkan. Statistik mereka yang mendapatkan perkhidmatan pesakit luar dari segi penyakit mental di hospital kerajaan sebanyak 400,227 orang pada tahun 2010 (Utusan Malaysia, 2011). Kebanyakan mereka tidak berupaya untuk menghadapi tekanan yang menyebabkan berasa sangat tertekan sehingga membawa kepada kemurungan yang tinggi. Akibatnya, kesihatan fizikal dan mental individu ini terjejas sehinggalah membawa kepada kemurungan yang mempengaruhi kesihatan mentalnya.

2.0 PERMASALAHAN KAJIAN

Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam turut diperbincangkan. Semua ini kerana memikirkan bahawa jentera kepada pentadbiran sesebuah kerajaan ialah penjawat awam yang melaksanakan tugas-tugas kerajaan mengikut kementerian masing-masing. Jabatan Perkhidmatan Awam (2014) melaporkan bahawa Pegawai Penjara pada tahun 2013 mengalami tekanan kerja yang agak tinggi seperti stres, kemurungan dan bimbang terhadap kerja-kerja yang dijalankan. Malah, faktor ini mendorong mereka untuk tidak berasa sihat sebagaimana yang sepatutnya berdasarkan psikologi. Kajian Aris, Fatimah Hanum, Juwairiyah dan Nordin (2012) pula mendapati bahawa kebanyakan penjawat awam yang mengalami tekanan mudah untuk cepat marah, muram, sedih, hilang kawalan diri dan ada yang menangis keterlaluan. Semua ini timbul daripada stres yang melampau dalam diri yang sukar untuk dikawal secara keseluruhannya.

Daripada penilaian yang umum sebeginilah akan timbul kesedaran bahawa isu kesihatan mental merupakan isu yang membimbangkan. Ini bukan sahaja berlaku kepada masyarakat umum, malah berlaku juga dalam kalangan penjawat awam. Penjawat awam yang melaksanakan tugas-tugas mengikut skop tugas masing-masing mempunyai pelbagai isu, yang bukan sahaja daripada dirinya malah daripada keluarga dan persekitaran. Ekoran daripada itu, ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan pelbagai masalah yang dihadapi (Berita Harian, 2015). Malah, ada juga yang melibatkan diri dengan jenayah yang boleh mencemarkan imej penjawat awam sebagai jentera kerajaan (Amran, 2016).

Di samping itu, penjawat awam yang mempunyai isu kesihatan mental lebih suka untuk mendiamkan diri dan menyelesaikan permasalahan itu bersendirian. Ini kerana stigma yang di anggap sebagai mereka yang bermasalah mental adalah dalam golongan yang bermasalah dan gila. Mereka akan cuba mendapatkan rawatan setakat mana yang mereka boleh demi untuk memulihkan kesihatan yang baik sebagaimana sebelum ini. Ketua Jabatan yang dikatakan menerima penjawat awam sebagai mereka yang mempunyai isu kesihatan mental wajar mengambil tindakan penjagaan yang sebaiknya. Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan mencemarkan imej baik penjawat awam. Kebimbangan perkara begini akan terus berleluasa dan mengundang kepada isu menamatkan riwayat sendiri (bunuh diri). Persatuan Psikiatri Malaysia mendedahkan sebanyak 90% daripada kes cubaan bunuh diri terdiri daripada golongan belia yang tidak tahu mengawal keadaan diri (Berita Harian, 2015).

Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk melihat sejauh mana isu kesihatan mental penjawat awam di Malaysia berdasarkan kepada isu-isu yang timbul dalam diri sama ada secara dalaman dan luaran.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

Pada umumnya, kajian ini dijalankan ialah untuk mengkaji sejauh mana isu kesihatan penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia.

Objektif khusus :

(i) Mengkaji faktor demografi profil penjawat awam yang mempunyai isu kesihatan mental di dalam perkhidmatan awam (bilangan yang mempunyai simptom @ tidak, kumpulan perkhidmatan dan jantina)

(ii) Mengkaji ciri-ciri umum kesihatan mental yang wujud berdasarkan soal selidik (GHQ 28).

4.0 METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian yang digunakan ialah secara kuantitatif dengan menggunakan soal selidik General Health Questionnaires (GHQ 28) yang mengukur tentang tahap kesihatan mental seseorang penjawat awam secara keseluruhan. Jenis persampelan yang digunakan ialah secara ‘’total population sampling’ daripada agensi-agensi yang melibatkan Kementerian dan Jabatan-jabatan di bawah perkhidmatan awam. Seramai 14,418 orang responden terlibat di dalam kajian ini dengan menggunakan survei melalui yang dijalankan pada 24 Januari sehingga 15 Februari 2017. Pelbagai kementerian dan agensi di bawah Perkhidmatan Persekutuan telah menjawab soal selidik ini mengikut tempoh yang diberikan. Analisis yang digunakan ialah menggunakan SPSS versi .24 dan dijalankan analisis secara deskriptif serta inferensi dalam melihat dapatan kajian yang diperolehi secara lebih terperinci. Bagi kebolehpercayaan soal selidik GHQ 28 ini ialah nilai Alpha Cronbachnya .092 iaitu sangat tinggi.

5.0 KEPUTUSAN KAJIAN

Daripada analisis keputusan kajian secara deskriptif untuk faktor demografi, persoalan yang ingin dilihat ialah tentang isu kesihatan mental penjawat awam di dalam perkhidmatan awam secara keseluruhan. Keputusan kajian yang diperolehi menunjukkan bahawa seramai 11,588 orang atau 80.2% tidak mempunyai simptom terhadap kesihatan mental, manakala 2860 orang atau 19.8% mempunyai simptom permasalahan mental. Keputusan ini jelas menunjukkan bahawa permasalahan mental adalah isu yang agak serius juga di dalam kalangan penjawat awam. Ini kerana hanya 19.8% sahaja yang mempunyai simptom-simptom berarah kepada permasalahan kesihatan mental. Justeru, seramai 2860 orang ini sahaja perlu di rawat dan di cadangkan untuk meneruskan rawatan sebagaimana pandangan pakar perubatan atau psikiatri sekiranya mereka mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Jadual 1 menunjukkan analisis keputusan kajian tentang keseluruhan profil bilangan penjawat awam yang mempunyai isu kesihatan mental.

Jadual 1 : Bilangan Profil Penjawat Awam Mengikut

Isu Kesihatan Mental

|Isu Kesihatan Mental |Frekuensi / Peratus |

|Mempunyai Simptom |2860 (19.8%) |

|Tidak Mempunyai Simptom |11, 588 (80.2%) |

Bagi kumpulan perkhidmatan pula, analisis yang melihat terhadap kumpulan perkhidmatan iaitu golongan Pengurusan dan Profesional serta Sokongan terhadap mereka yang mempunyai simptom terhadap kesihatan mental. Analisis secara deskriptif mendapati golongan kumpulan perkhidmatan Pengurusan dan Profesional mencatatkan 6046 orang atau 41.7% mempunyai simptom kesihatan mental, manakala bagi kumpulan Sokongan pula mencapai 8305 orang atau 57.6% yang mempunyai simptom kesihatan mental. Secara umumnya, golongan kumpulan Sokongan lebih mempunyai isu kesihatan mental berbanding dengan kumpulan Pengurusan dan Profseional. Ini mungkin disebabkan oleh kumpulan golongan Sokongan merupakan golongan yang paling ramai dalam kalangan penjawat awam berbanding kumpulan Pengurusan dan Profesional. Kesemua kerja banyak di arahkan kepada kumpulan ini dalam melaksankan kerja-kerja operasional yang sebenar. Namun, kumpulan Pengurusan dan Profesional ini berada di tengah-tengah dan kadang-kadang berasa serba salah antara memenuhi kehendak pihak Pengurusan tertinggi dengan menilai keupayaan kumpulan Sokongan dalam melaksanakan tugasan-tugasan yang sewajarnya. Jadual 2 di bawah menunjukkan bilangan mengikut kumpulan perkhidmatan bagi golongan Pengurusan dan Profesional dan juga Sokongan terhadap isu kesihatan mental.

Jadual 2: Bilangan Profil Penjawat Awam Mengikut

Kumpulan Perkhidmatan Terhadap Isu

Kesihatan Mental

|Kump. Perkhidmatan |Frekuensi / Peratus |

|Pengurusan dan Profesional |6046 (41.7%) |

|Sokongan |8305 (57.6%) |

Akhir sekali ialah analisis deskriptif untuk jantina dengan seramai 5728 orang lelaki atau 39.7% yang mempunyai isu kesihatan mental, berbanding dengan kaum perempuan yang lebih tinggi dan mencatatkan 8690 orang atau 60.3%. Jelasnya, kedudukan golongan perempuan mencapai peratusan yang agak tinggi bagi dalam kategori mempunyai simptom, berbanding dengan golongan lelaki. Jadual 3 menunjukkan analisis keputusan bilangan mengikut jantina lelaki dan perempuan terhadap isu kesihatan mental.

Jadual 3 : Bilangan Profil Penjawat Awam Mengikut

Jantina Terhadap Isu Kesihatan Mental

|Jantina |Frekuensi / Peratus |

|Lelaki |5728 (39.7%) |

|Perempuan |8690 (60.3%) |

Melihat kepada objektif khusus seterusnya ialah mengkaji ciri-ciri kesihatan mental yang wujud dalam kalangan penjawat awam ini berdasarkan sub dimensi penilaian soal selidik GHQ 28. Terdapat 4 elemen utama iaitu Social Dysfunction, Somatic Symptoms, Anxiety/ Insomnia dan Severe Depression. Keempat-empat elemen ini menjadi satu aspek pengukuran yang baik dalam melihat penjawat awam terlibat dengan isu kesihatan mental secara menyeluruh.

Bagi elemen Somatic Symptom, ianya lebih menyentuh kepada elemen-elemen keadaan kesihatan yang tidak baik, terabai dan dalam keadaan tidak selesa. Bagi elemen ini, di dapati penjawat awam merasakan mereka tidak bertenaga dan sering mengalami kesakitan seperti pening kepala dan rasa tidak sihat. Inilah antara ciri yang boleh mendatangkan isu kesihatan mental dalam diri mereka.

Selain itu, bagi elemen Anxiety/ Insomnia Symptom lebih menjurus kepada isu kesukaran tidur, sering mengalami kebimbangan, rasa takut dan panik tanpa sebab yang munasabah. Bagi ciri-ciri ini, di dapati penjawat awam sering berasa tertekan dan semua masalah berada di bahu mereka. Tambahan pula, mereka sering berasa bimbang setiap masa sehingga keadaan ini menjejaskan keseluruhan kesihatan mental diri mereka.

Bagi elemen Social Dysfunction, ianya lebih bersifat dalam ketidakfungsian sosial yang sebenar seperti sentiasa berada dalam keadaan sibuk, tidak dapat melakukan perkara dengan baik, dan tidak mampu membuat keputusan. Dalam keputusan analisis penjawat awam ini, kebanyakan mereka berasa mereka kurang berpuas hati dengan cara melaksanakan tugas dan tidak melakukan perkara dengan cara yang terbaik. Ini jelas apabila mereka tidak dapat menikmati aktiviti seharian dengan baik di sebabkan faktor-faktor tertentu yang tidak melibatkan hubungan sosial yang boleh mengembangkan gaya hidup mereka.

Akhir sekali ialah elemen Severe Depression yang lebih memfokuskan kepada merasa diri tidak dihargai, tiada lagi harapan dalam hidup, rasa ingin membunuh diri dan kehidupan ini sudah tidak bernilai. Di dalam analisis ini, di dapati penjawat awam pernah terlintas di dalam fikiran untuk mengambil kehidupan sendiri, tetapi masih dalam kawalan. Bilangan mereka bukanlah suatu nombor yang besar dan dalam proses pemantauan Pegawai Psikologi di Kementerian/Agensi berkenaan sekiranya isu itu benar-benar serius.

Semua ini wujud ekoran daripada mereka merasakan sebagai seorang yang tidak bernilai, yang mungkin di sebabkan oleh faktor dalaman atau luaran yang hanya diketahui oleh penjawat awam itu sendiri. Jadual 4 menunjukkan beberapa faktor utama yang wujud dalam kalangan penjawat awam mengikut kategori permasalahan kesihatan mental.

Jadual 4: Elemen-elemen Utama Isu Kesihatan

Mental Penjawat Awam Mengikut Kategori

|Elemen Utama |Ciri-ciri |

|Somatic Symptom |1)Tidak bertenaga |

| |2)Tidak sihat – pening kepala |

|Anxiety / Insomnia |1)Tertekan |

|Symptom |2)Semua masalah di bahu mereka |

| |3)Selalu bimbang |

|Social Dysfunction |1)Kurang puas hati menjalankan tugas |

| |2)Tidak menikmati kehidupan sosial yang baik|

|Severe Depression |1)Terlintas dihati untuk mengambil nyawa |

| |sendiri |

| |2)Berasa tidak bernilai |

6.0 PERBINCANGAN KAJIAN

Kesihatan mental penjawat awam sebenarnya berkaitan dengan pembangunan modal insan di sesebuah organisasi. Kesihatan mental ini boleh mengganggu kesihatan seseorang individu untuk meneruskan kehidupan sebagaimana yang sepatutnya. Namun, dalam keputusan kajian ini jelas menunjukkan bahawa penjawat awam bukanlah di dalam kategori majoriti tahap bermasalah dari segi kesihatan mental. Hanya 19.8% sahaja yang dikatakan mempunyai simptom kesihatan mental jika dibandingkan dengan 80.2% yang tidak mempunyai simptom. Gambaran ini secara kasarnya menjelaskan bahawa perkhidmatan awam bukanlah suatu perkhidmatan yang tidak sihat secara mentalnya. Mereka meliputi golongan-golongan yang sihat secara fizikal, mental dan psikologi. Malah, kerja-kerja yang dilaksanakan itu juga dijalankan sebaiknya demi satu tanggungjawab yang dipikul. Oleh itu, hanya segelintir sahaja penjawat awam yang mengalami permasalahan kesihatan mental dan perlu diteruskan dengan bimbingan, rawatan dan juga kaunseling sekiranya keadaan itu diperlukan. Perwatakan yang baik di sesebuah organisasi akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak, berbanding perwatakan antagonis yang ditonjolkan sehingga mendatangkan kesan kurang baik kepada semua (Amran et al., 2012). Kenyataan ini memperlihatkan bahawa kesihatan mental seseorang penjawat awam haruslah disertai dengan tindakan dan perwatakan yang positif dan bukannya perwatakan antagonis yang tidak membantu produktiviti dan juga kesihatan secara fizikal, mental dan emosi.

Intan Nurhaila et al., (2011) melihat kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 2008 yang menjelaskan bahawa 1 daripada 5 orang penduduk dunia akan mengalami sakit mental di dalam hidup mereka. Ini berikutan daripada laporan-laporan yang dikemukakan tentang statistik yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital sakit jiwa di seluruh dunia. Jelasnya, isu kesihatan mental bukanlah suatu isu yang sangat serius, dan semuanya bergantung kepada kekuatan seseorang individu untuk menghalang penyakit mental ini daripada terus merebak. Tambahan pula, keperluan untuk sokongan dan kesedaran semua pihak bagi memastikan kehidupan diteruskan dengan keadaan yang biasa dan normal.

Rentetan daripada itu, kajian ini menyokong kajian Hyman (2008) bahawa kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan turut dikaitkan dengan faktor genetik. Ini kerana faktor utama mereka yang mengalami permasalahan mental ini berkaitan rapat dengan genetik yang dikatakan agak kompleks dan mendatangkan kesan jangka panjang sekiranya tidak dibantu di peringkat awal (Hyman, 2008). Walaupun umum mengetahui bahawa isu kesihatan mental merupakan isu genetik, namun pencegahan awal melalui kesedaran serta rawatan yang bersesuaian akan membantu proses kesihatan mental berjalan dengan baik dan tidak memudharatkan. Kesannya, kemungkinan tidak akan berlaku seteruk yang sedia ada berbanding dengan tiadanya satu pencegahan dan rawatan yang dijalankan pada peringkat awal.

Di dalam sesebuah organisasi, isu permasalahan mental merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana wujud juga modal insan yang tidak sihat secara fizikal, mental dan emosi. Yahaya (2002) menjelaskan kesihatan dan kesejahteraan seseorang itu banyak bergantung kepada kesihatan secara fizikal, mental dan psikologi. Sihat mental, maka sihatlah segala-galanya tanpa mengira elemen ini di rumah, tempat kerja, jantina atau di persekitaran masyarakat. Kajian ini juga menyokong kajian Harvey et al., (2014) yang menjelaskan tentang simptom kesihatan mental di tempat kerja banyak berlaku di sebabkan oleh beberapa perkara seperti peranan yang dimainkan, kerja di dalam sesebuah kumpulan, keadaan sesebuah organisasi, aspek konflik di tempat kerja dan juga tahap risiko yang wujud ke atas seseorang individu. Justeru, faktor-faktor ini sedikit sebanyak telah mengundang kepada permasalahan di tempat kerja yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri, malah di dalam persekitaran yang wujud tersebut. Namun, faktor-faktor ini lebih merujuk kepada persekitaran kerja yang tidak sihat dan kondusif, berbanding dengan tempat kerja yang sihat dan mementingkan keharmonian di sesebuah organisasi tersebut.

Institute for Safety, Compensation and Recovery Research (ISCRR) (2013) mengeluarkan satu panduan untuk pekerja-pekerja dalam mendapatkan strategi yang baik ke atas mereka yang mengalami permasalahan kesihatan mental. Antaranya ialah perlunya sokongan orang luar, pengurusan yang berkesan, pengurusan latihan yang cekap, kumpulan sokongan pentadbiran, promosi dan pendidikan kesihatan mental serta tugasan yang seimbang. Inilah antara strategi-strategi yang boleh digunakan oleh kesemua penjawat awam dan modal insan di sesebuah organisasi bagi mencegah kesihatan mental daripada menjadi lebih buruk pada masa akan datang. Penjelasan melalui strategi ini sebenarnya telah membuka banyak ruang kebaikan kepada semua modal insan untuk bekerja dengan lebih baik, efektif dan mendatangkan kesihatan yang normal sebagaimana yang sepatutnya.

7.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, elemen kesihatan mental di dalam perkhidmatan awam bukanlah suatu isu yang sangat serius dan mendatangkan kesan negatif kepada semua pihak. Hakikatnya, peratusan yang diperolehi itu hanyalah satu gambaran kecil tentang penjawat awam yang mempunyai simptom mental sama ada melibatkan jantina, bilangan penjawat awam dan juga kumpulan perkhidmatan. Walaupun dengan keadaan sedemikian rupa, pelbagai pihak harus berganding bahu melihat isu kesihatan mental ini dengan diberikan lebih perhatian bagi membantu merawat dan juga memberikan pendidikan sewajarnya kepada semua pihak. Ini semua bagi mengelakkan agar keadaan ini tidak memberikan kemudharatan yang lebih teruk. Kesihatan mental yang baik sudah semestinya memberikan psikologi dan fizikal yang cergas serta cerdas untuk meneruskan kerjaya masing-masing. Implikasi kajian kesihatan mental ini sebenarnya boleh dijadikan panduan terhadap pembinaan modul-modul kesihatan mental yang bersesuaian di dalam perkhidmatan awam, dan juga menjadi pelan perancangan kepada permasalahan mental pada masa akan datang. Semua ini bertujuan untuk membantu mengurangkan isu kesihatan mental sama ada melibatkan isu kebimbangan dan juga kemurungan yang sekaligus boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi modal insan masa kini.

RUJUKAN

Amran Hassan, Fatimah Yusoof dan Khadijah Alavi. (2012). Perwatakan Antagonis (Negatif) Dalam Organisasi Perkhidmatan Awam Dan Implikasinya Ke Atas Prestasi Kerja. Jurnal Psikologi & Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia. 7: 279-290.

Amran Hassan. (2016). Keterlibatan Segelintir Penjawat Awam Dengan Kes-kes Jenayah: Satu Analisis Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Jurnal Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia. 11: 77-95.

Aris Kassan, Fatimah Hanum Mohamad Hajari, Juwairiyah Jaafar dan Nordin Yusoff. Stres Dalam Perkhidmatan Awam Dan Impaknya Kepada Prestasi Dan Kesejahteraan Pegawai Awam. Jurnal Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia. 7: 1-34.

Berita Harian. (2013). Malaysia Terdedah Penyakit Mental. (.my/bharian/articles/LaporanKhas_Tigajutarakyatmalaysiaterdedahpenyakitmental/Article). [Muat turun pada 15 Disermber 2013].

Berita Harian. (2015). Kes Bunuh Diri Di Malaysia. (.my/node/72427) [Muat turun pada 8 Jun 2018].

Harvey, S.B., Joyce. S., Tan, L., Johnson, A., Nguyen, H., Modini, M., dan Groth, M. (2014). Developing A Mental Healthy Workplace: A Review Of The Literature. (.au/.../developing-a-mentally-healthy-workplace_final-nove.)[ [Muat turun pada 2 Januari 2018].

Hyman, S.E. (2008). The Genetics Of Mental Illness: Implications For Practice. Bulletin of The World Organisation. 78 (4).

Institute For Safety, Compensation and recovery Research. (2013). Workplace Prevention Of Mental Health Problems. (//.au/.../GUIDELINES-for-workplace-prevention-of-mental-health-problems) [Muat turun pada 2 januari 2018].

Intan Nurhaila Meor Safari, Norlija Kassim, Nur Falihin Iskandar, Mohamad Haazik Mohamed dan Mohd Yusof Hj Abdullah. (2011). Tahap Pengetahuan Mengenai Kesihatan Mental Dalam Kalangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA): Kajian Kes di UKM Bangi. Jurnal Personalia Pelajar. 14: 37-44.

Jabatan Perkhidmatan Awam. (2014). Laporan Kajian Tekanan Kerja Pegawai Penjara 2013. Jabatan Perkhidmatan Awam: Cyberjaya.

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016). Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia. (.my/index.php/database-stores/store_view-page/21/796) [Muat turun pada 2 Oktober 2016].

Utusan Malaysia. (2010). Pesakit Mental Bertambah.

(.asp?y=2010&dt=01098&pub=Utusan_Malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm) [Muat turun pada 9 Januari 2010].

Utusan Malaysia. (2011). Pesakit Mental Bertambah 15.6 %.

(.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1113&sec=Dalam_negeri&pg=dn_09.htm) [Muat turun pada 17 Disember 2013].

Yahaya Mahmood. (2002). Kesihatan Dan Pencapaiak Kesejahteraan Manusia: Perdampingan Sumber-sumber Biologikal Dengan Faktor-faktor Psikologikal Dan Sosial. Pasca Sidang Seminar Psikologi-Psima 2000 dan 2002. 2: 1-16.

................
................

In order to avoid copyright disputes, this page is only a partial summary.

Google Online Preview   Download