BAB 1



1

PADAH

“Syarikat Encik Shauki dalam bahaya. Pihak bank akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya Encik Shauki gagal menyelesaikan segala hutang,” kata Encik Ali iaitu Pegawai Bank Bungaraya.

“Saya faham, Encik Ali. Tapi, berilah saya tempoh dalam sedikit masa lagi,” rayunya.

“Saya minta maaf, Encik Shauki. Saya tak boleh berbuat apa-apa. Ini adalah arahan pengurus saya. Saya harap Encik Shauki faham,” balas Encik Ali pula.

Dia sebaliknya hanya mampu terkedu apabila mendengar kata-kata Encik Ali itu. Dia sayangkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Dia tak sanggup melihat syarikat ini hanyut. Dia menubuhkan syarikat ini dengan modal puluhan ribu.

“Baiklah, Encik Shauki. Saya minta diri dulu,” ucap Encik Ali sambil bingkas bangun.

“Baiklah …!” dia mengangguk lemah sambil berjabat salam dengan Encik Ali.

Encik Ali kemudiannya lalu mengatur langkah ke arah pintu. Daun pintu pantas ditariknya dan terus berlalu pergi dari situ. Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik.

Tak lama kemudian kedengaran bunyi pintu diketuk orang.

“Masuk!”

Pintu segera terbuka. Sarina iaitu Setiausaha Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. muncul dan terus berdiri memandang tepat wajahnya.

“Ada apa, Sarina?”

“Saya apa perkara mustahak nak beritahu Encik Shauki.”

“Mustahak? Apa dia?”

“Dah cukup bulan ni. Semua kakitangan merungut. Sebab Encik Shauki masih lagi tak keluarkan gaji.”

Dia merasa lemah seluruh badan apabila mendengar kata-kata Sarina itu. Benar. Mereka memang berhak bersuara. Dah cukup bulan. Gaji mereka mesti dibayar.

“Minta mereka semua supaya bersabar. Saya akan selesaikan perkara ini dengan secepat mungkin.”

“Baiklah, Encik Shauki!” Sarina menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ada apalagi?” dia menyoal Sarina sambil meninggikan kepala sedikit.

“Tak ada apa-apa, Encik Shauki. Saya pergi dulu.”

Dia sebaliknya hanya mengangguk diam dan memerhatikan sahaja bayangan Sarina hilang dari pandangan mata. Dia kemudiannya lalu melepaskan keluhan yang panjang sambil menyandarkan badannya di atas kerusi pusing yang berwarna merah hati. Shauki merasa tidak senang duduk. Resah-gelisah. Kepanasan. Walaupun berada dalam bilik yang berhawa dingin. Dia kemudiannya bingkas bangun dan perlahan-lahan menuju ke arah jendela kaca. Dia lalu melontarkan pandangan ke arah bangunan-bangunan yang menjulang tinggi hingga mencakar langit.

“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Encik Redzuan iaitu Pengurus Besar Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd. sebaik-baik sahaja selesai membaca surat perletakan jawatan Shauki.

“Sudah, Encik Redzuan. Saya harap Encik Redzuan akan meluluskan permohonan saya ini.”

“Awak nak buka syarikat sendiri?”

“Ya, Encik Redzuan. Saya nak ikut jejak langkah Encik Redzuan. Berjaya menjadikan syarikat ini hingga bertaraf korporat.”

“Saya bangga dengan semangat awak. Tapi, saya tetap bimbang. Dunia perniagaan ni banyak cabarannya. Kalau awak tak pandai menanganinya, awak akan gagal.”

“Encik Redzuan jangan bimbang. Saya yakin. Pengalaman saya sewaktu bekerja dengan syarikat ini akan membantu saya untuk maju dalam bidang perniagaan.”

“Baiklah. Kalau begitu keputusan awak, saya tak boleh berbuat apa-apa. Saya luluskan permohonan awak ni. Saya berdoa semoga cita-cita awak akan tercapai.”

“Terima kasih, Encik Redzuan.”

Tindakannya meninggalkan Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd. mendapat tentangan keras daripada isterinya iaitu Rahimah.

“Apa? Abang dah berhenti kerja?” ujarnya dengan penuh rasa terkejut.

“Ya, Mah. Abang nak buka syarikat sendiri,” dia menjawab sambil menghirup air teh yang masih panas itu. Kemudian perlahan-lahan diletakkannya semula cawan itu ke bawah. Asap nipis yang keluar daripada air teh itu kelihatan teroleng-oleng naik ke atas.

“Nak buka syarikat perlukan duit yang banyak, bang. Mana abang nak cari?”

“Abang akan buat pinjaman bank.”

“Betul. Tapi, mampu ke abang bayar balik?”

“Abang mampu, Mah. Kalau orang lain boleh bayar balik kenapa abang tak boleh. Kalau orang lain boleh berjaya dalam perniagaan kenapa abang tak boleh.”

“Mah takut, bang.”

“Takut apa?”

“Abang baru kerja 5 tahun. Dah nak buka syarikat sendiri.”

Dia hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ketiga-tiga orang anaknya iaitu Shahril, Suzana dan Syazwan kelihatan sedang asyik menonton rancangan kartun yang disiarkan di televisyen. Sekali-sekala kedengan hilai tawa mereka yang hampir memecahkan ruang tamu rumah teres berkembar dua tingkat itu. Dia kemudiannya mengukir senyuman kecil sambil memandang tepat wajah isterinya. Gelagatnya itu nyata sekali tidak menyenangkan isterinya.

“Sebagai isteri Mah sepatutnya beri semangat pada abang. Bukannya matikan semangat, abang.”

“Itu Mah tahu, bang.”

“Dah tu?”

“Mah takut syarikat abang tak akan bertahan lama.”

“Kenapa Mah cakap macam tu?”

“Berniaga ni bukannya senang, bang.”

“Mah jangan bimbang. Yang nak berniaga, abang. Bukannya, Mah. Keuntungan yang dapat bukan milik abang seorang. Mah dan anak-anak akan dapat jugak nanti.”

“Entahlah, bang. Susah Mah nak cakap dengan abang ni. Mah cuma ingatkan abang aje. Mah tak mahu abang menyesal di kemudian hari.”

“Abang tak akan menyesal, Mah. Abang yakin. Syarikat abang akan maju.”

Keesokan harinya dia keluar makan tengah hari bersama dengan sahabat karibnya iaitu Afian.

“Apa? Kau nak buka syarikat? Kau jangan nak olok-olok dengan aku, Ki?” soal Afian sambil membetulkan duduk.

“Betul, Pian. Aku tak olok-olok,” dia menjawab.

Afian sebaliknya ketawa kecil apabila mendengar kata-katanya itu. Gelagat yang ditunjukkan oleh sahabat karibnya itu benar-benar menghairankannya.

“Kenapa kau ketawa? Apa? Kau tak yakin yang aku boleh berjaya dalam bidang perniagaan?”

“Aku tak bermaksud begitu.”

“Habis?”

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Pelayan lalu menghampiri mereka berdua sambil membawa makanan dan minuman yang dipesan iaitu 2 pinggan nasi beriani dan 2 gelas air sirap limau.

“Terima kasih,” ucap Shauki.

“Sama-sama!” dia membalas sambil menganggukkan kepala dan pantas berlalu pergi dari situ.

Tanpa membuang masa lagi, mereka lalu menikmati makanan dan minuman yang dipesan. Selepas selesai menikmati makanan dan minuman, mereka berdua menyambung semula perbualan.

“Aku bukannya apa, Ki. Sebagai seorang kawan, aku tak mahu kau menyesal di kemudian hari. Berniaga ni bukan senang, Ki. Ibarat kapal di tengah lautan. Kalau kau tak pandai menghadapi gelombang, kau akan tenggelam,” nasihat Afian dengan panjang lebar.

“Kau sama dengan isteri aku. Bukan nak bagi semangat. Nak patahkan semangat.” Dia langsung tidak menghiraukan nasihat sahabat karibnya itu.

“Ini bukan soal beri semangat atau patahkan semangat, Ki. Aku bercakap ni adalah berdasarkan kenyataan.”

“Kenyataan apa?”

“Kau jangan ikut rentak orang, Ki. Bila kau tengok orang lain buka syarikat, kau pun nak buka syarikat. Dia orang tu mungkin dah berpuluh-puluh tahun menceburi bidang perniagaan. Sedangkan kau baru 5 tahun bekerja dengan Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd.”

“Terima kasih, Pian. Kerana menasihatkan aku. Tapi, kau tak akan dapat mengubah keputusan aku. Kita dah lama berkawan. Kau tentu arif dengan prinsip hidup aku, bukan? Apa yang aku kata mesti aku kota,” Shauki membalas dengan panjang lebar.

Selang beberapa bulan kemudian dia pun menubuhkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Ternyata syarikatnya berjaya memperolehi keuntungan yang banyak. Syarikatnya banyak mendapat projek mewah. Duit keuntungan syarikat lebih banyak dilaburkannya dengan melancong ke luar negara bersama keluarga serta membeli beberapa buah banglo dan kereta mewah. Tindakannya berbelanja boros ini telah ditegur oleh Zamri iaitu Pegawai Akaun di syarikatnya. Namun begitu tidak diendahkannya.

“Jangan berbelanja boros, Encik Shauki. Syarikat kita akan menerima padah nanti.”

“Itu hak saya, Zamri. Saya pengurus besar di syarikat ni. Bukannya awak. Saya boleh buat apa aja yang saya suka. Awak tu makan gaji dengan saya. Faham!”

“Saya faham, Encik Shauki …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Dah tu? Awak jangan nak pandai-pandai nasihatkan saya. Awak pergi buat kerja awak.” Shauki sebaliknya pantas memotong dengan penuh rasa bongkak dan sombong.

Dia juga telah menjalankan perniagaan dengan cara yang salah. Dia sanggup memberi rasuah kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan projek mewah. Ini tidak disenangi oleh Musa iaitu Pegawai Pemasaran di syarikatnya.

“Encik Shauki menjalankan perniagaan dengan cara yang salah.”

“Salah kata awak?”

“Ya. Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang.”

“Awak sebagai pekerja ikut arahan saya. Awak jangan cuba nak nasihatkan saya. Dengar sini baik-baik. Tender tu lumayan. Kalau kita tak umpan mereka, kita akan terlepas. Faham!”

“Tapi, Encik Shauki ….”

“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat, berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”

“Encik Shauki jangan cuba cabar saya.”

“Saya bukan cabar awak, Musa. Ini adalah kenyataan. Kalau awak dah bosan bekerja dengan syarikat ni, silakan keluar. Awak carilah kerja lain.

“Baiklah, Encik Shauki. Saya akan tinggalkan syarikat ini. Saya tak mahu bersubahat melakukan perkara yang terkutuk.”

“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat, berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”

Musa pun mengambil keputusan nekad meninggalkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Dia lebih senang melihat Musa berhenti kerja. Sebagai “boss” dia adalah raja. Segala perintahnya mesti diturut. Tanpa mengira sama ada ia baik ataupun buruk. Dia lupa pada ajaran agama Islam. Dalam perniagaan ada batasnya. Halal dan haram. Namun begitu itu semua diketepikannya. Baginya untuk maju dalam bidang perniagaan soal halal dan haram tidak perlu wujud. Yang penting ialah memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda.

Shauki juga bersifat zalim terhadap pekerja. Dia membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya.

“Apa salah saya, Encik Shauki?” soal Mansur yang bertugas sebagai budak pejabat sebaik-baik sahaja menerima surat notis berhenti kerja daripada Shauki.

“Saya tak perlu jawab soalan awak. Awak sepatutnya tanya diri awak sendiri.”

“Awak memang jenis bengap. Semua kerja yang diberikan awak tak boleh buat. Dahlah tu awak selalu saja ambil cuti sakit. Saya mahu orang yang berguna dalam syarikat ni. Bukannya orang yang tak berguna macam awak. Faham!!!” herdik Shauki.

“Saya bukannya suka-suka ambil cuti sakit. Kan saya dah beritahu Encik Shauki. Saya memang ada masalah kesihatan.” Mansur sebaliknya cuba membela diri.

Namun begitu tidak diendahkan sama sekali oleh Shauki. Dia tetap dengan egonya yang tinggi melangit.

“Ah! Itu semua alasan awak. Dah saya katakana tadi. Orang macam awak memang tak layak bekerja dengan syarikat ni. Ramai lagi orang yang saya boleh ambil!”

“Encik Shauki tak kasihan ke dengan saya. Saya ada isteri dan anak-anak. Macam mana saya nak sara hidup mereka.” Mansur terus merayu.

“Kasihan! Itu bukan urusan saya. Awak carilah kerja lain!”

Mansur diam. Dia sedar siapa dirinya. Encik Shauki selaku Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang kini berada jelas di depan matanya adalah ibarat durian. Manakala dia pula adalah ibarat mentimun.

Isterinya dan Afian telah beberapa kali menasihatkannya agar membuang sikapnya yang buruk itu. Namun begitu tidak diendahkannya langsung. Tetapi dia lupa. Dia hidup di atas dunia ini hanya sebagai manusia biasa. Walaupun hakikatnya dia dikenali sebagai Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa.

Shauki menarik nafas yang panjang. Baru dia sedar kini. Inilah padahnya bila terlalu menurutkan kata hati, bongkak, menzalimi orang dan melakukan kemungkaran.

Sepanjang hari dia asyik termenung memikirkan untung nasibnya bersama Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang semakin malap.

2

SEORANG TUA

Dia melemparkan pandangan yang tajam ke arah desiran ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan. Membasuh pasir dan batu-batu kecil di gigian. Pagi masih muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-benderang. Bayu laut bertiup lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara yang tumbuh di sekitar pantai meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Daun-daun hijau mengeluarkan irama yang sungguh merdu apabila bergeseran di antara satu sama lain.

Pantai Sinar Murni. Sudah seminggu dia berada di sini. Sebuah kawasan peranginan yang terkenal. Dia sebenarnya mencari ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.

Laut yang membiru. Hidup manusia di atas muka bumi ciptaan Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih berganti. Penuh suka dan duka. Dia akur dengan kenyataan itu. Memang sudah ditentukan sejak dari azali lagi. Dia menarik nafas yang panjang sambil membetulkan duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada kayu.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara memberi salam. Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti.

“Waalaikumsalam,” dia menjawab sambil memandang muka orang tua itu.

“Maafkan, pak cik. Kerana mengganggu ketenangan anak.” Nada suara orang tua itu tenggelam bersama deruan suara ombak.

“Oh, tidak mengapa. Pak cik. Silalah duduk,” dia membalas senang sambil memandang tepat wajah orang tua itu dan mengukir senyuman kecil.

“Terima kasih …,” ucap orang tua itu lembut.

“Anak seorang aje ke?” soal orang tua itu lagi.

“Ya, pak cik!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Maafkan, pak cik. Anak nampaknya sedang memikirkan sesuatu yang amat berat.”

Dia berasa amat terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut orang tua itu. Macam mana dia tahu semua ini? Siapakah dia ini yang sebenarnya? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.

“Benar, pak cik. Apa yang bersarang di kepala saya ini adalah ibarat seketul batu besar,” jelasnya pula.

“Sudah menjadi lumrah hidup manusia. Masalah. Tidak mengenal tua atau muda.”

“Bolehkah pak cik membantu saya?”

“Kalau anak tak keberatan. Ceritakanlah. Pak cik sedia mendengarnya.”

“Saya sebenarnya sedang memikirkan Persatuan Ikhlas. Banyak membantu masyarakat yang tidak berada. Pernah memenangi Anugerah Cemerlang Persatuan. Tapi kini semuanya dah tak bererti lagi bagi saya …,” terangnya dalam nada suara yang lemah.

“Apa puncanya?” tanya orang tua itu dengan penuh minat.

“Kuasa,” ucapnya pendek.

“Maksud, anak?”

“Saya adalah Pengerusi Persatuan. Ada yang nak menjatuhkan saya dalam pemilihan jawatan Pengerusi yang akan diadakan pada bulan depan.”

“Oh, begitu!” orang tua itu sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar penjelasan yang diberikannya. Angin tiba-tiba bertiup lemah. Pohon-pohon dan dedaunan cemara mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun kering berguguran menimpa butiran pasir yang putih dan halus. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya.

“Saya akur, pak cik. Sekiranya ahli-ahli persatuan mahukan perubahan saya sedia berundur. Itu adalah hak mereka. Saya tak boleh memaksa mereka agar terus menyokong saya. Tapi malangnya pencabar saya menggunakan cara yang tak sepatutnya untuk memenangi jawatan itu,” katanya lagi.

“Cara yang bagaimana anak maksudkan itu?”

“Memfitnah dan menuduh saya yang bukan-bukan. Menaburkan wang kepada ahli-ahli persatuan agar mengangkat dirinya sebagai Pengerusi.”

“Sungguh dahsyat. Boleh pak cik tahu siapa pencabar anak itu?” soal orang tua itu.

“Timbalan Pengerusi. Saya kecewa, pak cik. Saya dan dia sama-sama mengasas dan berjuang membangunkan persatuan. Dia pernah berjanji. Tidak akan mencabar saya demi perpaduan parti. Saya menaruh penuh kepercayaan padanya …,” dia bersuara lemah. Suara angin tidak kedengaran seperti hilang ditelan alam. Hampa. Itulah yang membalut wajahnya.

“Anak tahu kenapa dia boleh berubah?”

“Entahlah, pak cik. Saya sendiri pun tak tahu. Saya sebenarnya sayangkan persatuan. Kalau saya gagal mempertahankan jawatan Pengerusi saya akan tetap setia dengan persatuan. Demi membela nasib masyarakat yang kurang berada agar dapat menikmati taraf hidup yang sempurna. Itulah matlamat sebenar saya dan dia menubuhkan persatuan.”

“Mungkin dia mengejar nama selain daripada kuasa. Apabila persatuan berjaya nama anak sebagai Pengerusi yang menjadi sebutan. Itu firasat pak cik saja,” tambah orang tua itu.

“Bagi saya kejayaan yang dikecapi bukan milik saya seorang. Tetapi adalah milik semua ahli persatuan. Tak tahulah saya kalau dia beranggapan begitu.”

“Anak ikhlas dan jujur dalam perjuangan persatuan,” ujar orang tua itu.

“Saya sebenarnya takut pada pujian, pak cik. Walaupun persatuan di bawah pimpinan saya telah mencipta kejayaan. Kerana bagi saya pujian itu silap-silap boleh memakan diri sendiri dan menganggap kita lebih bagus daripada orang lain,” jawabnya.

“Ini adalah kenyataan yang lahir daripada pengamatan pak cik terhadap anak dan bukannya paksaan. Anak bukannya berjuang untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi semata-mata untuk persatuan. Bagi pak cik itu adalah sifat pemimpin yang sejati. Pak cik tahu. Anak dah banyak berkorban masa dan tenaga demi persatuan.”

Sekali lagi dia berasa terkejut. Orang tua ini tahu segala-galanya. Memang benar. Persatuan sudah menjadi darah dagingnya. Perjuangannya membela nasib masyarakat yang kurang berada memang ada kaitan dengan latar belakang keluarganya yang lebih banyak mengenal erti kesusahan daripada kemewahan. Semuanya ini yang menyebabkan dia bersungguh-sungguh memastikan persatuan mencapai matlamat penubuhannya.

“Mungkin sudah nasib saya, pak cik. Tak semestinya kebaikan yang dicurahkan akan dibalas orang dengan kebaikan. Adaketikanya saya berfikir lebih baik mengalah. Tapi saya sedar. Itu bukanlah jalan yang terbaik buat seorang pemimpin.”

“Pak cik menyokong keputusan yang anak ambil itu. Dalam hidup ini biar kita mengalah asalkan jangan kalah.”

“Menarik sekali kata-kata pak cik itu.”

“Tuhan sedang menguji anak sebagai seorang pemimpin. Anak berada di pihak yang benar. Berdoalah sentiasa agar diberikan kekuatan dan semangat untuk terus berjuang demi persatuan. Insya-Allah. Tuhan akan memberi anak kemenangan,” nasihat orang tua itu sambil memegang bahunya. Dia sebaliknya diam sambil memandang wajah orang tua itu. Angin yang bertiup dari arah laut tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Seperti memberi keazaman kepadanya agar terus hidup dan mati bersama persatuan. Dia akan tetap bertanding dengan cara yang bersih untuk mempertahankan jawatannya. Menang atau kalah biarlah di tangan ahli persatuan.

“Baiklah, nak. Pak cik nak pergi.” Orang tua itu kemudiannya bingkas bangun sambil menghulurkan tangan dan bersalaman dengannya.

“Pak cik ni siapa sebenarnya?” dia menyoal.

“Macam anak jugak. Hamba Allah yang hidup di muka bumi ini,” balas orang tua itu. Sekali lagi dia diam. Wajah orang tua itu direnungnya dalam-dalam.

“Izinkan pak cik pergi. Semoga kita akan berjumpa lagi. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam, pak cik.”

Orang tua itu lalu meninggalkannya dan lama-kelamaan hilang daripada pandangan matanya. Siapakah sebenarnya orang tua ini? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.

3

PAK LONG

Kota Warisan. Keputusan telah dibuat. Akan dirobohkan demi pembangunan. Maka hilanglah khazanah bersejarah yang tinggi nilainya. Tak mungkin dapat dicari ganti peninggalan yang berusia ratusan tahun ini.

Pak Long sayang akan Kota Warisan. Lebih daripada segala-galanya. Hiba dan sedih hati Pak Long. Bila mendengar Kota Warisan akan dirobohkan. Kota Warisan yang terletak berhampiran dengan pangkalan akan digantikan dengan resort yang mampu menarik pelancong.

Berbanding dengan Kota Warisan. Hanya tinggal tembok dengan susunan batu yang separuh daripadanya telah runtuh akibat hakisan dan peredaran zaman. Pak Long masih ingat lagi cerita arwah datuknya. Kota Warisan adalah lambang pemerintahan beraja. Dilengkapi dengan istana, kolah, perigi dan parit yang digali sedalam 2 kaki untuk menghindari serangan musuh.

Di bahagian hadapan terdapat pintu gerbang. Dikawal oleh hulubalang sepanjang masa. Manakala di bahagian belakang pula adalah jalan menuju ke laut. Raja yang bersemayam di Kota Warisan gemar berlayar.

Kota Warisan runtuh akibat perang saudara. Puncanya ialah irihati dan tamakkan kuasa. Ada pembesar yang telah belot. Diumpan oleh musuh dengan wang emas. Rahsia kekuatan Kota Warisan lalu dibuka. Raja dan pengikut-pengikutnya yang setia lalu melarikan diri. Tempatnya tidak diketahui. Raja dikatakan menyamar diri sebagai rakyat biasa kerana takut diburu.

Kota Warisan bukan sahaja peninggalan bersejarah. Lambang keunikan senibina dan tamadun bangsa Melayu. Pak Long gemar bercerita tentang Kota Warisan kepada anak dan cucunya. Tetapi mereka seperti tidak berminat untuk mendengarnya. Pak Long kecewa. Jawapan mereka itu adalah cerita lama. Sekarang adalah dunia moden.

Pak Long tak putus asa. Diceritakannya moyang mereka adalah hulubalang Kota Warisan. Gagah perkasa. Sangat setia kepada raja. Rela berkorban apa saja. Menurut cerita yang didengar oleh Pak Long dari datuknya.

Harapan Pak Long cuma satu. Bukan untuk berasa megah atau berbangga. Pak Long mahu mereka mencontohi moyang. Bukan setakat demi raja sahaja. Agama, bangsa dan negara. Dunia hari ini banyak cabaran. Silap-silap akan dijajah semula. Pak Long pernah merasainya. Azab dan sengsara. Zaman British dan Jepun. Pak Long masih lagi terbayang-bayang di ingatan. Walaupun usianya hampir meniti separuh abad.

Generasi merdeka hari ini harus mengambil iktibar. Sejarah adalah teladan. Pak Long tekan sedalam-dalamnya kepada anak dan cucu. Namun begitu jawapannya tetap sama. Zaman Pak Long sudah berlalu. Ini zaman mereka.

Pak Long tetap nekad. Walaupun keseorangan tetap akan memastikan Kota Warisan mendapat pembelaan. Pak Long merenung laut membiru dalam-dalam. Tenang. Sayup-sayup kedengaran suara ombak memecah pantai. Buih-buih memutih berapungan di gigian. Bayu laut bertiup segar. Dingin terasa menyapu kulit Pak Long yang telah tua itu. Pepohonan rendang yang terdapat di sekitar pangkalan meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Mengikut rentak tiupan lembut bayu laut.

Pak Long dapat membayangkan keadaan zaman dahulu sewaktu kegemilangan pemerintahan raja Kota Warisan. Sibuk dengan pedagang-pedagang luar. Cukai di pangkalan dikutip oleh pembesar yang telah diperintahkan. Kota Warisan terkenal dengan kekayaan. Masyhur namanya di serata negeri.

Datuk Pak Long juga bercerita akan kehebatan Panglima Muda. Dilantik oleh raja sebagai panglima kanan istana. Mengikut raja ke mana sahaja pergi. Kehebatannya terkenal dengan menghapuskan lanun. Panglima Muda memiliki ilmu persilatan yang tinggi dan handal bermain senjata. Sukar ditandingi musuh. Mudah membaca helah dan tipu daya. Bukan calang-calang orangnya.

Panglima Muda dikatakan berguru di Tanah Seberang. Guru yang mengajarnya juga hebat orangnya. Menghabiskan seluruh hidupnya dengan beramal ibadat kepada Tuhan. Panglima Muda telah dihadiahkan oleh gurunya sebilah keris. Selagi dia memakai keris itu Kota Warisan dilindungi daripada ancaman musuh.

Dengan renungan tajam bersama makna yang penuh tersirat Pak Long kemudiannya melemparkan pandangan ke arah Kota Warisan yang nampak tersergam indah di atas puncak bukit. Biarpun usianya telah melewati ratusan tahun. Ditariknya nafas panjang. Kota Warisan adalah sebahagian daripada hidupnya. Pak Long seolah-olah tidak boleh hidup tanpa Kota Warisan. Walaupun sehari cuma.

Di kaki langit bola matahari kian meninggi. Cahayanya menyinari seluruh alam semesta. Sepertimana harapan Pak Long. Agar Kota Warisan terus hidup subur buat selama-lamanya.

Pemaju tidak mempunyai rasa cinta terhadap warisan sejarah. Demi keuntungan semata-mata sanggup membunuh Kota Warisan. Apakah Kota Warisan akan menerima nasib yang sama seperti Kota Melaka yang dibina oleh Portugis sewaktu menakluk pada tahun 1511? Persoalan yang mengetuk fikiran Pak Long. Hari ini sebahagian sahaja Kota Melaka yang tinggal akibat diletupkan oleh Inggeris. Generasi hari ini tidak dapat menatap peninggalan bersejarah yang lebih berharga daripada emas dan permata. Pak Long tidak mahu ibarat kematian tanpa nisan terjadi pada Kota Warisan.

Musnah …! Itulah yang mampu digambarkan oleh Pak Long. Generasi akan datang tidak akan dapat melihat Kota Warisan. Pak Long pernah meminta agar penduduk kampung bersatu mempertahankan Kota Warisan. Sepertimana yang dilakukan oleh Panglima Muda dan moyangnya. Malangnya dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Amat memedihkan jawapan yang diterima. Seperti ditikam sembilu rasanya. Hampir menitis air mata orang tua itu. Sedih. Kata mereka Kota Warisan tidak berguna lagi. Lebih baik dirobohkan. Bina resort mewah untungnya besar pada kampung ini.

Serta-merta langit yang cerah bertukar menjadi mendung. Hujan pun turun membasahi Kota Warisan. Seolah-olah bersimpati dengan Pak Long. Akur dan bersabar. Sudah menjadi lumrah hidup manusia. Yang baik susah diterima. Yang buruk senang diterima.

Tak ubah seperti seorang pejuang. Berkorban demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Begitu jugalah halnya dengan Pak Long. Berjuang bermati-matian. Sehingga ke titisan darah yang penghabisan. Demi untuk Kota Warisan.

Jauh panggang dari api. Pak Long tidak mengejar nama. Apatah lagi minta jasa dikenang. Cukuplah dengan sekadar apabila dia menutup mata nanti buat selama-lamanya Kota Warisan ditatapi oleh cucu cicitnya. Sayang Pak Long pada Kota Warisan tak ubah seperti menatang minyak yang penuh. Pak Long sanggup berpanas dan berhujan menebas semak samun yang terdapat di kawasan persekitaran Kota Warisan.

Entah dari mana datangnya semangat. Entah dari mana datangnya kekuatan. Sukar untuk mempercayai kudrat Pak Long yang tak sepadan dengan usianya mampu menjadikan kawasan persekitaran Kota Warisan terang dan bersih. Seperti baru dibuka. Niat suci Pak Long ini malangnya disalahertikan oleh penduduk kampung.

Mereka menganggap Pak Long sudah hilang akal dan membuat kerja sia-sia. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak. Marah dengan tindakan Pak Long itu. Malu! Heboh satu kampung. Tapi Pak Long tak peduli itu semua. Tidak mahu mencari musuh dengan membalas tohmahan yang dilemparkan. Berpegang teguh pada hidup dalam kampung adalah mengutamakan silaturrahim dan bermuafakat. Lagipun Islam melarang umatnya bersengketa sesama sendiri. Semangatnya tidak luntur. Sama seperti yang dimiliki oleh moyangnya sewaktu menjadi hulubalang Kota Warisan dulu.

Kota Warisan tak pernah sunyi dengan pelawat, penyelidik dan pelajar tanpa mengira peringkat menengah atau universiti yang terlibat dengan bidang sejarah. Adakalanya Pak Long menjadi pemandu pelancong memberikan penerangan. Ada ketikanya Pak Long menjadi pemberi maklumat membantu kajian. Pak Long merasa sungguh seronok. Soal bayaran Pak Long tak kisah langsung. Asalkan mereka mendengar cerita Kota Warisan.

Pak Long bukannya tak suka pembangunan. Sesuatu yang baik tak seharusnya ditolak. Untuk dinikmati bersama dengan penduduk kampung. Pak Long sedar. Zaman dahulu dengan zaman sekarang jauh berbeza. Zaman mudanya dengan zaman tua yang dilaluinya hari ini umpama langit dan bumi. Dituntut agar berfikiran terbuka.

Cuma Pak Long tak mahu Kota Warisan menjadi mangsa keadaan itu. Kalau boleh biarlah pemaju membuat resot mewah berjauhan dari Kota Warisan. Rayu Pak Long pada pemaju dari kota besar itu. Namun ditolak mentah-mentah. Alasan pemaju Kota Warisan adalah tempat yang strategik untuk didirikan resot mewah. Kedudukannya mengadap ke arah laut. Tempat yang strategik akan menjadi tumpuan pelancong. Mereka telah membuat kajian.

Pemaju mengingatkan Pak Long. Kota Warisan bukan miliknya. Jangan ganggu perancangan yang telah mereka atur. Darah hulubalang yang diwarisi dari moyangnya lantas mengalir apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh pemaju yang tidak menghargai akan kepentingan nilai sejarah sebagai harta pusaka bagi generasi yang akan datang. Demi Kota Warisan. Pak Long menentang habis-habisan.

Pak Long turut diberi amaran oleh pemaju. Akan melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mengganggu projek mereka. Namun begitu rasa gentar tidak ada dalam dirinya. Kebenaran. Itulah yang ingin ditegaknya. Bukan sahaja tidak mahu kampung ini kehilangan warisan bersejarah tetapi juga pada negara.

Hari-hari silih berganti. Pak Long tetap setia dengan Kota Warisan. Selagi dia masih bernafas di atas muka bumi ini selagi itulah dia akan berjuang. Memastikan Kota Warisan tidak tumbang menyembah bumi. Kekal buat selama-lamanya!

4

HULUBALANG JIWA

Kisah Hulubalang Jiwa. Gagah perkasa orangnya. Sangat setia kepada raja. Suatu hari mendapat perintah. Meminang Puteri Bunga. Kecantikannya tidak terperi. Serata negeri tiada tandingan.

“Segeralah berangkat, anakanda. Jalankanlah titah raja. Berapa ramai pengiring yang anakanda perlukan?” kata Datuk Paduka Bendahara.

“Tak usahlah dikirim ramai utusan, ayahanda. Biarlah anakanda seorang sahaja melaksanakan titah raja ini,” katanya.

“Anakanda. Untuk sampai ke Negeri Taman Seri bukannya mudah. Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi. Ayahanda khuatir. Hajat raja tak sampai,” nasihat Datuk Paduka Bendahara. Dia sudah menganggap Hulubalang Jiwa seperti anak sendiri.

“Usahlah ayahanda bimbang. Ayahanda doakanlah anakanda dapat membawa pulang Puteri Bunga. Untuk dipersembahkan kepada raja,” dia sebaliknya membalas.

Setelah semuanya siap maka Hulubalang Jiwa pun berangkatlah ke Negeri Taman Seri. Seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa menempuhi pelbagai halangan dan rintangan. Ancaman perompak.

Hulubalang Jiwa bukan calang-calang orangnya. Memiliki ilmu persilatan tinggi. Handal bermain senjata. Kesemua perompak dapat ditewaskannya.

Rupanya semua ini telah diatur oleh Datuk Gagak. Cemburu dan irihati dengan Hulubalang Jiwa. Dipilih oleh raja untuk meminang Puteri Bunga yang cantik rupawan.

“Cis! Dia seorang pun tak boleh dikalahkan!” bentaknya dalam suara yang lantang dan berwajah bengis.

“Dia memang hebat ….”

“Ah! Tambah lagi orang-orang kita. Hulubalang Jiwa mesti dihapuskan!”

“Baik, Datuk!”

Demikianlah jahatnya Datuk Gagak. Apabila Hulubalang Jiwa mati nanti sudah tentu raja akan memerintahkan dia untuk pergi meminang Puteri Bunga. Sudah tentu dia akan mendapat kurnia apabila raja berjaya memperisterikan Puteri Bunga.

Hulubalang Jiwa selamat tiba di Negeri Taman Seri. Peminangan raja telah diterima. Raja Negeri Taman Seri pun mengadakan majlis keramaian untuk meraikan Hulubalang Jiwa.

“Siapa nama hulubalang dari Negeri Kembang Hayat tu, mak inang?” tanya Puteri Bunga.

“Jiwa, tuan puteri,” dia menjawab.

“Jiwa! Sedap namanya. Kena dengan orangnya. Tampan dan gagah,” Puteri Bunga sebaliknya membalas.

Mak Inang tertawa kecil apabila mendengar kata-kata Puteri Bunga itu. Keasyikan. Melanda jiwa Puteri Bunga. Apabila terpandang paras wajah Hulubalang Jiwa. Dalam majlis keramaian yang turut dihadiri oleh pembesar dan rakyat jelata.

Raja turut mempelawa Hulubalang Jiwa tinggal beberapa hari di Negeri Taman Seri sebagai tetamu. Hulubalang Jiwa menerima pelawaan raja itu dengan senang hati. Namun begitu kehadirannya sebagai tetamu raja itu tidak disenangi oleh Datuk Lang Hitam. Salah seorang pembesar istana.

Datuk Lang Hitam lalu mempengaruhi raja. Dengan mengatakan kedatangan Hulubalang Jiwa bukan semata-mata untuk meminang Puteri Bunga. Tetapi sebenarnya adalah berniat jahat. Raja tidak termakan dengan fitnah Datuk Lang Hitam itu. Raja sebaliknya menasihatkan Datuk Lang Hitam agar tidak membuat tuduhan melulu. Buruk padahnya nanti. Datuk Lang Hitam benar-benar merasa kecewa dan marah. Rancangannya tidak menjadi.

“Aku betul-betul benci dengan hulubalang dari Negeri Kembang Hayat tu!” luah Datuk Lang Hitam. Dengan rasa penuh geram.

“Hamba pun begitu, datuk. Baru sekali datang kemari. Senang-senang sahaja dia diterima sebagai tetamu negeri. Kita mesti cari jalan. Kita mesti usir dia!” sokong Bara. Orang kanan Datuk Lang Hitam.

“Tak semudah itu, Bara. Dia telah menjadi orang kesayangan raja. Padahal dia orang luar. Aku dah atur rancangan!” katanya.

“Rancangan apa, Datuk?” soal Bara pula dengan penuh minat.

“Begini. Kita mesti hapuskan hulubalang tu dalam perjalanan pulang membawa Puteri Bunga ke Negeri Kembang Hayat. Kita mesti culik Puteri Bunga dan jadikan tebusan. Kita paksa raja serahkan takhta. Kalau tidak kita akan bunuh Puteri Bunga. Aku yakin. Raja akan tunduk pada kemahuan kita. Kerana sayang akan puteri tunggalnya itu.” Dia menerangkan panjang lebar akan rancangan jahatnya itu.

“Datuk akan jadi Raja Negeri Taman Seri,” Bara menambah.

“Ya!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya lalu ketawa terbahak-bahak. Penuh yakin. Rancangan jahat yang diaturnya itu akan berjaya.

Hulubalang Jiwa dapat merasakan cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapinya nanti apabila membawa pulang Puteri Bunga ke Negeri Kembang Hayat. Setelah beberapa hari tinggal di Negeri Taman Seri maka tibalah masanya Hulubalang Jiwa berangkat balik. Bersama dengan Puteri Bunga. Raja telah memerintahkan beberapa orang pahlawan untuk mengiringi Puteri Bunga dan Hulubalang Jiwa. Namun begitu Hulubalang Jiwa mengatakan tidak perlu pahlawan pengiring. Dia memberi jaminan kepada raja akan melindungi Puteri Bunga dan selamat sampai ke Negeri Kembang Hayat.

Dalam perjalanan seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga telah menerima ancaman daripada Datuk Lang Hitam dan orang-orangnya.

“Datuk Lang Hitam?” Puteri Bunga merasa sungguh terkejut.

“Ya! Apa khabar, tuan puteri? Dan kau hulubalang dari Negeri Kembang Hayat. Serahkan Puteri Bunga. Jangan mengundang maut!” Datuk Lang Hitam mengugut sambil meninggikan suara.

“Ah! Tidak, datuk. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!” dia sebaliknya membalas dengan berani. Kedua-dua biji matanya tajam memandang Datuk Lang Hitam yang bermisai lentik dan berwajah garang itu.

“Sungguh tak disangka. Tergamak datuk buat begini. Apa salah hamba?” kata Puteri Bunga pula dalam nada suara yang cemas. Dia benar-benar ketakutan sambil memegang erat tangan Hulubalang Jiwa.

“Ah! Tamatkan riwayat hulubalang ini!” arah Datuk Lang Hitam pada orang-orangnya.

“Tenang, tuan puteri. Kalau orang dah menjual. Hamba sedia membeli,” ucap Hulubalang Jiwa sambil menghunus senjata. Dengan pantas Puteri Bunga melepaskan pegangan tangan dan berundur ke belakang. Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan orang-orang Datuk Lang Hitam pun berlaku. Kesemua mereka tewas dengan mudah di tangan Hulubalang Jiwa. Termasuk Bara. Kemarahan Datuk Lang Hitam kian memuncak.

“Cis! Kau akan bertemu buku dengan ruas. Ini Datuk Lang Hitam. Bersedialah. Ajal kau dah tiba!” katanya dengan rasa penuh bongkak.

Ternyata Datuk Lang Hitam memiliki ilmu kependekaran yang tinggi. Namun begitu Hulubalang Jiwa dapat membaca gerak-gerinya. Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan Datuk Lang Hitam berlaku dengan amat sengit. Akhirnya Datuk Lang Hitam menemui ajal juga di tangan Hulubalang Jiwa. Demikianlah balasannya buat si penderhaka.

“Syukurlah, tuan puteri. Musuh-musuh ini dapat ditewaskan. Ada lagi cubaan yang perlu kita tempuhi. Berdoalah. Semoga kita selamat sampai ke Negeri Kembang Hayat,” ucapnya.

Puteri Bunga hanya mengangguk-angguk diam apabila mendengar kata-kata Hulubalang Jiwa itu. Mereka pun meneruskan semula perjalanan. Tekaan Hulubalang Jiwa memang tepat sekali. Kali ini rintangan datang daripada orang-orang Datuk Gagak pula. Mereka menerima nasib yang sama seperti Datuk Lang Hitam dan orang-orangnya.

“Sungguh hebat, tuan hamba. Seumur hidup hamba. Tak pernah hamba temui. Orang segagah tuan hamba,” puji Puteri Bunga.

“Hamba tak minta pujian. Sudah menjadi kewajipan hamba. Untuk memastikan tuan puteri selamat. Dan seterusnya dipersembahkan kepada raja,” dia menjawab.

Setelah penat berjalan Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga pun berhenti rehat. Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit bola matahari kian meninggi. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam semesta. Angin bertiup lembut. Dedaun hijau dan pohon-pohon bagai menari-nari. Mengikut rentak alunan angin.

Sayup-sayup kedengaran bunyi air sungai mengalir. Iramanya sungguh mengasyikkan jiwa pabila didengar. Kicauan burung dan unggas jelas kedengaran. Menjadi nyanyian alam semesta. Dari jauh kelihatan banjaran gunung berdiri megah.

Puteri Bunga memandang wajah Hulubalang Jiwa. Pandangannya itu sudah cukup menggambarkan anak raja Negeri Taman Seri itu ada maksud tersirat yang hendak disampaikan. Ayu wajahnya. Laksana rembulan yang menyinari di malam hari. Kulit putih berseri. Ditambah kejelitaan dengan rambut yang bersanggul bersama kain selendang yang menutupi kepala. Hati mana yang tak tertawan. Apakah ini dugaan? Bisik hati kecil hulubalang Negeri Kembang Hayat itu.

“Tuan hamba. Maafkan hamba sekiranya bertanya. Itu pun kalau tidak keberatan tuan hamba menjawabnya.” Dia memulakan bicara. Lembut suaranya ditelan alunan desiran angin yang bertiup lemah gemalai.

Hulubalang Jiwa sebaliknya tidak pantas menjawab pertanyaan yang dilontarkan oleh Puteri Bunga itu. Ditariknya nafas dalam-dalam.

“Silakan, tuan puteri. Walau seberat batu pun. Hamba tidak akan hampakan,” dia bersuara tenang.

“Tuan hamba sudah punya kekasih hati?” soal Puteri Bunga.

Hamba tak punya kekasih hati,” dia menjawab.

“Berkata benarlah wahai tuan hamba. Orang yang tampan dan gagah seperti tuan hamba ini. Sentiasa mendapat tempat di hati setiap dara seperti hamba,” dia mendesak.

“Namanya untuk berdusta. Tidak sekali-kali. Ada dalam diri hamba, tuan puteri!” dia membalas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Hamba tak percaya. Sebagai seorang teruna. Takkan tuan hamba tak punya perasaan. Jatuh hati pada seorang dara.” Ternyata dia masih lagi belum berpuashati. Dengan jawapan yang diberikan oleh Hulubalang Jiwa itu.

Angin yang tadinya bertiup lembut tiba-tiba bertukar rentak. Menjadi kencang dari arah pergunungan. Kelihatan cantik mengusapi wajah Puteri Bunga.

“Cinta hamba hanya pada raja, agama, bangsa dan negeri saja,” ujar Hulubalang Jiwa pula.

“Sebenarnya hamba ingin berterus terang pada tuan hamba,” kata Puteri Bunga.

“Berterus terang? Apa maksud, tuan puteri? Tak sabar rasa hamba untuk mendengarnya,” dia sebaliknya membalas.

“Sebenarnya …. Hamba ….” Nada suara Puteri Bunga terputus-putus sambil tertunduk malu.

“Katakanlah wahai tuan puteri. Akan hajat hati yang hendak disampaikan,” ulangnya lagi.

Perlahan-lahan Puteri Bunga mengangkat muka. Hulubalang Jiwa nampak tenang menanti apa yang bakal diluahkan oleh anak Raja Negeri Taman Seri itu. Mereka pun bertentang mata. Sebagai teruna dan dara masing-masing dapat merasakan getaran yang hebat menggoncang perasaan.

“Hamba jatuh hati pada tuan hamba …,” lafaz Puteri Bunga bersama lembut tiupan angin dan bunyi air sungai mengalir.

Kata-kata yang diucapkan oleh Puteri Bunga itu benar-benar memeranjatkan Hulubalang Jiwa.

Memang benar sangkaannya. Perkara ini akan berlaku. Oh, Tuhan! Apakah ini dugaan yang harus aku lalui? Puteri Bunga bukan milikku. Dia adalah milik raja. Aku tak tergamak untuk mengkhianati raja. Seluruh kesetiaanku hanyalah untuk dia sahaja. Kalau raja berkehendakkan aku hidup. Maka hiduplah aku. Sebaliknya kalau raja berkehendakkan aku mati. Maka matilah aku. Getus hati kecil Hulubalang Jiwa.

“Maafkan hamba. Hamba tak boleh menerima cinta tuan puteri,” dia menjawab.

“Hamba sungguh cintakan tuan hamba. Bawalah hamba pergi ke mana sahaja. Hamba rela,” Puteri Bunga merayu.

“Tak boleh, tuan puteri!” dia membantah sekeras-kerasnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Tuan hamba …!” Puteri Bunga pantas mencelah. Kekecewaan. Jelas terpancar di wajahnya yang ayu itu. Serentak dengan itu juga bola matanya digenangi titis-titis air jernih. Umpama hujan yang turun dari langit. Membasahi bumi.

Alam tiba-tiba bertukar menjadi sepi. Seolah-olah meratapi sebuah kematian. Suara angin dan desiran air sungai mengalir berbunyi lemah. Tak bermaya untuk meneruskan hidup. Dedaunan hijau berguguran di atas tanah. Pepohonan meliuk-liuk ke kiri dan kanan dalam rentak lemah-gemalai. Kicauan burung dan unggas tidak kedengaran.

Cuaca yang tadinya cerah lalu bertukar menjadi redup. Mendung hitam perlahan-lahan berarak di kaki langit. Menutupi bola matahari. Seperti turut bersimpati dengan Puteri Bunga. Rupanya dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

“Tergamak, tuan hamba …. Melukakan hati hamba ….” Puteri Bunga menangis teresak-esak.

“Sekali lagi hamba minta maaf, tuan puteri. Tugas hamba ialah untuk mempersembahkan tuan puteri kepada raja. Bukannya berkasih dengan tuan puteri. Berkasih dengan tuan puteri. Bererti hamba telah menderhaka,” jelas Hulubalang Jiwa pula.

Puteri Bunga lalu tertunduk diam. Titis-titis air matanya umpama kilauan mutiara di dasar lautan. Semakin banyak berguguran membasahi pipinya yang lembut itu. Kemudian perlahan-lahan jatuh membasahi tanah. Kesedihan. Benar-benar membalut jiwanya.

Setelah beberapa hari dalam perjalanan maka Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga pun selamat tiba di Negeri Kembang Hayat. Raja berasa amat gembira kerana peminangannya telah diterima. Niat jahat Datuk Gagak telah diketahui oleh raja. Dia telah diperintahkan ditangkap dan dipenjara seumur hidup. Pembesar dan rakyat jelata sekalian lalu membuat persiapan melangsungkan perkahwinan raja dengan Puteri Bunga. Di atas jasa Hulubalang Jiwa itu raja telah berkenan mengurniakannya gelaran Datuk.

5

HIDAYAT

Dari jendela kaca yang berpeluh akibat kesejukan alat penghawa dingin dia melontarkan pandangan jauh ke arah bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Bola mentari kian meninggi. Jalur-jalur cahaya yang lurus jelas kelihatan menyinari seluruh bandaraya.

Lamunannya yang jauh melayang itu terhenti seketika apabila kedengaran daun pintu ditarik. Dia pantas menoleh ke belakang. Zamri. Rakan kongsinya dalam Syarikat Mawar Holdings Sdn. Bhd. Dia mengukir senyuman lebar dan pantas melabuhkan punggung di atas kerusi.

Salim sebaliknya menarik nafas panjang dan memalingkan muka kembali ke arah jendela kaca.

“Apa yang kau fikirkan tu, Lim? Projek ni untungnya besar. Ingat. Bukan mudah kita nak dapat?” kata Zamri.

Dia diam. Kedua-dua biji matanya seakan-akan lekat memandang bangunan-bangunan tinggi yang memenuhi seluruh ruang kota. Semenjak mimpi bertemu dengan lelaki tua yang berjanggut, berserban dan berjubah putih malam tadi dia benar-benar jadi tidak menentu dan takut.

“Ingat, nak. Tuhan menyeru umatnya agar mencari rezeki dengan cara yang halal dan bukannya dengan cara yang haram.” Kata-kata itu terngiang-ngiang segar di telinganya. Masih jelas di ingatannya akan wajah lelaki tua itu yang bersih dan bersinar-sinar seperti cahaya yang menerangi seluruh alam. Siapakah lelaki ini? Mengapa dia datang berjumpa dengan aku? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya sejak dia keluar dari rumah pagi tadi. Kedengaran bunyi pintu diketuk. Salim memalingkan muka ke arah pintu yang dicat dengan warna biru air laut itu.

“Masuk …!” ucapnya dalam nada suara yang lembut. Wati muncul sambil membawa fail yang berwarna hitam.

“Encik Zamri …,” tegurnya lembut sambil mengukir senyuman kecil dan menundukkan kepala. Zamri sebaliknya membalas dengan mengangguk diam. Salim lalu beralih berdiri di sisi meja.

“Ini dia fail yang Encik Salim minta,” katanya sambil perlahan-lahan meletakkan di atas meja.

“Baiklah. Terima kasih,” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ada apalagi, Encik Salim?” tanya Wati yang sudah tiga tahun menjadi Setiausaha Syarikat Mawar Holdings Sdn. Bhd.

“Itu sahaja,” ujarnya pendek.

“Encik Zamri?” soal Wati pula sambil mengalihkan pandangan pula ke arah Zamri yang duduk tegak di atas kerusi.

“Kalau ada apa-apa nanti saya panggil.”

“Baiklah, Encik Salim, Encik Zamri. Saya pergi dulu.”

“OK!” Salim mengangguk-anggukkan kepala.

Salim pantas duduk di atas kerusi dan memandang tepat wajah rakan kongsinya itu.

“Macam mana?” Zamri mengangkat kepala.

“Entahlah, Ri …. Aku takut …,” rengusnya.

“Hei, kenapa dengan kau ni, hah? Dulu kau tak macam ni. Kau jugak yang cakap. Dalam business apa pun sanggup. Asalkan untung berlipat ganda. Come man. What’s wrong with you?” Zamri pantas memotong sambil tertawa kecil.

“Malam tadi aku bermimpi dengan seorang lelaki tua. Dia kata selama ini kita menjalankan pekerjaan dengan cara yang salah,” jelas Salim.

Zamri sebaliknya ketawa terbahak-bahak apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut rakan kongsinya itu.

“Ri, aku serius. Bukan main-main. Apa yang dia cakap tu betul.” Nada suara Salim tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh ruang bilik yang dicat dengan warna merah jambu itu.

“OK! OK!” Zamri menjawab sebaik-baik sahaja ketawanya reda.

“Kau percaya pada mimpi?” katanya lagi sambil melemparkan pandangan yang dalam ke arah Salim.

“Entahlah. Kau pulak macam mana?”

“Kalau aku senang aje, Lim. Mimpi adalah mainan tidur. Tulah kau. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Hah, tengok. Apa dah jadi? Sudah lupakan perkara tu. Projek tu lebih penting daripada orang tua tu,” ujar Zamri pula dengan panjang lebar.

Salim sebaliknya memilih untuk berdiam diri. Dia membetulkan duduk dan menengadah ke siling. Wajah orang tua itu masih lagi jelas bermain di ruang matanya walaupun bertemu di alam mimpi. Zamri tidak berkelip-kelip memandang gelagat rakan kongsinya yang tiba-tiba berubah itu.

“Lim. Aku rasa fikiran kau terganggu kerana memikirkan persaingan untuk mendapatkan projek tu. Tapi aku yakin. Syarikat kita pasti berjaya. Pegawai yang meluluskan projek tu dah berjanji akan beri kita dengan syarat wang sogokan yang lumayan,” yakin Zamri.

“Itu cara yang salah, Ri. Rasuah adalah perbuatan yang keji dan salah di sisi undang-undang!” Salim membantah sekeras-kerasnya.

“Sejak bila pulak kau benci rasuah ni. Selama ni kau jugak yang memberi wang sogokan mendapat tender. Aku pelik betul dengan kau ni. Macam ni ajelah, Lim. Aku tak nak bertekak dengan kau. Silap-silap aku boleh putus rakan kongsi. Aku harap kau jangan ubah pendirian. Walau apa cara sekalipun projek tu mesti berada dalam genggaman kita. OK!” Zamri sebaliknya membalas dan bingkas bangun. Dia terus melayan fikirannya. Malam itu dia bermimpi bertemu lagi dengan lelaki tua itu.

“Hidup anak dipenuhi dengan kemewahan. Tapi sayang. Segala kemewahan yang anak kecapi ini adalah hasil yang kotor dan menjijikkan.”

“Siapakah, Tuan …. Yang sebenar ni …? Di manakah saya sekarang …. Kenapa tempat ni gelap …? Macam dalam gua …,” katanya dengan penuh gementar bersama dengan nafas yang tercungap-cungap dan badan berpeluh-peluh.

“Anak dah jauh terpesong. Anak mesti diselamatkan sebelum terlambat,” jawab orang itu dengan wajah yang bersinar-sinar seperti cahaya.

“Apa maksud Tuan, ni? Saya benar-benar tak faham …!” Salim sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala.

“Semua orang kenal anak. Seorang ahli perniagaan yang berjaya. Malangnya menzalimi diri sendiri,” tegas orang tua itu pula.

“Apa? Saya zalim pada diri sendiri. Tolonglah, tuan. Janganlah kusutkan fikiran saya ni. Masuk ni dah dua kali saya bertemu dengan tuan. Siapa sebenarnya tuan ni?” Dia memohon penjelasan daripada orang tua itu.

“Itu tak perlu, nak. Syukurlah. Anak berada di dalam gua ini kerana diberi hidayat,” orang tua itu membalas sambil memegang bahu Salim.

“Hidayat ….?” Salim berasa amat pelik apabila mendengar perkataan itu.

“Anak tahu apa maknanya hidayat?” tanya orang tua itu lagi. Dia sebaliknya diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Seperti ada kuasa yang menghalangnya daripada bercakap.

“Tak apalah, nak. Saya faham. Perkataan hidayat tak pernah anak dengar. Anak sebenarnya telah mendapat petunjuk daripada Tuhan,” jelas orang tua itu. Salim lalu menunduk kepala. Tuhan. Baru dia sedar kini akan kesilapannya. Dia kemudiannya perlahan-lahan mengangkat kepala kembali dan memandang muka orang tua itu.

“Sudahlah, nak. Tinggalkanlah segala kemungkaran dan ikutlah jalan kebaikan seperti yang telah diperintahkan oleh Tuhan. Ingat, nak. Pintu taubat masih lagi terbuka dan masih lagi belum terlambat. Mari, nak. Saya hantarkan balik.” Salim lantas tersedar daripada mimpi.

Pagi itu diceritakannya pada Zamri tentang mimpi yang dialaminya malam tadi. Zamri sebaliknya lantas ketawa terbahak-bahak.

“Ini adalah kenyataan, Ri. Apa orang tua tu cakap memang betul. Kita selama ni memang jauh terpesong,” kata Salim.

“Lim …! Lim …!” Zamri menjawab sambil tertawa kecil dan menggeleng-gelengkan kepala.

“Aku dah ambil keputusan muktamad, Ri. Kita mesti bersaing dengan cara yang sihat untuk mendapatkan projek tu. Dan bukannya dengan cara yang salah. Aku tak akan memberi wang suapan pada pegawai yang menjaga projek tu!” tegas Salim pada rakan kongsinya.

“Hebat betul pengaruh orang tua tu. Padahal kau bermimpi aje.” Wajah Zamri pantas berubah apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Salim itu.

“Rasuah adalah perbuatan yang tidak bermoral. Boleh merosakkan imej dan nama baik negara. Kita mesti tentang habis-habisan. Sebelum menjadi parah!” Dia terus mempertahankan pendiriannya.

“Sejak bila pulak kau pandai bercakap tentang moral ni, hah? Ingat, Lim. Perniagaan kita ni maju pun bukanlah dengan moral yang baik. Kau jugak yang cakap tanpa wang suapan projek tak akan dapat. Apa kau dah lupa?” Zamri mengingatkan dia semula.

“Itu dulu, Ri. Tapi mulai hari ini aku berjanji. Mencari keuntungan perniagaan dengan cara yang halal,” dia membalas sambil memandang tepat wajah Zamri.

“Hah! Sudah! Sekarang baru kau nak bercakap tentang halal. Selama ni hasil kemewahan yang kau beri pada anak dan isteri kau. Beli kereta mewah dan rumah banglo yang eksklusif dengan cara apa?” Zamri terus mencabar rakan kongsinya itu. Menyirap darah Salim apabila mendengarnya. Namun dia tetap bersabar. Zamri melihat jam di tangannya dan bingkas bangun.

“Sudahlah, Lim. Aku tak ada masa nak melayan perkara yang mengarut ni. Aku ada temu janji dengan pelanggan. Besok pastikan duit tu dah siap. Aku dah call pegawai yang jaga projek tu. Kita akan berjumpa di tempat yang rahsia,” katanya. Salim sebaliknya tidak menjawab. Dia memerhatikan sahaja Zamri mengatur langkah ke arah pintu.

Petang itu dia pulang awal ke rumah. Sejak dari pagi tadi jiwanya benar-benar tidak berasa tenteram apabila berada di pejabat. Gelisah. Wajah orang tua yang datang dalam mimpinya terbayang-bayang segar di ruang mata.

“Awal abang balik hari ni?” tegur isterinya pula. Tak lama kemudian pembantu rumahnya muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman. Dia kemudiannya perlahan-lahan meletakkannya di atas meja dan pantas berlalu pergi dari situ.

“Macam mana dengan projek tu, bang?” soal isterinya lagi. Dia diam. Air teh yang masih lagi panas itu lalu dihirupnya perlahan-lahan.

“Kalau ada rezeki dapatlah ….” Dia mengeluarkan nada suara yang perlahan sambil meletakkan semula cawan ke bawah.

“Saya yakin. Abang mesti dapat. Bertambah senanglah hidup kita ya, bang!” sokong isterinya pula.

“Sudah! Tak usah difikirkan sangat projek tu. Anak-anak kita mana?”

“Semua ada di rumah, bang. Kenapa?”

“Eloklah tu. Suruh dia orang siap. Hah, termasuk awak jugak!”

“Abang ada tempah special dinner ke malam ni?” ucap isterinya sambil mengukir wajah gembira.

“Tak ada special dinner. Kita pergi ke masjid malam ni. Dah lama tak sembahyang jemaah. Tunggu apalagi. Cepat beritahu anak-anak kita. Tepat pukul 7.00 malam kita pergi.” Dia memberikan arahan pada isterinya.

Malam itu dia mengalami mimpi yang sungguh dahsyat. Dia telah ditangkap oleh pihak berkuasa atas dakwaan memberi rasuah. Tapi orang tua itu telah membebaskannya dengan ikat jamin.

“Terima kasih, tuan. Kerana membebaskan saya,” ujarnya.

“Anak tak perlu berterima kasih pada saya. Bersyukurlah pada Tuhan. Telah membukakan pintu hidayat pada anak,” kata orang tua itu dan terus menghilang. Dia lalu tersedar daripada mimpi dan beristighfar. Dia kemudiannya lalu membulatkan tekad untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kegiatan rasuah yang berlaku di antara rakan kongsinya dengan pegawai projek itu.

6

PEJUANG

Perjuangan. Apakah memaksa seseorang itu melupakan tanggungjawab kepada keluarga, isteri dan anak-anak? Perjuangan diwarnai dengan deraian air mata hinggalah ke titisan darah yang penghabisan mengusir penjajah daripada bumi yang bertuah bagi mencapai sebuah impian. Kemerdekaan! Untuk anak cucu cicit hidup bebas daripada belenggu penjajah yang sudah lama bertapak daripada zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Perasaan ini sukar dibendung dalam dirinya umpama gelora di lautan.

Pagi. Bola matahari semakin meninggi di ufuk langit dengan jalur-jalur cahaya kelihatan begitu lurus dengan diiringi kicauan burung-burung memecahkan alam semesta. Angin dari arah pergunungan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon seperti menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran umpama mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa.

Demikianlah Indahnya ciptaan Tuhan untuk makhluknya yang menjadi khalifah di atas bumi ini.

Keheningan pagi tambah diserikan lagi dengan udara yang begitu nyaman berhembus. Kabus memutih yang memayungi permukaan banjaran gunung setiap kali pagi menjelma sudah lama menghilang daripada pandangan mata. Langit tetap membiru dengan gumpalan tebal awan memutih.

Dia melahirkan penuh rasa kesyukuran dengan saujana mata memandang tanah kelahirannya.

Inilah anugerah Tuhan untuk anak bangsa yang bernaung di bawahnya. Tetapi mengapa anak bangsa tidak dapat menikmati kebebasan di tanah tumpah darah sendiri? Persoalan yang hangat menendang-nendang di benaknya.

British. Dia tidak boleh mendengar nama itu. Semangatnya berkobar-kobar seperti api yang panas membakar.

Ini pusaka warisan bangsa datuk nenek moyang kita yang telah diperturunkan sejak dari zaman berzaman lagi. Untuk siapa? Untuk siapa lagi kalau bukan kita. Bukannya untuk British orang asing yang datang menjajah kita di tanah air sendiri. Di sini kita hidup di sini juga kita berani mati! Suara itu bergema dengan sekuat-kuatnya dalam hatinya.

Melalui jendela yang terbuka luas Hussin melontarkan pandangan ke arah banjaran gunung yang di bawahnya terbentang hamparan sawah padi yang menghijau bersama dengan pohon-pohon kelapa. Dia terus melayan fikirannya sambil menarik nafas yang panjang.

Kita tak boleh berdiam diri. Takkan selama-lamanya kita harus begini? Tanah Melayu adalah milik bangsa yang bernama Melayu. Tak seharusnya kita duduk di bawah telunjuk British sehingga nafas yang terakhir. Seberkas pertanyaan yang terus menendang-nendang benaknya tanpa henti.

Angin dari arah pergunungan menembus masuk melalui jendela yang terbuka luas. Segar. Jelas terasa menyapu permukaan kulitnya.

Perjuangan Hussin menentang British sudah lama tersemai sejak dari menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak lagi. Dia rela meninggalkan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) demi tidak mahu melihat nasib bangsa Melayu terus-menerus dalam kemunduran dan ditindas oleh British.

Penjajah British penuh dengan tipu helah. Anak-anak Melayu dari golongan bawahan tidak mendapat pendidikan sepenuhnya. British sebaliknya lebih mengutamakan anak-anak Melayu golongan bangsawan. Mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negeri. Harapan British apabila mereka balik nanti akan menjadi konsul iaitu pegawai dalam tanah jajahan Kerajaan British di Tanah Melayu.

Golongan miskin dibiarkan terus menderita tanpa mendapat pembelaan. Memang ternyata British mempunyai cita-cita untuk terus menjajah orang-orang Melayu. British sengaja membiarkan kadar buta huruf di kalangan anak-anak Melayu meningkat demi memastikan matlamat untuk terus menguasai Tanah Melayu tercapai sepenuhnya tanpa halangan.

Siapa yang menjadi tentera dan polis? Anak-anak Melayu dipaksa menjaga ladang-ladang dan kediaman mereka agar dapat hidup aman dan malam tidur nyenyak. Tak cukup dengan itu anak-anak Melayu dikerah ke hutan untuk menggadai nyawa menentang komunis dan akibatnya ramai yang terkorban. Menjaga keamanan Tanah Melayu. Itulah yang ditanamkan oleh British ke dalam jiwa anak-anak Melayu. Tetapi malangnya gaji yang diterima oleh anak-anak Melayu yang menyertai tentera dan polis adalah amat rendah. Tidak setimpal langsung dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

Anak-anak Melayu tidak diberi peluang untuk menerima pendidikan tinggi. British bimbang apabila mereka cerdik nanti akan bangkit memberontak menuntut kemerdekaan. Sungguh licin fikirannya! Getus Hussin dalam diam.

Keadilan? Di mana letaknya? Jiwa Hussin menjerit-jerit melepaskan marah dan geram. Perjuangan perlu diteruskan sehingga bangsa yang bernama British mengangkat kaki keluar daripada Tanah Melayu bumi yang bertuah ini.

Ranjau yang dihadapinya sewaktu berjuang menentang penjajah British dikutipnya semula. Tak semua rakan-rakannya di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) menyokong perjuangannya untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah British.

“Apa yang kau cakap ni, Hussin? Apa kau dah gila ke?” Musa bersuara. Dia sebaliknya menggelengkan kepala tanda membantah kata-kata yang keluar daripada mulut Musa itu.

“Aku belum lagi gila, Musa. Aku masih lagi waras,” jawab Hussin pula.

Di kalangan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Musa terkenal sebagai seorang bangsawan yang menyokong kuat British. Tambahan pula ayahnya memegang jawatan konsul Melayu yang mengamalkan gaya hidup barat hingga melupakan adat resam Melayu dan jarang bercakap dalam bahasa Melayu. Terlalu mengagung-agungkan British dan sering menyalahkan bangsa sendiri sudah tertanam erat dalam dirinya sejak dari kecil lagi.

“Ini soal bangsa Melayu, Musa,” dia bersuara tenang dengan diiringi semangat yang berkobar-kobar.

Musa pantas mengerutkan mukanya apabila Hussin membangkitkan persoalan itu.

“Kau bercakap tentang bangsa Melayu?” tanya Musa sambil memandang tepat wajahnya.

“Ya! Bangsa kau jugak!” Hussin membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Apa kaitannya dengan aku, Hussin?”

“Dah tiba masanya kita memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.”

“Apa kau kata, Hussin? Memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.” Berdekah-dekah ketawa Musa apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Hussin. Dia jelas menghina aku. Sabar! Luah hati kecilnya menahan kemarahan sambil matanya tajam memperhatikan gelagat Musa itu.

Dalam perjuangan memang banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi.

“Aku nak nasihatkan kau, Hussin,” kata Musa setelah ketawanya reda.

“Aku rasa apa yang aku buat ni tak salah. Bukan untuk aku seorang. Tapi untuk bangsa Melayu termasuk kau.” Dia mempertahankan pendirian dan tak mahu mengalah.

“Hussin …. Hussin …. Kau jangan jadi macam Mat Jenin. Akhirnya mati terjatuh daripada pokok kelapa akibat banyak berangan!” sindir Musa sambil ketawa berdekah-dekah. Dia berasa amat lucu dengan apa yang diperkatakan oleh Hussin itu.

Musa, orang seperti kau tak seharusnya hidup di Tanah Melayu. Aku benar-benar kesal melihat masih ada bangsa sendiri seperti kau yang tidak cintakan tanah air sendiri! Bentaknya dalam diam.

“Aku yakin. British akan terus berkuasa dan tidak akan tunduk pada orang Melayu. Mereka bijak dan banyak membawa perubahan semenjak menguasai Tanah Melayu. Tak usah mimpilah, Hussin. Apa yang kau buat ni sia-sia aje.” Musa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi. Dia benar-benar merasa dicabar oleh Musa. Namun begitu Hussin bukanlah seorang yang cepat mengaku kalah.

“Kau silap, Musa. Aku tidak berangan atau bermimpi. Tapi adalah kenyataan. Bangsa kita merempat di negara sendiri!”

“Aku pelik betullah dengan kau ni. Beritahu aku. Bagaimana caranya orang Melayu boleh menundukkan British?” Dia inginkan penjelasan daripada Hussin.

“British boleh tunduk melalui kesedaran yang tinggi di kalangan orang-orang Melayu.”

“Apa maksud kau? Aku benar-benar tak faham,” ucap Musa pula sambil tertawa kecil.

Kedua-dua bola mata Hussin tidak berkelip-kelip memandang bentuk badan Musa yang kurus melidi, rambutnya keriting serta dipenuhi dengan minyak, bermisai nipis serta berkulit cerah itu.

“Cuba kau lihat betul-betul. Pemikiran bangsa Melayu masih di takuk lama. British hanya tahu menjajah saja,” Hussin bersuara dengan penuh berani pada orang yang pro-British.

Dia kemudiannya tenang menunggu tindakbalas yang akan dilemparkan oleh Musa.

“Kau mesti ingat. Pembaruan tidak akan wujud dalam bangsa Melayu tanpa kehadiran British.” Keangkuhan Musa terserlah seolah-olah dia bukan dilahirkan di Tanah Melayu. Pepatah Melayu yang menyebut di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung sudah dilupakannya terus. Ternyata lekat bertapak di jiwanya pengaruh British malahan sudah sebati menjadi darah daging.

Cara percakapan yang dilemparkan oleh Musa itu tidak putus-putus mengingatkan Hussin akan kehebatan bangsa yang bernama British.

Dengan pantas darah Hussin menyirap. Dia benar-benar terasa tercabar dengan kenyataan yang telah dilemparkan oleh Musa itu yang tak ubah seperti cuba memperbodoh-bodohkannya. Musa menganggap perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British adalah sia-sia saja. Hussin tidak patah semangat. Dia menanamkan tekad untuk mencari kebenaran dan tiada siapa yang dapat menghalang. Dia berkeyakinan tinggi yang impian itu akan tercapai suatu hari nanti. Pasti! Bisik hatinya.

“Aku ada permintaan. Itu pun kalau kau tak keberatan untuk menunaikannya sebagai kawan yang sama-sama menuntut di maktab ini,” pinta Hussin pula.

“Hah, apa dia?” Musa sebaliknya menyoal sambil mendongakkan kepala memandang wajah Hussin.

“Aku mahu diberikan peluang,” dia menjawab.

“Kau nak peluang? Peluang apa?” tanya Musa sambil mengerutkan muka sebagai tanda berasa amat pelik dengan apa yang diperkatakan oleh Hussin itu.

“Aku nak buktikan bahawa segala kata-kata kau itu adalah salah. Orang Melayu akan mencapai kemerdekaan dan boleh mentadbir kerajaan sendiri,” jelas Hussin lagi.

“Oh, begitu!” Musa membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya lantas ketawa berdekah-dekah hinggakan matanya tertutup rapat. Bahunya juga terangkat. Gelagatnya itu membuatkan Hussin berasa amat berang. Namun begitu dia tetap bersabar.

“Musa, kenapa kau ketawa?”

“Aku geli hati.” Tanpa berlengah lagi Musa bersuara. Gaya percakapannya itu tak henti-henti mempersendakan Hussin.

Hussin mendongakkan muka tinggi sedikit memandang wajah Musa.

“Kenapa?” Panas seperti dibakar api rasanya! Menyinga di telinga apabila mendengarnya. Hakikatnya ini bukan satu gurauan. Tapi adalah kenyataan! Tidak boleh dipandang remeh-temeh dalam konsep perjuangan yang sebenarnya. Apakah akar umbinya? Hanya dengan berjuang habis-habisan atau dalam erti kata lain bermati-matian. Ya! Ucap hatinya dengan penuh lantang.

Musa kembali semula menyimpulkan persoalan itu setelah ketawanya reda.

“Kau buat macam mana pun orang Melayu tidak akan dapat mengecapi kemajuan walau sedikit pun.” Pedas sungguh kata-kata Musa itu.

“Maksud kau negeri ini akan selama-lamanya dijajah oleh British?” Dia bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.

“Ya!” Musa mengangguk-anggukkan kepala dengan sikap sombongnya terserlah.

Aku benar-benar kesal dengan kau, Musa. Mengapa kau sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara, hah? Sampai sanggup bertuankan orang putih? Ungkapan yang terbuku dalam jiwanya.

Kau mesti ingat, Musa. Ini negeri kita! Satu-satunya. Tanah Melayu tidak ada dua. Kalau hilang sukar dicari ganti.

Walau apa pun yang terjadi hidup mati kita tetap di sini. Kita harus sama-sama mempertahankan daripada sebarang pencerobohan dan penjajahan. Biarpun nyawa menjadi pertaruhan sekalipun. Tanpa meminta jasa untuk dikenang atau lebih daripada itu mengharapkan sebutir pingat tersemat di dada.

Dia sebaliknya memilih untuk berdiam diri buat seketika. Wajah Musa ditenungnya dengan penuh perasaan marah bercampur geram dengan darah panasnya yang kian mendidih. Sekali lagi dia menahan bersabar. Ini semua adalah dugaan yang perlu dihadapi. Dalam perjuangan memang penuh dengan pelbagai onak dan duri yang menyakitkan.

Musa lalu mengadu kepada Tuan Gordon iaitu pengetua maktab perihal Hussin mengajak pelatih-pelatih menentang British.

“Betul apa yang awak cakap ni, Musa? Perkara ini tak boleh dibiarkan!” katanya dalam nada suara yang tegas.

“Betul, tuan. Ini bukan main-main. Memang merbahaya kalau dia dibiarkan berada di maktab ini. Silap-silap semua pelatih akan terpengaruh dengan dia. Tuan mesti cepat bertindak. Kalau tidak susah nanti.” Dia mengapi-apikan Tuan Gordon.

“Cakap awak memang betul, Musa,” sokong Tuan Gordon pula.

“Lebih baik tuan panggil dia!” dia mencelah pantas.

“Ya! Saya akan panggil dia dan beri kata dua pada dia. Kalau dia berdegil jugak saya tidak akan teragak-agak untuk memecat dia dari maktab ini!” ucap Tuan Gordon dengan mengeluarkan nada suara yang keras sedikit.

“Saya setuju sekali dengan tindakan tuan itu. Sebenarnya saya ada hajat besar yang nak disampaikan pada tuan. Saya harap tuan tidak menghampakan,” Musa membalas.

“Apa dia? Katakanlah. Saya sedia mendengarnya,” ujar Tuan Gordon.

“Saya dah tolong tuan dengan memberitahu rancangan Hussin menghasut pelatih-pelatih di maktab ni untuk melawan British. Jadi, tuan sokonglah saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Apabila balik nanti dapatlah saya menjadi konsul macam ayah saya.” Musa rupanya ada udang di sebalik batu.

“Oh, begitu. Awak jangan bimbang. Saya tidak akan lupa jasa awak. Saya akan sokong awak belajar ke luar negeri,” janji Tuan Gordon pada Musa.

“Terima kasih, tuan. Saya jugak berjanji. Tidak akan menjadi seperti Hussin. Saya akan sokong British,” ikrar Musa pula dengan penuh gembira apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut pengetuanya itu.

“Bagus!” angguk Tuan Gordon.

Keesokan harinya Hussin pun dipanggil oleh Tuan Gordon. Dia tahu mengapa disuruh berjumpa dengan pengetua Mat Salih itu. Dia sedikit pun tidak gentar.

“Hussin! Awak tahu tak apa akibatnya kalau menentang British?” soal Tuan Gordon sambil meninggikan suara.

“Saya tahu, tuan!” dia pantas menjawab.

“Dah tu?” tanya Tuan Gordon lagi.

“Saya berjuang untuk membela bangsa saya. Salah ke?” Hussin membalas dengan berani.

“Memang salah. Saya dapat aduan yang awak mengapi-apikan semua pelatih di maktab ini agar bencikan British. Saya beri awak amaran terakhir. Kalau awak teruskan juga saya akan buang awak dari maktab ini. Faham!” jerkah Tuan Gordon.

“Silakan, tuan. Saya dah fikir masak-masak. Saya tak menyesal keluar dari maktab ini,” kata Hussin.

“Awak jangan cabar saya, Hussin!” Kemarahan Tuan Gordon kian memuncak.

“Memang saya cabar, tuan. Kalau tuan berani lakukanlah sekarang!” Hussin menjawab.

“Baiklah! Saya akan keluarkan surat sekarang jugak. Mulai dari hari ini awak bukan lagi pelatih di maktab ini!” tegas Tuan Gordon.

Selepas dipecat dari Maktab Perguruan Sultan Idris dia lebih banyak menghabiskan masa dengan menulis puisi dan cerpen yang bertemakan perjuangan dan meniupkan semangat untuk menuntut kemerdekaan dalam akhbar Melayu. Tulisannya telah diharamkan dan dia juga pernah ditahan atas dakwaan menghasut pembaca supaya bangkit menentang British. Namun begitu dia telah dibebaskan. Semangat perjuangannya tak pernah padam malah menjadi azimat untuk menyemarakkan lagi cita-cita untuk melihat Tanah Melayu merdeka.

Dia juga pernah dipengaruhi agar menyokong perjuangan komunis menentang British.

“Macam mana, Hussin? Kau setuju tak?” soal Leman.

“Aku tak setuju!” Dia sebaliknya membantah dengan sekeras-kerasnya.

“Komunis ada senjata. Setakat semangat aje mana cukup, Hussin. Dah tiba masanya kita menggunakan kekerasan menghapuskan orang putih,” tambah Leman lagi.

“Aku tak boleh terima perjuangan itu. Bukan setakat orang putih tapi orang Melayu yang tidak berdosa juga menjadi mangsa. Sebagai kawan aku nasihatkan kau marilah kita sama-sama berjuang dengan mengikut jalan yang diredhai Allah. Insya-Allah. Kita akan beroleh kejayaan,” dia membalas.

“Kau menggunakan kelembutan dalam perjuangan. Aku percaya kau tak akan dapat mengalahkan orang putih. Sudahlah, Hussin. Aku tetap memilih komunis dan sama-samalah kita tengok nanti siapa yang akan berjaya.” Leman melemparkan cabaran pada Hussin.

Jauh benar Hussin mengelamun.

Sehingga sampai ke awangan rasanya. Angin dari arah pergunungan bertukar rentak menjadi lembut. Pohon-pohon nyiur kelihatan lemah apabila ditiup angin. Melambai-lambai seperti turut meniup semangat ke dalam dirinya agar terus berjuang menuntut kemerdekaan.

Merdeka!

Hari merdeka. Sudah terlalu lama dia bersabar untuk menanti detik-detik yang bersejarah itu. Dia dan seluruh rakyat Tanah Melayu akan menyaksikan British pulang meninggalkan tanah air yang tercinta ini.

Serentak dengan itu juga bahasa Melayu akan diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bukan bahasa Inggeris yang dibawa oleh British. Rakyat Tanah Melayu tidak akan melihat Bendera Union Jack berkibaran. Nyanyian lagu God Save The Queen juga hilang. Kenyataan! Bukan lagi mimpi. Hussin memandang ke arah Ali dan Sidik yang menjadi rakan seperjuangannya. Mereka mempunyai impian dan cita-cita yang sama. Tak lain tak bukan iaitu kemerdekaan. Bergema dan berkumandang di mana-mana sahaja dan ternyata perjuangan selama ini telah mencapai puncak kejayaan.

Tiba-tiba dia teringatkan Musa dan Leman pada hari yang bersejarah ini. Musa telah menjadi gila kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri akibat ditipu oleh Tuan Gordon manakala Leman pula menyerah diri kepada pihak berkuasa apabila menyedari perjuangannya bersama komunis adalah sia-sia sahaja.

Sayang sekali. Sepatutnya kau berdua bersama-sama dengan aku dan seluruh rakyat Tanah Melayu meraikan hari yang keramat ini walaupun kita tak sehaluan! Cetus hati Hussin.

Dia kemudiannya merenung pula wajah Ali dan Sidik yang kelihatan terpancar ketulusan dan keikhlasan bersama sinar pengharapan. Kawan yang jujur diperlukan dalam perjuangan dan bukannya musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

Ciri-ciri itu ada pada Ali dan Sidik. Moyang Ali pernah berjuang bersama dengan Dato’ Dol Said menentang British di Naning. Manakala datuk Sidik pula pernah berjuang bersama dengan Dato’ Maharajalela menentang British di Perak. Begitu juga dengan Hussin. Ayahnya pernah berjuang bersama dengan Datuk Onn dan orang-orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British selepas Jepun menyerah kalah.

Darah pahlawan mengalir segar ke dalam tubuh Hussin, Ali dan Sidik.

Hussin mengutip semula kisah perjuangan pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan dan lain-lain lagi. Mereka telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi menghalau penjajah dan musuh yang cuba menodai tanah air yang bertuah ini. Kini mereka semua telah tiada. Jasa dan pengorbanan mereka sewajarnyalah dikenang bersama semangat yang ditinggalkan harus hidup subur dalam jiwa generasi hari ini untuk meneruskan perjuangan yang tidak akan ada penghujungnya.

Dia lalu mengatur langkah lima tapak ke arah Ali dan Sidik kemudian dengan perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang yang kelihatan agak usang itu.

Hussin pantas menghela nafas panjang sambil memandang wajah kedua-dua rakan seperjuangannya dengan penuh rasa gembira di atas kemenangan yang telah dicapai. Di luar desiran angin mengalunkan irama gemersik sekali.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” pekik Hussin, Ali dan Sidik.

7

TABAH SEORANG ISTERI

Pagi. Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit bola matahari kian meninggi memancarkan cahayanya ke seluruh alam. Laut tenang membiru. Desiran suara ombak jelas kedengaran menghempas pantai. Berbuih-buih memutih berapungan membasuh butiran pasir dan batu-batu halus di gigian.

Bayu dari arah laut bertiup perlahan. Terasa nyaman dan dingin membelah suasana. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai bagai menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran mengeluarkan irama nan merdu menusuk jiwa.

Kicauan sang camar putih yang bebas berterbangan berpasangan ke sana sini mencari sarang untuk berteduh menyerikan lagi kesegaran suasana alam sekitar.

Sinar cahaya matahari membangkitkan kilauan pasir putih berseri. Laksana mutiara di dasar lautan. Dengan renungan yang tajam Samad melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru. Kehidupan juga seperti laut. Pasang surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Dia pernah mendengar ungkapan apa yang dilalui pada hari ini dan esok tanpa mengira menggembirakan atau tidak adalah pengalaman yang paling berguna dalam hidup ini. Pengalaman adalah guru segala-galanya yang mengajar erti kehidupan sebenar. Dari mana datangnya ungkapan macam intan berlian ini? Terlalu mahal harganya untuk dibeli. Jawapannya dia tidak tahu.

“Aku pelik betul dengan kau ni, Samad,” kata Osman.

“Pelik apa pulak, Man?” dia sebaliknya menjawab.

“Yalah. Kerja dah berpuluh tahun. Pangkat tak naik-naik jugak,” ucap Osman pula.

“Apa nak buat, Man. Rezeki aku belum sampai lagi,” Samad membalas dalam nada suara yang lembut dan tenang.

“Betul. Tapi sampai bila kau nak bersabar. Cuba kau tengok Khalid. Dia kemudian masuk kerja daripada kau. Dah naik pangkat. Encik Johan ni tak layak jadi ketua,” tambah Osman.

“Kenapa pulak Encik Johan dikaitkan dalam hal ini?” soalnya dalam wajah berpura-pura tetapi cukup mengerti dengan maksud Osman rakan sekerjanya itu.

“Apa tidaknya. Mana adil macam ni. Orang yang dah lama kerja dia tak nak naikkan. Tapi orang yang baru kerja pulak yang dia pilih. Kau tak sakit hati ke?” Dia mengapi-apikan Samad.

“Biarlah, Man. Sebagai ketua dia lebih arif dalam hal ini. Mungkin ada sebab aku tak dinaikkan pangkat,” ujarnya sambil tersenyum kecil.

“Salah jawapan kau tu, Samad. Aku tak boleh terima,” Osman membantah.

“Sebabnya?” tanya Samad sambil meninggikan kepala sedikit memandang Osman yang bermuka bulat bujur sirih dan berkulit cerah.

“Kau kerja bagus. Memang layak dinaikkan pangkat. Berbanding dengan Khalid budak mentah. Dia pun belajar daripada kau. Entahlah. Aku sendiri pun tak fahamlah dengan Encik Johan ni …!” keluh Osman pula.

“Tak apalah, Man. Sekurang-kurangnya aku tumpang merasa bangga,” dia menjawab. Osman sebaliknya berasa sungguh terkejut apabila mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Samad itu.

“Bangga kata kau. Susah payah kau mendidik dia dalam kerja sekarang dia senang-senang pulak mengarah kau. Itu kau boleh terima ke? Kau dengan Encik Johan sama ajelah. Tak faham aku?” Dia menggeleng-gelengkan kepala.

Samad memandang desiran ombak yang setia menghempas pantai sambil memeluk tubuh. Jauh benar fikirannya melayang. Bayu laut yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Dia berpegang kepada prinsip sekali dia jatuh cinta selama-lamanya dia akan jatuh cinta. Sebagai khalifah yang hidup di dunia ini dia telah diamanahkan oleh Allah SWT dengan menganggap kerja itu adalah satu ibadah dan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh selagi masih bernafas dengan ditemani mentari di siang hari dan rembulan di malam hari.

Pada satu pagi setibanya di pejabat dia telah dipanggil oleh Encik Johan. Tentu ada perkara mustahak yang hendak dibincangkan berkenaan dengan hal syarikat. Bisik hati kecilnya.

“Saya benar-benar perlukan pertolongan awak, Samad,” kata Encik Johan.

“Apa dia, Encik Johan?” dia menyoal ketuanya.

“Projek perumahan Taman Mewah saya akan serahkan kepada awak untuk uruskannya.”

“Setahu saya projek perumahan tu Encik Johan dah serahkan pada Encik Khalid untuk uruskan. Nanti apa pulak kata dia?”

“Betul. Tapi pengalaman awak diperlukan. Dia belum mencapai apa yang saya mahukan dalam dunia perniagaan. Selalu mengambil tindakan lambat. Projek ni dah terbengkalai hampir dua minggu. Kita juga yang rugi nanti. Awaklah yang saya harapkan untuk menyelesaikan masalah ini.”

“Baiklah, Encik Johan. Saya akan pastikan projek ini berjalan semula dan syarikat tidak mengalami kerugian.”

Ternyata harapan yang disandarkan oleh Encik Johan padanya tidak sia-sia. Projek perumahan Taman Mewah yang terbengkalai berjalan semula dan siap sepenuhnya. Orang yang paling gembira tak lain tak bukan Encik Johan selaku Pengurus Syarikat Gemilang Sdn. Bhd. Bagi dia Samad adalah penyelamat syarikat dan berjanji akan memberikan kenaikan pangkat. Sebaliknya bagi dia bukan itu yang diharapkan tapi yang penting ialah kepuasan apabila kerja yang diberikan berjaya dilaksanakan.

Namun begitu ada juga yang tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukannya itu. Mungkin sudah menjadi lumrah hidup manusia. Ada ketikanya sesuatu kebaikan yang dilakukan itu tidak akan diterima berbanding dengan keburukan yang amat mudah diterima.

“Masa senang dia lupakan kau. Masa susah baru dia cari kau. Apa gunanya dia naikkan pangkat Khalid. Masalah macam tu pun dia suruh kau selesaikan. Dah terang-terang. Kau masih jugak nak tolong Encik Johan yang tidak mengenang budi tu!” tingkah Osman dengan panjang lebar dan sekeras-kerasnya.

“Tak baik kau cakap macam tu, Man. Encik Johan tu kan ke ketua kita. Apa yang dia suruh kita kenalah buat,” dia menjawab lembut.

“Itulah kau terlalu lurus dan lembut sangat. Dia silap orang. Kalau aku mati hidup balik aku tak akan tolong dia.”

“Aku tak bersetuju dengan cara kau tu. Bangun jatuh syarikat adalah di tangan kita sebagai pekerja. Takkan kita nak biarkan syarikat gulung tikar,” nasihat Samad.

“Apalah singkat sangat pemikiran kau ni, Samad. Banyak lagi syarikat yang kita boleh kerja!” kata Osman dengan penuh bongkak sambil mengangkat kepala tinggi.

“Jangan cakap besar, Man. Dalam keadaan ekonomi sekarang ada ke syarikat yang nak terima kita bekerja. Kita seharusnya bersyukur bekerja dengan syarikat yang stabil seperti Gemilang.”

“Kau memang macam tu. Tak ada yang salahnya dengan syarikat. Oh ya! Baru aku teringat. Aku dengar Encik Johan nak naikkan pangkat kau. Maklumlah kau dah berjasa besar dengan syarikat. Betul ke?” ujar Osman sambil mengukir senyuman kecil tapi penuh dengan makna memandang wajah Samad.

“Insya-Allah, Man. Kalau ada rezeki. Mana kau tahu semua ini?”

“Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tapi sebagai seorang kawan aku nasihatkan kau lebih baik lupakan sahaja perkara tu. Encik Johan tu hanya pandai berjanji sahaja. Tapi habuk pun tak ada.”

Perbualan mereka yang rancak tiba-tiba terhenti buat seketika. Pelayan muncul sambil membawa makanan dan minuman yang dipesan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Samad memesan nasi goreng kampung dan teh ‘o’ ais limau manakala Osman pula memesan mi goreng dan Nescafe ais.

“Terima kasih!” Samad bersuara sambil melihat wajah pelayan yang berusia dalam lingkungan awal 20-an itu.

“Sama-sama!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan kemudiannya pantas berlalu pergi dari situ.

“Dahlah, Man. Mari kita makan. Hari ni aku belanja kau,” ajak Samad.

Dia menarik nafas panjang sambil terus merenung laut membiru ciptaan Tuhan Yang Esa untuk makhluknya yang hidup di atas muka bumi ini. Cuaca masih lagi cerah dengan gumpalan awan tebal memutih dan langit membiru. Tiada sedikit pun tanda-tanda hujan akan turun. Bahang matahari kian terasa panas memijar apabila menyapu permukaan kulit. Sekali-sekala terasa kesegaran diusap bayu laut yang bertiup kencang.

Samad memang seorang yang penyabar dan tekun dalam menjalankan tugas. Dia tidak pernah merungut dengan kerja yang diberikan. Sentiasa datang cepat dan pulang lewat. Adakalanya hari cuti pun dia bekerja. Dia akan berasa gelisah yang amat sangat dan tidak tenteram apabila kerja tidak selesai.

Kerja yang tertangguh tidak ada dalam kamus dirinya sebagai insan yang mencari rezeki di Syarikat Gemilang. Baginya kerja hari ini tanpa mengira mudah atau susah perlu diselesaikan hari ini jugak. Takut esok datang kerja lain yang memerlukan tindakan segera. Dalam soal kerja Samad akur bahawa sentiasa bertambah pada setiap hari dan tiada kesudahannya sehingga meninggalkan syarikat yang sudah hampir 15 tahun menjadi darah dagingnya.

Dalam soal tuntutan perjalanan dan kerja lebih masa yang diberikan oleh syarikat dia bersikap jujur. Pantang bagi dia membuat tuntutan palsu semata-mata untuk mendapat kemewahan dalam hidup biarpun adaketikanya sama seperti orang lain yang kesempitan wang dalam hidup hari ini. Memang benar sebagai pekerja Samad memang mempunyai hak untuk membuat tuntutan lebih masa setelah berhempas pulas bekerja dari pagi sehingga ke larut malam. Tapi dia tetap akur bahawa pekerja lain di Syarikat Gemilang juga mempunyai hak seperti dia dan membazirkan wang syarikat dengan jalan yang tidak betul adalah sesuatu yang harus dijauhi.

Rezeki yang halal dituntut oleh Allah SWT untuk keberkatan hidup sekeluarga dan rezeki yang haram adalah kemungkaran yang harus ditegah.

“Buat apalah abang susah-susahkan diri bekerja sampai malam. Pangkat tak jugak naik,” tegur isterinya.

“Sabarlah, Mah. Allah SWT tu maha kaya dan maha adil. Kalau tak ada rezeki abang pun mungkin ada rezeki anak-anak kita,” jawabnya.

“Abang ni lain takde. Pikir kerja-kerja. Abang mesti ingat. Abang tu ketua keluarga. Kenalah luangkan masa dengan saya dan anak-anak. Dah lama abang tak bawa saya dan anak-anak berkelah di hujung minggu. Dulu selalu jugak. Sekarang dah tak ada masa pulak. Asyik di pejabat saja. Entah-entah abang ada perempuan lain tak,” rungut isterinya.

“Mah …. Jangan buat andaian begitu. Tak baik. Hanya Mahlah satu-satunya isteri abang sehingga ke akhir hayat. Baiklah. Abang minta maaf. Abang akui telah mengabaikan Mah dan anak-anak kerana gila kerja. Abang berjanji. Hari minggu ni abang akan bawa Mah dan anak-anak berkelah …,” dia memujuk lembut isterinya.

“Mah minta maaf, bang. Sebagai seorang isteri Mah tak seharusnya bersangka begitu terhadap abang. Mah percaya. Abang seorang suami yang baik dan jujur.”

“Abang faham perasaan Mah sebagai seorang isteri. Perlukan belaian kasih sayang bersama dengan anak-anak. Percayalah, Mah. Abang akan berikan tumpuan dengan seadil-adilnya di antara keluarga dan kerja.”

“Oh ya! Asyik bercakap ni terlupa pulak. Abang dah makan ke belum?” soal isterinya.

“Belum. Mah masak apa malam ini?” tanya Samad pula.

“Gulai ikan bawal masak lemak cili api kesukaan abang,” isterinya menjawab.

“Sedap tu. Abang mandi dulu dan solat. Tak sabar rasanya nak rasa masakan Mah,” kata Samad sambil mengukir senyuman kecil dan merenung tepat wajah isterinya.

“Baiklah, bang. Saya siapkan makanan!” ucap isterinya pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Samad terus melemparkan pandangan yang penuh dengan pengharapan ke arah laut membiru dan desiran ombak. Angin yang datang dari arah laut mengalunkan irama merdu membelai suasana dengan diiringi gemersik pohon-pohon dan dedaunan hijau. Sinar cahaya matahari di kaki langit yang menyinari alam turut merestukan dunia pengembaraannya sebagai seorang pekerja yang taat dan patuh yang melaksanakan tugas yang diberikannya.

Jauh sekali di sudut hati Samad untuk mengubah dunianya sebagai pekerja walaupun adakalanya diwarnai dengan tekanan dianggap sebagai hamba syarikat kepunyaan Encik Johan dan tidak mendapat ganjaran yang setimpal. Buat baik pun orang mengata apatah lagi buat tak baik. Itu sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia dan dia nekad untuk membuangnya jauh-jauh.

Dia menanamkan semangat dan ketabahan diri bahawa bekerja kuat bukan sahaja untuk kesenangan keluarga malahan juga bagi pembangunan negara dalam mengharungi dunia yang mencabar pada hari ini. Setelah menemui jawapan yang pasti itu Samad pun berlalu pergi meninggalkan pantai bersama dengan desiran ombak yang setia.

8

MENARA GADING

Pagi disinari dengan sang suria yang kelihatan memancar terang. Di kaki langit yang membiru bola matahari sudah lama meninggi. Seluruh alam semesta diwarnai jalur-jalur cahaya yang kelihatan lurus. Bersama iringan gumpalan awan tebal yang memutih. Langit jelas nampak terang dan bersih. Dengan langkah perlahan-lahan Maizan lalu menghampiri jendela dan mengalihkan pandangan ke arah luar. Dia menoleh sekejap ke kanan dan kiri. Di pandangan matanya jelas kelihatan tersergam bangunan-bangunan yang menempatkan bilik-bilik kuliah dan asrama pelajar.

Melalui jendela kaca yang terbuka luas angin menyusup masuk. Segar dan dingin mengusapi permukaan kulit. Umpama air terjun di pinggir kali. Mencairkan sedikit kehangatan bahang matahari yang terasa. Sudah lama hujan tidak turun. Maizan kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke bawah pula. Pohon-pohon yang menghijau bergoyangan seperti menari-nari inang. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun hijau yang bergeseran di antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Manakala daun-daun kering yang berwarna perang sehelai-sehelai berguguran di atas tanah.

“Apa awak kata? Maizan nak ambil periksa lagi?” kata ayahnya dengan penuh rasa terperanjat sambil mengangkat muka tinggi memandang ibunya.

“Ya, bang. Eloklah tu. Dia tetap nak teruskan cita-cita masuk ke universiti. Walaupun dah tiga kali gagal dalam peperiksaan,” tambah ibunya pula.

“Tak usah mimpilah masuk ke universiti. Tiga kali ambil peperiksaan tak lulus-lulus juga. Buang masa aje. Suruh dia cari kerja lagi baik,” ayahnya membalas.

“Abang. Sepatutnya abang sebagai seorang ayah harus merasa bangga. Mempunyai seorang anak macam Maizan. Bersemangat tinggi untuk belajar lagi.” Ibunya memberikan sokongan.

“Apa awak kata? Bangga? Maizan tu memang bengap dalam pelajaran. Awak tengok Minhat abang dia. Sekali aje ambil periksa. Terus lulus dan masuk universiti. Sekarang dah tahun akhir. Tak lama lagi jadi pegawai tinggilah dia. Itulah anak saya. Tapi kalau asyik bayar yuran peperiksaan dan hantar ke kelas tambahan tapi masih gagal jugak buat apa. Bukan ke membazir namanya!” Ayahnya melontarkan kata-kata yang pedih.

“Tak baik abang cakap macam tu. Mentang-mentanglah Minhat tu pandai abang sayang pada dia. Walau macam mana buruk pun Maizan tu tetap anak kita, bang,” ucap ibunya pula. Perbualan mereka yang rancak tiba-tiba terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit ayahnya.

“Siapa pulak ni? Minhat rupanya.” Ibu jari tangan kanan ayahnya pantas memicit telefon bimbit untuk menjawab panggilan dan melekapkan di telinga.

“Assalamualaikum ayah,” Minhat memberi salam.

“Waalaikumsalam,” ayahnya menjawab sambil tersenyum apabila mendengar suara anak kesayangannya itu.

“Ayah apa khabar?” soalnya.

“Alhamdulillah. Minhat dah lama tak balik. Kenapa?” balas ayahnya pula.

“Minhat bukannya tak nak balik, ayah. Tapi Minhat sibuk sekarang ni. Tak lama lagi peperiksaan akhir. Kenalah belajar. Kalau tak macam mana nak dapat keputusan cemerlang seperti yang ayah nak,” katanya.

“Ya ke. Baguslah macam tu. Anak ayah la katakan.” Ayahnya menjeling megah ke arah ibunya yang hanya berdiam diri sahaja.

“Ayah. Minhat telefon ni ada hal penting,” ujarnya.

“Apahalnya, Minhat? Cakaplah?” ayahnya pantas mencelah.

“Minhat nak duit belanjalah, ayah.”

“Berapa?”

“RM 500.00. Boleh tak ayah masukkan duit tu hari ni jugak. Minhat betul-betul dah tak ada duit belanja ni.”

“Boleh. Sekarang jugak ayah pergi masukkan.”

“Terima kasih, ayah. Baiklah. Nanti Minhat telefon balik. Kirim salam kat mak, ya.”

“Yalah.” Ayahnya kemudian lalu melepaskan telefon bimbit dari telinga dan menutup butang panggilan yang diterima. Dia kemudiannya bingkas bangun.

“Minhat kirim salam,” ayahnya bersuara sambil memandang tepat wajah ibunya.

“Waalaikumsalam. Dia minta duit lagi ke?” Ibunya sebaliknya menyoal sambil menganggukkan kepala.

“Yalah!” balas ayahnya pendek.

“Kan baru aje abang bagi duit. Tak cukup lagi ke?”

“Duit dia dah habis. Kenalah bagi. Sudahlah. Awak jangan banyak tanya. Saya pergi dulu.”

Ibunya memerhatikan sahaja ayahnya berlalu pergi dari ruang tamu dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian. Sementara itu keriangan jelas terpancar di wajah Minhat setelah menelefon ayahnya.

“Macam mana, Minhat? Tentu dapatkan. Senyum aje aku tengok kau,” kata Ghani.

“Mesti dapat punya. Ayah aku tu kalau ayat baik mesti dia kasi punya,” Minhat menambah.

“Enjoylah kita nampaknya!” sahut Ghani pula.

“Duit banyak. Apalagi. Buat apa kita nak fikir tentang peperiksaan tu. Hidup ni mesti gembira. Betul tak?” Minhat memeluk erat bahu Ghani.

“Betul. Tapi malam ni jangan lupa. Kita rempit. Kalau menang kayalah kita,” ingat Ghani pada rakannya itu.

“Kau jangan bimbang, Ghani. Malam ni kita akan menang lagi. Aku belanja kau dan kawan-kawan,” janjinya.

“Siapa tak kenal Minhat. Jaguh rempit. Tak siapa yang boleh kalahkan,” ampu Ghani pula. Mereka lantas ketawa terbahak-bahak. Maizan sedar siapa dirinya yang sebenar. Namun begitu dia tetap nekad untuk mengambil peperiksaan lagi. Kalau abangnya dan orang lain boleh masuk universiti kenapa dia tidak boleh.

“Kau nak duit bayar yuran peperiksaan?” Ayahnya mengeluarkan nada suara yang tinggi.

“Ya, ayah ….!” Maizan menjawab sambil mengangguk perlahan.

“Jangan nak berangan la, Maizan. Kau memang tak boleh masuk universiti. Lembap. Sejak dari sekolah rendah lagi. Buat malu aku aje ada anak macam kau ni,” rungut ayahnya sambil memandang penuh benci.

“Sudahlah tu, bang. Bagi ajelah dia duit untuk bayar yuran peperiksaan. Mudah-mudahan kali ni dia lulus,” pujuk ibunya.

“Awak selalu sebelahkan dia. Masuk ni dah empat kali ambil peperiksaan. Takkan lulus. Percayalah cakap saya. Lebih baik lupakan sahaja hasrat untuk masuk universiti. Dia ni layak jadi kakitangan bawahan aje dan bukannya pegawai tinggi. Faham tak?” Ayahnya tak henti-henti merendahkan dirinya. Maizan sebaliknya hanya tunduk diam apabila mendengar kata-kata pedih yang dilemparkan oleh ayahnya itu. Seperti ditikam sembilu rasanya.

“Kalau ayah tak nak bagi duit …. Tak apalah …. Biar saya cari sendiri untuk bayar yuran peperiksaan ….” Dia mengalah dengan mengeluarkan nada suara yang lemah dan kemudian bingkas bangun berlalu pergi dari situ.

“Maizan …! Maizan …! Nanti dulu …!” tahan ibunya. Dia berhenti seketika apabila mendengar suara ibunya itu.

“Tak mengapa, mak. Maizan akan cari kerja untuk dapatkan duit bayar yuran peperiksaan. Cuma satu sahaja Maizan minta pada ayah dan mak. Doakanlah agar Maizan berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu nanti,” katanya dan meneruskan langkah menuju ke luar rumah membawa perasaan yang hampa. Namun begitu dia tetap bersabar. Dia menganggap semuanya sebagai cabaran dan menguatkan semangat untuk mencapai kejayaan.

“Abang tengoklah tu. Kecil hati dia. Abang ni memang tidak adil. Kalau Minhat minta semua dapat. Tapi kalau Maizan minta jauh panggang dari api abang nak beri,” tingkah ibunya sebaik-baik sahaja kelibat Maizan hilang daripada pandangan mata.

“Sudah. Awak jangan nak mengajar saya. Sebagai seorang ayah saya tahu apa yang nak buat pada anak-anak saya. Dah berapa kali saya cakap. Tapi awak ni masih tak faham-faham jugak. Minhat tu anak harapan saya. Maizan? Huh ….!” rengus ayahnya dengan panjang lebar dan bingkas bangun dari kerusi sofa yang berwarna biru air laut itu. Ibunya hanya diam dan memerhatikan sahaja ayahnya beredar dari situ menuju ke bilik.

Jauh benar dia mengelamun. Hari ini tidak ada kuliah. Arshad rakan sebiliknya awal-awal lagi sudah keluar. Katanya ke rumah kakak di Taman Keramat. Dia terus melemparkan pandangan jauh ke arah bangunan-bangunan batu sambil menarik nafas yang panjang. Entah mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja segala susah payah dan jerih-perih yang dilaluinya sebelum mencapai puncak menara gading segar bermain di ingatannya.

Dia terpaksa bekerja sebagai pelayan restoran milik Pak Hassan untuk mendapatkan duit bagi membayar yuran peperiksaan dan kelas tambahan. Bekerja dari pagi hingga ke petang. Malam pula dia menghadiri kelas malam. Kalau tidak bekerja dia akan menghabiskan masa dengan membaca buku atau belajar secara kumpulan. Sewaktu di kelas tambahan dia dan rakan-rakan dibimbing oleh Cikgu Firdaus.

“Bagus, Maizan. Saya dapati semua latihan yang diberi awak dapat jawab dengan baik. Bahkan awak seorang saja yang mendapat markah yang tinggi. Saya harap awak kekalkan prestasi ini. Saya yakin awak pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.” Cikgu Firdaus menghamburkan kata-kata pujian kepada Maizan.

“Insya-Allah, cikgu. Semuanya ini pun adalah hasil daripada bimbingan dan tunjuk ajar daripada cikgu jugak. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan memastikan cita-cita saya untuk masuk universiti bukan sekadar mimpi semata-mata,” ikrar Maizan pula. Sementara itu Minhat telah dipanggil oleh pensyarah.

“Awak tahu kenapa saya nak jumpa awak?” soal Encik Aziz. Nada suaranya tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh bilik. Kesejukan jelas terasa menyapu permukaan kulit.

“Ada apa, Encik Aziz?” Minhat membalas sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip sedikit pun memandang Encik Aziz yang segak memakai tali leher berwarna hijau muda dan berkemeja lengan panjang berwarna merah hati.

“Apa nak jadi dengan awak ni? Sekarang dah tahun akhir. Pelajaran awak merosot teruk. Macam mana nak dapat ijazah macam ni?” jelas Encik Aziz pula.

“Saya tahu, Encik Aziz …. Saya bukannya tak belajar …. Tapi …,” dia sebaliknya menjawab dengan teragak-agak.

“Tapi apa? Kalau awak belajar tentu dapat keputusan yang cemerlang dalam setiap semester. Ini tidak. Saya dapat berita yang awak terlibat dengan gejala rempit. Awak mesti ingat, Minhat. Awak tu seorang mahasiswa. Sepatutnya menumpukan sepenuh masa pada pelajaran dan bukannya terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Saya harap mulai dari hari ini awak berubah,” nasihat Encik Aziz dengan panjang lebar. Minhat sebaliknya hanya mampu tunduk diam tanpa bersuara.

Hari peperiksaan pun tiba. Dengan langkah yang tenang dan semangat yang berkobar-kobar seperti api membakar Maizan menduduki peperiksaan. Lain pula halnya dengan Minhat. Dia tetap tidak berubah. Nasihat yang diberikan oleh Encik Aziz kepadanya ibarat kata pepatah mencurah air di daun keladi sahaja. Dia asyik berfoya-foya dan merempit. Dalam erti kata lain leka dengan keseronokan dunia dalam usia yang masih muda.

Beberapa kemudian peperiksaan pun diumumkan. Ternyata segala pengorbanan dan kegigihan Maizan selama ini tidak sia-sia. Dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Doa kesyukuran dan linangan air mata gembira mengiringi kejayaannya.

“Tahniah, Maizan. Berkat kesabaran dan ketekunan awak akhirnya awak berjaya juga. Saya bangga. Punya pelajar macam awak. Tak pernah putus asa dalam memburu cita-cita masuk ke universiti,” ujar Cikgu Firdaus sambil bersalaman erat dengan Maizan.

“Alhamdulillah, cikgu. Saya terhutang budi dengan cikgu. Terima kasih. Di atas segala dorongan dan tunjuk ajar selama ini sehingga membawa kejayaan kepada saya,” Maizan berkata.

“Saya tidak mengharapkan sebarang pujian mahupun ganjaran. Cukuplah dengan berkongsi rasa gembira melihat awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Tugas saya sebagai seorang pendidik ialah memastikan insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” tambah Cikgu Firdaus pula yang berusia dalam lingkungan lewat 30-an. Minhat pula gagal mendapatkan segulung ijazah. Dia juga ditangkap sebaik-baik sahaja selesai menduduki peperiksaan universiti dalam operasi mencegah lumba haram.

“Maafkan ayah, Maizan …. Selama ini ayah memandang rendah pada kau …. Minhat yang ayah harapkan …. Rupa-rupanya ….” Suara ayahnya terputus-putus dan terhenti.

“Sudahlah tu, ayah. Yang lepas tu lepaslah. Ayah dan mak seharusnya berbangga. Maizan lulus dengan cemerlang dan masuk universiti. Ayah percayalah. Apa yang ayah buat selama ini Maizan tak pernah ambil hati. Malahan Maizan jadikannya sebagai cabaran untuk berjaya. Terima kasih ayah, mak.” Dia mencium tangan ayah dan ibunya.

“Betul kata Maizan tu, bang. Dahlah. Macam mana baik dan buruknya Minhat dan Maizan mereka tetap anak kita,” ibunya mencelah. Ayahnya memandang wajah Maizan dengan rasa penuh kasih sayang.

“Maizan …!” Ayahnya terus memeluk erat Maizan sambil menangis.

“Ayah …!” Maizan turut memeluk ayahnya kuat. Tanpa disedari titis-titis air mata menitis membasahi pipinya sambil disaksikan oleh ibunya yang kelihatan menangis sama.

Dengan renungan yang tajam sambil memeluk erat tubuh dia melontarkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bangunan-bangunan batu yang jelas di pandangan mata. Kemudian perlahan-lahan dia menarik nafas panjang dan mengatur langkah berlalu pergi dari jendela kaca yang mengingatkan pada kisah silam yang dilaluinya. Esok adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup Maizan. Dia akan naik ke pentas untuk menerima ijazah dan hadiah sebagai pelajar cemerlang.

9

PERMATA

Keheningan pagi diwarnai dengan cuaca cerah. Bola matahari kelihatan kian meninggi di kaki langit. Sinarnya memancar terang-benderang ke seluruh alam. Bersama tompok awan putih dan biru. Kicauan unggas riang bernyanyi-nyanyi dengan penuh keriangan jelas kedengaran memecah kesenyapan.

Angin dari arah bukit bertiup perlahan. Pokok nangka, jambu, manggis, kelapa dan lain-lain lagi di luar halaman rumah meliuk-liuk ke kanan dan kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Sekali-sekala angin yang berhembus terbabas lalu menyapu permukaan kulit Adnan yang lembut. Kegelisahan. Benar-benar terasa membelit dirinya di kala ini.

Kemanusiaan, kedamaian, ketenangan dan keamanan yang selama ini dimiliki telah hilang. Hati kecil Adnan berbisik.

Dengan langkah perlahan-lahan Adnan menuju ke jendela yang terbuka luas. Dia melontarkan pandangan jauh di balik bukit-bukau subur yang menghijau.

“Orang kaya dari bandar tu nak buat pembangunan di kampung ni. Minggu lepas dia ada buat perjumpaan dengan orang-orang kampung. Katanya orang-orang kampung akan dipindahkan ke tempat yang baru …,” Pak Sudin bersuara lemah dan tak bermaya. Nada suara yang dikeluarkannya itu jelas menagih simpati daripada anaknya yang masih lagi belajar di universiti dalam tahun akhir.

Adnan pantas mengalihkan pandangannya ke arah ayahnya yang telah tua itu. Rambut dipenuhi uban dan kedut jelas kelihatan pada kulitnya. Pak Sudin terbatuk-batuk kecil sambil menghisap rokok daun. Adnan kemudiannya perlahan-lahan beredar dari jendela dan melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang duduk berhadapan dengan ayah dan ibunya.

“Bila dia suruh kita pindah, bang?” sampuk Mak Bedah tiba-tiba sambil memandang tepat wajah suaminya. Pak Sudin sebaliknya hanya tunduk menggeleng-gelengkan kepala dan menyedut rokok daun. Asap memutih kelihatan berkepul-kepul naik ke atas.

“Tak tahulah. Tapi dia kata siap aje rumah di tempat baru tu nanti barulah orang-orang kampung pindah,” Pak Sudin menjawab.

“Tempat baru tu kat mana, ayah?” soal Adnan pula.

“Katanya dekat dengan kawasan bandar,” balas Pak Sudin.

“Dia nak bangunkan apa di kampung ni, ayah?” tanya Adnan lagi dengan penuh minat sambil mengangkat kepala tinggi sedikit melihat wajah ayahnya.

“Nak buat kawasan pelancongan,” ucap Pak Sudin yang duduk bersela. Dia kemudiannya lalu menyucuhkan puntung rokok daun ke dalam bekas yang dibuat daripada tempurung kelapa. Air kopi ‘o’ yang suam itu pantas diteguknya habis.

“Orang kampung semua dah setuju ke pindah, bang?” Mak Bedah yang duduk di sebelah Pak Sudin lalu mencelah.

“Ini yang timbul masalah sekarang ni. Orang kampung dah pecah dua. Ada yang setuju pindah dan ada yang berkeras tidak mahu pindah,” jelas Pak Sudin.

“Sampai begitu sekali, ayah!” Adnan berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ayahnya itu.

“Kampung ni dah tak macam dulu lagi, Adnan. Sejak orang kaya dari bandar tu datang nak buat pembangunan di kampung ni …,” Pak Sudin menunjukkan rasa kecewa dan hampa dengan mengeluarkan nada suara yang lemah.

“Kita tak boleh berdiam diri, ayah. Kita mesti bersatu semula. Walau apa pun yang terjadi kita tak akan pindah. Kita akan tinggal di kampung ini sehingga ke akhir hayat!” ujar Adnan dengan penuh semangat.

“Kau nak buat apa, Adnan?” Mak Bedah menambah pula.

“Saya nak kumpulkan semua orang kampung. Kita mesti tentang habis-habisan orang kaya dari bandar tu daripada mengambil milik yang telah kita pusakai dari datuk nenek moyang kita dulu yang telah bersusah payah meneroka kampung ni. Kita sebagai anak cucu dan cicit mesti mempertahankannya menyerahkan kepada orang kaya dari bandar tu namanya tidak sekali-kali!” Semangat Adnan semakin berkobar-kobar seperti seorang pejuang tanah air menentang penjajah.

Perbualan rancak Pak Sudin, Mak Bedah dan Adnan lantas terhenti. Kedengaran suara Bilal Usop melaungkan azan Asar dari surau yang tidak jauh dari rumah mereka.

“Waktu asar pun dah masuk. Adnan marilah kita ke surau,” ajak Pak Sudin sambil bingkas bangun.

“Yalah, ayah!” angguk Adnan pula.

Selepas menunaikan solat Asar Pak Sudin, Tok Ketua, Tok Imam dan Adnan tidak pulang ke rumah. Mereka duduk di surau sambil berbual-bual.

“Berapa lama kau cuti, Adnan?” soal Tok Ketua yang berketayap putih, berbaju Melayu biru air laut dan berkain pelekat.

Di luar angin bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon hijau bagai menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Sekejap meliuk ke kiri dan sekejap meliuk ke kanan. Dedaunan yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa bersama ketenangan dan kedamaian desa permai. Cuaca yang dari awal pagi kelihatan cerah telah bertukar menjadi redup.

“Tiga bulan, tok,” dia sebaliknya menjawab pendek pertanyaan yang diajukan oleh Tok Ketua itu.

“Apa kau buat masa cuti ni?” Tok Imam mencelah.

“Membantu ayah mengerjakan kebun. Tok Imam saya minta maaf kalau bertanya. Kenapa orang kampung tak ramai sembahyang jemaah di surau? Selalunya saya tengok penuh surau ni,” kata Adnan.

“Inilah yang menjadi masalah kampung ni sekarang. Berpecah belah. Tak lagi hidup bersatu padu sepertimana yang dituntut dalam agama,” jelas Pak Imam pula.

“Semuanya ini berpunca daripada orang kaya dari bandar tu, kan? Demi kekayaan dan kepentingan diri sendiri kita berpecah belah dan diusir,” Adnan cepat menambah.

“Memang betul kata kau, Adnan. Tok sebagai ketua merasa sangat sedih apabila melihat perkara ini berlaku. Kampung ni dah tak macam dulu lagi …,” sokong Tok Ketua dalam nada suara yang berbunyi mengeluh.

“Kita mesti buat sesuatu untuk menjernihkan semula suasana keruh yang telah berlaku sekarang ni. Demi kebaikan kita bersama sebagai penduduk kampung.” Pak Sudin yang selama ini berdiam diri tiba-tiba bersuara memberi cadangan.

“Memang betul kata ayah tu. Untuk perpaduan kita semua saya cadangkan kita adakan pertemuan di balai raya. Macam mana, tok?” kata Adnan sambil memandang tepat wajah Tok Ketua.

“Bagus tu, Adnan. Tok memang setuju sekali dengan cadangan kau tu,” jawab Tok Ketua.

“Bila kita nak adakan pertemuan tu?” Tok Imam mencelah.

“Perkara yang baik tak elok kita lengahkan. Takut nanti datang pulak perkara buruk. Kita mesti adakan pertemuan esok,” ujar Adnan lagi.

“Apa kata kalau kita adakan pertemuan tu selepas waktu Zuhur, tok?” tambah Pak Sudin pula.

“Saya setuju!” Tok Ketua mengangguk-anggukkan kepala.

Keesokan paginya Adnan ke warung Pak Salleh untuk membeli sarapan.

“Abang Adnan. Bila balik?” tanya Suraya anak Pak Salleh.

“Dah seminggu. Pak Salleh mana?” soal Adnan pula.

“Ayah ke bandar. Dengar petang ni ada pertemuan penduduk kampung di balai raya. Betul ke, bang?” ujar Suraya.

“Betul, Suraya. Nak membincangkan masalah yang melanda penduduk kampung sekarang ni. Pak Salleh dah tahu ke hal ni?” Adnan berkata.

“Dah. Tok Ketua yang beritahu dia sewaktu sarapan di warung ni pagi tadi,” Suraya sebaliknya membalas.

“Kalau Suraya nak dengar luahan penduduk kampung tentang pembangunan yang hendak dibuat oleh orang kaya dari bandar tu sehingga membawa kepada perpecahan datanglah ke balai raya petang ni,” pelawa Adnan.

“Insya-Allah, bang. Kalau tak ada apa-apa nanti Suraya datang. Oh ya. Asyik bercerita terlupa pulak. Abang nak apa?” dia bersuara.

“Beri abang nasi lemak tiga, kuih kaswi tiga dan kuih karipap tiga,” pinta Adnan.

“Yalah, bang,” Suraya menjawab.

Seperti yang dirancang oleh Tok Ketua, Tok Imam, Pak Sudin dan Adnan pertemuan diadakan di balai raya. Namun begitu tidak semua penduduk kampung yang hadir. Hasrat untuk menyatukan semula penduduk kampung yang berpecah belah dan mendapatkan keputusan agar tidak berpindah tidak tercapai.

“Nampaknya apa yang kita harapkan gagal. Tapi kita tak boleh berputus asa. Kita mesti aturkan lagi pertemuan. Kalau tidak masalah ini tak akan selesai,” ucap Adnan pula sebaik-baik sahaja pertemuan pada petang itu selesai.

“Kita kena bersabar, Adnan. Banyakkanlah berdoa. Insya-Allah. Hajat kita yang baik ini akan dimakbulkan,” Tok Ketua menyokong sepenuhnya kata-kata Adnan itu.

Adnan menggandakan usaha mengumpulkan penduduk kampung untuk mengatasi kemelut yang melanda. Ada yang bersetuju untuk bertemu dan ada yang tidak mahu bertemu. Namun begitu dia tidak berputus asa. Siang dan malam dia bekerja keras untuk memujuk penduduk kampung agar bersatu semula dan tidak berpindah ke tempat yang baru.

“Esok kita mesti adakan pertemuan, tok. Kita mesti berusaha jugak untuk mengatasi masalah yang melanda penduduk kampung ni,” Adnan berkata.

“Tapi tak ramai penduduk kampung yang setuju datang. Macam mana kita nak selesaikan masalah ni …,” rengus Tok Ketua sebaliknya.

“Tak mengapa, tok. Yang penting saya nak tekankan kepada penduduk kampung yang hadir betapa perlunya kita bersatu dan mempertahankan kampung ni. Tok jangan risau. Serahkan saja pada saya,” balas Adnan.

Pada keesokan harinya pertemuan kedua diadakan di balai raya kampung. Amat menyedihkan sekali sama seperti pertemuan pertama dulu tidak ramai penduduk kampung yang hadir. Sedangkan usaha yang dilakukan oleh Adnan adalah untuk kebaikan bersama penduduk kampung.

Dengan tiba-tiba Adnan teringat akan ungkapan dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah. Dia sendiri tidak pasti dari buku mana dia membaca ungkapan itu dan yang pasti ia ditulis oleh seorang ahli falsafah yang terkenal. Adnan lupa nama ahli falsafah itu. Dia menjadikan kata-kata itu sebagai pedoman dalam perjuangannya menyatukan semula penduduk kampung dan kekal di tempat yang bertuah dan permai anugerah Tuhan Yang Esa.

Selang beberapa hari pertemuan ketiga diadakan di tempat yang sama. Kali ini sambutannya adalah di luar jangkaan. Tidak seperti pertemuan pertama dan kedua lalu. Seluruh balai raya dipenuhi dengan penduduk kampung. Kalau pertemuan pertama dan kedua dahulu banyak kerusi yang kosong tapi hari ini tak cukup kerusi sehinggakan ada penduduk kampung yang terpaksa berdiri dan ada yang terpaksa mendengar dari celah tingkap balairaya.

Tiada apa yang mampu diluahkan oleh Adnan selain daripada rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana impiannya telah dimakbulkan. Tidak sia-sia kerja keras siang dan malam yang dilakukannya selama ini demi kebaikan bersama penduduk kampung dan bukannya untuk kepentingan dirinya sendiri. Inilah namanya berkat sentiasa berdoa dan bersabar untuk mencapai kejayaan.

“Tiada gunanya kita bersengketa sesama sendiri. Kita jugak akan merasa rugi. Bukankah Islam melarang perbuatan buruk itu. Marilah kita bersatu semula demi kesejahteraan kita bersama sebagai penduduk kampung ini. Mulai dari hari ini marilah kita buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Hidup mati kita biarlah di sini. Pertahankanlah kampung ini ibarat permata yang tinggi nilainya. Sukar dicari ganti. Saya merayu pada semua penduduk kampung.” Kata-kata yang diluahkan oleh Adnan itu benar-benar memukau penduduk kampung. Sehinggakan ada yang menitiskan air mata kerana timbul penyesalan bersengketa semata-mata terpedaya dengan tempat baru yang dijanjikan oleh orang kaya dari bandar itu.

Semua penduduk kampung lalu bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan di antara satu sama lain. Suasana di balai raya pada petang ini bercampur gembira dan terharu.

“Terima kasih, Adnan. Kau telah berjaya menyatukan semula penduduk kampung,” Tok Ketua bersuara sambil bersalaman dengan Adnan.

“Sama-sama, tok. Cuma satu lagi yang perlu kita selesaikan,” Adnan menjawab.

“Apa dia?” Tok Ketua cepat memotong sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Adnan.

“Besok kita beramai-ramai ke pejabat orang kaya tu untuk menyatakan bantahan tidak mahu berpindah dari kampung ni,” ucap Adnan pula.

10

CABARAN

Pagi. Bola matahari kian meninggi di kaki langit biru bersama gumpalan awan putih. Sinarnya jelas kelihatan menyinari seluruh Kampung Sena. Kicauan burung-burung jelas kedengaran memecah alam nan menghijau.

Di halaman rumah pokok cempedak, manggis, kelapa, rambutan dan lain-lain lagi mengangguk-angguk perlahan ditiup angin dari arah pergunungan. Melalui jendela yang terbuka luas angin berhembus nyaman menyapu permukaan kulit Munir yang lembut itu. Seorang graduan universiti. Sehingga kini masih lagi tidak mempunyai pekerjaan.

“Belajar tinggi-tinggi takkan kerja kampung, Munir,” kata Adnan.

“Apa nak buat, Nan? Dah puas aku cari kerja. Tapi tak dapat,” dia sebaliknya menjawab.

“Kalau nak banding dengan aku ni kelulusan bukannya tinggi. Dapat kerja mewah di Kuala Lumpur,” Adnan membalas dengan penuh angkuh.

“Dah rezeki kau,” ujar Munir dalam nada suara yang tenang.

Tercabar juga dia dengan kata-kata rakan sekampung dan sekolahnya itu. Namun begitu dia tetap bersabar. Dugaan Tuhan. Ada hikmahnya dan dia berkeyakinan tinggi. Siswazah menganggur seperti dia boleh menabur bakti kepada masyarakat.

Dengan langkah yang perlahan-lahan Munir menuju ke jendela yang terbuka luas. Fikirannya dilontarkan ke arah banjaran gunung yang subur menghijau.

Banyak tanah terbiar di kampung ini. Lebih baik diusahakan. Berjaya atau tidak itu bukan soalnya. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata pensyarahnya sewaktu di universiti dahulu. Sesuatu yang dilakukan dalam hidup ini adalah percubaan. Dia yakin dengan ungkapan itu.

Keesokan harinya dia pun ke rumah Tok Ketua. Menyatakan hasrat murninya itu.

“Aku tak ada halangan, Munir. Memang baik cadangan kau itu. Tapi siapa yang nak usahakannya? Orang-orang kampung ni ramai yang dah tua. Takkan larat nak buat kerja-kerja tu semua,” ucap Tok Ketua sebaliknya.

“Kan kita ramai anak-anak muda yang tak bekerja seperti saya di kampung ni. Kita gunakan tenaga mereka,” balas Munir.

“Betul. Soalnya mahu ke mereka mengusahakan tanah terbiar tu. Setahu aku. Usia muda macam mereka tu mana sanggup menebas dan mencangkul tengah panas,” ujar Tok Ketua lagi.

“Itulah silapnya orang kita ni, tok. Macam mana nak maju. Belum apa-apa lagi dah menyerah. Itu tak jangan bimbang. Serahkan pada saya. Tahulah saya nanti macam mana nak tarik mereka.” Munir memberi jaminan pada Tok Ketua.

“Baiklah, Munir. Aku mengikut saja apa yang kau fikirkan baik untuk kampung ni. Aku doakan semoga rancangan kau ni berjaya,” Tok Ketua menambah.

“Insya-Allah, tok. Berkat doa dan sokongan tok saya yakin tanah yang terbiar itu akan membawa hasil,” jawab Munir.

“Hah, jemputlah minum, Munir. Nanti sejuk pulak air ni,” pelawa Tok Ketua.

“Terima kasih, tok!” Munir membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Berikutnya Munir berjumpa dengan Sidik Pengerusi Persatuan Belia Kampung Sena.

“Bagus sekali cadangan kau tu, Munir. Sekurang-kurangnya anak-anak muda di kampung ini tidaklah mmebuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Seperti terlibat dengan dadah.”

“Kalau kita yang tidak mulakan siapa lagi, Sidik.”

“Memang betul kata kau tu, Munir. Aku sokong. Orang terpelajar macam kau ni memang diperlukan buah fikirannya untuk memajukan kampung ni.”

“Sudahlah tu, Sidik. Jangan nak memuji-muji aku. Tak ada bezanya terpelajar atau tidak. Kita manusia kan semuanya sama di sisi Tuhan. Oh, ya! Sebelum aku terlupa. Kau ada kawan tak di Jabatan Pertanian. Kita perlu dapatkan bantuan dan khidmat nasihat dulu.”

“Itu kau jangan bimbang. Aku memang ada kawan di Jabatan Pertanian. Besok kita ke sana. Jumpa dia.”

Ternyata Jabatan Pertanian menyokong penuh usaha murni Munir itu. Namun begitu sudah menjadi lumrah manusia. Sesuatu yang baik itu adaketikanya sukar diterima.

“Apa? Munir mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran di tanah terbiar tu?” kata Adnan dengan penuh rasa terperanjat.

“Ya! Tengah rancak berjalan sekarang ni. Aku betul-betul kagum dengan dia. Lulusan universiti yang tak memilih kerja. Sekurang-kurangnya tanah tu ada jugak hasilnya. Daripada terbiar begitu saja,” Tok Ketua sebaliknya menjawab.

“Itu kerja sia-sia namanya, tok. Langsung tak ada faedah. Tanah yang terbiar tu boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada kampung ni. Kalau kena dengan caranya.” Dia terang-terang menentang projek yang diusahakan oleh Munir itu.

“Sia-sia apa pulak ni, Nan. Aku tak nampak usaha Munir tu akan gagal. Lagipun anak-anak muda melalui Persatuan Belia kampung ni turut sama mengusahakannya.” Tok Ketua menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Itulah, tok. Mudah percaya sangat dengan kata-kata Munir. Saya dah lama kenal dengan dia tu. Cakap saja lebih. Kata orang tak ubah macam tong kosong. Bunyi aje lebih. Tapi hasil tak ada!” Adnan membalas.

“Apa pasal kau marah sangat dengan Munir ni? Salah ke apa yang dia buat tu. Sepatutnya kau turut sama memberikan sokongan dan bukannya merosakkan rancangan dia,” ujar Tok Ketua pula.

Kebosanan. Jelas terpancar di riak wajah Adnan. Jarumnya untuk mempengaruhi Tok Ketua agar tidak menyokong projek Munir itu nampaknya tidak berjaya. Sebenarnya ada udang di sebalik batu.

“Begini ajelah, tok. Biar saya berterus terang ajelah. Saya berjanji. Nak jualkan tanah tu pada tuan syarikat saya bekerja. Berapa saja harganya dia sanggup beli,” jelas Adnan dalam nada suara yang lembut memujuk Tok Ketua.

“Nan …. Nan …!” Tok Ketua sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala dan sedikit mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-kata Adnan itu.

“Untungnya sangat lumayan, tok. Kita pun dapat bahagian,” tambah Adnan lagi.

Di luar cuaca begitu panas sekali. Sudah hampir sebulan hujan tidak turun. Angin dari arah pergunungan bertiup perlahan. Pohon kelapa yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua meliuk-liuk ke kanan dan kiri. Dedaunan hijau yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Mengikut rentak tiupan angin. Sebagai seorang pemimpin yang masak dengan asam garam kehidupan dia cukup faham dengan maksud Adnan itu.

“Dia nak buat apa dengan tanah tu?” dia menyoal sambil memandang tepat wajah Adnan.

“Kalau tok nak tahu dia nak buat rumah peranginan berkonsepkan kampung. Macam mana? Tok setuju tak?” dia cepat menjawab serentak membalas pandangan Tok Ketua.

Diam. Tok Ketua sebaliknya menyucuhkan api paip yang melekat di bibirnya. Adnan memerhatikan sahaja gelagatnya itu.

Angin dari arah pergunungan tiba-tiba bertiup kencang dan menerobos masuk ke dalam rumah papan itu. Bunyi ayam, itik dan kambing peliharaan Tok Ketua jelas kedengaran memecah suasana. Tok Ketua kemudiannya lalu menghembus keluar asap paip. Nampak berkepul-kepul memutih memenuhi ruang tamu rumah itu.

“Nan, aku berpegang pada pepatah kerbau berpegang pada tali manusia berpegang pada janji. Aku dah beri sepenuh kepercayaan pada Munir untuk mengusahakan tanah tu. Dia baru mula. Takkan aku nak suruh dia berhenti.”

“Jangan tolak tuah, tok. Ini untuk kesenangan tok dan penduduk kampung ni jugak.”

“Dalam dunia ni tak ada manusia yang hendak hidup susah. Semua nak hidup senang. Kau silap, Nan. Aku bukan jenis pemimpin yang mementingkan kemewahan dan diri sendiri. Biar susah senang bersama dengan anak-anak buah.”

Tersentak Adnan apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Tok Ketua itu. Pedas dan tajam bunyinya. Namun begitu dia tetap tidak berputus asa. Memujuk Tok Ketua supaya memenuhi impiannya memperolehi habuan lumayan hasil daripada jualan tanah itu.

“Tok, projek rumah peranginan yang dicadangkan oleh tuan syarikat saya tu bukan kecil. Belanjanya besar. Dengan bermacam-macam kemudahan yang disediakan tentu akan menarik pelancong dating ke kampung ni dan bertambah maju. Setanding dengan kampung-kampung lain. Hah, tok jugak nanti dapat nama,” ucap Adnan.

“Sekali lagi kau silap, Nan. Orang tua yang sekarang berada di depan kau ni tidak mengejar nama walaupun berkuasa. Begini ajelah. Bidang pertanian juga boleh menyumbang kemajuan pada kampung tanah kelahiran kau ni. Projek rumah peranginan tuan syarikat kau bekerja tu belum tentu dapat mendatangkan hasil untuk dinikmati oleh penduduk kampung ni. Takut nanti lebih banyak pembaziran aje,” Tok Ketua sebaliknya menjawab dengan panjang lebar.

“Dahlah, tok. Saya buat benda yang baik untuk kampung ni tok tak setuju. Benda yang tak berfaedah langsung dibuat oleh Munir tu tok sokong pulak. Saya balik dululah!” Dia pantas beredar dari rumah Tok Ketua dengan penuh rasa hampa.

“Eh, kalau ya pun tunggulah minum dulu. Nan …! Nan …!” tahan Tok Ketua pula.

“Kenapa dengan Nan tu, bang? Lain macam aje saya tengok,” ujar Mak Timah yang muncul dari dapur sambil membawa dulang yang berisi minuman.

“Entahlah, Mah …!” keluh Tok Ketua sambil menyucuhkan semula api paip yang telah padam.

Projek tanaman semula yang diilhamkan oleh Munir nyata membuahkan hasil.

“Aku betul-betul kagum dengan kau ni, Munir,” kata Sidik.

“Kagum apa?” tanya Munir sambil mengesat peluh di dahi.

“Tak ramai orang terpelajar macam kau ni nak menceburi bidang pertanian. Yalah tempat kau sepatutnya di bilik yang besar dan berhawa dingin. Dan bukannya berpanas terik macam ni,” Sidik membalas.

“Ijazah tidak boleh dijadikan ukuran untuk berjaya dalam hidup. Bagi aku bidang pertanian juga merupakan satu kerjaya. Jauh di sudut hati aku menyesal memilih bidang ini walaupun tidak setimpal dengan kelulusan yang aku miliki,” jelas Munir.

Bola matahari jelas kelihatan menegak di kaki langit. Cahaya yang dipancarkannya menyimbah ke seluruh alam. Bahangnya pula terasa pedih menggigit permukaan kulit.

Sementara itu angin dari arah pergunungan bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon yang menghijau mengangguk-angguk. Seolah-olah menyokong dengan kata-kata yang dilafazkan oleh Munir itu. Bunyi daun-daun bergeseran ibarat irama lagu yang sungguh menghiburkan jiwa apabila didengar. Begitu juga dengan bunyi daun-daun kering dan ranting patah jatuh berguguran di atas tanah juga jelas kedengaran memecah suasana yang dibalut dengan ketenangan.

Munir dan Sidik sama-sama meneguk minuman. Dingin. Umpama air terjun di pinggir kali. Jelas terasa apabila air membasahi tekak yang kering.

“Kau lihat tu, Munir. Anak-anak muda begitu bersemangat sekali. Mengerjakan tanah yang dulunya terbiar. Kini dipenuhi dengan sayur-sayuran dan pokok buah-buahan,” ucap Sidik sebaik-baik sahaja selesai meneguk minuman.

Munir lalu menarik nafas panjang.

“Itulah yang kita mahu. Anak-anak muda di kampung ni dapat menyumbang sesuatu yang berguna dalam usia ibarat sehelai daun hijau,” balas Munir.

“Aku setuju sekali dengan kata-kata kau tu. Sejak projek tanaman semula ni bermula aku sebagai Pengerusi Persatuan Belia kampung ni tengok mereka jauh dah berubah. Tak macam dulu. Lebih banyak melakukan perkara yang tak berfaedah,” Sidik menambah.

“Mereka memang mudah terpengaruh dengan perkara begitu. Siapa lagi yang nak mengubahnya. Kalau bukan kita. Oh, ya! Sebelum aku terlupa. Sayur-sayuran kita tu dah ada pemborong. Harga yang ditawarkan pun berpatutan,” ucap Munir pula.

“Ya ke? Baguslah macam tu!” Sidik sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kita dah lama berehat ni. Mari kita sambung kerja balik,” ajak Munir.

“Yalah!” kata Sidik.

Mereka berdua bingkas bangun sambil membawa cangkul menuju ke tapak projek tanaman semula.

Keesokan paginya Adnan bertemu dengan Tuan Sharif.

“Susah, tuan …!” keluh Adnan pendek.

“Apa yang susah ni, Nan?” soal Tuan Sharif.

“Tanah tu dah dijadikan projek tanaman semula.” Adnan memberi penjelasan.

“Projek tanaman semula?” Tuan Sharif merasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata itu.

“Ya, tuan!” angguk Adnan dengan pantas.

“Siapa yang usahakan?” Tuan Sharif bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.

“Munir. Seorang lulusan universiti. Bersama dengan anak-anak muda kampung melalui Persatuan Belia,” Adnan menjawab.

“Awak mesti ingat. Dah ada pelabur luar yang bersetuju usahasama dengan kita melaksanakan projek tu. Kita tak boleh lepaskan peluang ini begitu sahaja. Walau apa cara sekalipun awak mesti dapatkan tanah tu. Ingat, Nan. Saya beri awak amaran. Kalau awak gagal. Awak akan dipecat. Faham!” Dia mengeluarkan nada suara yang tinggi.

Adnan kemudiannya pantas berlalu pergi dari bilik Tuan Sharif. Tak dapat cara halus cara kasar aku gunakan. Janji tanah tu dapat. Habuan pun dapat dan aku tidak dibuang kerja. Getus hati kecilnya.

Tanpa berlengah lagi dia lalu memicit nombor telefon bimbitnya dan menghubungi Murad.

“Hello, Murad. Aku nak jumpa kau. Sekarang. Tempat biasa. OK!”

Seperti yang dijanjikan Adnan dan Murad lalu berjumpa.

“Aku ada kerja untuk kau.”

“Kerja apa, Nan?”

“Ini RM 500.00. Aku nak kau bawa kawan-kawan kau rosakkan satu projek tanaman semula.”

“Di mana?”

“Kampung aku. Malam ni tepat pukul 8.00 kau tunggu di sini. Aku bawa kau ke sana.”

“Baiklah!”

Munir, Sidik dan Tok Ketua memandang sayu tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dirosakkan. Cuaca pada hari ini nampak suram. Angin dari arah pergunungan bertiup lemah. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa Munir, Sidik dan anak-anak muda kampung yang mengusahakan projek tanaman semula.

“Sabar, Munir. Ini semua ujian Allah. Mungkin ada rahmat di sebaliknya.” Tok Ketua menenangkan Munir sambil menepuk-nepuk bahunya.

Munir sebaliknya hanya berdiam diri sambil tunduk memegang daun-daun sayur yang telah hancur.

“Kita tak boleh berdiam diri, tok. Kita mesti cari sampai dapat mereka yang melakukan angkara ini. Kalau saya dapat nanti tahulah saya mengajarnya cukup-cukup!” kata Sidik dengan perasaan yang penuh geram.

“Jangan bertindak terburu-buru, Sidik. Kita kan ada undang-undang. Lebih baik kita laporkan saja perkara ini pada pihak berkuasa,” ujar Tok Ketua pula.

Munir lalu bangun dan mendongakkan kepala tinggi sedikit.

“Kita mesti bangkit semula. Sekali kita ke depan. Tidak sesekali kita akan ke belakang bila gagal. Kita mesti bina semula projek tanaman semula yang telah musnah ini. Insya-Allah. Kita di pihak yang benar. Kejayaan akan bersama kita.” Munir membakar kata-kata semangat.

Ternyata rancangan jahat Adnan tidak melemahkan semangat Munir, Sidik dan anak-anak muda kampung. Malahan hasil tanaman mereka amat menggalakkan berbanding dengan yang terdahulu. Jabatan Pertanian telah menganugerahkan Pertanian Cemerlang. Bagi Munir selaku Ketua Projek kejayaan ini bukan miliknya seorang. Malahan semua yang telah berusaha keras dan bertungkus-lumus memerah keringat di bumi bertuah menjayakannya.

Benar kata pepatah. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Adnan dan rakan-rakannya telah ditahan oleh polis.

Di kaki langit fajar kian menyingsing melabuhkan tirainya menyambut malam. Esok hari baru akan bermula. Segala suka dan duka yang dilayari hari ini dihimpunkan menjadi kekuatan pengalaman selagi masih bernafas di atas muka bumi ini. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran. Perlu ditempuhi dengan kuat dan tabah. Demikianlah yang bersarang dalam jiwa seorang siswazah yang bernama Munir.

11

SURATAN JODOH

Selepas menunaikan solat Asar di surau Pak Latip terus pulang ke rumah. Setibanya di rumah Pak Latip yang berketayap putih, berbaju Melayu berwarna biru muda dan berkain pelikat duduk di atas kerusi kusyen. Angin dari arah bukit bertiup lembut membelah seluruh kampung. Cuaca kelihatan cerah.

“Minum, bang,” pelawa Mak Kiah sambil meletakkan secawan air kopi dan sepinggan lepat pisang di atas meja.

Pak Latip kemudiannya lalu meneguk air kopi perlahan-lahan.

“Sedap lepat pisang ni,” kata Pak Latip.

“Pisang yang abang bawa balik dari kebun semalam. Bang. Tadi Johan datang,” Mak Kiah sebaliknya bersuara.

“Ada apahal dia kemari?” soal Pak Latip pula.

“Tentang rancangan dia nak jodohkan anaknya Azam dengan anak kita Maimunah,” jelas Mak Kiah.

“Saya tiada halangan. Yalah. Bukannya kerana Johan tu orang berada. Saya menerima hasratnya itu. Tapi atas niat baik dan kalau sudah ditentukan oleh Tuhan jodoh Maimunah dengan anaknya. Awak pulak macam mana?” Pak Latip menambah.

“Apa yang abang fikirkan baik saya jugak begitu, bang,” sokong Mak Kiah.

“Tapi saya cuma bimbang. Zaman sekarang ni bukan macam zaman kita dulu. Jodoh diaturkan oleh orang tua. Awak dah tanya ke dengan tuan punya badan sendiri,” ucap Pak Latip.

“Dah, bang. Kata Maimunah ajal dan maut di tangan Tuhan. Kalau sudah ditakdirkan jodohnya dengan Azam dia ikhlas menerimanya dengan hati yang terbuka. Lagipun kalau baik bagi kita sebagai ayah dan ibunya maka baik juga bagi dirinya,” Mak Kiah membalas.

“Syukur alhamdulillah. Marilah kita sama-sama berdoa semoga apa yang kita rancangkan ini akan direstui oleh Allah SWT,” tambah Pak Latip.

Sementara itu di rumah Johan.

“Azam. Ada perkara yang ayah nak cakap,” Johan bersuara.

“Perkara apa, ayah? Kalau pasal bisnes kita bincang aje di pejabat. Bukannya di rumah,” celah Azam.

“Ini bukan soal bisnes. Ayah dah buat keputusan nak jodohkan kau dengan Maimunah pekerja syarikat kita tu,” terang Johan yang duduk di atas kerusi antik mewah.

“Apa? Abang nak jodohkan Azam dengan Maimunah. Abang tak malu ke. Pekerja syarikat dijadikan menantu,” Faridah menyampuk dengan rasa terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut suaminya itu.

“Betul kata mak tu. Ayah kan tahu yang saya berkawan dengan Sherin. Dah suka sama suka. Kenapa pulak saya harus berkahwin dengan Maimunah pilihan ayah,” ucap Azam pula.

“Lagipun kita kan dah setuju dengan Datuk Mohd Nor dan Datin Ani nak satukan Azam dengan Sherin. Takkan abang dah lupa,” ingat Faridah pada Johan.

“Itu dulu. Tapi sekarang abang dah buat keputusan. Abang Latip dan Kak Kiah akan menjadi bisan kita. Bukannya Datuk Mohd Nor dan Datin Ani,” putus Johan sebaliknya.

“Abang. Apa pulak kata mereka nanti. Bukankah abang dengan Datuk Mohd Nor tu dah lama berkawan baik dalam dunia perniagaan. Dituduhnya kita mungkir janji pulak,” ujar Faridah lagi.

“Bagi saya Maimunah sesuai sebagai pasangan hidup Azam. Baik tingkah laku dan beragama. Susah nak dapat gadis macam dia zaman sekarang,” Johan bersuara.

“Saya minta maaf, ayah. Terus terang saya katakan. Saya tetap akan berkahwin dengan Sherin dan bukannya Maimunah!” Azam membantah sekeras-kerasnya kemahuan ayahnya.

“Keputusan ayah muktamad. Maimunah tetap akan menjadi isteri kau. Minggu depan ayah akan hantar wakil untuk meminang.” Johan memberikan kata putus.

“Ayah. Berilah saya peluang untuk ….” Azam tidak dapat meneruskan percakapan untuk memberikan penjelasan selanjutnya.

“Cukup tu, Azam! Apa yang ayah dah putuskan kau tetap kena ikut. Ini bukan paksaan. Demi untuk kebaikan hidup kau. Ayah pilih Maimunah sebagai isteri kau. Faham!” Johan cepat memotong dalam nada suara yang tegas dan kemudiannya bingkas bangun menuju ke bilik atas.

Azam dan ibunya hanya berdiam diri apabila mendengar kata-kata yang diluahkan oleh ayahnya itu. Dia kemudiannya memandang wajah ibunya yang duduk berhadapan dengannya.

“Apa dah jadi ni, mak? Tiba-tiba aje ayah suruh kahwin dengan Maimunah. Tak fahamlah saya. Kenapa ayah buat macam ni.” Azam sebaliknya meluahkan rasa bingung yang melanda dirinya akibat daripada keputusan ayahnya itu kepada ibunya.

“Entahlah, Azam. Mak pun pening kepala dibuatnya,” Faridah menjawab.

“Bosanlah macam ni …,” keluh Azam sambil pantas bangun dan menuju ke pintu masuk rumah.

“Nak ke mana tu, Azam?” tanya Faridah pula sambil mendongakkan kepala tinggi sedikit.

“Lebih baik keluar. Cari ketenangan. Kat rumah ni berserabut aje kepala,” Azam menjelaskan pada ibunya.

“Kalau ya pun tunggulah dulu, Azam. Azam …! Azam …!” Faridah cuba menahan anaknya.

Keesokan harinya Azam berjumpa dengan Maimunah.

“Awak tahu kenapa saya nak jumpa awak?” Azam berkata.

“Tak? Kenapa, Encik Azam? Ada yang tak kena ke dengan kerja yang saya buat?” balas Maimunah yang kelihatan ayu bertudung warna merah dan berbaju kurung berwarna biji kundang.

“Bukan pasal kerja. Tapi pasal kita berdua,” Azam bersuara dalam nada yang tidak menyenangkan.

“Saya tahu. Sebab Tuan Johan nak jodohkan kita berdua, kan?” Maimunah sebaliknya menjawab.

“Awak dengar sini ya. Kita tak akan kahwin. Biar saya berterus terang dengan awak. Bakal isteri saya bernama Sherin. Anak Datuk Mohd Nor. Saya dan dia dah lama berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di luar negeri dulu. Saya dan Sherin dah kenal hati budi masing-masing. Sedangkan awak baru saya kenal bekerja dengan syarikat ayah saya. Dah terus nak kahwin. Jawapannya minta maaf dari saya!” ujar Azam pula dengan panjang lebar berserta rasa bongkak.

“Encik Azam. Ini adalah kehendak Tuan Johan sendiri. Bukan kehendak saya,” tambah Maimunah dengan tenang.

“Sudah. Saya tak mahu dengar itu semua. Ayah saya paksa macam mana sekalipun saya tetap tidak akan kahwin dengan awak. Faham!” Azam memberikan kata putus. Maimunah sebaliknya mendiamkan diri.

Pak Latip dan Mak Kiah rancak berbual-bual. Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Pak Latip dan Mak Kiah lalu menjawab salam.

“Ada orang datang. Cuba awak tengok siapa tu,” arah Pak Latip pada isterinya. Mak Kiah bingkas bangun menuju ke pintu.

“Kau rupanya, Johan. Jemputlah naik,” pelawa Mak Kiah.

“Apa khabar, kak?” tegur Johan.

“Baik. Kau seorang aje ke? Faridah tak ikut sekali?” soal Mak Kiah.

“Tak, kak!” Johan sebaliknya menjawab ringkas.

“Johan. Jemputlah duduk,” kata Pak Latip pula.

“Apa khabar, bang?” ucap Johan sambil bersalaman dengan Pak Latip.

“Alhamdulillah baik. Kenapa tak telefon dulu nak datang,” Pak Latip bersuara.

“Saya sebenarnya dari rumah Tok Ketua. Bincang nak cat semula surau kampung kita tu. Saya nak beri sumbangan ikhlas,” tambah Johan.

“Syukur alhamdulillah. Moga Allah memberi ganjaran pada kebaikan yang kau lakukan,” ujar Pak Latip lagi.

“Saya tak harapkan semua tu, bang. Yang penting amal jariah sepertimana yang dituntut oleh Allah SWT kepada saya sebagai hamba di atas dunia yang sementara ini. Terlanjur saya ke rumah Tok Ketua saya singgah ke rumah abang. Nak bincangkan hal anak-anak kita tu,” Johan menerangkan pada Pak Latip.

“Kak Kiah ada cerita pada abang. Tentang niat kau nak jodohkan Azam dengan Maimunah. Alhamdulillah. Abang dan kakak tiada halangan termasuk tuan punya badan sendiri Maimunah. Tapi macam mana pulak dengan Azam. Dia setuju ke?” Pak Latip mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang muka Johan.

“Betul tu, Johan. Yalah. Macam Azam tu. Faham-fahamlah aje. Berkedudukan macam kau. Takut dia tak boleh menerima Maimunah. Tak bahagia hidup bersama. Kita pulak yang disalahkannya,” sampuk Mak Kiah dengan tiba-tiba.

“Tentang tu tak usahlah abang dan kakak risaukan. Apa yang saya lakukan ini demi kebahagiaan hidup anak saya dan anak abang dan kakak. Insya-Allah. Mereka akan hidup bahagia dan mengenal cinta melalui perkahwinan yang kita aturkan ini,” yakin Johan pula.

Azam dan ibunya kelihatan sedang rancak berbincang mengenai perkahwinan dengan Maimunah ketika Johan memasuki ruang tamu rumah mewah itu.

“Awal abang balik hari ni. Tak macam biasa. Abang tak ke pejabat ke hari ni.” Faridah mengalih tajuk perbualan.

“Tak. Saya ke rumah Abang Latip dan Kak Kiah. Bincangkan hal perkahwinan Azam dengan Maimunah,” Johan menambah setelah duduk di atas kerusi sofa antik.

“Ayah …!” Azam tidak sempat untuk bercakap.

“Sudah, Azam! Apalagi yang kau nak. Segala kemewahan hidup ayah dah beri. Takkan permintaan ayah yang baik ini tak boleh kau tunaikan!” Johan pantas memotong dalam nada suara yang tegas.

“Dah dia tak nak Maimunah sebagai isteri nak buat macam mana. Mana boleh paksa-paksa dalam soal kahwin ni,” celah Faridah pula.

“Awak jangan bercakap sedap mulut aje. Soal paksa tidak timbul dalam perkahwinan yang saya aturkan ini. Tapi yang penting bahagia. Ingat, Azam. Kaulah satu-satunya pewaris syarikat ayah. Maimunah adalah pilihan tepat untuk bersama dengan kau untuk menjaga syarikat demi anak cucu ayah pada masa yang akan datang,” Johan mengingatkan anaknya.

“Tapi, ayah. Kan saya dah cakap. Saya tak cintakan …,” Azam terhenti.

“Cukup, Azam! Kan ayah dah cakap. Ayah tak akan berpatah balik. Kau tetap akan berkahwin dengan Maimunah. Kau jangan nak beri ayah malu. Sudah. Waktu asar dah pun masuk. Siap cepat. Kita pergi berjemaah di masjid. Awak Faridah ikut sekali,” potong Johan dengan pantas dan panjang lebar sambil bingkas bangun.

“Yalah, bang. Azam pergi cepat siap. Tak lama lagi kau akan bergelar suami. Sebagai ketua keluarga kau kenalah menunjukkan teladan yang baik sebagaimana yang dituntut oleh agama dalam membina sebuah keluarga yang bahagia,” Faridah sebaliknya bersuara sambil memandang wajah Azam.

“Baiklah, mak!” Azam membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala tanda menurut sahaja apa yang diarahkan oleh ayah dan ibunya itu.

“Hah, macam tulah. Sembahyang jemaah ni banyak pahalanya daripada sembahyang sendirian. Rugi kalau kita tidak lakukan seperti yang dituntut oleh agama,” ingat Johan lagi.

Setelah siap semuanya Johan, Faridah dan Azam pun pergi ke masjid untuk menunaikan solat Asar dengan menaiki kereta mewah yang dipandu oleh Azam.

Restoran Nelayan yang menyediakan masakan kampung menjadi pilihan makan tengah hari Azam dan Sherin. Selepas menikmati hidangan yang penuh menyelerakan mereka rancak berbual-bual.

“Apa? Ayah kau suruh kahwin dengan pekerja syarikat. Azam. Kau jangan nak bergurau!” Sherin berasa sungguh terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Azam itu.

“Sungguh, Sherin! Aku tak bergurau. Tak tentu arah aku dibuatnya. Dia paksa aku kahwin jugak. Apa yang diputuskannya tak boleh dibantah langsung. Kalau hitam hitamlah kalau putih putihlah.” Azam melepaskan sepenuh masalah yang dihadapinya pada Sherin.

“Jadi kau setujulah nak kahwin dengan gadis pilihan ayah kau tu?” Sherin menyoal sambil melemparkan pandangan yang penuh manja pada Azam.

“Mana boleh, Sherin. Takkanlah aku nak kahwin dengan perempuan yang aku tak cintai. Lainlah kau. Wanita yang aku cintai setulus hati. Tulah kau. Aku ajak kahwin ada aje alasan. Tak bersedialah. Nanti dululah. Masa panjang lagilah. Macam-macam. Kalau kita kahwin tak timbul masalah ni,” rungut Azam pula.

“Apa yang kau merepek ni, Azam?” jawab Sherin.

“Merepek apa pulak. Kenyataan. Masalah ni semua berpunca kerana kita tak berkahwin. Sedangkan kedua-dua orang tua kita dah tahu kita ni dah suka sama suka sejak menuntut di luar negeri lagi.” Azam nyata tidak senang dengan jawapan yang diberikan oleh Sherin itu.

“Buat apa pening kepala kau fikirkan semua ni, Azam. Sampai masa nanti kita kahwinlah.” Sherin cuba memujuk Azam.

“Tapi soalnya bila?” tambah Azam lagi.

“Sabarlah. Kita akan kahwin jugak nanti. Percayalah!” yakin Sherin dalam nada suara yang manja sambil memegang tangan Azam yang duduk berhadapan dengannya.

“Kau pandai berjanji. Tapi tak pernah tertunai. Bosan aku tahu tak,” Azam mengeluh.

“Janganlah macam tu, Azam. Aku percaya. Kita tetap akan kahwin. Ayah kau tetap akan pilih aku sebagai menantu. Kau pujuklah ayah kau tu baik-baik. Dia pasti akan menerima keputusan kau.” Dia tak putus-putus meyakinkan Azam.

“Yalah …!” Azam akhirnya mengalah dengan pujukan kekasihnya itu.

“Macam tulah. Apa kata lepas ni kita pergi shopping,” cadang Sherin sambil mengukir senyuman apabila melihat wajah Azam kembali ceria.

“Aku ikut aje!” ucap Azam sambil pantas mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan cadangan Sherin itu.

“Jom kita pergi sekarang,” Sherin berkata.

Azam kemudiannya lalu memanggil pelayan untuk mendapatkan bil bayaran makanan dan minuman yang dipesan.

Pagi itu setibanya di pejabat Zarina setiausaha syarikat memberitahu Azam ayahnya hendak berjumpa. Tanpa berlengah lagi Azam menuju ke bilik ayahnya.

“Ada apa, ayah?” tanya Azam sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi.

“Kau baca ni,” arah Johan sambil menghulurkan suratkhabar kepada Azam.

“Apa? Anak seorang usahawan terkenal bergelar Datuk ditangkap khalwat. Sherin!” Azam berasa sungguh terperanjat apabila membaca berita panas yang tersiar dalam suratkhabar hari ini.

Dia terus diam membisu. Baru dia mengerti kini. Cintanya terhadap Sherin ibarat mencurah air di daun keladi sahaja. Selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Sherin hanya berpura-pura menyintai dirinya. Rasa kecewa dan luka yang pedih seperti ditikam sembilu tajam pantas menyelubungi perasaan. Namun begitu dia tetap bersyukur kerana tidak menjadikan Sherin sebagai isteri.

Johan mengerti akan apa yang sedang bersarang di jiwa anaknya setelah membaca berita yang sungguh menggemparkan itu.

“Azam …. Setiap yang Tuhan aturkan itu ada hikmahnya. Sama seperti perkahwinan yang ayah aturkan ini. Ayah pernah melihat Sherin keluar dengan ramai lelaki. Demi tidak mahu melihat kau menderita sekiranya berkahwin dengan dia maka ayah memilih Maimunah gadis kampung sebagai isteri kau. Azam. Jangan terlalu memandang pada kecantikan tetapi yang penting kesetiaan dan kejujuran di hati dalam membina kebahagiaan hidup bersama sebagai suami isteri,” nasihat Johan pada anaknya dalam nada suara lembut dan panjang lebar.

Azam sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang dan memandang wajah ayahnya.

“Saya minta maaf, ayah. Barulah saya sedar kini mengapa ayah memilih Maimunah sebagai isteri saya. Terima kasih, ayah. Saya akan menerima Maimunah sebagai isteri dengan rasa penuh cinta dan ikhlas,” kata Azam.

“Alhamdulillah,” Johan melafazkan rasa penuh kesyukuran.

12

JALAN PULANG

Selepas mandi Amri turun bersarapan. Selesai bersarapan dia terus ke kolej dengan menaiki motosikal.

“Macam mana dengan malam ni? Jadi ke?” kata Rashid pada Amri sebaik-baik sahaja tiba di kolej.

“Jadi!” Amri menjawab dengan cepat.

“Aku yakin. Kita pasti menang malam ni,” sokong Rashid pula.

Tiba-tiba lalu seorang pelajar perempuan ayu bertudung. Jalan tunduk dan penuh sopan.

“Siapa tu? Boleh tahan. Cantik,” ucap Amri tidak berkelip-kelip memandang pelajar perempuan itu.

“Pelajar baru agaknya. Kenapa? Kau dah jatuh hati ke?” Rashid sebaliknya bersuara.

“Taklah sampai ke situ. Tapi …. Lawa,” ulang Amri lagi.

“Hah. Kan aku dah kata. Itu tandanya kau dah terpikat dengan dia, kan,” Rashid menambah.

“Dahlah. Gadis pakai tudung mana boleh jadi awek aku,” dalih Amri pula.

“Habis tu. Kau asyik kata cantiklah lawalah. Bukan dah jatuh hati namanya, Amri. Terus terang ajelah,” desak Rashid.

“Sudahlah. Kau jangan nak merepek. Kelas pun dah nak mula. Mari kita pergi. Nanti membebel lagi Encik Zulkarnain. Lambat masuk kelas,” ajak Amri.

Selepas tamat kelas Amri dan Rashid tidak terus pulang ke rumah. Kedua sahabat baik itu sebaliknya rancak berbual-bual di tempat letak motosikal. Tajuk perbualan Amri dan Rashid lebih kepada perlumbaan malam ini.

“Malam ni pukul berapa, Amri?” soal Rashid.

“Macam biasalah. Kau ni buat-buat lupa pulak. Macamlah pertama kali join race,” Amri menjawab dalam nada suara yang tidak senang dengan pertanyaan Rashid itu.

“Tempat pun macam biasa jugaklah,” celah Rashid pula.

“Yalah!” Amri mengangguk-anggukkan kepala.

“Siapa taja?” tanya Rashid lagi sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang muka Amri.

“Siapa lagi kalau bukan Abang Bidin kita,” balas Amri.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti seketika. Kedengaran bunyi telefon bimbit Amri.

“Hah. Panjang pun umur. Abang Bidin,” kata Amri apabila melihat nombor orang yang menaja perlumbaan tertera di telefon bimbitnya.

Dia pantas menjawab panggilan itu.

“Hello, bang. Ya. Malam ni jadi. Apa? Lumayan. OK. Kita jumpa di sana nanti,” ujar Amri.

“Apa kata Abang Bidin?” Rashid bagaikan tidak sabar-sabar lagi ingin mengetahui apa yang dibualkan Amri dengan orang yang menaja perlumbaan malam ini.

“Dia dah aturkan semua untuk race malam ni. Termasuk jalan untuk kita melarikan diri sekiranya dikejar polis nanti. Hadiahnya sungguh lumayan,” terang Amri.

“Lumayan? Berapa?” Rashid sebaliknya bertanya apabila tertarik mendengar kata-kata Amri itu.

“Ah. Dah menang nanti kau tahulah. Kau ni banyak soal pulak. Oh ya! Baru aku teringat. Nora nama budak baru tu. Dengan tiba-tiba sahaja Amri mengalih tajuk perbualan.

“Amri …! Amri …!” Rashid menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa kecil.

“Eh, apa yang kau ketawa ni. Lucu sangat ke bila aku sebut nama dia.” Amri berasa sangat hairan apabila melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Rashid itu apabila menyebut nama Nora.

“Begini ajelah kawan. Aku tak nak cakap banyak. Lebih baik kau berterus terang pada dia. Yang kau sukakan dia. Habis cerita,” cadang Rashid.

“Apalah kau ni, Rashid? Tak habis-habis merepek. Jangan-jangan kau yang suka kat dia tak?” Amri membantah.

“Dah aku suka kat dia pulak. Habis tu yang kau asyik sebut nama dia apahal. Kan aku dah cakap. Itu tandanya yang kau suka kat dia,” ingat Rashid.

“Habis? Sebut aje nama aku syok kat dia. Hei. Kan aku dah cakap. Dia tu pakai tudung. Mana aku minat. Citarasa aku pada gadis yang tak pakai tudung. Senang bawa ke sana kemari. Kau sendiri pun selalu tengokkan gadis yang aku jadikan pasangan. Macam Nora tu. Tengok pun aku dah tahu. Agama kuat susah nak ajak keluar,” jelas Amri dengan panjang lebar.

“Selalunya kata orang apa yang kita tak suka itulah akhirnya yang kita dapat. Aku rasa macam ini ajelah. Aku cabar kau pikat dia. Kalau berjaya aku berjanji aku belanja kau makan. Kalau kau betul-betul anak jantan kau terimalah cabaran aku ni. Apa macam, boleh?” Rashid bersuara.

“Baik! Aku terima cabaran kau sahabat yang bernama Rashid. Tapi aku tak akan jadikan dia sebagai teman istimewa. Tapi semata-mata tak nak malu sebagai anak jantan dan nak merasa kau belanja makan. Setuju?” Amri menyatakan persetujuan untuk menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Rashid itu.

“Setuju. Aku memang setuju sangat. Tapi kau jangan lupa. Itu kalau aku kalah dalam pertaruhan. Macam mana pulak kalau aku menang dalam pertaruhan. Baru nampak adil, kan,” ujar Rashid.

“Oh, ya! Betul jugak cakap kau. Hah. Tak usah cerita banyak. Aku pun macam kau jugaklah. Belanja makan sudahlah. OK?” Amri pantas menambah.

“Cantik! Aku ikut aje. Tak ada bantahan!” Rashid menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan Amri itu.

Malam itu seperti yang dijanjikan Amri, Rashid dan kawan-kawannya pun berlumba motosikal secara haram yang ditaja oleh Bidin. Ternyata malam itu adalah milik Amri. Dia menang dalam perlumbaan itu.

Keesokan harinya Amri dan Rashid datang lewat ke kolej. Encik Zulkarnain telah memberitahu perkara ini pada ayahnya.

“Awak tahu. Tadi Encik Zulkarnain pensyarah Amri tempat kolej dia belajar telefon. Dia kata Amri selalu datang lambat ke kolej. Kadang-kadang tak datang langsung. Pelajaran tak usah cakaplah. Teruk. Silap-silap dia boleh kena buang kalau tak berubah,” kata ayahnya pada ibunya.

“Awak nasihatkanlah dia. Awak kan ayah dia. Takkanlah nak biarkan,” ibunya membalas.

“Amboi. Sedapnya awak bercakap. Yang awak tu selalu tak duduk di rumah siang malam sibuk dengan butik dan persatuan. Sebab itulah dia jadi macam tu. Tahu tak!” bentak ayahnya.

“Jadi, abang nak salahkan sayalah, ya? Yang abang tu siang malam sibuk dengan perniagaan tak nampak!” tingkah ibunya.

“Saya sibuk siang malam untuk kesenangan keluarga kita jugak. Awak tu sebagai ibu sepatutnya lebih banyak masa di rumah. Beri sepenuh perhatian pada Amri!” ayahnya membantah sekeras-kerasnya kata-kata yang keluar daripada mulut ibunya.

Kedengaran bunyi enjin motosikal. Ayah dan ibunya berhenti seketika daripada bertengkar.

“Hah, itu pun dia dah balik,” ujar ayahnya.

Amri melangkah masuk ke dalam rumah.

“Kau dari mana ni, Amri?” ayahnya menyoal.

“Dari mana lagi dari kolejlah,” dia menjawab dengan cepat pertanyaan ayahnya itu.

“Oh, dari kolej. Kau jangan nak cakap bohong. Tadi Encik Zulkarnain pensyarah kolej kau telefon. Ayah dah tahu. Apa nak jadi dengan kau ni hah, Amri!” ayahnya melepaskan kemarahan dengan meninggikan suara.

“Sudahlah. Saya bosan duduk dalam rumah ni. Keluar lagi baiklah,” Amri membalas sambil meninggalkan ruang tamu rumah tanpa memandang wajah ayah dan ibunya.

“Amri! Amri! Nanti dulu. Ayah tak habis cakap lagi ni. Hah. Degil. Macam awak jugak!” rungut ayahnya pada ibunya.

Restoran yang tidak jauh dari kolej menjadi pilihan Amri dan Nora untuk berjumpa. Mereka memilih makanan yang sama iaitu mi goreng manakala minuman Amri memilih limau ais manakala Nora pula memilih teh ‘o’ ais limau.

“Kenapa awak beria-ia sangat nak jumpa saya?” tanya Nora yang memakai tudung berwarna biji kundang dan berbaju kurung berwarna merah jambu.

“Saja. Nak berkenalan dengan awak lebih dekat lagi,” jelas Amri sambil menyedut air limau ais.

“Betul ke awak dan Rashid mat rempit? Saya harap awak tak marah dengan soalan saya ni,” Nora bersuara.

“Pasal Encik Zulkarnain tegur saya dengan Rashid datang lambat tempoh hari,” Amri sebaliknya pantas memotong.

“Kenapa awak dengan Rashid terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ni?” soal Nora sambil memandang tepat wajah Amri.

“Jadi, awak percayalah yang saya dengan Rashid selalu datang lewat sebab malam-malam asyik merempit,” dia cuba berdalih.

“Kalau Encik Zulkarnain seorang sahaja yang bercakap susah nak saya percaya. Lagipun tak nampak depan mata saya. Tapi semua pelajar di kolej tu kata awak dan Rashid terlibat dengan lumba haram,” tekan Nora lagi.

“Sudahlah. Awak jangan percaya semua tu. Kita cerita lainlah,” Amri mengelak.

“Awak ada masalah ke? Dari raut muka awak tu saya dapat baca. Awak cuba menyembunyikan sesuatu daripada saya, bukan?” ucap Nora pula.

Dia benar-benar terpukau dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Nora itu. Nora tahu yang dia berbohong dengan mengatakan tidak terlibat dengan lumba haram. Gejala tidak sihat yang sering melanda di kalangan remaja pada hari ini.

“Berterus teranglah. Apa sebenarnya masalah awak ni. Saya ni kan kawan awak. Manalah tahu kalau boleh saya tolong ….” Nora mengeluarkan nada suara yang lembut.

Amri terus mendiamkan diri. Entah mengapa. Gadis yang kini berada di depannya lain daripada gadis-gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini. Nora memerhatikan sahaja gelagat Amri itu yang sedang seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.

“Kalau awak tak nak cakap tak apalah. Setakat ni ajelah kita berkawan …,” gertak Nora pula.

“Nanti dulu …. Nanti dulu, Nora …. Baiklah. Saya akan beritahu awak. Apa sebenarnya masalah saya ….” Dia akhirnya mengalah dengan desakan Nora itu sambil mengeluarkan suara yang tersekat-sekat.

“Hah, macam tulah. Ceritakanlah. Saya nak dengar,” Nora berkata dengan senang dan mengukir senyuman manis.

“Sejak dari kecil saya tak pernah merasa kasih sayang dari ayah dan ibu. Mereka sibuk dengan urusan masing-masing. Saya tak dipedulikan. Saya bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan saya terlibat dengan lumba haram. Bila menang hati saya benar-benar gembira,” terang Amri pada Nora.

“Saya simpati dengan awak, Amri. Tapi jalan yang awak pilih tu bukanlah jawapan penyelesaian pada masalah yang awak hadapi. Tiada faedahnya melibatkan diri dengan lumba haram malah membahayakan nyawa. Amri. Saya merayu pada awak. Mulai hari ni tinggalkanlah lumba haram sebelum terlambat,” nasihat Nora.

“Itu saya tahu, Nora. Tapi …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Tapi apa? Saya tahu. Sukar bagi awak untuk meninggalkan tabiat buruk itu, kan? Menang bukan sahaja gembira. Hilang rasa bosan, dapat duit dan pasangan. Hari ini awak menang dalam perlumbaan. Tapi esok lusa belum tahu lagi. Mungkin awak akan ditangkap atau ditimpa kecelakaan. Siapa tahu. Maafkan saya Amri kerana tak sepatutnya saya cakap begitu pada awak. Tapi saya sebagai kawan awak saya berhak untuk cakap begitu. Kalau awak nak marah terpulanglah. Tapi fikirkanlah demi kebaikan awak,” Nora menambah dengan panjang lebar.

Amri lantas tunduk dan mendiamkan diri. Barulah dia tahu kini. Selama ini dia banyak menghabiskan usia muda dengan perkara yang sia-sia.

“Banyak cara yang awak boleh lakukan untuk menghilangkan rasa bosan. Dekatkanlah diri dengan Tuhan. Setiap kali lepas solat mohonlah doa. Moga awak diberi petunjuk dan kekuatan untuk keluar dari masalah yang membelenggu awak selama ini. Insya-Allah. Tuhan tidak akan mensia-siakan permintaan hambanya yang mahu berubah macam awak,” kata Nora lagi.

Tanpa disedari titis-titis air mata mengalir membasahi pipi Amri.

Rasa penyesalan benar-benar terbit di hatinya. Gadis bernama Nora yang cuba dipikatnya umpama cahaya yang menerangi hidupnya yang selama ini diselubungi dengan kegelapan.

Dengan perlahan-lahan Amri mengangkat muka bersama air mata yang mengalir memandang wajah Nora.

“Terima kasih, Nora …. Kerana telah menyedarkan saya …,” ucap Amri dalam nada suara yang terputus-putus kerana sebak menahan tangisan.

“Syukur alhamdulillah …,” Nora sebaliknya membalas lembut.

Sekembalinya ke rumah petang itu Amri lalu duduk di atas kerusi sofa berhadapan dengan ayah dan ibunya.

“Mak …. Ayah …. Amri minta maaf sekiranya apa yang Amri cakapkan ini mengguris hati ayah dan mak,” dia bersuara.

Rasa terkejut jelas terpancar di wajah ayah dan ibunya sambil saling berpandangan.

“Apa dia, Amri? Cakaplah. Ayah dan mak sedia mendengarnya,” ayahnya bersuara. Memberi peluang kepada Amri untuk meluahkan apa yang terbuka di hatinya.

Bukan setakat terperanjat sahaja rasa hairan turun dirasakan oleh ibunya. Tak pernah Amri bercakap lembut begini. Setahunya Amri seorang anak yang degil dan memberontak sejak dari kecil lagi apabila ditegur melakukan kesalahan.

“Ya, Amri! Apa yang kau nak beritahu mak dan ayah,” ibunya menambah pula.

“Amri selama ni sesat. Amri banyak membuang masa dengan kawan-kawan menyertai lumba haram. Semuanya ini kerana Amri rasa bosan dan dahaga kasih sayang ayah dan mak. Amri tahu. Ayah dan mak selalu sibuk dengan perniagaan. Sehingga tak ada masa dengan Amri. Tak macam orang lain. Anak dapat bersama dengan ayah dan ibu walaupun sibuk,” luah Amri pada ayah dan ibunya.

Kata-kata Amri itu membuatkan ayah dan ibunya terdiam. Benar apa yang diperkatakan oleh Amri itu. Kesibukan mereka menjadikan Amri dahagakan kasih sayang daripada seorang ayah dan ibu. Namun begitu mereka tetap bersyukur diberikan hidayat oleh Tuhan dengan Amri menyedarkan mereka akan kesilapan yang telah dilakukan.

“Mulai dari sekarang Amri berjanji tidak akan terlibat lagi dengan lumba haram. Amri akan tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Amri sedar. Usia masih muda lagi dan diperlukan oleh negara untuk menyumbang bakti,” janji Amri.

Ayahnya lalu menarik nafas yang panjang.

“Kau tak bersalah, Amri. Apa yang kau cakapkan tu memang benar. Selama ini ayah dan mak tak pedulikan kau akibat sibuk dengan mengejar kemewahan dunia. Sedangkan kaulah satu-satunya harta yang paling berharga kurniaan Tuhan untuk ayah dan mak …,” ayahnya bersuara perlahan.

“Syukurlah Amri kerana kau dah sedar akan kesilapan yang telah kau lakukan. Mulai hari ini mak dan ayah akan beri sepenuh perhatian pada kau,” ibunya berkata.

“Ayah! Mak!” Amri lantas bangun dari kerusi sofa dan memeluk ayah dan ibunya dengan penuh rasa kasih dan sayang.

13

WASIAT AYAH

Sayup-sayup kedengaran suara angin petang. Membelah seluruh kampung yang indah dan permai.

“Abang mesti tolong saya,” kata Borhan.

“Kau nak buat apa dengan geran tanah tu, Borhan?” soal Baharuddin.

“Saya nak cagarkan pada bank,” Borhan sebaliknya membalas.

“Cagarkan pada bank?” Serta-merta Baharuddin berasa terkejut. Apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh adiknya itu.

“Ya, bang!” Borhan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Saya nak buka perniagaan sendiri,” sambungnya lagi.

Baharuddin yang duduk di atas kerusi kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.

“Niat kau tu memang baik. Tapi sebelum ayah meninggal dunia dia berpesan supaya tanah itu diusahakan dan jangan dijual,” ingat Baharuddin.

“Itu saya tahu, bang. Tapi abang sendiri pun tahu kan. Tanah tu dah tak ada hasil. Buat apa disimpan,” jawab Borhan.

“Ya betul, Borhan! Baru-baru ni abang tanam pisang. Tapi tak menjadi,” akui Baharuddin.

“Dah tu. Apalagi yang nak diharapkan pada tanah tu, bang. Buang masa dan tenaga abang aje. Kan lebih baik dijadikan cagaran pada pinjaman saya,” ulang Borhan lagi.

“Borhan …! Borhan …!” Baharuddin bersuara lembut sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau jangan lupa, Borhan. Arwah ayah dah berwasiat. Tanah tu tak boleh dijual. Abang kena ikut,” tambahnya.

“Susahlah macam ni. Kalau abang tak nak tolong saya tak apelah. Mulai hari ini kita putus adik-beradik. Tapi saya akan buktikan. Yang saya akan berjaya membuka perniagaan sendiri. Saya pergi dulu. Selamat tinggal, bang!” Borhan berkata dan pantas berlalu pergi meninggalkan rumah abangnya.

“Borhan! Nanti dulu, Borhan. Dengar cakap abang ….” Dia cuba menahan adiknya.

Tak lama kemudian Salmah isterinya muncul sambil membawa dulang berisi minuman.

“Kenapa dengan Borhan tu, bang? Macam ada yang tak kena aje. Minum pun tak sempat,” ucapnya.

“Entahlah, Mah …,” keluh Baharuddin dengan lembut.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik mewah itu. Datuk Borhan yang memakai kot, bertali leher dan berkaca mata meneliti kertas kerja yang dibuat oleh Sabri.

“Bagus proposal yang awak buat ni. Lengkap dan padat. Saya yakin. Kita akan dapat projek tu,” ujarnya pada Sabri.

“Insya-Allah, Datuk. Sama-samalah kita berdoa,” Sabri menjawab.

“Saya kagum dengan awak, Sabri. Seorang pekerja yang komited dan jujur. Saya sungguh bertuah. Memiliki pekerja macam awak.” Datuk Borhan menghamburkan kata-kata pujian pada Sabri.

“Pujian itu terlalu tinggi buat saya, Datuk. Bukan itu yang saya harapkan. Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pekerja di syarikat ni. Melaksanakan apa yang Datuk arahkan. Apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan bersama syarikat. Bukannya untuk saya seorang.” Sabri tidak mudah leka dengan pujian itu. Sebaliknya merendah diri.

Datuk Borhan lalu mengukir senyuman kecil. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Sabri itu.

“Saya berkata dengan ikhlas, Sabri. Lagipun perkara yang baik. Memang patut dipuji,” Datuk Borhan bersuara.

Perbualan mereka yang rancak pantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Datuk Borhan.

“Hello! Waalaikumsalam. Ya, Encik Tahir. Tender perumahan Taman Bukit Melati Fasa 2. Ya. Syarikat saya ada masuk. Alhamdulillah. Baik, Encik Tahir. Terima kasih. Waalaikumsalam,” dia membalas.

“Saya ada berita baik, Sabri,” ucap Datuk Borhan dengan pantas. Sebaik-baik sahaja selesai menjawab panggilan telefon itu.

“Kita dapat tender perumahan Taman Bukit Melati Fasa 2,” Sabri mencelah.

“Benar, Sabri!” angguk Datuk Borhan.

“Syukur alhamdulillah. Rezeki syarikat kita, Datuk,” tambahnya lagi.

“Berkat kerja keras awak jugak, Sabri,” Datuk Borhan mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang wajah Sabri.

Tengah hari. Baharuddin duduk di atas pangkin sambil melepaskan pendangan ke arah bukit-bukau yang subur menghijau. Berhadapan dengan rumahnya yang jelas kelihatan.

Angin bertiup lembut. Terasa nyaman dan segar. Menyapu permukaan kulit. Pepohonan dan dedaunan bagai menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Yang datang dari arah bukit.

Bunyi suara ayam memagut jagung di atas tanah juga jelas kedengaran. Memecahkan suasana bersama cuaca panas terik.

Matahari yang meninggi di kaki langit biru dan gumpalan awan tebal memutih nampak terang-benderang cahayanya. Menyimbah ke seluruh kampung.

“Baru balik, bang?” tegur isterinya.

“Ya, Mah!” Baharuddin dengan cepat menjawab.

“Macam mana dengan pisang yang abang tanam tu? Dah berbuah ke?” isterinya tak henti-henti menyoal.

“Alhamdulillah, Mah. Ada setandan abang bawa balik. Abang letak di dapur,” balasnya.

“Bang! Tadi Sabri telefon,” jelas isterinya pula.

“Apa dia nak?” tanya Baharuddin pada isterinya.

“Dia kirim salam kat abang,” jelas isterinya.

“Waalaikumsalam!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Dia nak balik hujung minggu ni,” terang isterinya lagi.

“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya dia dapat menjenguk kita walaupun sibuk dengan kerja,” Baharuddin berkata.

Hari semakin menghampiri senja. Sabri masih lagi belum pulang.

“Awak masih belum balik lagi, Sabri?” Datuk Borhan menyoal.

“Belum, Datuk. Saya nak siapkan kerja yang Datuk beri tadi,” dia menerangkan pada Datuk Borhan.

“Oh, begitu!” dia sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Sabri itu.

“Banyak lagi ke?” Datuk Borhan memandang Sabri sambil mengangkat kepala.

“Sikit aje lagi, Datuk,” jelasnya.

Datuk Borhan kemudiannya lalu melihat jam di tangan.

“Waktu maghrib pun dah nak masuk ni. Kita pergi berjemaah di masjid. Lepas tu kita pergi makan,” ajak Datuk Borhan.

“Baik, Datuk!” Dia menurut sahaja akan ajakan Datuk Borhan itu.

Selepas menunaikan solat Maghrib di masjid Datuk Borhan dan Sabri menjamu selera di Restoran Orang Kampung.

“Saya macam awak jugak, Sabri. Berasal dari kampung. Mulanya saya bekerja sebagai pembantu pengurus projek. Lama-kelamaan saya membuka syarikat sendiri.” Dia membuka kisah silam yang dilaluinya pada Sabri.

“Saya benar-benar kagum dengan Datuk. Yalah. Bermula dari bawah. Kemudian berjaya membuka syarikat besar seperti sekarang,” balas Sabri sebaliknya.

“Tapi kejayaan yang saya nikmati hari ni tak semudah datang bergolek,” Datuk Borhan bersuara tenang.

“Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa Datuk hadapi?” sampuknya pula dengan pantas.

“Benar, Sabri!” Datuk Borhan mengangguk-anggukkan kepala dan menarik nafas yang panjang.

“Saya berpatah arang berkerat rotan dengan abang kandung saya sendiri …,” dia menyambung dengan mengeluarkan nada suara yang lemah.

Sabri sebaliknya hanya mendiamkan diri. Dia memandang dalam-dalam wajah Datuk Borhan. Mendengar dengan penuh minat kisah silam pengurus syarikat tempat dia bekerja.

“Puncanya saya minta geran tanah pusaka milik arwah ayah saya. Untuk dijadikan cagaran pinjaman bank untuk membuka syarikat. Tapi dia enggan menyerahkannya kepada saya. Katanya dia memegang wasiat arwah ayah saya. Tanah itu mesti diusahakan dan jangan dijual,” ucap Datuk Borhan lagi.

“Jadi Datuk merajuk dan kecil hati dengan abang Datuk?” soalnya pula.

“Sehingga sekarang saya tidak mendengar khabar berita darinya. Saya langsung tak balik ke kampung. Sedangkan dialah satu-satunya abang kandung saya,” Datuk Borhan membalas.

Seperti yang dijanjikan Sabri pulang ke kampung pada hujung minggu.

“Macam mana dengan pekerjaan kau, Sabri?” ayahnya bertanya.

“Alhamdulillah, ayah. Semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” dia sebaliknya menjawab.

“Hah, baguslah macam tu. Ingat pesan ayah selalu. Bekerjalah dengan rajin dan jujur. Tanamkan dalam hati. Bekerja bukan untuk mengejar pangkat dan kemewahan semata-mata. Tapi adalah ibadah selagi masih bernafas di dunia ni,” Baharuddin memberikan nasihat pada anaknya. Dengan penuh panjang lebar.

“Insya-Allah, ayah! Saya akan sentiasa ingat segala pesan ayah. Untuk pengetahuan mak dan ayah lagi bulan depan saya akan dinaikkan pangkat.” Dia menyampaikan berita gembira kepada ayah dan ibunya.

“Ya? Syukur alhamdulillah. Rezeki namanya tu,” sahut ayahnya pula.

“Datuk tempat syarikat saya bekerja tu percaya betul dengan saya. Sebab itulah saya dinaikkan pangkat,” terang Sabri.

“Ayah harap kau balaslah kepercayaan yang diberikan oleh Datuk itu dengan baik.” Dia sebaliknya mengingatkan anaknya.

“Insya-Allah, ayah!” angguk Sabri dengan pantas.

“Saya berjanji. Tidak akan mensia-siakan harapan Datuk tu pada saya,” ikrarnya lagi.

“Hah, kerja dah bagus pangkat dah naik tapi satu lagi yang kurang dengan kau.” Ibunya yang selama ini berdiam diri tiba-tiba menyampuk. Ayahnya lalu memalingkan muka ke arah ibunya. Yang duduk di sebelahnya.

“Apa dia, mak?” Sabri menyoal ibunya.

“Kahwin? Hah, bila lagi?” tanya ibunya sambil mengangkat kepala dan memandang tepat wajah Sabri. Yang duduk berhadapanan dengannya.

“Oh, kahwin. Sabarlah, mak. Biarlah saya tumpukan perhatian dulu terhadap pekerjaan. Kata orang kalau dah jodoh tak ke mana. Dah tiba masanya nanti kahwinlah saya. Mak tak usahlah risau. Saya ni kan lelaki. Bukannya perempuan.” Dia memberikan jawapan pada soalan yang dikemukakan oleh ibunya itu.

“Ke situ pulak perginya …,” rengus ibunya pula.

Baharuddin dan anaknya lantas ketawa.

Dari jauh kelihatan rumah banglo mewah. Tersergam indah di atas puncak Bukit Antarabangsa. Borhan duduk termenung di ruang tamu rumah. Dari riak mukanya jelas menggambarkan dia sedang memikirkan sesuatu.

“Jauh mengelamun nampak? Apa yang abang fikirkan tu?” Latipah isterinya menegur. Dia kemudiannya lalu duduk berhadapan dengan Borhan.

Lamunannya yang jauh melayang hingga terasa sampai ke awangan itu lantas terhenti. Borhan menarik nafas yang panjang. Dia memandang wajah isterinya dalam-dalam sambil mengukir senyuman kecil. Latipah memerhatikan sahaja gelagat suaminya itu.

“Tak ada apa-apa, Tipah! Cuma abang terkenangkan Sabri,” Borhan berkata.

“Sabri?” tanya isterinya pula.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Pekerja di syarikat kita. Budaknya baik. Rajin bekerja dan jujur. Berkenan abang nak jodohkan dia dengan Miza anak kita tu. Sekurang-kurangnya dia dengan Miza dapat menjaga syarikat kita tu.” Dia menyatakan hasrat murninya pada isterinya.

“Tipah tak kisah, bang. Apa yang abang fikirkan baik Tipah pun begitu jugak. Tapi apa pun biarlah Miza tu habiskan pelajarannya dulu di luar negeri,” ucap isterinya pula.

“Yalah, Tipah. Itu cuma cadangan abang saja. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bercakap pasal Sabri ni abang teringat pada Abang Baharuddin. Wajahnya saling tak tumpah macam dia,” Borhan bersuara.

“Dah lama abang putus hubungan adik-beradik dengan dia. Khabar berita pun tak dengar. Macam manalah agaknya keadaan dia sekarang ya, bang …?” isterinya menambah dalam nada suara yang lembut.

Borhan sebaliknya diam. Kata-kata isterinya itu semakin menguatkan ingatannya terhadap abangnya Baharuddin. Serta-merta juga dia teringatkan pesan arwah ayahnya. Agar jangan putus hubungan adik-beradik. Hanya Baharuddin sajalah satu-satunya abang kandungnya yang ada di dunia ini.

Latipah dapat membaca apa yang sedang menyelubungi perasaan suaminya.

“Abang ….” Dia terus mengeluarkan nada suara yang halus. Borhan memandang tepat wajah isterinya.

“Yang sudah tu sudahlah. Buang yang keruh ambillah yang jernih. Tiada gunanya abang menyimpan perasaan dendam terhadap Abang Baharuddin. Dia bukannya orang lain. Abang kandung abang jugak. Maafkan Tipah, bang. Tak sepatutnya Tipah cakap macam ni pada abang. Tapi demi kebaikan bersama Tipah beranikan juga,” luah Latipah dengan penuh panjang lebar pada suaminya.

“Tipah tak bersalah dalam hal ini. Apa yang Tipah cakap memang benar. Sejak kebelakangan ini abang asyik teringatkan dia. Sampai terbawa-bawa dalam mimpi …,” kata Borhan pula dalam nada suara yang perlahan.

“Sudahlah, bang. Apa kata esok kita pergi jumpa dia. Tautkan kembali hubungan abang dengan dia. Yang telah sekian lama terputus,” ajak isterinya pula.

“Yalah, Tipah!” dia sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda menurut sahaja ajakan isterinya tu.

Sebuah kereta mewah kelihatan memasuki halaman rumah Baharuddin.

“Bang! Ada orang datang,” ujar Salmah.

“Yalah! Siapa ni?” dia membalas.

Baharuddin berasa sungguh terkejut. Dia seakan-akan tidak percaya. Yang turun dari kereta mewah itu Borhan dan isterinya.

“Assalamualaikum, bang,” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam,” Baharuddin menjawab. Kedua-dua beradik itu lantas berpelukan erat.

“Bang …. Maafkan saya …,” dia bersuara sambil menitiskan air mata.

“Sudahlah, Borhan. Syukur alhamdulillah. Kita dapat bertemu semula. Marilah kita naik ke rumah!” Dia mengeluarkan nada suara yang penuh dengan rasa gembira tak terhingga.

Cuaca yang kelihatan cerah sejak dari pagi tadi bersama tiupan angin yang datang dari arah bukit turut berkongsi rasa kegembiraan. Apabila kedua adik-beradik yang telah terputus hubungan sejak sekian lama kembali bercantum semula.

“Mari, Tipah. Boleh kita berbual panjang. Lama kita tak jumpa,” isterinya pula mencelah.

“Yalah, kak!” angguknya.

Sabri muncul di muka pintu ketika Baharuddin, Borhan, Salmah dan Latipah melangkah naik ke rumah.

“Datuk?” Dia merasa sungguh terperanjat apabila melihat Datuk Borhan bersama dengan isterinya.

“Sabri? Apa awak buat kat sini?” soal Borhan yang turut berasa terkejut.

“Kau kenal dengan dia ni, Sabri?” tanya Baharuddin dengan rasa penuh hairan sambil memandang wajah anaknya.

“Datuk Borhan ni tuan punya syarikat tempat saya bekerja, ayah,” jelasnya pula.

Salmah dan Latipah sebaliknya hanya mendiamkan diri sambil saling berpandangan melihat pertemuan bersejarah keluarga ini.

“Jadi, Sabri ni anak buah saya?” ucap Borhan.

“Ya, Borhan! Air dicincang takkan putus!” abangnya menambah.

14

JIHAD

Angin petang bertiup lemah-gemalai. Membelah seluruh kampung. Waktu asar belum lagi masuk. Lebai Dollah awal-awal lagi sudah tiba di masjid. Sebaik-baik sahaja Lebai Dollah mematikan enjin motosikal Osman muncul.

“Assalamualaikum, lebai,” Osman lalu memberi salam.

“Waalaikumsalam,” jawab Lebai Dollah sebaliknya sambil bersalaman dengan Osman.

“Panas betul sekarang ya, lebai. Musim kemarau agaknya,” tambah Osman pula.

“Yalah! Dah tiga bulan hujan tak turun. Macam mana pun kita kena bersyukur. Panas ke hujan ke sudah ditentukan Tuhan asalkan tak ditimpa bencana. Macam negara lain. Yang kita tengok di tv dan suratkhabar tu,” Lebai Dollah berkata.

“Memang betul kata lebai tu. Semuanya kehendak Tuhan. Bukan kehendak kita sebagai manusia. Tapi kalau direnung-renung balik bencana yang berlaku adalah balasan Tuhan kepada manusia yang melakukan dosa di atas muka bumi ini,” Osman mencelah.

“Benar, Man. Kita sebagai hamba hendaklah sentiasa taat dan patuh pada segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” ucap Lebai Dollah.

“Oh, ya! Lebai perasan tak. Dah lama Haji Deris tak datang ke masjid ni. Kalau tak silap saya dah hampir sebulan. Sembahyang Jumaat pun dia pergi ke masjid Kampung Bidara,” kata Osman.

“Entahlah, Man. Aku sendiri pun tak faham. Kenapa tiba-tiba dia tak mahu jejakkan kaki di masjid ni …,” keluh Lebai Dollah sebaliknya dalam nada suara lemah.

“Apa yang saya dengar sekarang dia rapat dengan guru agama dari Tanah Seberang,” jelas Osman pada Lebai Dollah.

“Guru agama dari Tanah Seberang?” soal Lebai Dollah sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Osman.

“Ya, lebai! Mak Som yang beritahu!” Osman menambah sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Lebai Dollah sebaliknya diam apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Osman itu. Dia kemudiannya melihat jam di tangan.

“Hah, waktu pun dah masuk. Pak Imam pun dah sampai. Kau laungkanlah azan, Man,” arah Lebai Dollah.

“Yalah, lebai!” Osman pantas menjawab.

Haji Deris duduk berehat di ruang tamu rumah. Tak lama kemudian Mak Som muncul sambil membawa dulang berisi minuman.

“Minum, bang,” pelawa Mak Som.

Dia lalu menghirup perlahan-lahan air kopi yang masih panas itu. Asap nipis yang keluar daripada air kopi kelihatan teroleng-oleng naik ke atas.

“Saya tengok abang dah lama tak pergi ke masjid,” Mak Som menegur suaminya.

“Awak kan tahu. Saya sekarang tengah berjihad dengan tuan guru dari Tanah Seberang tu. Menentang musuh-musuh Islam,” balas Haji Deris.

“Tapi takkanlah asyik dengan berjihad sehingga tak ada masa untuk pergi berjemaah di masjid,” tingkah Mak Som pula.

“Itulah awak orang perempuan. Apa tahu. Sudah. Malas saya nak layan awak. Saya nak pergi berjumpa dengan tuan guru.” Haji Deris lalu bingkas bangun.

Di kaki langit matahari kian meninggi. Tanda sudah tengah hari. Cahayanya menyimbah ke seluruh kampung. Panas memijar terasa menggigit-gigit permukaan kulit.

Pepohonan dan dedaunan hijau meliuk-liuk ke kiri kanan. Lemah-gemalai mengikut rentak tiupan angin yang datang dari arah bukit-bukau menghijau.

Dari jauh kelihatan Lebai Dollah dan isterinya sedang bekerja di kebun bersebelahan dengan rumahnya. Lebai Dollah berhenti seketika. Sambil mengesat peluh yang mengalir di dahi dia memandang ke langit biru bersama dengan gumpalan awan tebal memutih. Jelas kelihatan terang-benderang.

“Bang! Saya balik dululah, ya. Dah tengah hari ni!” pinta isterinya.

“Yalah!” angguk Lebai Dollah pula.

“Oh, ya. Sebelum saya terlupa. Nanti abang petik pucuk ubi, ya. Tengah hari ni saya buat sambal belacan,” isterinya bersuara lagi.

“Yalah! Nanti abang petik,” ulang Lebai Dollah. Isterinya pantas berlalu pergi dari situ.

Tak lama kemudian kedengaran bunyi enjin motosikal. Lebai Dollah lalu menjengahkan kepala. Untuk melihat siapa yang datang. Osman rupanya.

“Assalamualaikum, lebai,” Osman memberi salam. Enjin motosikal lantas dimatikannya.

“Waalaikumsalam. Kau dari mana ni, Man?” Lebai Dollah menjawab.

“Dari kedai. Lebai ada dengar tak cerita Haji Deris dan beberapa orang kampung terpengaruh dengan tuan guru dari Tanah Seberang tu untuk berjuang menentang musuh-musuh Islam,” ucap Osman.

Dengan serta-merta rasa kehairanan jelas terpancar di wajah Lebai Dollah. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Osman itu.

“Betul ke ni, Man? Mana kau dapat cerita ni?” tanya Lebai Dollah.

“Dari Karim. Dia kata tuan guru tu hebat orangnya. Selain daripada memiliki agama yang tinggi dia juga telah berjaya membunuh ramai musuh Islam. Terutamanya yang datang ke Tanah Seberang.” Dia menerangkan pada Lebai Dollah.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dengan perjuangan yang dibawa oleh tuan guru tu. Jihad memang dituntut dalam Islam. Tapi kita tak boleh membunuh mereka bukan Islam dengan sesuka hati,” kata Lebai Dollah pula.

“Habis, apa kita nak buat ni, lebai? Perkara ini tak boleh kita biarkan berlaku. Akibat terpengaruh dengan perjuangan songsang ni ada penduduk kampung kita menjadi pengganas. Membunuh orang-orang bukan Islam dengan sesuka hati. Seperti yang kita lihat di tv dan akhbar. Sedangkan Islam melarang semua tu,” Osman sebaliknya menambah dengan panjang lebar.

Lebai Dollah diam. Dari raut wajahnya jelas dapat dibaca. Dia sedang memikirkan sesuatu. Mata Osman tidak berkelip-kelip. Memandang gelagat yang ditunjukkan oleh Lebai Dollah itu. Kemudian Lebai Dollah lalu menarik nafas yang panjang. Setelah menemui jawapan pada persoalan yang dilontarkan oleh Osman itu.

“Perkara ni tak boleh dibiarkan. Kita mesti jumpa Haji Deris. Kita nasihatkan dia supaya berhenti daripada melakukan kerja yang sia-sia ni. Aku yakin. Haji Deris telah diperalatkan oleh tuan guru tu supaya mempengaruhi orang-orang kampung,” ujar Lebai Dollah.

“Itulah yang sebaik-baiknya, lebai. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Dah tengah hari ni. Nak ambil anak balik dari sekolah. Assalamualaikum,” mohon Osman.

“Waalaikumsalam!” Lebai Dollah membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Osman lalu menghidupkan enjin motosikal. Lebai Dollah memerhatikan sahaja Osman berlalu pergi sehingga hilang di pandangan mata. Dia kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Memikirkan Haji Deris dan beberapa penduduk kampung yang terpengaruh dengan perjuangan salah yang dibawa oleh tuan guru dari Tanah Seberang.

Dalam hati kecilnya dia memunajatkan doa. Agar Tuhan memberikan taufik dan hidayat kepada mereka. Meninggalkan perjuangan yang salah itu. Kembali semula ke pangkal jalan. Menurut jihad yang sebenar dituntut oleh agama Islam.

Haji Deris terus pulang ke rumah selepas berjumpa dengan tuan guru. Setibanya di rumah dia lalu duduk di atas kerusi kusyen berwarna biru air laut.

Di luar cuaca kelihatan redup. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Membelah suasana kampung yang indah dan permai. Pohon kelapa yang tumbuh di halaman rumah Haji Deris melambai-lambai disapu angin. Seolah-olah mengajak perantau di kota pulang ke tempat kelahiran mereka.

Dedaunan kelapa yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Menusuk hingga ke jiwa. Kesepian yang melanda rasa terhibur apabila mendengar nyanyiannya.

Dia lalu memanggil isterinya. Mak Som yang berada di dapur lalu menuju ke ruang tamu rumah.

“Ada apa, bang?” tanya Mak Som.

“Mulai hari ni saya tak mahu barang-barang buatan orang bukan Islam dalam rumah ni. Saya nak awak buang semua. Pakai barang buatan orang Islam. Awak faham!” ingat Haji Deris.

“Kenapa pulak, bang? Tiba-tiba aje abang suruh buang. Nada suara Mak Som berbunyi hairan dan terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut suaminya itu.

“Awak jangan banyak soal. Saya kata buang. Buang ajelah!” Haji Deris menjawab.

“Yalah! Saya nak tahu jugak. Apa sebabnya?” tambah isterinya pula.

“Orang bukan Islam tu musuh kita. Kata tuan guru kalau kita menggunakan barang buatan mereka bererti kita menyokong mereka. Kita mesti hapuskan mereka. Jangan biarkan mereka hidup!” ulang Haji Deris pada isterinya dengan penuh semangat.

“Bang …. Mereka tu manusia macam kita jugak. Nak hidup di atas dunia ni. Walaupun berlainan agama. Islam tak mengajar kita agar melakukan kezaliman sesama manusia …,” Mak Som sebaliknya cuba menasihatkan suaminya. Dengan mengeluarkan suara yang lembut.

“Susahlah awak ni, Som. Saya berjuang di jalan yang benar. Sepatutnya awak merasa bangga dan menyokong perjuangan suci saya ni. Ini tidak. Awak bangkang pulak!” bantah Haji Deris.

“Semua orang kampung cakap perjuangan yang dibawa oleh tuan guru tu salah. Sudahlah, bang. Saya minta abang janganlah percaya sangat dengan ajaran tuan guru tu,” rayu Mak Som pada suaminya yang terpengaruh dengan perjuangan sesat yang dibawa oleh tuan guru dari Tanah Seberang itu.

“Dahlah, Som! Awak dengan orang kampung sama saja. Tak faham tentang jihad. Kalau awak tak nak berdiri teguh di belakang saya tak ape. Tapi saya tetap akan berjuang bersama dengan tuan guru menghapuskan orang bukan Islam!” dia membangkang dengan sekeras-kerasnya.

Mak Som hanya mampu mendiamkan diri sambil memerhatikan suaminya bingkas bangun dan menuju ke dalam bilik. Dia kemudiannya lalu mengambil keputusan berjumpa dengan Lebai Dollah.

“Dia dan tok guru tu berjihad nak menghapuskan semua orang bukan Islam?” Lebai Dollah berasa sungguh terperanjat apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Mak Som itu.

“Tolonglah, lebai. Saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Dah puas saya nasihatkan dia. Tapi dia tetap berdegil. Nak berjuang dengan tuan guru yang berfahaman salah tu,” Mak Som merayu pada Lebai Dollah.

Apabila mendengarkan kata-kata Mak Som itu Lebai Dollah lalu beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepala. Isterinya yang duduk di sebelahnya turut berasa terkejut.

“Bersabarlah, Som. Aku dan Osman dah bincangkan perkara ni. Kita mesti selamatkan dia dan beberapa penduduk kampung. Sama-samalah kita berdoa pada Tuhan. Insya-Allah. Dia dan mereka yang selama ini jauh tersesat akan pengertian jihad sebenar sedar dan kembali semula ke jalan yang diredhai,” Lebai Dollah berkata dalam nada suara yang tenang dan memberi semangat pada Mak Som.

“Betul tu, Som. Banyakkanlah berdoa. Mungkin ini ujian dari Tuhan. Harus ditempuhi dengan tabah dan sabar,” isteri Lebai Dollah menyampuk.

“Nanti aku dan Osman akan nasihatkan dia. Kau janganlah bimbang, Som,” ucap Lebai Dollah pula.

“Terima kasih, lebai!” Mak Som membalas.

“Sama-sama, Som!” Lebai Dollah mengangguk-anggukkan kepala.

“Jemput minum, Som,” pelawa isteri Lebai Dollah.

Seperti yang dijanjikan Lebai Dollah dan Osman pun pergi berjumpa dengan Haji Deris.

“Jihad kan dituntut dalam agama. Kita mesti tunaikan. Baru Islam kuat,” tahan Haji Deris.

“Memang betul. Tapi kenalah dengan cara yang betul. Bukannya dengan keganasan,” tingkah Lebai Dollah.

“Pak Haji menggunakan kekerasan dengan menjadikan orang yang tidak berdosa sebagai mangsa tidak dituntut dalam agama. Banyak lagi cara jihad yang boleh kita buat untuk menegakkan Islam. Tapi bukannya dengan membunuh seperti yang diajar oleh tuan guru tu,” Osman mencelah.

“Kau mana tahu tentang jihad, Man. Tak usahlah kau nak mengajar aku. Dah terang-terang mereka tu musuh kita. Buat apa dibiarkan hidup,” Haji Deris menjawab.

“Deris …. Kita sebagai orang Islam diajar supaya berbuat baik di antara satu sama lain. Tanpa mengira bangsa dan agama. Kita mestilah menunjukkan contoh teladan yang baik. Bukannya bertindak dengan liar dan tidak berperikemanusiaan …,” Lebai Dollah memujuk Haji Deris dalam nada suara yang halus.

“Sudah! Sudah! Aku tak mahu dengar apa yang kau orang nak kata. Walau apa pun yang terjadi aku dan tuan guru akan tetap berjihad menghapuskan orang bukan Islam di muka bumi ini!” Dia memberikan kata putus.

Lebai Dollah dan Osman saling berpandangan. Mereka kemudiannya beredar meninggalkan rumah Haji Deris.

“Susah macam ni, lebai. Kita nak selamatkan dia tapi dia tetap menyokong perjuangan tuan guru yang sesat tu,” Osman mengeluh hampa. Usahanya bersama Lebai Dollah untuk memujuk Haji Deris meninggalkan jihad dengan menggunakan keganasan menemui jalan kegagalan. Lebai Dollah lalu menarik nafas yang panjang.

“Kita tak boleh berputus asa. Haji Deris dan beberapa orang kampung yang terpengaruh dengan perjuangan yang salah tu kita mesti selamatkan. Kita berdoalah pada Tuhan. Agar mereka diberi petunjuk dan sedar akan kesilapan yang mereka lalukan selama ini,” Lebai Dollah bersuara sambil memegang lembut bahu Osman.

Pada keesokan harinya selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan Lebai Dollah dan Osman pergi ke pejabat agama.

“Tak sangka. Ada orang yang sanggup memperalatkan agama untuk kepentingan diri sendiri,” rengus Osman. Sebaik-baik sahaja keluar daripada pejabat agama dan sambil berjalan bersama-sama dengan Lebai Osman menuju ke tempat letak motosikal.

“Orang yang gila kuasa sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita. Kata pegawai agama tadi tuan guru sudah lama dikehendaki oleh pihak berkuasa di Tanah Seberang. Dia menggunakan jihad sebagai topeng untuk menubuhkan kerajaan sendiri,” Lebai Dollah mencelah.

“Yang saya pelik tu lebai ada pulak pengikutnya. Sedangkan dah terang dan nyata. Dia tu seorang penjenayah kejam,” Osman berkata.

“Itulah akibatnya kalau kita mudah terpengaruh dan kurang ilmu agama. Tambah pulak dia menyamar sebagai guru agama. Kita tengoklah nanti, Man. Pejabat agama dah pun menyerahkan perkara ni pada pihak berkuasa. Sudahlah. Mari kita balik,” ajak Lebai Dollah pula.

“Yalah, lebai!” angguk Osman pula. Sebagai tanda setuju dengan ajakan Lebai Dollah itu.

Keesokan paginya Haji Deris dikejutkan dengan suara Karim dengan memanggil namanya.

“Ada apa ni, Karim? Pagi-pagi lagi nampak cemas. Macam sesuatu yang buruk aje berlaku,” kata Haji Deris yang berdiri tercegat di muka pintu.

“Memang ada berita buruk ni, Pak Haji …,” Karim sebaliknya membalas dalam nada suara yang tercungap-cungap.

“Berita apa, Karim?” ulang Haji Deris pula sambil mengangkat kepala tinggi memandang wajahnya.

“Tuan …. Tuan …. Guru ….” Suara Karim terputus-putus dan terhenti.

“Yalah, tuan guru. Kenapa dengan dia? Kau cakap ajelah,” desak Haji Deris.

“Dia kena tangkap. Rupanya kita kena tipu selama ni. Dia sebenarnya bukan guru agama. Tapi pengganas yang paling dikehendaki. Dia datang ke kampung ni kerana melarikan diri. Setelah melakukan serangan bom di salah sebuah tempat di Tanah Seberang. Orang Islam di sana juga terkorban,” terang Karim pada Haji Deris.

“Apa?” Dia berasa sungguh terkejut dan beristighfar panjang.

15

TERJEBAK

Angin dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di kaki langit bola matahari belum kelihatan lagi. Pagi masih muda lagi. Kesejukan terasa membungkus seluruh suasana. Kesan dari hujan lebat yang turun malam tadi. Sampai subuh baru berhenti. Dedaunan hijau dan rumput kelihatan basah.

Selepas bersarapan pagi Rosdin menghidupkan enjin motosikal menuju ke kebun pisang. Setibanya di kebun pisang dia memulakan kerja-kerja seperti biasa. Sedang dia asyik bekerja dengan tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi orang memberi salam. Dia lantas berhenti dan menoleh ke arah suara itu. Pak Majid rupanya dan dia lalu menjawab salam sambil berjabat tangan.

“Macam mana dengan hasil tanaman pisang kau, Rosdin?” soal Pak Majid yang bersongkok berbaju kemeja lengan pendek berwarna biru tua dan berseluar hitam.

“Alhamdulillah, Pak Majid. Berbuah lebat nampaknya,” Rosdin menjawab sambil mengesat peluh di dahi. Bola matahari perlahan-lahan menampakkan sinarnya. Pokok-pokok pisang seperti terbuai-buai bersama pelepah ditiup angin yang berentak perlahan.

“Baguslah, Rosdin. Kalau berbudi pada tanah inilah habuan yang dapat. Aku datang ni pun pasal nak beli buah pisang kau tu. Kau pun tahu bukan. Aku ni pengusaha kerepek,” dia menyatakan hajatnya pada Rosdin.

“Saya tak ada masalah untuk membekalkan bekalan pisang pada Pak Majid. Cakap aje berapa tandan nak. Tapi minggu depan barulah pisang tu masak,” jelas Rosdin pula.

“Tak apalah macam tu. Aku bukannya nak sekarang. Tentang harga macam mana pulak?” tanya Pak Majid lagi.

“Pasal harga saya tak dapat nak putuskan sekarang. Macam ni ajelah, Pak Majid. Apa kata kalau kita ikut harga timbang. Macam yang kita selalu beli di kedai tu,” cadang Rosdin sebaliknya.

“Eloklah tu, Rosdin. Aku setuju sangat. Kalau macam tu aku minta diri dulu. Aku sebenarnya nak ke pekan. Kebetulan lalu depan kebun pisang kau ni. Aku pun singgahlah. Aku pergi dulu ya. Assalamualaikum,” mohon Pak Majid sambil berjabat tangan.

“Waalaikumsalam,” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Rosdin meneruskan semula kerja-kerja yang terhenti buat seketika. Menyangkul pangkal pokok pisang dan membubuh baja. Memangkas pelepah pisang yang kering dan melonggokkannya setempat. Bola matahari terasa tegak di atas kepala. Sedar-sedar sudah tengah hari. Dia berhenti seketika dan menarik nafas panjang sambil memandang sekeliling kebun pisang. Tekaknya terasa haus dan kering. Maklumlah banyak peluh yang keluar. Bekerja di tengah panas.

Dia lalu menuju ke pondok kecil yang terdapat di kebun pisang. Bertiangkan dan berlantaikan papan. Beratapkan zink yang telah berkarat. Tetapi masih kukuh dan kuat lagi. Diteguknya perlahan-lahan air suam yang dibawanya dari rumah. Terasa nyaman dan dingin. Seperti air terjun di pinggir kali. Bila membasahi tekak yang basah. Dia lalu duduk untuk melepaskan penat. Dengan renungan yang tajam dan penuh bermakna dia melemparkan pandangan ke arah pokok-pokok pisang.

“Apa abang nak tinggalkan kampung ni?” kata Salmah.

“Ya, Salmah. Abang sedar siapa diri ni. Sebab itulah ayah Salmah menolak pinangan abang,” Rosdin membalas.

“Bang. Bawalah Salmah bersama. Salmah rela mengikut abang walau ke mana sahaja …,” rayu Salmah pula.

“Tak boleh, Salmah!” bantah Rosdin sebaliknya.

“Kenapa, bang? Salmah benar-benar cintakan abang. Lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidup Salmah hanya abang seorang sahaja,” ucap Salmah lagi.

“Abang juga begitu, Salmah. Terimalah ketentuan dari Tuhan. Jodoh Salmah bukan dengan abang. Jodoh Salmah dengan Hashim,” Rosdin menambah.

“Salmah tak cintakan Hashim. Salmah cintakan abang,” ujar Salmah.

“Maafkan abang, Salmah. Abang doakan semoga Salmah hidup bahagia dengan Hashim. Selamat tinggal,” Rosdin bersuara.

“Abang …!” Salmah lalu menangis teresak-esak.

Setibanya di rumah Rosdin lalu mengemaskan pakaian. Dia sudah nekad. Membawa hatinya yang luka ke Kuala Lumpur.

“Kau berkemas pakaian ni nak ke mana, Rosdin?” tegur Mak Limah.

“Ke Kuala Lumpur, mak,” dia menjawab sambil melipat kain dan baju ke dalam beg.

“Ke Kuala Lumpur? Kau nak buat apa kat sana, Rosdin? Kuala Lumpur tu besar. Kita bukannya ada saudara mara kat sana. Kalau kau susah nanti siapa nak tolong kau.” Mak Limah cuba menahan anaknya.

“Rosdin nak berjaya dalam hidup, mak. Kat Kuala Lumpur banyak kerja boleh buat. Duit pun senang dapat. Lainlah kerja kebun kat kampung. Siapa nak buat menantu,” terang Rosdin pula.

“Sabarlah, Rosdin. Ramai lagi gadis di kampung ni yang boleh kau jadikan isteri. Bukan Salmah seorang saja,” Mak Limah memujuk Rosdin agar tidak meninggalkan kampung.

“Rosdin dah buat keputusan, mak. Walaupun tak ada kelulusan tinggi Rosdin tetap akan ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Rosdin pergi dulu, mak,” dia memohon izin sambil mencium tangan ibunya.

“Rosdin …. Rosdin …. Nanti dulu …,” Mak Limah cuba menahan anaknya. Ternyata dia amat berat untuk melepaskan Rosdin pergi ke Kuala Lumpur.

Setibanya di Kuala Lumpur sewaktu di perhentian bas dia berjumpa dengan Ludin.

“Awak nak ke mana? Nampak macam baru sampai di Kuala Lumpur,” tegur Ludin dengan penuh ramah.

“Ya. Saya Rosdin. Dari kampung hajat datang ke Kuala Lumpur ni nak cari kerja,” akuinya.

“Oh begitu. Saya Ludin!” dia memperkenalkan diri sambil menganggukkan kepala dan berjabat salam dengan Ludin.

“Saya tak tahu ke mana nak pergi. Saya tak ada kawan dan saudara-mara di Kuala Lumpur ini.” Rosdin sebaliknya berterus terang pada Ludin yang baru dikenalinya.

“Tinggal saja di rumah aku,” ajak Ludin dengan bersungguh-sungguh.

“Betul ke ni? Tak menyusahkan kau ke?” soal Rosdin pula yang berasa amat terkejut dengan pelawaan Ludin itu.

“Sungguh. Kau tak percaya dengan aku. Sudahlah. Mari ikut aku ke rumah,” ucap Ludin lagi. Rosdin hanya mendiamkan diri dan menurut saja ajakan Ludin itu.

“Kau kerja apa Ludin. Tinggal dalam rumah besar macam ni. Pakai kereta besar,” Rosdin bersuara sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi sofa yang berwarna hitam.

“Aku kerja sendiri,” Ludin membalas.

“Kerja sendiri?” ujar Rosdin dengan cepat.

“Ya! Apa sebenarnya tujuan kau datang ke Kuala Lumpur ni selain daripada mencari kerja. Boleh aku tahu?” tambah Ludin sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang tepat wajah Rosdin.

“Aku sebenarnya nak menghilangkan rasa luka di hati,” terang Rosdin.

“Tentang kerja tu kau jangan risau. Kebetulan boss aku tengah cari pekerja baru. Besok aku bawa kau jumpa dia. Aku yakin. Dia mesti terima kau,” ujar Ludin.

“Ya ke ni, Ludin? Aku baru aje sampai di Kuala Lumpur ni. Takkan terus dapat kerja?” Dia seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Ludin itu.

“Kau ni. Masih tak percaya dengan aku. Pandailah aku ayat boss aku tu nanti,” yakin Ludin lagi. Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Ludin.

“Sekejap ya. Hello. Ya, Rony. Ada stok tu ada kau jangan bimbang. Takkan aku nak tipu pulak. Besok aku beri. Kau percayalah. Tempat macam biasa. OK!” Ludin menjawab panggilan itu.

“Baru aku tahu. Kau berniaga rupanya,” Rosdin berkata.

“Pelanggan aku yang telefon. Biasalah banyak kerenah. Kenalah bersabar. Janji duit masuk,” tambah Ludin pula.

“Barang apa yang kau meniaga, Ludin?” soal Rosdin sebaliknya dengan penuh minat.

“Nanti kau tahulah bila dah kerja nanti. Buat masa ni kau tak perlu tahu. Oh ya! Terlupa pulak aku. Tadi kau kata datang ke Kuala Lumpur ni selain daripada mencari kerja ialah untuk mengubat hati yang luka. Kenapa? Kau putus cinta ke dengan gadis sekampung kau. Aku minta maaflah kerana bertanyakan hal ni. Maklumlah hal peribadi yang sepatutnya aku tak perlu tahu,” teka Ludin.

“Tak mengapa, Ludin. Memang benar. Ayahnya terlalu memandang pada harta kekayaan. Pinangan aku ditolaknya mentah-mentah. Minggu depan dia akan berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya. Aku tak sanggup melihat hari persandingan mereka …,” Rosdin cepat membalas dengan panjang lebar dalam nada suara yang lemah dan tidak bermaya.

Rasa pedih seperti ditikam sembilu yang tajam menyiat-nyiat di hatinya. Dia menundukkan kepala apabila mengenangkan kisah cintanya dengan Salmah yang telah musnah berderai umpama kaca yang terhempas ke batu.

“Sudahlah tu, Rosdin. Kau lupakanlah semua tu. Kau bina hidup baru di Kuala Lumpur ni. Bukan dia seorang saja gadis dalam dunia ni. Ramai lagi. Lebih cantik daripada dia pun ramai di Kuala Lumpur. Kau pilih aje mana yang kau hendak. Janji ada duit,” tambah Ludin lagi. Rosdin yang tadinya tunduk lalu perlahan-lahan mendongakkan muka memandang wajah Ludin yang duduk berhadapan dengannya.

“Tapi, Ludin …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Dahlah tu. Kau pun penat kan. Hah, mari aku tunjukkan bilik. Kau mandi dan berehatlah dulu. Malam nanti kita keluar makan. Aku belanja. Lepas makan aku bawa kau meronda seluruh bandar Kuala Lumpur yang besar ni,” Ludin cepat memotong.

“Yalah!” angguk Rosdin.

“Macam tulah. Mari aku tunjukkan bilik kau.” Ludin mengajak kawan yang baru dikenalinya itu.

Keesokan paginya seperti yang dijanjikan Ludin membawa Rosdin berjumpa dengan bossnya yang bernama Sani.

“Siapa yang kau bawa ni, Ludin?” tanya Sani dalam nada suara yang garau dan keras. Wajahnya bengis dan bermisai tebal. Berkepala botak dan berbadan gempal. Perasaan kecut dan takut menyelubungi Rosdin apabila bertemu dengan Sani.

“Dia ni Rosdin, boss. Kawan sekampung saya. Dia datang ke sini untuk cari kerja boss ….” Percakapan Ludin yang tersusun memujuk Sani serta-merta terputus.

“Kau nak suruh aku ambil dia kerja?” Sani pantas menyampuk.

“Ya, boss!” Ludin mengangguk-anggukkan kepala. Rosdin hanya mendiamkan diri.

“Boleh percaya ke dengan dia ni?” dia tak henti-henti menyoal Ludin sambil memandang Rosdin dari atas ke bawah dengan rasa penuh curiga.

“Saya gerenti, boss. Saya dah lama kenal dengan dia ni. Kat kampung dia memang rajin bekerja. Cakap apa saja. Semua dia boleh buat. Rugi kalau boss tak ambil dia kerja,” yakin Ludin lagi.

“Baiklah. Tapi ingat, Ludin. Kalau dia buat hal nahas akibatnya. Kau pun sama. Faham!” Sani memberi amaran keras.

“Saya faham, boss!” Ludin sebaliknya hanya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Sani itu.

“Sudah. Pergi bawa dia buat kerja!” arah Sani pada Ludin. Tanpa membuang masa lagi Ludin dan Rosdin pantas meninggalkan bilik Sani untuk membuat apa yang telah diarahkan oleh Sani.

“Terima kasih, Ludin. Kerana kau aku dapat kerja. Tapi aku pelik tengok boss kita tu. Keras dan kasar aje aku tengok,” kata Rosdin.

“Kau jangan takutlah. Boss memang macam tu. Hal kerja dia memang tegas. Tapi hati dia baik. Sudahlah. Hari ni kau dah mula kerja. Mari ikut aku,” Ludin menambah.

Dengan menaiki kereta Ludin dan Rosdin menuju ke belakang bangunan.

“Apa kita nak buat kat sini, Ludin?” Rosdin bertanya sambil memandang ke kiri dan kanan.

“Buat apalagi kerjalah.” Nada suara Ludin seperti berbunyi bosan dengan pertanyaan Rosdin itu. Tak lama kemudian muncul seorang lelaki dari lorong bangunan sambil matanya memandang sekeliling.

“Kerja apa kita nak buat di lorong ni?” kata Rosdin lagi.

“Kau ni banyak tanyalah. Sudah. Kau nampak tak lelaki tu. Sekarang kau ambil bungkusan ni dan beri pada dia. Pergi!” suruh Ludin.

“Bungkusan apa ni?” ujar Rosdin pula sambil memandang muka Ludin.

“Janganlah banyak tanya. Pergilah cepat!” ulang Ludin lagi.

“Yalah!” Rosdin tidak membantah dan turun dari kereta sambil membawa bungkusan yang tidak diketahui isinya itu menuju ke arah lelaki yang sedang tercegat berdiri seperti menanti seseorang.

“Jangan bergerak. Polis!” Tiba-tiba kedengaran suara dari arah belakang bangunan. Rosdin dan lelaki itu telah dapat ditangkap oleh tiga orang polis yang berpakaian biasa. Ludin pantas menghidupkan enjin kereta dan memecut dengan laju.

“Ludin! Ludin! Tunggu aku. Tunggu aku. Apa ni, encik? Apa salah saya?” Rosdin terpinga-pinga dengan apa yang telah terjadi. Tangannya telah digari dan bungkusan yang dipegangnya telah dirampas oleh polis.

“Awak ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah. Sudah. Bawa mereka berdua ke balai!” arah anggota polis yang berpangkat inspektor itu.

“Baik, tuan!” jawab salah seorang daripada anggotanya.

“Tapi, encik. Saya tak tahu apa-apa. Percayalah. Saya telah diperalatkan …!” rayu Rosdin untuk mempertahankan dirinya.

“Sudah! Awak ikut saya ke balai!” tegas inspektor polis itu lagi.

Rosdin telah dijatuhkan hukuman penjara di atas kesalahan itu. Mujurlah tidak sampai ke tali gantung. Selepas keluar daripada penjara dia terus pulang ke kampung. Timbul rasa penyesalan di hatinya kerana telah memalukan nama baik keluarga. Barulah dia mengerti kini akibat terlalu mengejar kesenangan hidup di bandar besar dia terjerat dalam kancah hitam sebagai mangsa Sani dan Ludin untuk mengedarkan dadah yang menjadi musuh utama negara.

Dia berasa serik dan takut untuk mencari kerja di bandar akibat daripada peristiwa hitam yang melanda dirinya itu. Rosdin membulatkan tekad dalam dirinya. Biarlah dia mengerjakan kebun pisang di kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehingga ke nafas yang terakhir.

Rosdin menarik nafas yang panjang. Penat telah pun hilang. Umpama air sungai yang mengalir kisah silam yang penuh dengan warna-warna hitam biarkanlah berlalu. Tak guna dikenangkan apa yang telah terjadi dan jadikanlah ia sebagai pengalaman yang paling berharga dalam hidup ini. Dia lalu bingkas bangun untuk menyambung semula kerja-kerja yang dilakukannya setiap hari di kebun pisang.

16

GELORA

Dia cuba mencari kekuatan. Setelah menempuhi kegagalan dalam hidup. Sebagai manusia dia redha. Dengan takdir yang telah ditentukan ke atas dirinya. Semuanya adalah kehendak Tuhan. Bukan kehendak dirinya.

“Kau tengok laut tu. Ombak tak putus-putus menghempas pantai. Tanpa rasa jemu dan bosan,” kata Juana.

“Laut lain, Juana. Kita manusia lain. Mana nak sama,” Marlisa membalas.

“Itulah silapnya kau,” bantah Juana sebaliknya.

“Silap? Kenapa pulak kau kata begitu?” tanya Marlisa dengan rasa hairan.

“Hidup manusia di dunia ni sama macam laut. Pasang surut silih berganti. Ada ketika kita merasa suka. Ada ketika kita merasa duka,” Juana bersuara.

Marlisa melepaskan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut biru. Dia mengutip semula kisah silam yang pernah dialaminya.

“Tahun ni penting bagi kau, Marlisa. Kau akan menduduki peperiksaan SPM. Penentu masa depan kau,” ingat ayahnya.

“Betul kata ayah kau tu, Marlisa. Kerja sekarang tak macam dulu. Semua nak kelulusan tinggi,” sokong ibunya pula.

“Ayah! Mak! Marlisa tahulah semua tu. Janganlah cakap selalu. Bosanlah!” keluh Marlisa.

Bayu yang datang dari arah laut terasa segar dan dingin menyapu seluruh tubuhnya. Pandangannya masih lagi melekat pada laut biru yang nampak tenang.

“Kenapa dengan kau ni, Marlisa? Nampak muram aje aku tengok,” ucap Eddy.

“Tak ada apa-apalah,” dia berdalih.

“Hei, janganlah macam tu. Aku ni kan ke kawan kau. Beritahulah aku. Apa masalah kau. Mana tahu kalau aku boleh tolong,” desaknya lagi.

“Aku benganglah!” dia meluahkan apa yang terbuku di perasaannya pada Eddy.

“Bengang? Pasal apa pulak?” soal Eddy lagi dengan penuh minat sambil memandang wajah Marlisa.

“Ayah dan ibu aku asyik berleter. Pasal periksa SPM tahun ni,” jelasnya.

“Oh, begitu! Itu perkara biasalah, Marlisa,” Eddy menambah.

“Perkara biasa kata kau. Masalahnya hari-hari aku kena leter. Perkara yang sama. Kalau kena kat kau tentu kau pun rasa bosan,” ujar Marlisa.

“Sudahlah tu. Kau releks saja. Tak usah pening-pening kepala. Fikirkan semua tu,” Eddy bersuara.

“Releks kata kau? Hei, tak kena pada kau bolehlah kau cakap. Cuba kalau kena pada kau. Tahulah …!” rengus Marlisa.

“Yalah! Releks! SPM lambat lagi. Dah. Malam ni kau ikut aku. Sekurang-kurangnya hilang masalah kau,” pujuk Eddy pula.

“Ke mana?” Marlisa menyoal.

“Kau ikut ajelah nanti. Tak usah banyak tanya!” Eddy mencelah.

Sesungguhnya Tuhan menciptakan hidup ini untuk manusia adalah satu perjalanan yang jauh. Hakikatnya bermula dari kelahiran dan berakhir dengan kematian. Penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan yang perlu ditempuhi. Sambil memeluk tubuh erat Marlisa menarik nafas yang panjang dan melemparkan pandangan sedalam-dalamnya ke arah laut biru.

“Tempat apa ni, Eddy? Ramainya orang. Motosikal pun banyak,” Marlisa berkata.

“Inilah tempat untuk kita enjoy,” Eddy menambah.

“Tempat macam ni?” Marlisa berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata Eddy itu.

“Yalah!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Habis tu? Kau ingat tempat macam mana?” sambung Eddy lagi.

“Aku ingatkan tempat disko,” tambah Marlisa.

“Bukan apa enjoy di tempat disko. Tempat macam nilah bagus,” jelas Eddy.

Marlisa diam. Dia memandang ke kanan dan kiri. Penuh dengan remaja lelaki dan perempuan. Seusia dengannya tanpa segan dan silu berkelakuan tidak sopan. Dengan bebas berpeluk-pelukan melanggar agama dan adat.

“Kau tunggu sini sekejap. Aku nak jumpa kawan. Kau tunggu sini, ya!” ucap Eddy.

“Jangan pergi lama tau. Aku takutlah, Eddy. Tempat macam ni tempat rempit aje aku tengok. Silap-silap kena tangkap polis ….” Dia mengeluarkan nada suara yang berbunyi takut dan gelisah.

“Hah, lecehlah kau ni. Kau jangan takut. Tempat ni memang untuk merempit. Tempat ni selamat. Polis tak tahu. Kalau menang lumayan kau dapat tahu,” Eddy sebaliknya memujuk Marlisa.

“Lumayan?” soalnya dengan penuh rasa hairan.

“Dahlah! Kau tahulah nanti. Jangan banyak soal. Kau nampak tak mamat yang pakai jaket kulit hitam tu. Dia tu kawan aku. Hei, Kau tunggu kejap. Aku nak jumpa dia sekejap,” celah Eddy.

Dia lalu pergi menemui kawannya itu. Mereka berbual-bual sambil Eddy mengangkat mukanya menunjukkan ke arah Marlisa. Kawannya itu memandang Marlisa dengan tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya menepuk-nepuk bahu Eddy dan menunjukkan isyarat bagus.

Marlisa nampak terpinga-pinga. Tidak tahu butir perbualan Eddy dan kawannya itu.

Lamunannya yang jauh melayang sehingga ke awangan itu dengan tiba-tiba sahaja lantas terhenti. Sayup-sayup kedengaran suara ombak menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan di gigian membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil.

Marlisa menghela nafas yang panjang. Tudung berwarna merah yang melitupi kepalanya mengerbang sedikit apabila ditiup bayu yang datang dari arah laut. Seingat dia malam itulah bermula detik kehancuran dalam hidup remajanya.

“Kau dari mana ni, Marlisa? Dah jauh malam baru balik. Apa nak jadi dengan kau ni, hah?” tengking ayahnya. Dengan rasa marah jelas terpancar di wajahnya.

“Dari rumah kawanlah. Belajar,” dia menjawab.

“Kau jangan nak bohong, Marlisa. Tadi ayah dapat panggilan telefon dari cikgu kau. Dah seminggu kau tak datang ke sekolah. Kau pergi mana, hah?” herdik ayahnya lagi dengan rasa penuh geram.

“Ya, Marlisa!” ibunya mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau pergi mana sebenarnya? Setiap hari kau pergi sekolah. Tapi kau tak pergi sekolah,” desak ibunya pula.

“Ah! Bosanlah! Ayah dengan mak ni!” Dia tergamak melepaskan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan pada ayah dan ibunya.

“Kurang ajar!” ayahnya menjawab dengan pantas sambil menampar pipi Marlisa.

“Abang! Sudahlah tu!” tahan ibunya pula.

“Ayah pukul saya, ya …! Dulu ayah tak pernah pukul saya …. Tapi sekarang ayah pukul saya …. Takpe …!” Marlisa sebaliknya pantas menjawab sambil berlalu pergi menuju ke bilik.

“Marlisa …! Marlisa …! Tunggu dulu …!” ibunya cuba menahan.

“Sudah! Biarkan dia. Degil!” halang ayahnya pula dengan sekeras-kerasnya.

Akibat terlalu menurut kata hati dia lalu mengambil keputusan nekad. Melarikan diri dari rumah dan pergi ke rumah Eddy.

“Apahal dengan kau ni, Marlisa? Aku tengok macam lari dari rumah aje. Siap bawa beg pakaian sekali,” Eddy berkata.

“Memang aku lari dari rumah,” akuinya.

“Kenapa?” soal Eddy sambil mengangkat kepala memandang wajah Marlisa.

“Aku dah tak tahan lagi dengan ayah dan mak aku. Kau tahu. Sejak dari kecil lagi aku tak pernah kena pukul. Tapi semalam ayah aku pukul aku,” dia menjelaskan pada Eddy.

“Ayah kau pukul kau?” Eddy berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Marlisa itu.

“Ya! Kau tahu apa sebabnya?” ulang Marlisa lagi.

“Pasal apa?” ujar Eddy dengan rasa penuh minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi.

“Sebab balik lewat semalam. Eddy aku nak tumpang rumah kaulah. Aku tak nak balik rumah. Eddy kau kawan aku. Bolehlah ya?” mohon Marlisa.

“Kau nak tumpang rumah aku?” tanya Eddy.

“Ya, Eddy!” dia cepat menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tolonglah! Aku tak nak balik rumah. Aku rasa lebih tenang di rumah kau,” Marlisa merayu pada Eddy.

“Yalah! Yalah! Memandangkan kau kawan aku kau boleh tinggal di rumah ni. Kau pakailah bilik aku tu. Tapi berselerak. Kau maklumlah orang bujang. Kau kemaskanlah apa yang patut,” jawab Eddy.

“Terima kasih, Eddy. Kaulah satu-satunya kawan aku. Habis? Kau nak tidur mana?” Marlisa membalas.

“Itu kau tak usah risaulah. Dahlah. Kau masuklah ke bilik. Aku nak keluar sekejap,” ucap Eddy pula.

Cuaca kelihatan cerah menyinari seluruh alam semesta. Suara ombak menghempas pantai tak putus-putus kedengaran membelah suasana. Marlisa masih lagi menghempaskan segala kisah silam yang pernah dialaminya pada laut biru.

“Macam mana ni, bang? Dah seminggu Marlisa tak balik ke rumah. Saya risaulah, bang,” kata ibunya sambil menangis teresak-esak.

“Nak buat macam mana, Mah. Kita pun dah laporkan pada polis. Kita tunggu ajelah. Dah puas kita cari kat rumah kawan-kawan dia. Tapi tak ada. Entah ke mana hilangnya,” ayahnya sebaliknya bersuara.

“Bang! Marlisa tulah satu-satunya anak kita bang!” ingat ibunya pada ayahnya sambil tak henti-henti menangis.

“Ya! Itu abang tahu!” angguk ayahnya pula.

“Tapi dia sendiri yang pilih nak keluar dari rumah ni. Mentang-mentang dah besar tak boleh ditegur,” ayahnya mencelah.

Perbualan ayah dan ibunya lantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit ayahnya.

“Hello! Waalaikumsalam. Ya, cikgu. Setakat ni belum dapat apa berita, cikgu. Apa? Saya faham, cikgu. Tindakan itu memang terpaksa diambil. Yalah, cikgu. Waalaikumsalam!” ayahnya menjawab panggilan itu.

“Kenapa, bang?” ibunya pantas menyoal.

Ayahnya tidak menjawab pertanyaan ibunya itu. Dia sebaliknya hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Cikgu Marlisa telefon. Dia kena buang sekolah. Sebab dah lama tak datang,” jelas ayahnya pula.

Kisah silam yang pernah melanda dirinya sukar untuk dilupakan. Semakin jelas dan kuat menyelubungi ingatannya. Walaupun telah lama berlalu pergi. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba sahaja segala noda dan dosa yang pernah terpalit di dirinya selama ini seolah-olah tercermin di atas permukaan laut biru.

“Malam ni ada pertaruhan besar,” kata Eddy.

“Pertaruhan besar?” ucap Marlisa pula.

“Ya! Malam ni kau ikut balik mamat yang menang. Besok pagi aku ambil kau balik. Faham?” Eddy bersuara sambil mendongakkan kepala memandang wajah Marlisa.

“Eddy …. Aku …,” dia terhenti.

“Kenapa dengan kau ni, hah? Kan aku dah kata. Buat apa yang aku suruh!” arah Eddy dengan mengeluarkan suara yang berbunyi keras.

“Tapi, Eddy kau buat aku macam perempuan murahan. Tiap-tiap malam lepas perlumbaan kau serahkan aku pada mamat yang menang. Kadang-kadang kau bawa balik kawan-kawan. Berseronok dengan aku. Duit kau dapat. Kau ingat aku ni apa, hah?” jawab Marlisa.

“Hei, perempuan! Kau dengar sini baik-baik. Ini Eddy tau. Apa yang aku suruh kau mesti buat. Jangan banyak cakap!” ingat Eddy.

Tiba-tiba telefon bimbit Eddy kedengaran berbunyi.

“Hello! Ya, bos. Gua tahu. Tapi gua belum dapat bayar pasal tak ada wang. Macam ni ajelah, bos. Gua ada barang baik mau kasi sama lu. Percayalah gerenti baik punya. OK. Kasi langsai semua hutang. Nanti gua bawa itu barang. Nanti lu tunggulah.” Demikianlah butir perbualan Eddy dengan pemanggil.

“Sudah! Mari ikut aku cepat!” ujar Eddy pada Marlisa.

“Nak ke mana ni?” soalnya pula.

“Jangan banyak cakap. Aku kata ikut kau ikut ajelah!” paksa Eddy sambil meninggikan suara.

Ternyata dia salah memilih kawan. Eddy telah menghumbannya ke lembah kehinaan. Dia dijadikan sebagai umpan untuk Eddy menyelesaikan segala hutang dan memperolehi kemewahan.

“Aku tak sangka, Eddy …. Sanggup kau buat aku macam ni ….” Marlisa mengeluarkan nada suara tersekat-sekat sambil menangis teresak-esak.

Dia sebaliknya ketawa terbahak-bahak apabila mendengar luahan Marlisa itu.

“Hei, Marlisa! Tak sangka aku. Perempuan cantik macam kau ni setahu aku bijak. Memperdayakan semua lelaki. Wang pun senang dapat. Tapi lain pulak dengan kau ni. Bodoh!” Eddy melemparkan kata-kata pedas dan menyakitkan hati Marlisa.

“Sudah …! Kau memang lelaki tak guna …! Setan …! Kau jahanamkan hidup aku …!” pekiknya sambil menangis. Namun begitu Eddy langsung tidak mengendahkannya dan terus ketawa terbahak-bahak.

“Sekarang baru kau tahu aku ni setan. Habis selama ni siapa yang kutip kau macam sampah dan bawa tinggal di sini. Aku! Hidup bersama macam suami isteri. Lepas tu aku beri kau peluang merasai keseronokan hidup dengan bermacam lelaki. Tak sangka aku. Kau ni tak ubah seperti melepaskan anjing yang tersepit,” dia bersuara pada Marlisa setelah ketawanya reda.

“Kau tu yang binatang! Aku nak balik!” pekik Marlisa lagi dengan tak henti-henti menangis.

“Apa? Kau nak balik?” Eddy berkata dengan mengangkat kepala melihat mukanya.

“Ya! Aku nak balik!” Marlisa pantas mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau memang lelaki yang tak guna. Aku benci kau!” sambungnya lagi sambil menjerit dengan sekuat-kuat hati.

“Hei! Kau dengar sini baik-baik, ya. Keluarga kau tak akan terima kau balik. Tak ada siapa yang nak terima kau. Sedarlah diri tu. Kau tu perempuan kotor. Reti?” jerkah Eddy dengan cepat menolak Marlisa sehingga jatuh ke lantai.

“Kau dengar sini lagi. Aku akan pastikan yang kau tak akan keluar dari rumah ni. Aku akan jadikan kau pembawa keuntungan kepada aku. Kalau kau cuba lari nahas kau!” ugut Eddy pula.

Marlisa hanya terdaya menangis teresak-esak. Mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya. Di ketika ini barulah terbayang wajah ayah dan ibunya di ruang mata. Rasa penyesalan timbul di hatinya. Inilah akibat apabila terlalu menurut kata hati. Tanpa berfikir panjang.

Barulah dia mengerti kini. Segala yang dibuat oleh ayah dan ibunya selama ini adalah demi kebaikan kerana rasa kasih sayang pada seorang anak.

Nasib gadis remaja Marlisa bertambah parah. Lelaki yang bernama Eddy telah mengambil kesempatan di atas kelemahan dirinya. Dia telah dijual di hotel murahan. Tetapi dalam satu serbuan membanteras maksiat oleh pihak berkuasa dia telah ditahan.

Memandangkan dia masih gadis remaja lagi dia telah dihantar ke sekolah pemulihan akhlak.

“Walau seburuk mana pun kau Marlisa kau tetap anak mak dan ayah …,” kata ibunya sambil menangis ketika melawatnya.

“Ya, Marlisa! Ayah harap kau akan belajar menjadi gadis yang baik budi pekerti selama di sini,” sahut ayahnya pula.

“Ayah …! Mak …! Maafkanlah, Marlisa. Marlisa benar-benar menyesal. Kalau Marlisa dengar cakap ayah dan mak tentu Marlisa tak akan jadi macam ini …,” balasnya dalam nada suara yang perlahan sambil menangis.

“Syukurlah, nak kerana Tuhan masih sayangkan kau lagi. Membukakan pintu taubat untuk kau kembali semula ke pangkal jalan,” tambah ibunya.

Kini dia telah keluar dari sekolah pemulihan akhlak. Dengan tiba-tiba air matanya mengalir membasahi pipi. Mengenangkan gelora kehidupan yang pernah dialaminya. Sama seperti yang adakalanya melanda laut biru yang direnungnya.

17

ANAK NELAYAN DAN ANAK KORPORAT

Di kaki langit biru matahari kian meninggi. Bersama gumpalan awan tebal memutih. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam semesta. Bayu laut bertiup lembut. Dingin dan nyaman membungkus suasana. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi pantai bagai menari-nari. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut rentak tiupan angin.

Daun-daun hijau kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Apabila bergeseran di antara satu sama lain. Jiwa yang dibaluti dengan kesepian dan kekosongan akan menjadi terhibur apabila mendengarnya. Desiran ombak tidak putus-putus menghempas gigian pantai. Buih-buih memutih berapungan membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil.

Wahid menarik nafas panjang. Dia melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru melalui pondok kecil yang bertiangkan dan berlantaikan kayu. Deretan rumah-rumah peranginan jelas kelihatan. Fikiran Wahid menerawang jauh bersama gulungan ombak yang setia menghempas pantai. Wahid sebenarnya sedang mencari ilham untuk melukis. Setiap yang tergambar dalam perasaannya dan dilaluinya dalam kehidupan ini dicurahkannya dalam lukisan.

Bagi Wahid lukisan adalah segala-galanya dalam mewarnai perjalanan hidupnya. Tanpa lukisan dia merasakan seolah-olah tidak bermaya dan gelap dalam hidup ini. Kanvas dan berus adalah teman sejatinya. Minat Wahid melukis sejak dari kecil lagi. Bermula dengan menconteng di atas butiran pasir dengan menggunakan ranting kayu atau lidi penyapu. Kemudian apabila bersekolah rendah dia menconteng di atas kertas.

Dia masih ingat lagi. Sewaktu di sekolah rendah dia sering dimarahi oleh guru. Asyik melukis sahaja. Tidak pandai dalam mata pelajaran lain. Apabila di sekolah menengah dia sering mendapat kepujian dalam mata pelajaran lukisan. Lamunannya yang jauh benar melayang sehingga ke awangan itu lantas terhenti. Kedengaran suara wanita memberi salam. Dia lantas menoleh ke arah suara yang lembut itu dan menjawab salam.

“Jauh mengelamun nampak. Maafkan saya. Mengganggu awak ke?” tanya Rosnani dengan lembut dan penuh sopan.

“Oh tidak. Jemputlah duduk. Saja-saja aje tenangkan fikiran pagi ni. Awak pulak dari mana. Dah sarapan ke belum?” Wahid sebaliknya menjawab sambil memandang wajah Rosnani yang sungguh ayu dan jelita apabila disapu oleh angin yang bertiup dari arah laut. Seperti rembulan yang jatuh ke riba diibaratkan. Dia kemudiannya lalu duduk bersebelahan dengan Wahid.

“Macam awak jugak. Saja-saja aje mengambil angin laut. Saya dah sarapan. Sedap betul nasi lemak di warung Mak Limah. Yang awak tu dah sarapan ke belum?” balas Rosnani.

“Sudah!” Wahid mengangguk pantas. Rosnani kemudiannya memandang kawasan sekeliling. Wahid hanya memerhatikan sahaja gelagat Rosnani itu. Dia kemudiannya memandang semula Wahid.

“Saya suka tempat ni. Tenang dan damai. Tak silap saya memilih tempat bercuti,” Rosnani menambah.

“Macam mana dengan rumah peranginan yang awak duduk tu? Bagus ke?” soal Wahid pula sambil mengangkat kepala tinggi sedikit. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa teroleng-oleng hinggap di atas pondok yang beratapkan nipah.

“Memang bagus sekali. Dah banyak tempat peranginan saya pergi. Termasuk luar negara. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan tempat yang paling bagus sekali.” Rosnani menghamburkan kata-kata pujian. Wahid sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata gadis manis dari kota besar itu.

“Kenapa awak ketawa? Ada yang tak kena ke dengan apa yang saya cakapkan tadi?” Dia lalu berasa hairan apabila melihat senyuman terukir jelas di wajah Wahid.

“Tak ada apa-apa?” dia menggeleng-gelengkan kepala apabila menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Rosnani itu.

“Habis tu? Tentu ada sesuatu yang lucu awak rasakan. Masa kan tidak dengan tiba-tiba saja awak tertawa kecil,” Rosnani pantas memotong.

“Kan saya dah kata tadi. Tak ada apa-apa yang melucukan. Cuma timbul di hati saya sama ada awak ikhlas memuji tempat ini atau terpaksa. Kerana awak berhadapan dengan saya. Itu saja. Saya minta maaf kalau penjelasan saya ini benar-benar keterlaluan bagi awak,” pinta Wahid dalam nada suara sayup-sayup tenggelam bersama desiran ombak yang gagah perkasa menghempas pantai.

“Tak perlu awak minta maaf pada saya. Lagipun awak tak ada buat salah apa-apa. Memang betul kata awak tu. Saya memang ikhlas. Saya jatuh cinta pada tempat ni. Tak macam di bandar. Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Dari pagi sampai malam. Orang yang hidup di bandar besar berlumba-lumba termasuk saya. Sibuk dengan macam-macam urusan dalam kehidupan,” terang Rosnani pula dengan panjang lebar.

“Jadi awak suka dengan perkampungan nelayan seperti ni?” Wahid menambah. Dia terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Wahid itu.

“Perkampungan nelayan?” Rosnani mengangkat muka tinggi sedikit. Seolah-olah tidak faham akan maksud Wahid itu. Dia dapat membaca apa yang tergambar di fikiran Rosnani.

“Mungkin awak tak faham. Tak mengapalah. Awak tengok kawasan sekeliling ini tidak ada rumah-rumah nelayan. Tapi suatu masa dahulu ada. Sekarang digantikan dengan rumah-rumah peranginan,” jelas Wahid pada Rosnani.

“Baru saya mengerti sekarang!” angguk Rosnani dengan cepat.

“Saya dapat bayangkan pada waktu itu. Kawasan pantai ini penuh dengan pokok-pokok kelapa dan perahu-perahu nelayan,” ucap Wahid lagi sambil mendongakkan kepala ke arah laut yang tenang membiru. Dengan serta-merta ingatan masa lalu yang penuh kenangan indah segar menjelma di ingatannya.

“Memang dapat saya bayangkan apa yang awak cakapkan tu. Tapi sayangnya saya tak mengalaminya. Dari kecil hingga sekarang saya hidup di bandar,” akui Rosnani.

“Saya suka pada laut. Tenang walaupun berombak dengan airnya yang masin. Laut menjadi punca rezeki nelayan. Saya dibesarkan dengan laut. Sebahagian daripada hidup saya adalah laut,” kata Wahid.

“Menarik sekali kata-kata awak itu. Awak anak nelayan rupanya. Patutlah awak rapat dengan laut. Karya lukisan awak lebih kepada laut. Baru saya mengerti sekarang. Kenapa awak selalu berada di tepi pantai,” Rosnani mencelah. Wahid lantas terkejut. Rosnani tahu segala-galanya mengenai dirinya.

“Macam mana awak tahu ni?” dia pura-pura bertanya sambil memandang dalam-dalam wajah gadis dari kota itu yang datang bercuti ke kawasan peranginan yang dahulunya perkampungan nelayan.

“Saya dengar cerita orang di sini,” Rosnani bersuara. Angin laut seakan-akan menyanyi-nyanyi riang menghiburkan suasana. Bersama rentak tari irama pepohonan dan dedaunan. Bisikan desiran ombak tenang membelai mengiringi cuaca yang cerah. Damai jiwa terasa bersama alunan dingin biarpun terik matahari memayungi seluruh alam yang terang-benderang. Berkilauan putih berseri butiran pasir halus di sepanjang pantai.

Sedar-sedar senja telah melabuhkan tirainya menyambut malam. Matahari yang tadinya cerah bertukar warna seperti buah pinang masak. Langit bertukar menjadi kelabu. Burung-burung telah pulang ke sarang semula. Dia teringatkan kata-kata pujangga. Segala suka duka yang dialami hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman untuk mendewasakan kita. Pengalaman adalah ibarat guru dalam hidup ini. Kita belajar daripadanya. Wahid tidak pasti dari mana datangnya kata-kata hikmah itu.

Dia cuma mendengar sahaja dan melekat kuat di ingatannya. Malam itu selepas pulang dari surau dengan tiba-tiba sahaja dia mendapat ilham untuk melukis. Selalunya dia akan menjadikan anjung rumah sebagai tempat untuk menghasilkan lukisan. Menghadap ke arah laut bersama sayup-sayup bunyi desiran ombak membelai pantai dalam kepekatan malam. Dibelai hembusan dingin angin bersama lagu merdu dendangan pohon-pohon dan daun-daun. Sinar rembulan dan kerlipan bintang di kaki langit hitam amat indah dan benar-benar membangkitkan ilham kepada Wahid untuk menghasilkan karya seni.

“Kau dah balik, Wahid?” tegur ibunya yang tiba-tiba muncul dari bilik.

“Dah, mak!” Wahid membalas sambil berhenti dari melukis dan memandang ke arah wajah ibunya yang telah tua itu.

“Mak dengar kau rapat dengan seorang budak perempuan dari bandar yang datang bercuti ke kampung ni. Betul ke?” ibunya bersuara. Angin malam yang lembut menerobos masuk melalui anjung. Segar menyapu permukaan kulit ibunya yang telah tua dan kulit Wahid yang masih muda itu. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan memecah kesunyian malam.

“Wahid dengan dia cuma kawan aje. Rosnani namanya,” dia menjawab pertanyaan yang diajukan oleh ibunya itu.

“Mak bukannya apa. Mak bimbang dia tu perempuan. Jangan sampai perkara yang tak elok berlaku. Malu kita, Wahid,” pesan ibunya dalam nada suara yang risau.

“Jangan bimbang, Mak. Wahid tahu batas agama dan adat dalam berkawan. Mak percayalah.” Dia meyakinkan ibunya yang duduk di atas tikar mengkuang. Tak lama kemudian adiknya Azri muncul. Dia berkelulusan universiti. Tapi sampai sekarang masih tidak dapat pekerjaan.

“Mak besok saya akan ke bandar. Ada temu duga kerja,” katanya yang bersongkok memakai baju Melayu berwarna perang dan berkain pelekat. Sama macam abangnya dari surau.

“Pergilah, Azri. Mak doakan mudah-mudahan kau dapat kerja,” ujar ibunya pula. Wahid yang sedang asyik melukis lalu terhenti dan memandang tepat ke arah adiknya yang masih tercegat berdiri di sisi ibunya.

“Betul kata mak tu. Kau ada kelulusan. Carilah pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan kau tu,” celah Wahid.

“Terima kasih mak, abang. Insya-Allah dengan berkat doa dan dorongan mak dan abang moga-moga dapatlah saya kerja. Dapat jugaklah saya bantu keluarga kita,” Azri berjanji. Dia kemudiannya memohon diri untuk masuk ke dalam bilik. Wahid dan ibunya yang masih lagi di anjung rumah rancak berbual-bual. Sudah menjadi kebiasaan. Ketika Wahid melukis dia akan ditemani oleh ibunya.

“Mak …. Penatlah, Wahid …. Mak masuk tidur dulu …,” ibunya bersuara perlahan.

“Yalah, mak. Pergilah mak berehat. Saya nak siapkan lukisan ni dulu,” Wahid menjawab. Ibunya lalu bangun dan mengatur langkah menuju ke bilik.

Tinggallah Wahid seorang diri di anjung rumah. Dia amat tekun dalam menyiapkan lukisan. Selagi tidak siap dia tidak akan berhenti. Kadangkala sampai pagi dia baru masuk tidur. Wahid berasa penat. Dia lalu berhenti seketika. Dengan renungan yang kudus dan penuh bermakna dia melontarkan pandangan ke luar rumah. Dia masih ingat lagi. Ketika zaman kanak-kanak dahulu pada waktu malam begini dia dan Azri akan menyiapkan kerja sekolah sambil ditemani dengan api pelita.

Sementara arwah ayahnya pula akan menjahit jala sambil menghisap rokok daun. Ibunya pula akan menyediakan kopi ‘o’ pekat minuman kegemaran ayahnya. Keesokan paginya selepas solat Subuh arwah ayahnya akan turun ke laut mencari rezeki. Dia dan Azri berjalan kaki ke sekolah. Pada waktu petang Wahid dan kawan-kawan akan bermain di tepi pantai. Bila musim angin kuat layang-layang adalah permainan utama dia dan kawan-kawan.

Alangkah indahnya masa itu ketika diingatkan. Namun begitu dia tetap akur. Semuanya kini tinggal menjadi kenangan indah sahaja. Tambahan pula ayahnya telah tiada. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Apa yang dilalui masa lalu tak akan kembali lagi. Sama seperti kata-kata sekali ombak melanda pantai berubah segala-galanya. Perubahan tetap akan berlaku juga dalam mengharungi arus kehidupan.

Melalui kaca jendela rumah peranginan Rosnani memeluk tubuh sambil memandang laut yang diselubungi kegelapan dan hanya kedengaran sayup-ayup desiran ombak membelai pantai. Kemudian dia menoleh pula ke arah rumah-rumah kampung yang terdapat di kawasan persekitaran pantai. Ada yang masih lagi terang-benderang dan ada yang telah gelap.

Mungkin ada yang masih belum tidur lagi dan ada yang telah tidur. Tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkannya di atas meja berbunyi. Lamunannya yang asyik memerhatikan laut dan rumah-rumah kampung itu pantas terhenti. Siapa pulak telefon malam-malam ni? Getus hati kecilnya. Tanpa berlengah lagi dia lalu mengangkat telefon. Tertera nombor telefon orang yang telah menyakiti hatinya.

Dia malas untuk menjawab panggilan ini. Dipaksanya juga dirinya untuk menjawab panggilan orang yang disayanginya tetapi telah melukakan hatinya. Pedih seperti ditikam sembilu rasanya. Dia lalu menekan butang panggilan. Kebosanan jelas terpancar di wajahnya yang jelita.

“Hello, Rosnani. Maafkan saya. Awak dah tidur ke?” Zaki bersuara.

“Belum. Ada apa awak telefon saya malam-malam ni?” Bunyi nada suara Rosnani macam nak tak nak sahaja bercakap dengan lelaki bernama Zaki itu.

“Kenapa dengan awak ni? Seperti tak suka aje bercakap dengan saya. Kan saya dah kata. Saya cuma sayang awak seorang saja. Saya dengan Azurah yang awak jumpa tempoh hari tak ada apa-apa. Dia tu tergila-gilakan saya. Mentang-mentanglah saya ni berada ….” Dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Sudahlah, Zaki. Walau apa pun alasan yang awak berikan saya tetap tak nak dengar. Tak usahlah awak nak berbohong dengan saya. Terang-terang depan mata saya awak berpegang tangan dan begitu mesra dengan dia. Awak memang dasar lelaki yang tak boleh dipercayai!” bantah Rosnani dengan cepat sambil menggertap giginya yang putih berseri. Menahan marah dan geram yang teramat sangat.

“Rosnani. Tunggu dulu. Dengar saya cakap ….” Suara Zaki terputus lagi.

“Dahlah, Zaki. Cukuplah tu. Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kalau dia tu dah pilihan awak saya doakan semoga awak dan dia bahagia. Selamat tinggal, Zaki …,” Rosnani berkata lemah dan terus menutup telefon bimbitnya. Dia enggan bercakap lagi dengan lelaki itu.

Serta-merta rasa kesedihan menyelubungi wajahnya yang ayu dan jelita itu. Dengan tiba-tiba juga air matanya mengalir membasahi pipinya yang gebu dan halus itu bersama kepekatan malam. Umpama titisan hujan yang turun membasahi bumi. Rasa pilu terasa menyiat-nyiat di jiwanya. Hakikatnya Zaki adalah lelaki pertama dan terakhir yang dicintainya dalam dunia ini. Rosnani amat menyayangi lelaki itu. Dia tidak boleh melupakan lelaki itu walaupun cuma seketika.

Hidupnya terasa lemah dan tidak bermaya. Kalau sehari tidak bertemu dan menatap wajah lelaki itu. Dia ingin sehidup semati dengan Zaki dengan membina mahligai kehidupan bersama. Musnah berkecai impian yang disemai. Bagai kaca yang terhempas ke batu dan tak mungkin akan dapat bercantum kembali. Bahtera yang diidamkannya dilayarkan bersama dengan Zaki ke pulau impian tidak kesampaian. Tenggelam di lautan dihempas gelora dan gelombang ganas.

Disangkanya panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari. Musnah berderai impian yang disemainya selama ini. Bagai kaca yang terhempas ke batu. Tak mungkin akan dapat bercantum kembali. Dia amat setia dalam percintaan tapi malangnya Zaki berpura cuma. Kesepian dan kekosongan kini menyelubungi warna-warna hidupnya. Dalam dunia percintaan Rosnani berpegang teguh pada kata-kata kalau dia dah sayang seseorang itu dia akan sayang selama-lamanya.

Kenangan indah sewaktu memadu cinta dan kasih sayang sewaktu bersama dengan Zaki dahulu sukar untuk dilupakannya. Lelaki yang dikenalinya sewaktu berada di luar negara dahulu sama-sama menuntut dalam bidang perniagaan. Rasa sebak terus menusuk jiwa Rosnani yang dilanda pasrah. Apabila mengenangkan semua itu semula. Benar kata orang. Cinta itu memang indah. Dunia dipenuhi dengan bunga-bunga berseri siang dan malam. Tapi bila terluka pedihnya terasa seluruh hayat.

Mungkin bagi orang yang gagal dalam percintaan pengalaman yang dilalui sungguh pahit. Seperti hempedu rasanya dan mengambil keputusan nekad tidak mahu bercinta lagi. Bagi lelaki rela membujang manakala bagi perempuan pula rela menjadi dara sehingga ke akhir hayat. Bagi Rosnani kehadiran lelaki yang bernama Zaki cuma seketika sahaja. Kemudian berlalu pergi meninggalkan dirinya dalam sendiri dibayangi derita.

Dalam erti kata lain Zaki adalah ibarat setitis embun pagi yang membasahi dedaunan dan rumput. Hilang dan kering apabila terbit matahari. Namun begitu Rosnani tetap redha. Dia adalah insan yang lemah di dunia. Semua ini adalah suratan takdir dari Tuhan Yang Esa untuk menguji hidupnya. Sebagai manusia apa yang telah ditentukannya dia tidak mampu menolaknya. Harus diterima dengan sabar dan tabah. Selagi masih melihat matahari di siang hari dan rembulan di malam hari. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran. Perlu dihadapi dengan kekuatan dan ketenangan.

Lantaran itu dia lalu mengambil keputusan. Mengubati kekecewaan di hati dengan bercuti di kawasan peranginan yang dahulunya adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan. Dia memunajatkan doa ke hadrat Allah SWT. Semoga diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup dan tetap menaruh harapan agar ditemukan dengan lelaki yang lebih baik daripada Zaki. Dia akur bahawa setiap yang dikurniakan oleh Pencipta itu sama baik atau buruk tersembunyi hikmah di sebaliknya. Di sebalik kesedihan yang melanda dirinya sepanjang malam dengan tiba-tiba sahaja dia teringat ungkap yang berbunyi kalau kita tidak merasa bahagia pada hari ini usah kecewa mungkin esok Tuhan sudah sediakan hari bahagia untuk kita. Rosnani lalu mengesat dengan tangan titis-titis air mata yang membasahi pipinya apabila teringat kata-kata yang penuh bermakna dan semangat itu.

Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik itu. Hawanya termampan pada dinding batu pejal yang dicat dengan warna biru tua. Manakala permaidaninya berwarna merah hati. Zaki lalu berjumpa dengan Datuk Baharuddin ayah Rosnani. Dia duduk tersandar di atas kerusi pusing berwarna hitam sambil memakai kot dan bertali leher.

“Macam mana ni, Datuk? Rosnani ni betul-betul keras hatilah. Dah berkali-kali saya telefon sejak semalam. Ditutupnya,” luah Zaki dalam nada suara hampa.

“Kenapa Zaki beria-ia sangat nak hubungi dia? Kan dia tengah bercuti. Biarkanlah. Tak usah diganggu,” tambah Datuk Baharuddin pula. Dia sudah tahu perkara yang sebenarnya berlaku. Tapi dia buat pura-pura tidak tahu. Zaki berasa amat tidak senang sekali apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Datuk Baharuddin itu.

“Saya nak tahu dia bercuti di mana. Saya nak jumpa dia. Bincangkan pertunangan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” jelas Zaki pula.

“Bincangkan pasal pertunangan?” Sekali lagi Datuk Baharuddin buat pura-pura tidak mengerti akan kata-kata Zaki itu sambil menarik badan ke depan dan mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang Zaki yang memakai kot dan bertali leher.

“Ya!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Takkan Datuk tak tahu lagi. Kan ayah dah bincang perkara ini dengan Datuk. Pujuklah dia Datuk. Sebagai anak dia pasti akan mendengar cakap Datuk sebagai ayah,” Zaki menambah lagi dengan lembut. Dia berharap dengan menggunakan Datuk Baharuddin hubungannya dengan Rosnani akan kembali bertaut.

“Zaki …! Zaki …!” Datuk Baharuddin hanya menggeleng-gelengkan kepala dan mengukir senyuman kecil apabila mendengar penjelasan yang tidak benar sama sekali daripada anak Datuk Abdullah itu. Dia tidak mudah lembut dan terpedaya dengan cakap Zaki itu. Setahu dia tak pernah pun dibincangkan perkara ini dengan rakan seperniagaannya. Cuma yang dia dan Datuk Abdullah tahu Rosnani dan Zaki hanya berkawan sahaja. Belum lagi sampai ke tahap untuk disatukan dahulu dengan pertunangan dan kemudiannya dengan perkahwinan.

“Kenapa ni, Datuk? Tak betul ke apa yang saya cakapkan ini?” tanya Zaki.

“Saya nak nasihatkan Zaki. Jangan beritahu saya keputusan yang telah dibuat tanpa perundingan dengan ayah Zaki terlebih dahulu. Begini ajelah, Zaki. Saya nasihatkan Zaki akan belajar menghormati perasaan wanita yang mengasihi kita sebagai lelaki dan bukannya mempermainkan perasaannya,” terang Datuk Baharuddin dalam nada suara yang tegas tapi lembut.

“Apa ni, Datuk? Saya betul-betul tak faham dengan maksud Datuk ni. Tolonglah, Datuk. Janganlah kusutkan lagi fikiran saya ni,” pinta Zaki sebaliknya sambil kerut jelas terpancar pada wajahnya.

“Jangan buat tak faham, Zaki. Saya tahu kenapa Rosnani bertindak menjauhkan diri daripada Zaki. Bukan saja Rosnani nampak Zaki keluar dengan perempuan lain tetapi saya juga nampak semalam. Sudahlah, Zaki. Saya ada mesyuarat. Sampaikan salam saya pada ayah Zaki,” ucap Datuk Baharuddin. Zaki lantas menjadi terkedu. Memang benar dan tidak dapat dinafikan lagi. Semalam dia keluar dengan perempuan lain. Tapi bukan dengan Azurah. Kali ini dengan Rohayati pula. Dia kemudiannya lalu meninggalkan bilik Datuk Baharuddin dengan penuh perasaan hampa dan kecewa.

Hari-hari yang berlalu terasa dengan begitu pantas sekali. Sudah seminggu Rosnani berada di sini. Petang itu cuaca kelihatan redup sahaja. Matahari tidak kelihatan langsung di kaki langit. Namun begitu tiada tanda-tanda hujan akan turun membasahi kawasan peranginan dan kampung yang berhampiran dengannya. Angin dari arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Membelai seluruh alam semesta.

Sang camar putih bebas berterbangan berpasangan ke sana sini. Membelah angkasa yang luas sambil bernyanyi-nyanyi riang. Sesekali hinggap di dahan membuat sarang dan kemudian terbang semula. Desiran ombak tetap tenang menghempas pantai. Buih-buih memutih bermain dengan penuh keriangan di gigian. Sekejap timbul dan sekejap hilang. Seperti biasa butiran pasir halus dan batu-batu kecil akan basah dengan kejadian ciptaan Tuhan itu. Pepohonan dan dedaunan hijau bagai menari-nari. Mengikut tarian angin yang berhembus dingin dan nyaman. Rasa segar dan nikmat yang tak terhingga jelas terasa apabila menyapu permukaan kulit.

“Cantik lukisan awak,” kata Rosnani sambil membelek satu persatu lukisan yang dibawa oleh Wahid. Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu mengerbang apabila ditiup angin laut.

“Yang ini saya hadiahkan istimewa untuk awak. Semalaman saya tak tidur untuk menyiapkannya,” Wahid bersuara sambil menghulurkan lukisan yang menggambarkan sebuah perkampungan nelayan.

“Ya ke. Cantik sungguh lukisan awak. Terima kasih. Memang awak berbakat. Kalau awak jual dengan harga yang mahal pun saya sanggup beli lukisan ini,” jawab Rosnani sambil melihat dalam-dalam lukisan itu.

“Saya tak fikirkan soal bayaran. Yang penting kepuasan dalam berkarya. Agar insan seperti awak faham apa yang tergambar dalam perasaan saya. Mensyukuri kehidupan yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bermula dari kita dilahirkan sehinggalah kematian menjemput kita nanti,” dia menambah sebaliknya sambil membetulkan duduk di lantai pondok.

“Dalam sekali kata-kata awak tu. Apa yang saya lihat awak ni selain daripada seorang pelukis juga seorang penyair rupanya,” ujar Rosnani pula.

“Melukis sudah menjadi darah daging dalam hidup saya. Dunia penyair tidak pernah saya ceburi. Cuma membaca buku-buku penyair terkenal bertemakan ketuhanan, kemanusiaan dan alam semula jadi. Saya tak boleh ketepikan karya puisi kerana ia berkait rapat dengan lukisan yang saya hasilkan. Walaupun bertemakan kehidupan laut,” terang Wahid.

“Apa yang awak cakapkan itu memang saya akui kebenarannya. Ada yang bernasib baik dan ada yang tak bernasib baik. Ada yang bahagia dan ada yang tak bahagia. Ada yang berjaya dalam hidup dan ada yang tak berjaya dalam hidup. Tapi bagi saya kita harus bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan,” Rosnani menambah.

“Maafkan saya kalau bertanya. Itu pun kalau awak tak keberatan dan menyentuh perasaan awak untuk menjawabnya.” Dia memandang tepat wajah Rosnani yang duduk bersebelahan dengannya.

“Apa dia?” soal Rosnani berkulit putih dan halus sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Apa sebenarnya pekerjaan awak dan kenapa awak datang bercuti ke sini?” Pertanyaan yang diajukan oleh Wahid.

“Saya bekerja dengan ayah saya seorang ahli perniagaan. Saya datang bercuti ke sini saja untuk merehatkan fikiran setelah penat bekerja,” dia cepat menjawab soalan Wahid itu.

“Awak sungguh bertuah memiliki keluarga yang mewah dan berada. Berbanding dengan saya. Kehidupan keluarga saya lebih mengenal erti kesusahan daripada kesenangan. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang,” jelas Wahid.

“Tentu awak selalu mengikut ayah awak turun ke laut.” Rosnani semakin berminat untuk mengetahui liku-liku kehidupan yang dilalui oleh Wahid sebagai anak nelayan. Dia sebaliknya tidak pantas menjawab pertanyaan Rosnani itu. Ditariknya nafas dalam-dalam. Bersama alunan ombak yang tak henti-henti membelai pantai maka terbayanglah kejadian di laut yang dilalui olehnya bersama dengan arwah ayahnya. Wahid kemudiannya mengalihkan pandangan yang melekat di laut yang tenang membiru dan memandang wajah Rosnani.

“Saya dan arwah ayah saya pernah dipukul gelombang ganas di lautan. Syukur alhamdulillah. Umur saya dan arwah ayah saya masih lagi dipanjangkan oleh Tuhan. Kami dapat menyelamatkan diri …,” dia bersuara perlahan. Rosnani hanya berdiam diri apabila mendengar cerita Wahid itu. Rasa keinsafan benar-benar terbit di hatinya. Kehidupan yang dilaluinya jauh berbeza dengan kehidupan yang dilalui oleh Wahid. Umpama langit dan bumi. Mungkin sudah ketentuan Tuhan. Dia ditemukan dengan orang seni macam Wahid sewaktu bercuti.

“Wahid …. Awak anak nelayan …. Saya anak korporat …. Di sini kita bertemu ….” Nada suara Rosnani berbunyi perlahan dan tenggelam bersama gulungan ombak yang terus menghempas pantai.

18

RINDU AYAH RINDU ANAK

Hujan turun lebat malam tadi. Pohon-pohon dan daun-daun kelihatan basah. Begitu juga dengan rumput-rumput menghijau. Langit nampak kelabu. Matahari tidak kelihatan. Mungkin kesan daripada hujan lebat yang bermula daripada tengah malam tadi sehinggalah ke subuh.

Kedinginan. Jelas terasa menyelubungi suasana desa. Yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Dingin yang diarasai ketika ini juga kesan daripada hujan yang turun mencurah-curah lebat malam tadi.

Begitu juga dengan kabus putih. Nampak melitupi puncak bukit-bukau yang subur menghijau. Melalui jendela yang terbuka luas kelihatan tegap berdiri seorang lelaki tua. Haji Dollah namanya.

Ketayap putih, baju Melayu dan kain pelikat yang dipakainya sewaktu meunaikan solat Subuh tadi masih lagi belum disalinnya. Seperti biasa dia menunaikan solat Subuh di surau. Tidak jauh dari rumahnya. Tapi hari ini kerana hujan lebat yang turun sejak malam tadi dia tidak dapat pergi ke surau untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Sebaliknya dia menunaikan solat Subuh di rumah saja.

Selepas menunaikan solat Subuh baru hujan berhenti. Hujan sentiasa turun sejak akhir-akhir ini. Tak menentu. Adaketikanya pagi. Adakalanya tengah hari. Begitu juga petang dan malam.

Haji Dollah melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bukit-bukau yang masih lagi ditutupi kabus. Berhadapan dengan rumahnya. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba saja hati tuanya berasa rindu pada Azam. Satu-satu anak lelakinya dengan arwah isterinya dulu.

“Ayah memang dah tak sayang lagi dengan arwah mak!” bantah Azam dengan sekeras-kerasnya.

“Zam …. Nanti dulu ….” Dia memujuk lembut anaknya.

“Sudah, ayah! Sudah! Kalau ayah dah benar-benar nak berkahwin dengan Mak Cik Siah, teruskanlah. Tapi saya dah buat keputusan!” tegas Azam pula sebaliknya.

“Keputusan?” Haji Dollah berasa amat terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut anaknya itu.

“Ya, ayah!” angguk anaknya.

“Zam …. Dengar dulu apa yang ayah nak cakapkan ni. Tak elok bertindak terburu-buru. Mari kita sama-sama selesaikan masalah ni,” tahannya.

“Tak perlu, ayah!” Azam tetap berkeras sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Saya akan keluar dari rumah ni! Selamat tinggal, ayah!” Demikianlah keputusan yang diambil oleh Azam. Bila ayahnya mahu berkahwin lagi. Dengan Mak Cik Siah juga seorang janda beranak lima.

“Tunggu dulu, Zam! Jangan pergi. Zam! Zam!” kata Haji Dollah. Namun tetap tidak diendahkan oleh anak lelaki tunggalnya itu.

Azam nekad meninggalkan rumah. Dia benar-benar berasa kecil hati dengan ayahnya. Dia tak boleh menerima Mak Cik Siah sebagai ibu tiri. Untuk menggantikan ibunya yang telah pergi buat selama-lamanya. Bagi Azam ibunya yang kini sedang bersemadi di alam baqa adalah satu-satunya ibu yang telah melahirkannya ke dunia ini.

Sampai ke akhirat pun itulah ibu yang dia ada. Tak mungkin ada dua atau ramai ibunya.

Dia sangat sayangkan ibunya yang kini sudah tiada lagi. Tapi ayahnya tidak. Ibu pasti akan menangis dalam kubur. Apabila tahu ayah buat begini. Demikianlah bisik hati kecil Azam.

Nafas yang panjang ditarik sedalam-dalamnya oleh Haji Dollah. Peristiwa itu tetap melekat segar di ingatannya. Walaupun telah lama berlalu pergi dalam hidupnya.

Tapi bagi dia ia seolah-olah baru saja berlaku semalam. Kerana memilih untuk berkahwin lagi dia putus kasih sayang dengan anaknya. Dalam cuaca pagi yang dibungkus dengan kedinginan hati Haji Dollah benar-benar tersentuh. Tatkala teringatkan peristiwa itu.

"Jauh benar nampaknya mengelamun. Apa yang abang fikirkan tu?" tegur isterinya.

Serta-merta lamunan Haji Dollah yang jauh melayang hingga entah ke mana itu pantas terhenti. Diam. Itu saja yang dipilihnya. Sambil terus memandang ke luar. Masih tegak berdiri di tepi jendela. Sejak dari tadi. Tidak menoleh ke belakang. Memandang isterinya yang duduk di kerusi.

Perlahan-lahan Haji Dollah mengangkat kepala. Merenung jauh langit yang masih lagi kelabu. Bersama lembut tiupan angin. Membelai pohon-pohon dan daun-daun hijau. Mengangguk-angguk. Meliuk-liuk. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Lemah-gemalai. Mengikut rentak tiupan angin.

Bunyi desiran angin sungguh menyentuh jiwa pabila didengar. Seolah-olah turut menghulurkan simpati. Dengan apa yang dirasai oleh Haji Dollah ketika ini. Rindu. Teramat sangat. Pada anaknya yang bernama Azam. Hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya yang dulu.

Sayu dan pilu jelas kelihatan di wajahnya yang kian dimamah usia itu. Cuma air mata saja yang masih belum mengalir. Masih mampu ditahannya. Walaupun kesedihan berkocak di jiwanya.

Isterinya dapat membaca dari raut wajahnya yang muram itu. Seperti cuaca pagi ini yang tanpa sinaran matahari. Tak seperti biasa. Terang-benderang. Menerangi seluruh alam semesta.

"Abang teringatkan Azam …." Haji Dollah akhirnya bersuara. Lemah bunyinya. Mengiringi suasana suram yang memayungi seluruh kampung.

"Dah lama abang tak jumpa dia," tambahnya lagi. Semakin perlahan suaranya. Namun jelas dapat didengar oleh isterinya. Memahami dengan apa yang sedang menyelubungi benak suaminya di waktu ini.

"Sudahlah, bang. Siah faham dengan perasaan abang. Azam tulah satu-satunya anak abang dengan arwah Kak Rahimah dulu. Sabar ajelah. Jawapan yang diberikan oleh isterinya. Untuk memadamkan rasa sayu di jiwanya.

"Kenapalah dia marah sangat? Sampai tak boleh terima Siah," luah Haji Dollah pula. Langit suram terus direnungnya.

"Biarkanlah, bang. Sama-samalah kita berdoa. Moga satu hari nanti dia akan balik bertemu dengan abang semula," ujar isterinya.

Mendengarkan saja kata-kata isterinya itu membuatkan Haji Dollah diam. Semua ini adalah dugaan Tuhan. Harus diterima dengan rasa penuh sabar dan redha. Untuk menguji sejauhmana keimanan hamba-Nya.

Setiapkali selepas sembahyang dia tidak lupa memunajatkan doa. Moga anak yang dirinduinya itu kembali semula kepadanya.

"Kenapa ni, Zam? Dua tiga hari ni aku nampak kau termenung aje. Kau ada masalah ke?" soal Shukri. Rakan serumahnya.

Azam sebaliknya diam. Tidak menjawab pertanyaan Shukri itu. Di luar cuaca nampak cerah. Sejak dari pagi tadi sehinggalah ke petang ini. Tanda-tanda hujan akan turun tidak kelihatan langsung.

"Cakaplah, Zam? Kenapa kau jadi begini? Tak macam selalu. Atau kau tak sihat agaknya," desak Shukri pula.

"Tak ada apa-apalah …!" Azam menggeleng-gelengkan kepala dan berkata perlahan.

"Kau tak usahlah, risau. Aku sihat," sambungnya lagi sambil memandang wajah rakan serumahnya itu.

"Dah tu? Aku tengok kau sejak akhir-akhir ni muram. Macam memikirkan sesuatu. Kalau kau ada masalah kau beritahulah aku. Manalah tahu sebagai seorang kawan boleh tolong," ucap Shukri. Yang duduk berhadapan dengannya.

"Pasal ayah aku." Azam akhirnya mengalah. Dengan memberitahu perkara yang sebenar pada Shukri. Apa yang mengusik ingatannya. Sehingga dia jadi tidak menentu.

"Tiba-tiba saja aku teringatkan dia," jelasnya.

Kesedihan dengan serta-merta jelas kelihatan di wajah Azam. Matanya digenangi dengan air. Apabila terkenangkan ayahnya.

Rasa penyesalan yang teramat sangat juga mewarnai hatinya. Dengan apa yang telah dilakukannya terhadap lelaki tua itu. Yang telah membesarkannya bersama arwah ibunya di dunia ini.

Seingatnya dia mendapat belaian penuh kasih sayang daripada ayahnya. Maklumlah anak tunggal kepada ayah dan arwah ibunya. Apa saja yang diminta pasti akan ditunaikan oleh ayahnya. Tapi inikah balasan yang diberikan kepada ayahnya. Dia lalu memejamkan mata. Bila teringatkan semua itu. Deraian air mata mengalir laju. Umpama hujan turun yang mencurah-curah. Membasahi pipinya.

Rasa simpati lalu lahir di hati Shukri. Apabila melihat wajah rakan serumahnya itu dibalut dengan kepiluan. Sebaik-baik sahaja memberitahu mengenai ayahnya.

"Aku berdosa pada dia," terang Azam. Bersama rasa sebak yang semakin kuat menikam-nikam perasaannya.

"Apa yang telah kau buat?" ulang Shukri lagi. Sambil mengangkat muka tinggi sedikit memandang muka Azam.

"Aku membenci dia …." Dia mengeluarkan bunyi nada suara yang lemah dan tak bermaya. Perlahan-lahan tunduk. Semakin banyak air matanya yang tumpah. Sukar untuk dibendung lagi. Tanda penyesalan. Yang hanya mampu digambarkannya. Kerana membuatkan ayahnya derita di atas perbuatannya selama ini.

"Kenapa jadi sampai begitu, Zam?" tanya Shukri tak henti-henti pada Azam yang nampak tunduk sugul. Rasa sedih dan pilu semakin kuat menapak di jiwanya yang masih muda itu.

Dengan tiba-tiba saja cuaca yang di luar tadi cerah bertukar menjadi redup. Panas terik matahari yang tadinya menyinari seluruh alam tidak lagi kelihatan. Langit sebaliknya bertukar menjadi mendung. Angin bertiup lemah. Seolah-olah turut menghulurkan simpati. Pada perasaan yang dirasai oleh Azam ketika ini.

"Sebab dia berkahwin lagi. Selepas emak aku meninggal dunia. Kerana terlalu marahkan dia aku mengambil keputusan keluar daripada rumah," terangnya.

Baru Shukri mengerti. Apabila mendengar penjelasan kawan serumahnya itu. Yang tadinya merunduk layu. Kini bertentang muka dengannya.

"Oh, begitu kisahnya!" Shukri membalas dengan anggukan.

"Tak seharusnya kau bersikap begitu, Zam. Walau apa pun dia tetap ayah kau. Sudahlah tu, Zam. Buang yang keruh ambillah yang jernih. Pulanglah temui ayah kau. Selagi kesempatan yang masih ada ini," nasihat Shukri.

Azam lantas terdiam apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut kawan serumahnya itu. Benar. Apa yang dicakapkan oleh Shukri itu. Dia harus pulang menemui ayahnya. Mala mini jugak. Sebelum terlambat untuk memohon ampun dan maaf. Di atas kesalahan yang telah dilakukannya. Terhadap ayahnya selama ini.

"Aku nak bersiap sekarang!" Azam bingkas bangun sambil mengesat air mata.

"Hah, eloklah tu!" Dengan cepat Shukri mencelah dan mengangguk-anggukkan kepala.

"Moga kau selamat sampai ke kampung dan dapat berjumpa dengan ayah kau," tambah Shukri lagi.

"Terima kasih, Shukri!" angguk Azam pula sebaliknya.

Sepanjang perjalanan ke kampung rasa rindu terhadap ayahnya semakin bertiup kencang bagai angin. Tak sabar-sabar rasanya dia hendak memeluk ayahnya yang sudah lama tidak ditemuinya.

Serentak dengan itu juga dia teringatkan arwah Pak Harun. Orang tua yang dihantarnya ke hospital. Akibat ditimpa kemalangan.

"Terima kasihlah kerana anak bawa Pak Harun ke hospital. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada Pak Harun. Siapa nama anak ni …?" dia bertanya dalam bunyi nada suara yang lemah. Disebabkan kesakitan yang dialaminya. Ditambah pula dia banyak kehilangan darah.

"Nama saya Azam. Pak Harun. Maafkan saya kalau bertanya. Dah tiga hari Pak Harun berada di sini. Tapi isteri dan anak-anak Pak Harun tak datang tengok," Azam bersuara.

Wajah tua Pak Harun pantas berubah menjadi sedih. Dia menangis. Azam dapat membaca dari raut wajah Pak Harun itu. Macam ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Bila ditanya isteri dan anak-anaknya.

"Kenapa Pak Harun berasa sedih sangat? Apa dah jadi dengan isteri dan anak-anak Pak Harun?" Rasa ingin tahu semakin kuat menendang-nendang benaknya.

"Isteri Pak Harun sekarang ada di kampung. Pak Harun datang ke Kuala Lumpur ni sebab nak cari anak perempuan Pak Harun," jelas Pak Harun padanya sambil menangis teresak-esak. Jelas tergambar rasa sedih yang teramat sangat. Menyelubungi hati tuanya itu.

Kepiluan …. Lantas menyirami hati Azam. Bersama rasa sebak dan hiba. Mendengar cerita Pak Harun. Yang mungkin sebaya dengan usia ayahnya. Setelah sekian lama disisihkan daripada hidupnya. Hanya disebabkan rasa marah ayahnya memilih Mak Cik Siah sebagai pasangan hidup. Bagi menggantikan arwah ibunya.

"Di mana anak Pak Harun sekarang?" dia menyoal. Muka orang tua yang nampak pucat dan lesu itu dipandangnya dalam-dalam. Kasihan dia. Terlantar seorang diri. Tanpa ditemani oleh isteri dan anak-anak. Untuk diberikan semangat. Menghadapi kesakitan yang ditanggung akibat dilanggar lari.

Dia ditemui oleh Azam dalam keadaan pengsan di tepi jalan. Lalu Azam membawanya ke hospital.

Lama juga dia tidak sedarkan diri. Akibat daripada cedera parah yang dialaminya. Mungkin kerana dirinya yang sudah terlalu tua dan uzur. Menyebabkan dia jadi begitu.

"Entahlah …. Pak Harun tak tahu di mana dia berada sekarang …. Dia lari dari rumah …." Suaranya lemah dan terputus-putus. Bersama nafas yang tercungap-cungap.

"Kenapa?" Dia berasa sungguh terperanjat. Mendengar penjelasan daripada orang tua itu.

"Kerana mengikut teman lelakinya. Ibunya jatuh sakit kerana rindukan dia. Ayah dan ibu mana yang tak sayangkan anak …," luahnya perlahan pada Azam.

Demikianlah kata-kata terakhir yang didengarinya daripada arwah Pak Harun. Sebelum dia menutup mata. Pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini.

Kisah arwah Pak Harun benar-benar menerbitkan rasa keinsafan di hatinya. Dia tidak mahu nasib malang yang menimpa arwah Pak Harun terjadi pada ayahnya.

Haji Dollah dan isterinya rancak berbual-bual di ruang tamu rumah. Kedengaran suara orang memberi salam. Perbualan mereka lalu terhenti.

Salam yang dihulurkan itu lalu dijawab oleh Haji Dollah sambil bingkas bangun dari kerusi dan perlahan-lahan mengatur langkah ke pintu. Untuk melihat siapa yang datang.

"Ayah!"

"Azam!"

Mereka pantas berpelukan.

19

SEPI SEBUAH RUMAH PUSAKA

Sepi …. Sebuah rumah pusaka. Bagai diusik kematian. Tanpa nisan. Mendung menyelubungi suasana. Tiada lagi kedengaran. Suara tawa riang penghuninya.

Penuh rasa pilu di hatinya. Tak siapa yang tahu. Bersama deraian air mata. Yang membasahi pipi. Umpama titisan hujan. Apabila melihat rumah pusaka yang ditinggal sunyi.

Entah mengapa …! Hatinya benar-benar tersentuh. Mengenangkan rumah pusaka. Pada suatu ketika dahulu pernah menyemai benih-benih kebahagiaan keluarga. Masih segar bersemadi di ingatannya.

Dia menarik nafas panjang. Sambil memeluk tubuh dia melihat dalam-dalam rumah pusaka. Di sinilah dia dilahirkan. Di sinilah dia dibesarkan. Mana mungkin. Dapat dia melupakan kenangan indah itu. Yang pernah mewarnai hidup yang dilaluinya.

Masih lagi dia terbayang-bayang. Betapa gembiranya dia bersama dengan isteri dan anak-anak begitu juga dengan adik-beradik lain berkumpul di rumah ini setiap kali tiba hari raya. Tergambar rasa riang. Yang amat sangat di wajah ayah dan ibunya. Melihat anak-anaknya pulang untuk merayakan hari mulia.

Bukan selalu suasana sebegini dirasai. Hanya setahun sekali. Tapi kini semuanya tinggal menjadi kenangan. Bila ayah dan ibunya sudah tiada lagi. Jiwa rumah pusaka ini menjadi sunyi.

"Ayah ada satu permintaan. Boleh tak kau tunaikan?" pinta ayahnya.

"Apa dia, ayah?" dia membalas. Wajah tua ayahnya itu dipandangnya dalam-dalam. Tak mahu dilepaskannya.

"Sebagai anak yang sulung ayah berharap kau jagalah rumah ni baik-baik. Apabila ayah dan mak dah tak ada nanti," sambungnya lagi.

"Insya-Allah, ayah!" dia mengangguk-angguk dengan pantas. Sebaik-baik sahaja mendengar amanah yang disampaikan oleh ayahnya itu.

"Saya tidak akan hampakan harapan ayah dan mak," janjinya.

"Alhamdulillah, Nasir!" sahut ayahnya pula. Dengan rasa penuh gembira di hati. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh anaknya itu.

"Inilah satu-satunya harta yang kita ada," tambah ayahnya.

Kata-kata ayahnya itu masih lagi terpahat kukuh di ingatannya. Walaupun ayahnya telah lama pergi dan tak akan kembali lagi. Masih lagi segar kata-kata ayahnya itu. Seolah-olah baru saja didengarnya sebentar tadi.

Bila diberi amanah perlu ditunaikan. Sememangnya dituntut dalam agama. Tambah pulak amanah yang diberikan kepadanya datang daripada ayahnya sendiri.

Rumah pusaka yang dibungkus dengan rasa penuh kesepian itu dipandangnya dengan rasa penuh syahdu di hati. Angin bertiup lemah. Daun-daun kering berguguran dan bertaburan memenuhi tanah. Macam turut menghulurkan simpati.

"Mak …," dia bersuara lembut.

"Ayah dah tak ada. Marilah tinggal dengan saya," ajaknya.

"Tak apalah, Nasir …!" tolak emaknya pula sebaliknya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Terima kasihlah atas pelawaan kau tu," ujarnya lagi.

"Mak …," celahnya dan lantas terhenti. Tidak dapat meneruskan kata-kata.

"Walaupun ayah kau dah tak ada lagi mak tak akan tinggalkan rumah ni. Itu janji emak pada ayah kau," emaknya pantas memotong.

"Kalau emak sakit nanti macam mana. Saya tak sanggup tengok mak tinggal sorang-sorang di rumah ni. Nanti apa pulak kata orang. Ada anak. Tapi hidup terbiar," jelasnya.

Desiran angin petang jelas kedengaran. Sepoi-sepoi bahasa. Membelah seluruh kampung yang diwarnai dengan penuh keindahan dan kedamaian. Hembusan angin membangkitkan rasa segar dan dingin. Jelas terasa menyapu seluruh rumah pusaka yang beratapkan zink. Berdinding dan berlantaikan papan.

"Soal mak tak usahlah kau bimbang, Nasir. Tahulah mak menjaga diri nanti," emaknya berkata.

Puas berkali-kali dia memujuk emaknya. Agar tinggal bersama dengannya. Namun emaknya tetap dengan keputusan yang telah dibuatnya itu.

Ternyata kasih emaknya pada rumah pusaka ini amat tebal sekali. Seperti juga ayahnya. Di rumah inilah emaknya menghembuskan nafas yang terakhir. Maka sepilah rumah pusaka ini. Bila ayah dan ibunya dipanggil mengadap Tuhan. Pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan dunia yang fana ini.

"Ada perkara apa yang abang nak bincang dengan saya ni?" Norman adiknya menyoal.

"Pasal rumah di kampung tu …!" dia bersuara perlahan dan menarik nafas yang panjang.

"Kenapa pulak?" tanya Norman pula sebaliknya. Sambil mengangkat kepala memandang wajah abangnya. Yang duduk berhadapan dengannya.

Perbualan mereka lantas terhenti. Pelayan muncul. Dengan membawa dulang yang berisi minuman. Nasir memesan teh tarik. Manakala Norman memesan kopi.

Perlahan-lahan pelayan yang masih muda berusia dalam lingkungan awal 20-an meletakkan minuman yang dipesan oleh kedua-dua beradik itu di atas meja yang berbentuk empat segi. Asap nipis yang keluar daripada air teh tarik dan kopi yang dipesan oleh Nasir dan Norman jelas kelihatan teroleng-oleng naik ke atas. Kemudian terus menghilang.

"Terima kasih!" ujar. Nasir sambil mengangguk-anggukkan kepala dan melihat muka pelayan itu.

"Sama-sama!" jawab pelayan dengan mengangguk-anggukkan kepala dan kemudiannya pantas berlalu pergi dari situ. Sambil membawa dulang yang kosong.

Air teh tarik dan kopi yang masih lagi panas itu lalu dihirup perlahan-lahan oleh Nasir dan Norman. Nasir kemudiannya menyambung semula perbualan yang terhenti buat seketika.

"Rumah tu dah teruk sangat. Yalah! Sejak ayah dan emak meninggal rumah tu terbiar macam tu aje. Kata orang macam dah tak ada seri lagi. Jadi, abang nak ajak Norman, Nazri, Norkiah dan Nazariah kita baiki semula rumah tu. Kembalikan semula semangatnya. Lagipun arwah ayah sebelum dia meninggal dulu dah pesan pada abang. Supaya jaga rumah tu baik-baik," jelasnya pada Norman dengan panjang lebar.

"Nak buat macam mana, bang. Dah macam tu keadaan rumah tu. Lagipun kalau kita baiki siapa yang nak duduk kat rumah tu. Kita kan ada rumah sendiri. Tak ke buat penat dan sia-sia aje namanya." Jawapan yang diberikan oleh Norman. Jelas sekali tidak bersetuju dengan cadangan abangnya itu.

"Abang faham semua tu, Norman. Tapi bila kita dah baiki rumah tu dapatlah kita adik-beradik berkumpul bila hari raya nanti. Sekurang-kurangnya taklah terus sunyi rumah tu." Ternyata dia tidak berputus asa. Untuk memujuk adiknya supaya mengembalikan semula seri rumah pusaka yang telah hilang itu.

"Dah! Dah!" angguk Norman. Sambil memandang tepat muka abangnya.

"Saya tak ada masa nak fikirkan rumah buruk tu. Banyak lagi kerja yang saya kena buat. Abang tanyalah pulak pada Nazri, Norkiah dan Nazariah. Manalah tahu kalau dia orang bersetuju dengan cadangan abang tu," dia menambah lagi.

Memang dia benar-benar rasa kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Norman adiknya yang kedua itu. Kekecewaannya terus berlarutan apabila adik-beradiknya yang lain Nazri, Norkiah dan Nazariah macam juga Norman. Tidak mahu menerima cadangannya. Demi memastikan rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya terus hidup.

Dia lalu menanamkan tekad sedalam-dalamnya di hati. Biarlah tidak mendapat bantuan daripada adik-beradik. Namun demi memegang amanah yang ditinggalkan oleh arwah ayah dan tidak sanggup untuk melihat rumah pusaka ini dilanda sepi maka dia akan mengembalikan semula sinarnya. Walaupun terpaksa dilakukan dengan sendirian.

20

TANAH KEBUN

Cuaca kelihatan cerah menyinari seluruh kampung bersama dengan ketenangan dan kedamaian.

"Tijah! Oh, Tijah!" Kedengaran suara orang memanggil namanya dari bawah rumah.

"Ya! Ya! Saya datang ni. Siapa tu?" sahut Tijah yang berada di dapur.

"Abang Deraman rupanya. Hah, jemputlah naik," pelawa Tijah pula.

"Datang seorang aje ke. Kak Mariam mana?" tanya Tijah lagi.

"Ada kat rumah. Aku datang ni pasal tanah kebun tu," kata Deraman.

"Saya faham, Abang Deraman. Ada duit nanti saya bayarlah semua hutang Abang Long tu," jelas Tijah sebaliknya.

"Bila kau nak bayar, Tijah. Aku ni mengenangkan Adam tu anak arwah adik aku. Sebab nak masuk universiti. Aku beri pinjam duit. Kalau orang lain jangan haraplah aku nak beri," Deraman menambah.

"Saya hargai jasa baik dan pertolongan Abang Deraman tu. Tapi tanah kebun tu satu-satunya harta pusaka peninggalan arwah Abang Majid …," rayu Tijah dalam nada suara lembut. Memohon simpati daripada Deraman.

"Yalah! Itu aku tahu. Tapi soalnya sekarang dah lama sangat aku beri kau tempoh. Kau fahamkan adat orang berhutang kenalah bayar. Sekarang kau terang-terang tak boleh nak bayar. Jadi lebih baik kau serahkan saja geran tanah kebun tu pada aku. Hah, selesai masalah," ingat Deraman.

"Abang Deraman …. Sekali lagi saya minta tolong. Berilah tempoh. Saya janji. Akan selesaikan semua hutang Abang Deraman tu. Percayalah …!" Tijah mengeluarkan nada suara lembut. Bersama wajah penuh pengharapan. Supaya Deraman menerima permintaannya itu.

"Hei, lagi-lagi janji. Sampai bila aku nak menunggu kau tunaikan janji kau tu, Tijah. Letih aku macam ni!" rengus Deraman dalam nada suara yang keras.

Dia kemudiannya lalu meninggalkan rumah Tijah dengan rasa penuh kecewa dan terus pulang ke rumah.

"Macam mana, bang? Dapat ke geran tanah tu?" tanya Mariam isterinya.

"Mana dapat. Tijah tu betul-betul degillah. Dah berkali-kali abang suruh dia serahkan geran tu. Tak mahu jugak diberinya. Naik buntu kepala abang. Tak tahulah apa cara lagi nak gunakan. Untuk lembutkan hatinya tu," Deraman bersuara.

"Abang pujuklah dia baik-baik. Nanti dia serahkanlah geran tu. Kan kita dah janji nak jual tanah kebun tu pada Orang Kaya Bakar," ujar isterinya.

"Awak cakap senanglah. Kan saya dah kata tadi. Hah, dah berkali-kali saya pujuk dia supaya serahkan geran tu. Hutang dia dengan abang pun selesai. Tapi keputusan dia tetap jugak nak jelaskan bila dah ada duit nanti," jelas Deraman pula.

"Habis, macam mana pulak dengan Orang Kaya Bakar? Duit cengkeram dia dah beri," ucap isterinya.

Perbualan Deraman dengan isterinya pantas terhenti apabila kedengaran bunyi telefon bimbit.

"Hello! Ya! Ya, Encik Bakar. Saya faham, Encik Bakar. Tapi berilah saya sedikit masa. Saya janji, Encik Bakar. Geran tanah tu saya akan dapatkan segera. Encik Bakar percayalah. Ya! Ya! Baik, Encik Bakar!" Demikian perbualan antara Deraman dengan Orang Kaya Bakar.

"Apa kata Orang Kaya Bakar, bang?" isterinya pantas menyoal.

"Dia beri tempoh sampai minggu depan. Kalau tak dapat jugak geran tu dia suruh pulangkan balik duit tu. Tapi macam mana abang nak beri. Duit tu dah habis beli barang kemas dan perabot mewah rumah ni. Sebab ikut kehendak awak. Hah, sekarang tengok apa dah jadi!" Deraman melepaskan nada suara marah pada isterinya.

"Duit tu takkan kita nak simpan dalam almari cik abang oi. Mestilah kita gunakan untuk saya nampak bergaya dengan emas dan keperluan rumah ni jugak," isterinya menjawab.

"Hei, bertambah kusutlah kepala aku ni. Dengan keras kepala Tijah, duit Encik Bakar hah dengan lagak awak lagi macam orang kaya. Sudahlah! Aku nak keluar. Duduk dalam rumah ni buat semak fikiran aku aje!" rungut Deraman pada isterinya.

Angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah Tijah bertiup sepoi-sepoi bahasa membelah suasana tengah hari yang masih lagi diwarnai dengan cuaca cerah sejak dari pagi tadi.

"Assalamualaikum, mak!" Adam memberi salam.

"Waalaikumsalam! Adam!" Tijah menjawab salam itu dengan rasa penuh gembira apabila melihat anaknya balik.

"Apa khabar, mak?" tanya Adam lagi sambil mencium tangan ibunya.

"Alhamdulillah, baik. Lama ke kau cuti, Adam?" Tijah sebaliknya bersuara apabila melihat anaknya membawa beg besar.

"Ya, mak!" angguk Adam sambil memandang wajah ibunya.

"Sebulan. Baru lepas periksa. Jadi, Adam baliklah. Kawan-kawan ajak kerja masa cuti ni. Adam malaslah, mak. Sementara cuti ni Adam rasa lebih elok tolong mak di kebun arwah ayah tu," sambungnya lagi.

"Hah, eloklah macam tu, Adam. Sekurang-kurangnya ringan sikit kerja mak. Walaupun masa kau cuti ni aje," Tijah menambah.

"Adik-adik belum balik sekolah lagi ke, mak?" Adam menyoal ibunya.

"Kejap lagi dia orang baliklah. Kau pergilah masuk ke dalam. Mandi dan solat Zuhur. Nanti boleh kita makan sama-sama," ibunya berkata.

"Baiklah, mak!" balas Adam pula.

Rasa bengis dan kecewa jelas kelihatan di muka Deraman setibanya di rumah malam itu.

"Tak boleh jadi macam ni!" bentaknya melepaskan kemarahan yang sedang bersarang di jiwanya.

"Kenapa ni, bang? Ribut tak ada. Angin tak ada. Balik naik angin je," tegur Mariam.

"Mahu tidaknya. Memang saya tengah marah ni. Awak jangan nak naikkan darah saya lagi!" Deraman meninggikan suara seolah-olah melepaskan kemarahannya yang panas membara seperti api membakar pada isterinya.

"Yalah! Abang ceritalah. Apa sebenarnya abang tak tentu pasal naik angin ni," kata isterinya lagi.

"Saya kalah teruk judi tadi!" jelas Deraman pada isterinya sambil mengeluarkan bunyi nada suara yang masih lagi keras kerana berasa tidak puashati dan marah.

"Oh, kalah judi rupanya," isterinya menjawab.

"Awak jangan nak perli saya. Sakit betul hati saya dengan Tijah. Ini semua dia punya pasal. Dah berkali-kali saya suruh dia serahkan geran tanah tu. Taklah sampai saya berjudi nak bayar balik duit cengkeram Orang Kaya Bakar tu!" Deraman bersuara lantang sehingga hampir menggegarkan seluruh rumah.

Dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat Asar di surau Adam bertemu dengan pakciknya.

"Pakcik, apa khabar?" dia menyapa dengan hormat.

"Hah, eloklah pun dah jumpa kau kat sini!" tegas Deraman sebaliknya pada Adam.

"Kenapa, pakcik? Macam ada hal mustahak aje nak beritahu." Adam macam dapat membaca apa yang hendak dicakapkan oleh pakciknya itu.

"Pasal mak kaulah!" ujar Deraman lagi.

"Mak? Kenapa dengan mak, pakcik?" Dengan serta-merta dia berasa hairan apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut pakciknya itu.

"Dengar sini baik-baik, ya. Mak kau berhutang dengan aku sebab nak belanjakan kau masuk universiti..

"Berhutang sebab nak tampung belanja saya masuk universiti?" soal Adam pula sambil memandang wajah pakciknya itu.

"Ya!" Deraman pantas membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

"Berapa hutang mak, pakcik?" tanya Adam lagi.

"Itu kau tak perlu tahu. Jawapannya ada pada mak kau. Begini ajelah, Adam. Biarlah aku berterus terang. Aku benar-benar dah bosan dengan mak kau tahu tak. Kau pujuklah mak kau serahkan geran tanah kebun arwah ayah kau tu. Untuk tebus semua hutang. Kau tu pun berpelajaran tinggi. Faham ajelah cakap aku ni, ya!" Deraman bersuara lantang dengan panjang lebar sebagai ingatan keras kepada ibunya.

Deraman kemudiannya pantas menghidupkan enjin motosikal dan berlalu pergi dari situ.

Adam termenung jauh memikirkan sesuatu sejak berjumpa dengan pakciknya siang tadi sambil melemparkan pandangan ke arah luar yang diselubungi kepekatan malam.

Rembulan yang bersinar indah bersama kerlipan cahaya bintang jelas kelihatan di dada langit hitam.

Bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan membelah suasana malam bersama hembusan dingin angin malam.

"Kenapa ni, Adam? Menung aje. Ada yang tak kena ke?" ibunya bersuara.

Adam sebaliknya hanya mendiamkan diri dan menarik nafas panjang dengan gelagatnya itu diperhatikan dalam-dalam oleh ibunya.

"Cakaplah, Adam. Kenapa? Selalunya balik tak macam ni." Tijah terus mendesak anaknya. Dia dapat merasakan ada masalah yang sedang difikirkan oleh Adam.

Di luar bunyi pohon-pohon dan daun-daun diusik angin malam jelas kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu membelai jiwa.

"Petang tadi waktu balik dari surau Adam jumpa dengan Pakcik Deraman …," dia terhenti.

"Pasal hutang, kan?" Tijah cepat memotong.

"Adam jadi beban mak sebab berhutang dengan Pakcik Deraman," Adam berkata.

"Adam …!" Tijah mengeluarkan nada suara lembut.

"Mak …!" Adam sebaliknya membalas.

Tijah memegang lembut bahu anak sulungnya itu dan memandang wajahnya dengan rasa penuh kasih dan sayang.

"Mak lakukan semua ni demi masa depan Adam dan keluarga kita jugak. Bila Adam dah berjaya lulus dari universiti dan bekerja nanti mak harap Adam dapat membela nasib keluarga kita …," Tijah memujuk anaknya.

"Insya-Allah, mak!" janji Adam pada ibunya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Sementara itu Deraman pergi ke bandar untuk bertemu dengan Orang Kaya Bakar.

"Macam mana ni, Deraman? Duit cengkeram aku dah beri. Tapi tanah kebun yang kau janjikan tu masih tak dapat jugak!" rungutnya keras pada Deraman.

"Itu saya tahu, Encik Bakar. Tapi berilah saya tempoh …." Suara Deraman terputus-putus apabila melihat wajah Orang Kaya Bakar yang berasa bosan apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu.

"Tempoh apalagi hah, Deraman! Jangan-jangan kau nak tipu aku tak. Nahas kau nanti!" bentak Orang Kaya Bakar sambil melepaskan tumbukan di atas meja melepaskan rasa geram dan marah sehingga terasa seperti bergegar seluruh ruang bilik.

"Sabar …. Sabar dulu, Encik Bakar …." Dia sebaliknya berasa terketar-ketar apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Orang Kaya Bakar itu.

"Nak sabar apalagi, Deraman! Duit aku kau dah sapu. Sekarang kau terimalah akibatnya. Jo! Budin! Ajar dia cukup-cukup. Baru dia tahu siapa aku. Orang Kaya Bakar!" arahnya pada dua orang suruhannya itu.

"Baik, bos!" jawab Jo dengan pantas.

"Nanti dulu …. Nanti dulu, Encik Bakar …," tahan Deraman pula sebaliknya.

Deraman lalu dipukul tanpa rasa belas kasihan oleh dua orang suruhan Orang Kaya Bakar dan apa yang mampu dilakukannya hanyalah mengerang kesakitan.

"Rasakan! Baru padan muka kau. Inilah akibatnya kalau mempermainkan aku!" Orang Kaya Bakar ketawa terbahak-bahak dan berasa puas apabila menengok di depan mata Deraman dibelasah sepuas-puasnya oleh dua orang suruhannya itu.

Mariam berasa gelisah dan tidak senang duduk apabila suaminya tidak pulang ke rumah sejak dari semalam.

"Ke mana dia pergi agaknya? Selalunya dia tak macam ni. Pulang ke rumah walaupun dah jauh malam. Jangan …. Jangan …. Hish …. Makin risau aku dibuatnya," kata Mariam sambil wajah cemas nampak di wajahnya.

"Baik aku tanya kawan-kawan dia. Mungkin dia orang tahu. Ke mana Abang Deraman pergi," putus Mariam.

Puas dia bertanya pada kawan-kawan Deraman namun mereka tidak tahu ke mana perginya Deraman.

"Hei, di mana lagi aku nak cari dia ni. Seorang pun tak tahu. Dia pergi …," dia terhenti apabila terfikir sesuatu.

"Boleh jadi dia ada pergi ke rumah Tijah," sambungnya lagi.

Sekali lagi harapannya hampa setibanya di rumah Tijah apabila diberitahu suaminya tidak datang ke rumahnya.

Mariam lantas menangis teresak-esak dan mula terbayang akan nasib buruk yang menimpa diri suaminya.

"Sudahlah, kak. Bawa bersabar. Nanti kita cari dia. Banyakkan berdoa moga dia selamat." Tijah sebaliknya menenangkan Mariam sambil memegang lembut bahunya.

"Tak tahulah apa yang terjadi pada Abang Deraman," Mariam bersuara dengan menangis teresak-esak.

Adam menarik nafas panjang dan memandang wajah makciknya itu yang sedang dibalut rasa kesedihan kerana suaminya tidak pulang ke rumah sejak dari semalam.

"Dia pergi mana, makcik?" Adam menyoal.

"Katanya pergi ke bandar," ujar Mariam yang tak henti-henti menangis.

"Pergi ke bandar?" tanya Adam lagi.

"Ya, Adam …!" kata Mariam pula dengan tangisannya masih belum reda.

"Pakcik buat apa pergi ke bandar, makcik?" soal Adam tak putus-putus dengan rasa penuh minat.

"Entahlah, Adam," Mariam membalas.

"Makcik sendiri pun tak tahu …," sambungnya dalam nada suara yang perlahan dan terus menangis.

Tijah sebaliknya hanya mendiamkan diri dan menggosok-gosok lembut bahu Mariam untuk menenangkan dirinya yang tidak sudah-sudah menangis sejak dari tadi.

"Makcik dah buat laporan polis?" Adam berkata.

"Belum lagi, Adam …!" geleng Mariam lemah dan tak bermaya.

"Makcik benar-benar buntu. Puas makcik cari dia. Tapi tak ada …," ulangnya.

"Dah tanya kawan-kawan dia?" Adam mengangkat kepala memandang muka makciknya.

"Sudah, Adam!" Mariam menjawab dengan cepat.

Adam sebaliknya hanya mendiamkan diri apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh makciknya itu dan memikirkan apakah sebenarnya yang terjadi pada pakciknya.

"Dahlah, kak. Berhentilah menangis. Sama-samalah kita berdoa pada Tuhan semoga Abang Deraman dilindungi dan selamat," pujuk Tijah pula.

Mariam tidak mampu untuk berkata-kata lagi dan hanya menangis sahaja yang mampu dilakukannya mengenangkan nasib buruk yang dialami oleh Abang Deraman suaminya apabila tidak pulang ke rumah sejak dari pagi semalam.

Tijah yang memahami akan perasaan Mariam yang digambarkan melalui tangisan itu tak henti-henti menggosok-gosok lembut bahunya untuk menyabarkan dan menenangkan dirinya yang sedang dilanda kesedihan teramat sangat.

"Hairan. Ke mana dia pergi. Tak apalah, makcik. Bawa banyak bersabar. Adam pergi cari dia sekarang," kata Adam.

Sampai sahaja di bandar Adam lalu membuat laporan polis mengenai kehilangan pakciknya.

Sementara itu kedua-dua belah tangan Deraman diikat dengan kesan lebam di mukanya akibat diseksa dan dipukul teruk oleh Jo dan Budin.

Seluruh badannya terasa lemah dan sakit-sakit akibat didera oleh Orang Kaya Bakar yang marah kerana menipunya tidak menjualkan tanah kebun milik arwah adiknya seperti yang telah dijanjikan sedangkan wang cengkeram telah diterima oleh Deraman.

"Macam mana ni, bos? Apa yang kita nak buat dengan dia ni?" Jo bersuara.

"Betul kata Jo tu, bos!" Budin sebaliknya menyokong sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"Sampai bila kita nak tahan dia. Lagipun dah tentu polis cari kita. Nahas, bos. Tambah pulak mereka dah tahu kegiatan kita!" ingat Budin pula pada Orang Kaya Bakar.

"Ya! Ya! Itu aku tahu. Apa? Kau orang ingat aku tak fikirkan semua tu, ke?" Orang Kaya Bakar mencelah sambil berjalan mundar-mandir memikirkan sesuatu.

Deraman tidak mampu untuk bercakap dan hanya mampu melihat dan mendengar apa yang mereka bertiga bincangkan.

"Hah!" kata Orang Kaya Bakar dengan tiba-tiba sahaja.

"Aku dah dapat. Apa yang patut kita buat dengan orang macam dia ni," sambung Orang Kaya Bakar lagi.

"Apa dia, bos?" Jo yang bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan pada Deraman.

"Mudah saja, Jo! Orang macam ni kita hapuskan saja. Lepas tu kita lari ke sempadan Siam!" putus Orang Kaya Bakar.

"Bagus sekali keputusan bos tu. Itulah yang sebaik-baiknya kita lakukan. Orang macam dia ni buat apa kita simpan. Menyusahkan aje. Lebih baik dia mampus!" Budin menambah.

"Tolong …. Tolong, Encik Bakar …. Jangan …. Jangan bunuh saya …. Tolong …," rayu Deraman pula sebaliknya dalam nada suara yang terketar-ketar kerana ketakutan.

Mendengar sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut Deraman itu Orang Kaya Bakar lalu memandang wajahnya dengan rasa penuh bengis dan geram.

"Sudah terlambat, Deraman!" Orang Kaya Bakar menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang muka Deraman seperti mahu menelannya hidup-hidup.

"Kau mesti mati jugak di tangan aku. Bersedialah untuk mengucapkan selamat tinggal!" Orang Kaya Bakar berkata sambil mengacukan pistol ke arah Deraman yang nampak menggigil ketakutan.

"Polis! Letakkan senjata. Lebih baik awak semua menyerah diri!" Kedengaran suara dan dengan pantas Orang Kaya Bakar dan orang-orangnya dapat diberkas oleh polis.

"Pakcik!" Adam bersuara dan lalu menuju ke arah Deraman dan membuka ikatan tali di tangannya.

"Adam …!" Deraman hanya mampu mengeluarkan nada suara yang lemah dan tak bermaya.

"Syukur alhamdulillah. Pakcik dah selamat. Mari kita balik!" ajak Adam sambil memapah pakciknya.

Sampai sahaja di rumah ibunya Deraman dan Adam disambut dengan rasa penuh gembira oleh Mariam.

"Macam mana Adam tahu yang pakcik disembunyikan oleh Orang Kaya Bakar?" tanya Deraman.

"Hasil daripada maklumat orang ramai, pakcik. Pihak polis memang dah lama menghendaki Orang Kaya Bakar dan orang-orangnya. Mereka bukan sahaja menjadi peminjam wang secara haram malahan juga terlibat dengan kegiatan jenayah seperti rompakan dan peras ugut. Menurut pihak polis lagi mereka juga terlibat dengan kes pembunuhan yang melibatkan peminjam yang gagal menjelaskan hutang," jelas Adam pula dengan panjang lebar.

"Sampai begitu sekali. Dahsyat sungguh mereka," ujar Deraman sambil menarik nafas yang panjang.

Tak lama kemudian Tijah muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman.

"Hah, bang, kak jemputlah minum!" pelawa Tijah.

"Pakcik!" ucap Adam sambil mengangguk-anggukkan kepala dan memandang muka Deraman.

"Saya nak cakap sikit," tambahnya lagi.

"Pasal apa, Adam?" Deraman mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang wajah anak saudaranya itu.

"Berkenaan hutang tu. Saya …," dia terhenti tidak dapat meneruskan kata-kata.

"Adam!" Dengan cepat Deraman memotong.

Dia kemudiannya lalu memandang isterinya yang duduk di sebelahnya dan kelihatan mengangguk-angguk diam sebagai tanda setuju dengan apa yang bakal diperkatakan oleh suaminya itu.

"Tentang hutang tu tak usahlah kau bangkitkan, Adam. Lagipun kau bukannya orang lain. Anak saudara pakcik jugak," Deraman berkata.

"Betul kata pakcik tu, Adam. Yang penting sekarang Adam harus berjaya mendapatkan ijazah. Untuk membela nasib keluarga. Sepertimana yang diharapkan oleh arwah ayah dan ibu Adam," sokong Mariam pula.

"Pakcik sebenarnya terhutang budi pada Adam. Kerana telah menyelamatkan nyawa pakcik. Kalau tak …. Entah apalah yang akan terjadi pada pakcik," luah Deraman.

"Sudahlah tu, pakcik. Saya tak minta semua tu untuk dihargai. Yang penting pakcik selamat," Adam membalas.

"Pakcik dan makcik minta maaf pada Adam dan jugak kau, Tijah. Abang benar-benar menyesal. Dengan apa yang telah abang lakukan selama ni …." Nada suara Deraman berbunyi sayu dan tanpa disedari perlahan-lahan air matanya mengalir membasahi pipi.

"Kakak pun begitu. Maafkan kakak, Tijah …," Mariam mencelah sambil turut menitiskan air mata.

"Bang, kak yang sudah tu sudahlah. Abang dan kakak tak ada salah apa pun dengan saya. Ikatan kekeluargaan kita tetap erat. Walaupun Abang Majid dah tak ada lagi," jawab Tijah pula sebaliknya.

Apabila mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh Tijah itu Deraman lalu tunduk bersama linangan air mata yang terus mencurah-curah seperti hujan.

Angin petang yang bertiup lembut bersama bunyi pohon-pohon bergoyangan dan daun-daun bergeseran bagai merestui penyesalan yang diluahkan oleh Deraman dan Mariam itu.

21

SEORANG MAHASISWA BERNAMA NAZIM

Nazim. Seorang mahasiswa yang mengambil jurusan undang-undang di salah sebuah universiti tempatan. Dia telah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang. Esok dia dan kawan-kawannya akan menyertai demonstrasi jalanan anjuran parti pembangkang menentang kerajaan.

“Jangan buat kerja sia-sia, Zim. Kau kan masih belajar lagi,” nasihat Mohsin rakan yang sejurusan dengannya.

“Aku berjuang untuk menegakkan keadilan! Menghapuskan penindasan yang telah dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat!” tegasnya dengan lantang.

“Penindasan apa, Zim? Kerajaan dah beri banyak kesenangan kepada rakyat termasuk kita sebagai mahasiswa,” Mohsin membalas pula sebaliknya.

“Sudah! Kau jangan nak bersyarah dengan aku. Walau apa pun yang akan terjadi aku tetap menyokong perjuangan parti pembangkang. Untuk menegakkan keadilan di negara ini!”

Ternyata kata-kata kawannya itu membangkitkan rasa kemarahan yang teramat sangat dalam dirinya.

Pihak pembangkang jelas telah dapat mempengaruhi mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi agar menyokong perjuangan mereka. Nazim dan rakan-rakannya begitu fanatik terhadap manifesto yang diperjuangkan oleh pihak pembangkang untuk menumbangkan kerajaan. Ketika dia sedang bersiap-siap untuk menyertai demonstrasi jalanan tiba-tiba kedengaran bunyi pintu biliknya diketuk. Dia lalu membukanya dan kelihatan seorang lelaki tua.

“Assalamualaikum!” lelaki tua itu memberi salam.

“Waalaikumsalam!” dia menjawab.

“Boleh pak cik masuk?”

“Ya! Silalah masuk, pak cik!”

Nazim kemudiannya mempersilakan lelaki tua itu duduk di atas kerusi yang terdapat di biliknya.

“Boleh saya tahu pak cik ni siapa?” dia bertanya.

“Tujuan pak cik datang ni adalah untuk memberi nasihat kepada anak,” jelasnya pada Nazim.

“Nasihat?” Dia berasa amat terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu.

“Ya!” angguknya dengan pantas.

“Jangan salah pilih jalan, nak,” lelaki tua itu mengingatkannya.

“Apa sebenarnya maksud pak cik ni? Saya benar-benar tak faham!” katanya dengan hairan.

“Pak cik kasihan dengan anak kerana dijadikan alat oleh pembangkang,” tambah lelaki tua itu lagi.

“Sudah!” bantah Nazim dengan pantas.

“Saya tak mahu dengar nasihat pak cik. Saya nak pergi sekarang!”

Dia bingkas bangun dan menuju ke pintu meninggalkan lelaki tua itu seorang diri di dalam biliknya.

“Nak ...!”

Langkahnya lalu terhenti apabila kedengaran suara lelaki tua itu memanggilnya.

“Pak cik tak mahu anak menyesal nanti.”

“Menyesal?”

“Saya tak rasa menyesal, pak cik!” ujarnya dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Jalan yang saya pilih ini adalah betul. Selamat tinggal, pak cik!” Jawapan yang diberikannya sambil memandang wajah lelaki tua itu.

Kehadiran lelaki tua itu lalu diceritakannya kepada Syazwan sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat perhimpunan yang telah ditetapkan oleh pihak pembangkang.

“Sudahlah tu, Zim. Tak usah difikirkan sangat,” Syazwan bersuara.

“Dia nasihatkan aku supaya jangan menyokong perjuangan pihak pembangkang,” dia membalas.

“Dahlah tu. Itu mungkin perasaan kau. Lupakanlah. Apa yang penting sekarang kita mesti sokong perjuangan pihak pembangkang,” celah Syazwan pula.

Puluhan ribuan penyokong pihak pembangkang kelihatan membanjiri tempatan perhimpunan. Ada juga yang membawa anak-anak.

Tiba-tiba Nazim terpandang lelaki tua yang datang ke biliknya tadi. Rasa pelik serta-merta menyelubungi dirinya. Macam mana dia ada di sini? Secebis pertanyaan yang menendang-nendang di hati kecilnya.

Pasukan keselamatan juga berkawal dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tak lama kemudian ketua pihak pembangkang pun tiba bersama dengan orang-orang kanannya. Disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh para penyokong.

“Kerajaan telah banyak melakukan kezaliman. Kita tak boleh berdiam diri. Kita mesti tentang habis-habisan. Jika anda semua memilih pihak pembangkang untuk memerintah dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi saya selaku ketua parti ini berjanji akan membela nasib anda semua!”

Ucapan ketua pembangkang yang mengapi-apikan ribuan penyokong dan disambut dengan bunyi sorakan dan tepukan sehingga menggegarkan seluruh tempat perhimpunan.

“Kami sokong pihak pembangkang!”

“Kami mahukan perubahan!”

Pekik para penyokong begitu juga dengan Nazim, Syazwan dan kawan-kawannya.

“Ayuh! Anda semua. Bangkitlah bersama kami untuk melakukan perubahan. Hapuskanlah segala penindasan dan kezaliman!” Ketua pihak pembangkang terus membakar semangat para penyokong untuk bangkit menentang kerajaan.

Serentak dengan itu keadaan yang tadinya aman tiba-tiba bertukar menjadi tegang.

“Apa tunggu lagi? Mari kita ikut mereka bersama-sama melepaskan kemarahan!” ajak Syazwan.

“Betul kata kau, Wan. Dengan bertindak liar dan ganas sajalah jalan yang terbaik untuk mendesak kerajaan agar berundur,” dia menyambut.

“Nanti dulu, nak!” tahan lelaki tua itu dengan tiba-tiba.

“Pak cik lagi? Apa yang pak cik nak lagi ni? Boleh tak pak cik jangan ganggu saya?” dia berkata.

Bosan! Jelas nampak di mukanya apabila didatangi oleh lelaki tua itu.

“Bukan cara begini yang harus anak tunjukkan sebagai seorang pelajar universiti,” dia menasihatkan Nazim.

“Ah! Pak cik pergi dari sini. Saya tak akan dengar nasihat pak cik. Saya akan tetap berjuang dengan pihak pembangkang demi keadilan rakyat di negara ini. Faham!” jerkahnya.

Syazwan berasa terperanjat apabila mendengar Nazim meninggikan suara.

“Hei! Apa kena kau ni, Zim? Kau marahkan siapa?”

“Siapa lagi? Orang tua tulah.”

“Orang tua mana pulak ni?”

“Orang tua yang aku ceritakan pada kau tulah. Dia ada pulak di sini. Takkan kau tak nampak aku marahkan dia tadi.”

Mendengarkan saja kata-kata Nazim itu membuatkan dia semakin berasa hairan.

“Apa yang kau merepek ni, Zim? Mana ada orang tua tu. Aku tak nampak pun!” ujar Syazwan.

“Ada!” sampuknya pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku tak bohong, Wan!” sambungnya lagi.

“Sudah! Sakit kepala aku melayan kau ni!” potong Syazwan dengan pantas.

Hairan! Macam mana dia tak boleh nampak orang tua tu? Padahal dia dekat dengan orang tua tu! Hati kecilnya tak henti-henti berdetik.

Dia kemudiannya mengatur langkah untuk menyertai kumpulan penyokong pihak pembangkang mencetuskan huru-hara.

Melihatkan keadaan ini peniaga-peniaga di ibu kota telah menutup kedai mereka. Begitu juga dengan perkhidmatan bas, teksi dan transit aliran ringan juga tergendala. Akibat daripada demonstrasi jalanan yang dicetuskan oleh penyokong parti pembangkang.

“Sudah, nak. Mari ikut pak cik balik. Tak usah buat kerja yang tak berfaedah ni!” larang lelaki tua itu lagi.

“Ah! Kan aku suruh kau pergi! Pergi!” jeritnya pula sebaliknya dengan sekuat-kuat hati.

Sekali lagi Syazwan berasa terkejut apabila melihat kawannya itu bertempik kuat seorang diri.

“Kau ni dah gila agaknya!” dia lalu menegur Nazim.

“Aku tak gila! Orang tua tu kacau aku lagi!” Dia meninggikan suara apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Syazwan itu.

Pasukan keselamatan lalu memberi amaran kepada kumpulan penyokong parti pembangkang supaya bersurai. Namun tidak diendahkan oleh mereka dan pasukan keselamatan telah bertindak dengan kuasa yang ada pada mereka. Demi memastikan keadaan selamat dan tidak membawa darurat kepada negara akibat daripada rusuhan yang dicetuskan oleh kumpulan penyokong pihak pembangkang.

Tindakan yang diambil oleh pasukan keselamatan itu menyebabkan ramai penyokong parti pembangkang telah ditangkap termasuk Nazim dan dibawa ke tempat tahanan. Nazim kemudiannya dibebaskan dengan diikat jamin oleh lelaki tua itu.

“Terima kasih, pak cik. Kerana telah membebaskan saya. Pak cik .... Saya minta maaf di atas segala sikap buruk saya terhadap pak cik ....” Dia melahirkan rasa penyesalan dalam nada suara yang perlahan.

“Sudahlah tu, nak. Anak tak ada salah apa dengan pak cik,” lelaki tua itu sebaliknya menjawab.

“Saya rasa menyesal pak cik. Kalau saya dengar cakap pak cik dah tentu saya tak jadi begini,” dia membalas.

“Syukur alhamdulillah, nak. Anak telah pun sedar daripada kesilapan!” Lelaki tua itu mengangguk-anggukkan kepala dan menepuk-nepuk lembut bahu Nazim.

“Pak cik harap selepas ini anak tidak akan melibatkan diri lagi dalam demonstrasi jalanan. Ingatlah. Anak adalah seorang mahasiswa dan tumpukanlah sepenuh perhatian terhadap pelajaran.” Dia tak putus-putus menasihatkan Nazim.

Memang benar apa yang dikatakan oleh lelaki tua itu. Kerana termakan hasutan pihak pembangkang agar membenci kerajaan dia sanggup bertindak liar dan ganas merosakkan harta benda awam. Yang seharusnya tidak ada dalam dirinya sebagai seorang yang terpelajar.

Dia lalu tersedar daripada mimpi. Kemudian dia mandi dan menunaikan solat Subuh. Selesai solat Subuh Nazim termenung jauh memikirkan mimpi yang dialaminya bersama lelaki tua yang dianggapnya misteri itu.

“Ayah dan ibu anak pasti akan berasa kecewa. Kalau mereka mengetahui yang anak terlibat dengan demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan. Pihak universiti pula sudah pasti akan mengambil tindakan tegas terhadap anak. Kerana tidak mematuhi etika sebagai seorang pelajar. Bayangkanlah betapa ruginya anak kehilangan peluang menimba ilmu pengetahuan di menara gading dan mendapat pekerjaan yang baik apabila tamat nanti disebabkan terlibat dengan demonstrasi jalanan. Pak cik harap anak belajarlah bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan semester akhir yang akan anak hadapi tak lama lagi.” Itulah yang diucapkan oleh lelaki tua itu dengan panjang lebar sebelum dia hilang daripada mimpi yang dialami oleh Nazim.

Rasa keinsafan lalu menyelubungi dirinya. Dia menanamkan tekad mulai daripada hari ini dia akan berpihak kepada kerajaan dan berazam untuk memperolehi ijazah sarjana muda kelas pertama dalam bidang undang-undang. Sebagai membalas jasa dan pengorbanan ayah dan ibunya yang telah bersusah payah membesarkan dan memberi pelajaran hingga ke peringkat universiti.

Demikianlah kisah seorang mahasiswa bernama Nazim.

22

KISAH DONGENG SANG REMBULAN DAN PUNGGUK

Kisah dongeng sang rembulan dan pungguk. Dihikayatkan sang rembulan dan pungguk adalah lambang setia dalam percintaan. Saling saying-menyayangi dan pungguk akan berasa kerinduan apabila sehari tak bertemu dengan sang rembulan. Pungguk akan tetap setia menanti kedatangan sang rembulan walaupun tidak kelihatan kerana malam dibasahi hujan. Begitu juga dengan sang rembulan akan lemas di lautan kerinduan. Bila sehari tak dapat menatap wajah kekasih pujaan hatinya.

Sang rembulan dan pungguk telah melafazkan janji untuk sehidup semati. Tetap bersama walau apapun yang akan terjadi. Rela berkorban demi cinta setia. Dan tak siapa yang dapat untuk memusnahkan kota cinta yang telah mereka bina bersama.

Demikianlah indahnya kisah cinta sang rembulan dan pungguk. Mungkin inilah yang dijadikan orang sebagai perlambangan dalam dunia percintaan Adam dan Hawa. Wajah sang rembulan yang bercahaya menerangi awan yang hitam dan pekat amat cantik apabila dipandang. Bersama kerlipan sinar bintang-bintang yang menghiasi dada malam.

Kalau ditanya mengapa sang rembulan tidak kelihatan di siang hari bersama terik panas matahari jawapannya itu adalah kuasa Tuhan. Mungkin Tuhan mahu kita sebagai manusia yang dijadikannya agar menghayati suasana alam ciptaannya di malam hari dengan melihat keindahan sang rembulan.

Pada satu malam sang rembulan berasa amat berdukacita. Menangis mengalir air mata seolah-olah sesuatu yang menyedihkan mengusik jiwanya. Pungguk kekasih hatinya yang setia berasa terkejut dan hairan apabila melihat orang yang dicintainya berasa sedih dan menangis pada malam ini.

“Wahai kekasih yang aku sayangi sang rembulan. Kenapa kau nampak sedih hingga menangis? Adakah aku telah menyakiti dan melukai hatimu?” pungguk lalu bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Mengapa dengan tiba-tiba saja kekasih hatinya ini dibungkus dengan rasa kedukaan yang teramat sangat?” Sang rembulan sebaliknya hanya berdiam diri dan tidak menjawab pertanyaan kekasihnya itu. Makin jadi resah dan gelisah tidak menentu sang pungguk dibuatnya. Hanya diam bersama rasa duka yang kian membelit wajah kekasihnya sebagai jawapan kepada pertanyaannya benar-benar menjadikan dia yang bernama pungguk berasa tidak senang apabila melihatnya. Tentu ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan dia jadi begini bisik hati kecil pungguk.

Pungguk lalu mengeluarkan nada suara perlahan untuk memujuk kekasihnya yang sedang dilanda rasa sedih dan duka.

“Sang rembulan ….”

“Aku minta maaf. Kalau membuatkan hati kau terluka …,” katanya lagi.

Mendengarkan saja kata-kata syahdu pujukan kekasihnya itu membuatkan hati sang rembulan lalu rasa terusik dan tersentuh. Dengan sedalam-dalamnya umpama lautan biru yang luas dipandangnya wajah kekasihnya itu. Sepanjang dia memadu kasih dan cinta dengan pungguk tak pernah sekalipun dia menyakiti apatah lagi melukai hatinya. Tak sanggup rasanya untuk dia membiarkan pungguk dibalut rasa kegelisahan apabila melihat dia menunjukkan perubahan pada malam ini. Berwajah dengan rasa penuh berduka dan bersedih menitiskan air mata seperti hujan turun yang mencurah-curah.

Sang rembulan lalu menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada orang yang dicintainya pungguk.

“Duhai pungguk yang aku sayangi sepanjang hayat. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah rasa terluka keranamu.”

Rasa gembira dan lega bukan kepalang jelas nampak di muka pungguk. Yang diterangi dengan cahaya indah dan cantik sang rembulan dalam kepekatan malam. Walaupun sang rembulan menangis kerana berasa sedih dan duka namun ia tetap menawan dipandang menyinari malam. Tidak nampak titis-titis air mata sang rembulan. Barangkali inilah yang dinamakan keajaiban Tuhan dan kesetiaan sang rembulan seperti yang dicurahkannya pada pungguk dengan menyinari cahaya di langit hitam dan pekat. Biarpun dalam hatinya tak siapa yang tahu dia kini sedang dilanda rasa duka dan sedih.

Sementara itu pungguk diam dan tak berkata untuk mendengar apa yang ingin dikatakan lagi oleh kekasih hatinya.

“Aku sedih melihat apa yang berlaku di bawah …,” sayu bunyi nada suara sang rembulan.

“Maksud kau pergolakan hidup manusia yang berlaku pada hari ini?” pungguk memotong dengan pantas.

Memang benar kita sebagai manusia tidak pernah mendengar sang rembulan bercakap. Manusia dan sang rembulan tidak sama sifatnya. Tuhan memberikan manusia suara untuk bercakap tetapi sang rembulan tidak. Ramai manusia yang hidup di dunia tetapi sang rembulan hanya satu. Yang boleh dilihat di langit hitam nan tinggi di malam hari.

Namun manusia dan sang rembulan mempunyai satu persamaan iaitu diciptakan oleh Tuhan. Cuma yang membezakan lagi sang rembulan berada di atas dan manusia berada di bawah. Kita yang bernama manusia memandang sang rembulan dari bawah. Begitu juga dengan sang rembulan meskipun tidak dikurniakan mata oleh Tuhan boleh jadi dapat melihat dan berasa sedih dengan apa yang tidak sepatutnya kita lakukan pada hari ini.

“Mereka berpecah-belah dan tidak bersatu sepertimana yang dituntut dalam agama,” jelas sang rembulan lagi.

“Jadi, itu yang menyebabkan kau menangis? Mengenangkan nasib malang yang telah menimpa manusia pada hari ni?” pungguk menyoal sambil memandang dengan rasa penuh kasih dan sayang. Wajah sang rembulan yang cantik berseri itu.

Sang rembulan menjawab pertanyaan yang diajukan oleh kekasih hatinya itu dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Benar wahai kekasihku pungguk!”

“Aku sendiri melihat bagaimana terjadinya persengketaan dan perpecahan sesama umat Islam di bawah tadi. Berpunca daripada resolusi persidangan pihak pembangkang membenarkan kalimah Allah dipakai oleh orang bukan Islam,” dia menyambung.

“Dahsyat …!” keluh pungguk pula sebaliknya dengan menarik nafas yang panjang.

“Memang dahsyat. Mereka sanggup mempersenda-sendakan kesucian agama. Yang menjadi pedoman hidup kita selama ini,” celah sang rembulan.

Malam yang dikelilingi dengan pekat dan hitam menjadi saksi sang rembulan dan pungguk bertemu untuk memadu kasih asmara turut menghulurkan rasa sayu. Dengan apa yang dikatakan oleh pasangan kekasih itu.

“Agama tak boleh dikaitkan dengan politik. Inilah akibatnya apabila terlalu ingin berkuasa. Sehingga agama sanggup dijadikan alat untuk mencapai cita-cita,” ujar pungguk lagi.

“Kau nampaknya sehati dan sejiwa dengan aku duhai kekasih hatiku,” sambut sang rembulan pula sebaliknya.

“Itulah yang menjadikan kita sebagai pasangan kekasih yang sejati,” pungguk menambah.

“Kalimah Allah hanya untuk orang Islam saja,” ulang sang rembulan.

“Aku juga berasa sedih wahai kekasihku. Dengan mereka yang tidak menghormati kesucian agama,” pungguk menyokong apa yang dikatakan oleh sang rembulan itu.

“Kepada mereka yang berada di bawah sana segeralah insaf dan bertaubat sebelum jauh tersesat,” luah sang rembulan dengan banir-banir rasa penuh kesedihan dan kedukaan masih lagi belum padam di wajahnya.

“Sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadrat Tuhan agar mereka diberikan taufik dan hidayah. Supaya tidak mempolitikkan agama untuk kepentingan parti yang mereka perjuangkan,” balas pungguk.

“Moga mereka akan menjadi orang yang beriman dan soleh untuk mempertahankan kalimah Allah demi agama Islam yang tercinta,” sang rembulan berkata.

Itulah rintihan rasa sepasang kekasih yang setia dalam percintaan melalui dongengan yang harus kita sebagai manusia dengar bersama.

23

PULAU PAYUNG

Dari jauh kelihatan kapal perang Negara Naga Sakti sedang mengharungi lautan biru yang luas.

“Dato’ Laksamana!” tegur Panglima Bentara Betong.

Dato’ Laksamana Rentaka lalu berpaling ke arah Panglima Bentara Betong.

“Kita dah dapat maklumat daripada pasukan pengintip,” dia berkata.

“Apa dia?” Dato’ Laksamana Rentaka sebaliknya menyoal Panglima Bentara Betong.

“Kekuatan musuh tidaklah sehebat mana.” Itulah jawapan yang diberikan oleh Panglima Bentara Betong.

“Awak yakin?” tanya Dato’ Laksamana Rentaka lagi.

“Ini buktinya, Dato’ Laksamana!” Panglima Bentara Betong menyerahkan laporan yang diterima daripada pasukan pengintip kepada Dato’ Laksamana Rentaka.

Dia kemudiannya pantas menyambut laporan yang diserahkan oleh Panglima Bentara Betong itu. Dan membacanya dalam diam. Selepas membaca laporan itu Dato’ Laksamana Rentaka memandang semula muka Panglima Bentara Betong. Dan berkata dengan penuh yakin.

“Kalau begini kekuatan musuh seperti yang dilaporkan oleh pasukan pengintip sudah pasti Pulau Payung yang kaya dengan emas akan menjadi milik kita!”

Sementara itu angkatan perang laut Negara Debunga Wangi juga telah bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran. Dengan angkatan perang laut Negara Naga Sakti. Angkatan perang laut Negara Debunga Wangi dipimpin oleh Dato’ Laksamana Budiman.

Lamunannya yang jauh melayang itu memikirkan sesuatu sambil memandang laut membiru yang tenang lantas terhenti. Apabila Panglima Bentara Jantan menghampirinya dan bersuara.

“Pulau Payung,” jawabnya pendek.

“Kerana Pulau Payung kita terpaksa berperang dengan Negara Naga Sakti. Sedangkan sejarah telah membuktikan yang Pulau Payung adalah milik kita yang sebenarnya.”

“Mungkin kerana berebutkan emas Negara Naga Sakti sanggup bertumpah darah dengan kita,” Panglima Bentara Jantan menambah.

Dato’ Laksamana Budiman sebaliknya hanya berdiam diri. Dan menarik nafas yang panjang. Apabila mendengar kata-kata Panglima Bentara Jantan.

Agak lama kemudian barulah Dato’ Laksamana Budiman bersuara. Untuk membalas apa yang dikatakan oleh pegawai tentera laut Negara Debunga Wangi itu.

“Seperti yang telah diputuskan oleh Ketua Negara dalam Mesyuarat Negara kekayaan hasil emas bukan dimiliki oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin tapi diagihkan kepada rakyat.”

Peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani sesuatu isu. Seperti yang dihadapi oleh Negara Naga Sakti dan Negara Debunga Wangi terhadap Pulau Payung.

“Negara kita tidak seharusnya mengheret Negara Debunga Wangi ke kancah peperangan. Disebabkan pertikaian hak milik Pulau Payung,” kata Bujang.

Seorang siswazah yang mengambil jurusan undang-undang di salah sebuah universiti yang terdapat di Negara Naga Sakti.

“Peperangan membawa kepada kemusnahan,” sokong Dara rakan sejurusan dengannya.

“Memang benar apa yang kau katakan tu, Dara!” dia menyambut dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Rakyat akan merasa hidup susah dan menderita akibat daripada peperangan. Terus terang aku katakan aku tidak menyokong peperangan walaupun telah diputuskan oleh Ketua Negara dan pemimpin-pemimpin atasan dalam Mesyuarat Negara,” dia menyambung lagi.

Seorang lagi rakan yang sejurusan dengannya Teruna yang hanya mendiamkan diri dan sekali-sekala menikmati minuman yang dipesan tiba-tiba menyampuk.

“Dasar negara kita juga dah berubah.”

Suasana di kantin universiti dipenuhi dengan pelajar sebaik-baik sahaja tamat kuliah.

“Kau berdua perasan tak. Sebelum sesuatu keputusan itu dibuat yang melibatkan peperangan perlu mendapatkan sokongan rakyat terlebih dahulu. Sama ada menerimanya atau tidak. Kemudian barulah negara bertindak mengikut apa yang telah diputuskan oleh rakyat,” jelasnya lagi.

Mendengarkan saja apa yang dikatakan oleh rakan yang sejurusan dengannya itu Bujang pantas mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda bersetuju. Bahawa dasar yang selama ini dipegang oleh Negara Naga Sakti berkaitan dengan peperangan telah terpesong. Dan tidak lagi diamalkan oleh ketua negara dan pemimpin-pemimpin tertinggi.

“Memang rakyat berhak bersuara dalam perkara ini!”

“Sama seperti mereka memilih ketua negara dan barisan kepemimpinannya. Untuk menerajui negara ini. Macam yang aku katakan tadi. Peperangan sebenarnya adalah satu bala bencana kepada rakyat. Tapi jawapannya mudah mengapa ketua negara dan pemimpin-pemimpin tertinggi menolak untuk melibatkan rakyat dalam soal ini. Disebabkan terlalu ingin untuk menunjukkan kekuatan dengan memenangi peperangan dan tamakkan hasil emas yang terdapat di Pulau Payung,” dia menambah lagi dengan panjang lebar.

Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik Dato’ Orang Kaya Jingga Ketua Negara Naga Sakti.

Sambil enak bersandar di atas kerusi pusing yang empuk fikirannya jauh melayang. Dengan angan-angan memiliki kekayaan dan kemewahan. Sekiranya Pulau Payung jatuh ke tangan negara yang diperintahnya.

Lamunannya serta-merta terhenti apabila kedengaran bunyi pintu biliknya diketuk orang.

“Masuk!” arahnya dengan pantas.

Sebaik-baik sahaja pintu biliknya terbuka muncul Dato’ Bendahara Jaka Rabung. Ketua Pemimpin-pemimpin Tertinggi di Negara Naga Sakti. Memang dia mengarahkan Dato’ Bendahara Jaka Rabung. Untuk berjumpa dengannya pagi ini.

“Ada apa dato’ panggil saya?” tanya Dato’ Bendahara Jaka Rabung sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi.

“Tentang Perang Pulau Payung,” dia membalas dengan pantas.

“Angkatan perang laut kita telah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap angkatan perang laut Negara Debunga Wangi.” Jawapan yang diberikan oleh Dato’ Bendahara Jaka Rabung.

“Bagus!” Dato’ Orang Kaya Jingga mengangguka-anggukkan kepala.

“Pastikan Pulau Payung yang kaya dengan emas itu menjadi kepunyaan kita!” tegasnya.

Dato’ Bendahara Jaka Rabung yang duduk berhadapan dengannya menyambut pantas dengan anggukkan kepala.

“Baik, dato’!”

“Saya akan arahkan angkatan laut di bawah pimpinan Dato’ Laksamana Rentaka untuk melakukan apa yang dato’ inginkan,” janjinya.

Rasa kegembiraan lantas kelihatan di wajah Dato’ Orang Kaya Jingga apabila mendengar kata-kata Dato’ Bendahara Jaka Rabung itu.

Dalam pada itu Dato’ Laksamana Rentaka dan pegawai-pegawainya mengadakan mesyuarat khas. Untuk membincangkan strategi memusnahkan angkatan laut perang Negara Debunga Wangi.

“Kapal perang mereka dilengkapi dengan beberapa buah kapal pengangkut jet pejuang,” terang Panglima Bentara Dali.

“Apa kurangnya kita, panglima. Mempunyai kapal pengangkut yang lebih canggih dan moden,” Panglima Bentara Betong pula sebaliknya mencelah.

“Kita mesti bijak membuat percaturan supaya tidak kecundang,” ujar Panglima Bentara Gagang.

“Saya tahu falsafah dalam peperangan, panglima. Laksamana! Saya sudah siapkan jet-jet pejuang yang telah dilatih sekian lama untuk memusnahkan musuh,” Panglima Bentara Betong bersuara.

“Awak pasti pasukan yang kita harapkan ini boleh menghapuskan musuh?” Dato’ Laksamana Rentaka menyoal. Dengan memandang sedalam-dalamnya wajah Panglima Bentara Betong.

Panglima Bentara Betong lalu menjawab bersama dengan anggukkan kepala.

“Saya yakin, dato’ laksamana! Berilah saya peluang untuk membuktikannya!” pintanya lagi pada Dato’ Laksamana Rentaka.

Dato’ Laksamana Rentaka pantas memberikan kata putus. Pada permintaan Panglima Bentara Betong tanpa berfikir panjang lagi.

“Baiklah!” angguknya.

“Besok kita lancarkan serangan!” dia mengeluarkan arahan.

“Kalau begitu saya akan arahkan pasukan jet pejuang agar bersiap sedia,” Panglima Bentara Betong membalas.

Maka lautan biru yang luas akan bergegar dengan pertempuran. Antara angkatan perang Negara Naga Sakti dengan Negara Debunga Wangi. Untuk menentukan siapa yang berhak memiliki Pulau Payung. Yang kaya dengan hasil masyghul emas.

Wajah Dato’ Laksamana Budiman tetap tenang apabila diberitahu oleh Panglima Bentara Jantan. Yang angkatan laut perang Negara Naga Sakti akan melancarkan serangan melalui jet-jet pejuang. Hasil daripada maklumat yang diterima daripada pasukan pengintip.

Melalui tingkap kaca kapal Dato’ Laksamana Budiman mendongakkan kepala tinggi sedikit. Sambil memandang laut biru yang penuh dengan ketegangan seperti yang jelas kelihatan di wajahnya.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Biar putih tulang jangan putih mata. Pantang menyerah sebelum kalah. Kita tentang mereka habis-habisan. Arahkan pasukan jet pejuang kita untuk bersiap sedia!” dia berkata dengan penuh rasa bersemangat.

Panglima Bentara Jantan lalu menyambut kata-kata perangsang dan semangat yang dikeluarkan oleh Dato’ Laksamana Budiman dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Baik, dato’! Demi agama, bangsa dan negara saya dan pasukan tentera laut dan udara akan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Untuk mempertahankan kedaulatan Pulau Payung kepunyaan negara kita. Walau seinci pun tak akan diserahkan kepada Negara Naga Sakti!” Demikianlah lafaz ikrar Panglima Bentara Jantan kepada Dato’ Laksamana Budiman.

Wajah Dato’ Laksamana Budiman dipenuhi dengan senyuman kecil. Kerana berasa gembira dengan semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh pegawainya itu. Memang dalam peperangan semangat yang membara dan kesediaan untuk berkorban dengan berjuang demi tanah air tercinta perlu ada di dalam setiap diri anggota tentera. Bagi memastikan kemenangan yang mutlak dapat dimiliki.

Dalam perkara ini Dato’ Laksamana Budiman berasa amat yakin. Bahawa kemenangan dalam peperangan dengan Negara Naga Sakti untuk mempertahankan kedaulatan Pulau Payung sepertimana yang diucapkan oleh Panglima Bentara Jantan akan tercapai. Dengan adanya semangat juang yang tinggi dimiliki oleh anggota-anggota tentera laut dan udara atas nama Negara Debunga Wangi yang dipimpinnya.

Tanpa berlengah lagi Panglima Bentara Jantan pun berlalu pergi meninggalkan Dato’ Laksamana Budiman. Untuk melaksanakan apa yang telah diarahkan oleh ketuanya itu.

Sebaik-baik sahaja kelibat Panglima Bentara Jantan hilang daripada pandangan mata seperti biasa Dato’ Laksamana Budiman tetap nampak tenang. Sambil merenung laut yang membiru memikirkan strategi yang telah disusun dan dirancang. Untuk menumpaskan serangan jet-jet pejuang tentera udara Negara Naga Sakti.

Pertempuran antara jet pejuang tentera udara Negara Naga Sakti dan Negara Debunga Wangi pun berlaku dengan sengitnya. Pasukan jet pejuang tentera udara kedua-dua negara tersebut sama kuat dan sama hebat. Ramai anggota tentera udara kedua-dua negara yang terlibat dalam peperangan yang berpunca daripada perebutan Pulau Payung terkorban. Demikian juga dengan kemusnahan jet-jet pejuang milik kedua-dua Negara. Baik di pihak Negara Naga Sakti mahupun di pihak Negara Debunga Wangi.

Panglima Muda Lintang yang mengetuai pasukan tentera udara Negara Naga Sakti dalam peperangan ini lalu menghubungi Panglima Bentara Betong. Menerusi alat perhubungan yang terdapat dalam jet pejuang yang dipandunya. Untuk melaporkan pertempuran yang berlaku antara pasukan jet pejuang Negara Naga Sakti yang dipimpinnya. Dengan jet pejuang Negara Debunga Wangi.

“Panglima jet pejuang mereka sukar untuk dikalahkan. Ramai anggota kita yang terkorban.”

“Apa? Mereka sukar untuk ditewaskan. Bukankah jet pejuang kita lebih canggih daripada mereka?” Terkejut Panglima Bentara Betong apabila mendengar apa yang dilaporkan oleh Panglima Muda Lintang itu.

“Benar, panglima! Tapi mereka dapat juga memusnahkan jet pejuang kita. Walaupun tidak secanggih jet pejuang yang kita miliki,” jelas Panglima Muda Lintang lagi.

“Teruskan serangan dan musnahkan semua jet-jet pejuang dan kapal pengangkut mereka!” arah Panglima Bentara Betong kepada Panglima Muda Lintang menerusi alat perhubungan yang terdapat di dalam kapal perang angkatan laut Negara Naga Sakti.

Namun begitu arahan yang diberikan oleh Panglima Bentara Betong itu sukar diterima oleh Panglima Muda Lintang.

“Panglima lebih baik kita berundur saja. Daripada meneruskan serangan ke atas mereka.”

Kata-kata yang dikeluarkan oleh Panglima Muda Lintang itu menjadikan Panglima Bentara Betong berasa amat terperanjat. Bercampur dengan marah apabila dia mendengarnya.

“Jangan ingkar arahan! Sebagai pegawai tentera sudah menjadi tugas awak. Untuk melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh pegawai yang berpangkat tinggi seperti saya!”

“Ini bukan soal ingkar arahan, panglima. Sebagai pegawai tentera saya faham dengan apa yang panglima katakan tu,” jawab Panglima Muda Lintang.

“Dah tu? Kenapa awak tak ikut?” potong Panglima Bentara Betong pula sebaliknya dengan pantas. Sambil meninggikan suara disebabkan keengganan Panglima Muda Lintang untuk mematuhi apa yang telah diarahkannya.

“Seperti yang saya katakan tadi ramai anggota kita telah terkorban. Kita tak mampu untuk meneruskan serangan. Dengan jumlah anggota yang tinggal sedikit ini. Lebih baik kita kembali semula ke pangkalan dan menyusun strategi baru. Untuk melancarkan serangan bagi mengalahkan musuh,” cadang Panglima Muda Lintang.

Panglima Bentara Betong akhirnya akur dan menerima cadangan Panglima Muda Lintang itu. Agar tidak meneruskan serangan ke atas pasukan jet-jet pejuang dan angkatan laut Negara Debunga Wangi. Dia kemudiannya mengarahkan Panglima Muda Lintang bersama dengan anggota-anggota pasukan jet pejuang supaya kembali semula ke kapal laut yang menjadi pangkalan mereka. Dalam peperangan dengan Negara Debunga Wangi.

Sudah pastinya ini bukanlah satu berita yang amat menggembirakan. Bila Panglima Bentara Betong menyampaikannya kepada Dato’ Laksamana Rentaka.

“Apa? Kita terpaksa berundur?” Nada suara Dato’ Laksamana Rentaka berbunyi marah. Sebaik-baik sahaja membaca laporan bertulis yang diserahkan oleh Panglima Bentara Betong.

“Kita tak ada pilihan, laksamana,” balas Panglima Bentara Betong.

“Kenapa itu yang harus dijadikan sebagai jawapan?” Ternyata Dato’ Laksamana Rentaka berasa tidak puas hati. Dengan apa yang dikatakan oleh pegawainya itu. Sambil tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan hampa di wajahnya. Di atas kegagalan pasukan jet pejuang angkatan udara Negara Naga Sakti. Menumpaskan angkatan perang musuh Negara Debunga Wangi.

“Nampaknya sia-sia saja misi kita, laksamana. Mereka tidak dapat dikalahkan!” Panglima Bentara Dali mengapi-apikan Dato’ Laksamana Rentaka.

“Benar sekali apa yang dikatakan oleh Panglima Bentara Dali tu, laksamana!” sokong Panglima Bentara Gagang.

“Sudah pasti ini akan mendatangkan kemarahan kepada ketua negara kita. Panglima Bentara Betong mesti bertanggungjawab dalam perkara ini!” tambahnya lagi.

Mendengarkan sahaja kata-kata pedas yang dikeluarkan oleh Panglima Bentara Dali dan Panglima Bentara Gagang itu lantas menjadikan Panglima Bentara Betong naik berang.

“Dato’! Jangan bercakap sedap mulut aje. Sebagai panglima yang ditugaskan untuk menjalankan misi negara ini saya tahu apa akibatnya bila gagal melaksanakannya. Tak perlu dato’ berdua nak menghukum saya. Hanya laksamana yang kini berada di depan kita saja yang berhak untuk melakukannya ke atas saya!” Dia meninggikan suara sambil memandang muka Panglima Bentara Dali dan Panglima Bentara Gagang silih berganti. Bersama rasa kemarahan yang teramat sangat jelas nampak di wajahnya.

Pertikaman lidah antara mereka bertiga itu pantas dileraikan oleh Dato’ Laksamana Rentaka.

“Sudah!” tengkingnya.

“Kita berperang dengan Negara Debunga Wangi. Bukannya sesama sendiri. Kan lebih baik panglima bertiga duduk berbincang. Mencari strategi yang terbaik untuk mengalahkan angkatan perang Negara Debunga Wangi. Daripada saling menyalahkan antara satu sama lain. Kerana kegagalan strategi yang kita gunakan. Untuk menumpaskan mereka!” bentak Dato’ Laksamana Rentaka lagi dengan panjang lebar.

Kemarahan yang ditunjukkan oleh Dato’ Laksamana Rentaka menjadikan ketiga-tiga panglima perang Negara Naga Sakti itu lantas terdiam.

Pemilihan pengerusi persatuan mahasiswa akan diadakan tidak lama lagi. Bujang dicalonkan untuk bertanding memegang jawatan tersebut. Ternyata Bujang mendapat pencalonan yang tinggi dari kalangan mahasiswa. Menentang Daik penyandang jawatan selama tiga penggal berturut-turut.

“Kau sememangnya layak, Bujang. Untuk dicalonkan bertanding dalam pemilihan pengerusi persatuan mahasiswa,” ujar Teruna.

“Kan ramai lagi yang layak. Yang boleh dicalonkan untuk bertanding dengan Daik. Aku ni mana ada kewibawaan. Untuk mengetuai persatuan mahasiswa di universiti ni,” Bujang sebaliknya merendah diri.

“Kau sebenarnya berwibawa, Bujang. Tapi kau yang tidak menyedarinya. Sebab itulah mereka mencalonkan kau,” ujar Dara pula.

Apa yang dikatakan oleh Dara itu disokong penuh Teruna. Sambil mengangguk-anggukkan kepala dia bersuara.

“Memang benar sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Dara! Keberanian kau Bujang menyuarakan pendangan tentang krisis yang berlaku sekarang antara negara kita dengan Negara Naga Sakti yang berpunca daripada isu persempadanan dan kedaulatan Pulau Payung sewaktu dalam kuliah Tamadun Negara memang menarik minat aku termasuk rakan-rakan lain untuk menghayatinya. Sehingga apa yang kau suarakan itu mendapat pujian daripada Profesor Alam Kesuma. Rata-rata termasuk profesor sendiri bersetuju dengan pandangan yang kau lontarkan itu. Bahawa isu ini sebenarnya dapat diselesaikan melalui perundingan antara kedua-dua buah negara yang terlibat. Dan bukannya memilih jalan untuk berperang sebagai kata pemutus,” dia menyambung lagi.

“Itulah sebenarnya kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri kau, Bujang. Cara kau yang bijak berkata-kata maka sewajarnyalah kau dipilih oleh kawan-kawan kita. Untuk bertanding dalam pemilihan jawatan pengerusi persatuan mahasiswa. Yang akan diadakan tak lama lagi,” Dara mencelah.

“Aku yakin dengan kewibawaan dan kebolehan yang kau miliki kau akan dapat menyandang jawatan ini,” tambah Teruna pula.

“Tambah pulak semua mahasiswa yang belajar di universiti ini memberikan sokongan padu. Terhadap pencalonan kau. Bagi bertanding jawatan tertinggi dalam persatuan mahasiswa di universiti kita. Itu petandanya kau berpeluang cerah untuk memenangi jawatan ini,” Dara menyampuk.

“Aku dan Dara serta kawan-kawan lain akan berkempen habis-habisan. Untuk memastikan jawatan pengerusi persatuan mahasiswa menjadi milik kau,” ikrar Teruna pada kawannya yang akan bertanding itu.

Bujang lalu menarik nafas yang panjang. Setelah mendengar ulasan yang diberikan oleh kedua-dua rakan yang sama belajar dengannya di universiti. Berkenaan pemilihannya sebagai calon. Bertanding untuk memegang jawatan tersebut. Dalam persatuan yang tujuan utama ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan serta menggerakkan program dan aktiviti yang penuh dengan kemanfaatan dan faedah kepada mahasiswa.

Perlahan-lahan Bujang memandang wajah kedua-dua kawan baiknya itu dan bersuara.

“Terima kasihlah kepada kau berdua. Juga kepada kawan-kawan lain. Kerana telah memberikan kepercayaan kepada aku. Untuk menerajui persatuan mahasiswa di universiti tempat kita belajar. Insya-Allah! Sekiranya aku diberi mandat nanti aku akan laksanakan tugas dan amanah. Yang telah diberikan dengan sebaik mungkin,” janji Bujang pula sebaliknya.

Sementara itu Daik berasa tidak senang. Bila mendapat perkhabaran yang Bujang akan menentangnya. Dalam pemilihan pengerusi persatuan mahasiswa. Yang menurut perlembagaan persatuan diadakan dua tahun sekali.

Selama dia memegang jawatan pengerusi tiada perubahan mahupun program dan aktiviti yang dilakukannya dalam persatuan. Sejajar dengan tujuan utama penubuhannya.

Menjaga kebajikan mahasiswa jauh sekali. Maka sewajarnyalah dia mengundurkan diri. Untuk memberi peluang kepada muka baru menerajui persatuan. Namun disebabkan mahu sentiasa mendapat nama dan gilakan kuasa dia tetap mahu memastikan jawatan itu tetap menjadi miliknya. Buat kali yang keempat berturut-turut walaupun dengan menggunakan cara yang dianggap kotor dan tidak sihat dalam pertandingan.

“Berani Bujang mencabar aku!” dia berkata dalam nada suara yang marah dan tidak puashati. Kerana ada orang yang cuba untuk menggugat kedudukannya dalam persatuan.

“Kau mesti buat sesuatu, Daik. Untuk memastikan jawatan yang kau pegang selama ini tidak jatuh dengan mudah ke tangan dia,” Lingka sahabat akrabnya mencelah.

“Memang betul sekali apa yang kau katakana tu, Lingka!” Daik membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku tengok makin ramai pelajar-pelajar di universiti ini yang menyokong dia. Tambah pulak dibantu dengan kempen yang hebat dijalankan oleh Teruna dan Dara,” dia menambah lagi.

Lingka pantas memberikan cadangan dan buah fikiran kepada Daik. Bagaimana cara untuk mengalahkan Bujang. Dalam pertandingan pemilihan jawatan pengerusi persatuan mahasiswa. Di mana akan diadakan tidak lama lagi.

“Kau kan anak jutawan yang terkenal di negara ini. Jadi, kau kenalah minta bantuan daripada ayah kau.”

Daik lalu mengangkat kepala dengan tinggi memandang muka kawan karibnya itu dan menyoal.

“Maksud kau?”

“Kau mesti dapatkan bantuan kewangan daripada bapa kau. Untuk membeli mahasiswa-mahasiswa di universiti ini. Untuk terus memilih kau mengetuai persatuan. Hanya itu sajalah jalan yang ada buat kau. Bagi mengalahkan Bujang dalam pertandingan itu nanti,” jelas Lintang.

Rasa kegembiraan dan kelegaan serta-merta nampak di muka Daik. Sebaik-baik sahaja mendengar apa yang dimaksudkan oleh Lintang itu.

“Bijak! Kau memang bijak!” dia memuji Lintang. Sambil menepuk-nepuk bahu kawan akrabnya itu.

“Ya!” tambah Daik lagi dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dengan wang kita boleh membeli segala-galanya termasuk pengaruh!” sambungnya dengan rasa keyakinan jelas kelihatan di wajahnya. Bahawa dengan menaburkan wang mahasiswa-mahasiswa di universiti ini nanti akan terus memilih dia sebagai pengerusi persatuan.

Dalam pada itu angkatan tentera laut dan udara Negara Debunga Wangi. Amat sukar untuk dikalahkan. Tambah pulak pegawai-pegawai tentera laut dan udara Negara Naga Sakti tidak bersatu dan tidak mempunyai semangat juang yang tinggi. Panglima Bentara Betong sering bertelagah dengan Panglima Bentara Dali dan Panglima Bentara Gagang tentang strategi untuk mengalahkan angkatan perang musuh. Masing-masing mahu menunjukkan kehandalan dan kehebatan sebagai seorang pegawai tentera.

Sehingga segala pandangan dan cadangan yang dibentangkan dalam mesyuarat untuk membincangkan strategi bagi menewaskan musuh yang dipengerusikan oleh Dato’ Laksamana Rentaka dengan sewenang-wenangnya ditolak oleh ketiga-tiga panglima perang Negara Naga Sakti itu. Mereka tidak lagi menghormati Dato’ Laksamana Rentaka. Sebagai ketua angkatan perang negara mereka. Dalam misi untuk merampas Pulau Payung yang kaya dengan emas daripada tangan Negara Debunga Wangi. Disebabkan masing-masing sudah ada agenda yang tersendiri.

Akibatnya pegawai-pegawai dan anggota-anggota tentera laut dan udara menjadi berpecah-belah dan berpuak-puak. Ada yang menyokong Panglima Bentara Betong. Tidak kurang pula yang memberikan sokongan kepada Panglima Bentara Dali dan Panglima Bentara Gagang.

Keadaan ini sukar dikawal oleh Dato’ Laksamana Rentaka. Hingga membawa kelemahan kepada angkatan perang laut dan udara Negara Naga Sakti.

Bahana daripada peperangan juga menjadikan rakyat di Negara Naga Sakti hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan. Banyak wang dilaburkan untuk membeli senjata moden dan canggih. Semata-mata digunakan untuk mengalahkan angkatan perang laut dan udara Negara Debunga Wangi. Dalam peperangan untuk mendapatkan Pulau Payung. Yang memiliki kekayaan hasil emas sehingga rakyat sanggup dibiarkan berendam dengan air mata kepayahan.

Namun pembelian alat senjata yang canggih dan moden semuanya adalah sia-sia belaka. Negara Naga Sakti tetap mengalami kekalahan. Terbukti angkatan perang laut dan udara Negara Debunga Wangi sukar untuk ditewaskan. Kesan daripada peperangan yang berpunca perebutan hak milik Pulau Payung juga telah membawa kepada kejatuhan ekonomi di Negara Naga Sakti.

Sementara itu Bujang telah berjaya mengalahkan Daik dalam pemilihan jawatan pengerusi persatuan mahasiswa. Ternyata wang hasil daripada bantuan bapanya yang dilaburkan oleh Daik gagal memikat hati mahasiswa-mahasiswa. Supaya memilihnya berkekalan menyandang jawatan utama. Yang setelah sekian lama dipegangnya.

“Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Tuhan. Dan terima kasih di atas kesudian dan kepercayaan rakan-rakan sekalian memilih saya sebagai pengerusi persatuan mahasiswa yang baru,” ucap Bujang di hadapan mahasiswa-mahasiswa. Sebaik-baik sahaja diisytiharkan sebagai penyandang baru jawatan pengerusi persatuan.

“Berdirinya saya di sini adalah bersama dengan janji. Untuk memastikan persatuan mahasiswa di universiti ini bergerak dan hidup. Sepertimana yang rakan-rakan sekalian harapkan!” dia berkata dengan penuh semangat. Kemudian lalu disambut dengan tepukan gemuruh ribuan mahasiswa.

“Kita harus menumpukan perhatian terhadap nasib malang yang menimpa rakyat di negara ini. Akibat daripada peperangan dengan Negara Debunga Wangi. Semata-mata kerana gilakan dan tamakkan kekayaan emas di Pulau Payung. Sedangkan sejarah telah nyata membuktikan. Bahawa pulau itu adalah kepunyaan Negara Debunga Wangi. Mengapa negara kita harus membuang masa? Dengan menjadi penyamun dan perompak. Mencuri dan merampas hak wilayah dan kedaulatan Negara Debunga Wangi. Sehingga rakyat menjadi mangsa kepedihan dan kesengsaraan!” dia menambah lagi dengan panjang lebar.

Sekali lagi dewan universiti bergema dengan suara sorakan dan tepukan daripada mahasiswa-mahasiswa. Sebagai tanda sokongan padu terhadap permulaan semangat perjuangan. Yang dibakar oleh Bujang.

“Sebagai permulaan kita selaku mahasiswa di universiti ini yang bernaung atas nama persatuan harus bangkit dan bangun membela nasib rakyat. Yang menjadi mangsa penindasan akibat daripada peperangan. Kita mesti desak Dato’ Bendahara Jaka Rabung, Ketua Pemimpin-pemimpin Tertinggi negara kita agar segera menghentikan peperangan. Dan memberikan sepenuh perhatian semula kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Jika dia gagal berbuat demikian maka persatuan kita akan berjuang habis-habisan seperti di medan perang. Bagi membela nasib rakyat di tanah air yang tercinta ini!” laung Bujang untuk terus menyalakan api semangat perjuangan kepada kawan-kawan. Yang belajar seuniversiti dengannya.

Bunyi tepukan dan suara sorakan kuat mahasiswa-mahasiswa terus bergema. Menyelubungi seluruh ruang dewan universiti itu. Ternyata apa yang diperjuangkan oleh Bujang itu demi membela nasib rakyat mendapat sokongan yang kuat. Daripada kawan-kawannya melalui persatuan mahasiswa.

Suasana di Negara Naga Sakti lalu menjadi huru-hara dan kacau-bilau. Akibat daripada pemberontakan yang dilakukan bersama oleh persatuan mahasiswa yang diketuai Bujang dan rakyat.

Tunjuk perasaan yang dilakukan oleh persatuan mahasiswa dan rakyat sukar dikawal pasukan keselamatan. Ramai yang terkorban dan cedera. Dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan pasukan keselamatan.

Begitu juga dengan kemusnahan harta benda. Kumpulan pemberontak bertindak liar dengan membakar bangunan-bangunan yang terdapat di Negara Naga Sakti. Sehingga suasana dipenuhi dengan asap hitam menebal dan julangan api yang marak. Darurat terpaksa diisytiharkan manakala pejabat, kedai dan sekolah ditutup. Dengan perintah berkurung dikuatkuasakan dan kegiatan harian rakyat di Negara Naga Sakti menjadi lumpuh.

Dato’ Orang Kaya Jingga, Ketua Negara Naga Sakti lalu meninggalkan negara. Apabila keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang dicetuskan oleh kumpulan pemberontak gagal dikawal oleh pasukan keselamatan.

Dari jendela kaca di dalam biliknya Dato’ Bendahara Jaka Rabung hanya mampu termenung dan melihat gelombang kebangkitan persatuan mahasiswa dan rakyat berkumpul di depan pejabatnya mendesak agar dia segera menghentikan peperangan dan meletakkan jawatan.

24

KEMBALI

Bosan!

Sudah lama dia di sini di sebuah kota yang amat asing bagi dirinya. Tenggelam dalam kelemasan dan ingin pulang semula ke tempat asalnya. Yang nyata dia hanyut dalam arus pembangunan. Hingga dia lupa pada asal usulnya. Mengapa? Entahlah! Kadang-kadang dia sendiri tidak mengerti. Adatlah tu. Penghuni kota semuanya berlumba-lumba mengejar pembangunan. Dalam konsep siapa cepat akan berjaya dan siapa yang lambat akan ketinggalan.

Hipokrit? Memang tidak dapat dinafikan lagi. Kebenarannya memang ada di mana-mana saja. Manusia tidak mahu mengaku kalah. Baik dari golongan bawahan mahupun golongan atasan. Terpaksa berpura-pura dalam menyerap bencana itu. Persoalan yang tak putus-putus menendang benaknya tika ini.

Hari itu, dia telah mengambil keputusan tidak mahu pergi bekerja. Matlamatnya ingin mengitari seluruh perut kota sebagai pengembara yang sedang mencari sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya. Dia masih merasa belum puas.

Kota terlalu besar. Dan apa yang ada di dalamnya? Dia sendiri tidak tahu. Persoalan yang sentiasa mengisi kotak fikirannya. Hari itu cuaca cerah sahaja. Bola matahari tepat di kepala. Jalur-jalur cahayanya kelihatan amat jelas sekali menyinari alam semesta.

Bahangnya terasa amat ketara sekali menggigit permukaan kulit. Pedih mencakar-cakar. Sementara penghuninya bertebaran di mana-mana saja mengisi seluruh ruang kota. Tak ubah seperti dilanggar garuda. Kadar penghuninya kian bertambah dari masa ke semasa.

Jalan raya dipenuhi dengan pelbagai rupa kenderaan. Memuntahkan asap hitam dan gas beracun. Penyakit. Zahirnya memang ada, batuk-batuk dan lelah. Hospital dan klinik boleh dikatakan saban hari terpaksa menampung jumlah pesakit yang ramai.

Pencemaran! Amat merungsingkan fikirannya. Pohon-pohon semuanya telah ditumbangkan oleh raksasa bergigi besi untuk projek pembangunan. Fikirannya enggan berhenti berbicara. Berputar ligat bak kipas. Mimpi! Tidak! Dia sebenarnya tidak bermimpi. Ia adalah sebuah kenyataan yang kini sedang membelenggu hidupnya.

Satu persoalan yang timbul ialah apakah kita benar-benar kini menghayati erti kemerdekaan yang sebenar? Apakah kita sudah lupa pada Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Leftenan Adnan serta pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain? Mereka semua telah berkorban demi negara yang tercinta.

Cita-cita mereka cuma satu iaitu mengusir penjajah dari bumi yang bertuah ini. Demi kemerdekaan anak cucu-cicit mereka. Alangkah beruntungnya kita. Dia lantas diam membisu seribu bahasa.

Kakinya belum mengenal erti penat. Terus menapak. Matlamatnya yang satu itu belum lagi tercapai. Dia tidak akan pulang selagi tidak menemui jawapan itu. Kompleks membeli-belah tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ia lebih peka mengajar pelanggannya ke arah pembaziran yang berleluasa dan budaya lepak di kalangan remaja.

Ditenungnya muka mereka semua satu persatu. Sebagai daun hijau yang masih muda lagi. Harapan negara pada masa depan. Maju mundurnya negara sebenarnya adalah terletak di atas tangan mereka. Andainya mereka lemah, negara mudah dijajah oleh kuasa asing.

Mereka nampaknya sudah lupa pada budaya yang menjadi pegangan datuk nenek moyang mereka dulu. Lebih agresif dengan budaya barat. Rock, rap dan GQ yang kini di mana-mana.

Atas alasan yang kukuh bahawa mengikut peredaran zaman. Aku tak setuju! Hatinya memberontak kuat. Geram! Dia seolah-olah melepaskan protes yang telah lama bersarang di dadanya dan dia nyata sekali membantah sekeras-kerasnya.

Mengapa kau mempunyai alasan begitu? Terdengar suara-suara yang inginkan kepastian yang penuh darinya.

Kita mempunyai budaya sendiri. Mengapa harus meniru budaya orang lain? Tambahnya lagi dengan penuh berkobar-kobar. Suara itu membalas dengan ketawa yang terbahak-bahak seperti bunyi motosikal yang tersumbat enjinnya.

Sial! Rungut hati kecilnya.

“Lu, kolotlah brother!”

“Ketinggalan zaman!”

“Lu, apa peduli. Gua punya sukalah!”

“Brother, lu kampung marilah!” Demikianlah antara jawapan yang menyumbat cuping telinganya.

Suhu darahnya kian mendidih. Umpama singa yang lapar mahu menyambar mangsanya. Namun dia tetap bersabar. Dunia sekarang sudah berubah bukan seperti dulu lagi. Tak mengapa. Biarkanlah! Asalkan mereka tidak lupa dengan tanggungjawab sebagai manusia dan tidak mendekatkan diri dengan dadah.

Dia pantas berlalu pergi dari situ. Meninggalkan mereka yang masih terkinja-kinja lagi. Seronok dengan dunia remaja yang mereka alami.

Sebentar kemudian sebuah kereta Mercedes Benz yang berwarna hitam melintasi di depannya. Ia milik seorang lembaga pengarah Syarikat Seroja Holdings Sdn. Bhd. Harta kekayaannya melimpah-limpah. Rumahnya sebuah banglo mewah tiga tingkat yang terletak di Ukay Height.

Siang dan malam asyik memburu kekayaan.

Tapi sayang, dia amat jahil dalam soal agama. Hidupnya penuh dengan dosa dan maksiat. Lebih banyak menghabiskan masa dengan dosa dan maksiat. Lebih banyak menghabiskan masa mengunjungi bar dan pub. Berkawan dengan perempuan-perempuan yang cantik serta bir dan wiski malah judi. Banyak melakukan penyelewengan dan menggelapkan wang syarikat sesuka hati.

Dia hidup mewah dan bersenang-lenang, sedangkan orang bawahannya hidup dengan penuh derita. Dan yang lebih dahsyat lagi dia tidak pernah bersembahyang, berpuasa dan mengeluarkan zakat.

Malah dia tidak pernah langsung mengenal isi-isi yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Menjejakkan kaki ke masjid jauh sekali seumur hayatnya. Fardu Jumaat selalu tuang saja. Sibuk dengan urusan dunia hingga melalaikan akhirat.

“Kenapa kau jadi begini?” soalnya pula.

“Aku ingin menikmati hidup yang penuh mutlak,” jawab ahli lembaga pengarah itu dengan megah dan angkuh.

“Tapi, kau sebenarnya lupa bahawa dunia ini hanyalah sementara waktu sahaja sedangkan akhirat jualah yang kekal abadi buat selama-lamanya,” nasihatnya lagi tak henti-henti.

“Aku mengerti itu semua!”

“Habis? Bila kau nak bertaubat?”

“Dah tua nanti,” jawabnya begitu mudah sekali.

Dia lantas terperanjat bila mendengarnya. Dan menggelengkan kepala. Namun hati kecilnya tetap berdoa moga Tuhan akan membukakan pintu hatinya ke arah jalan yang benar.

Kereta mewah itu terus menderu laju hingga meninggalkan asap saja. Dia sebaliknya meneruskan perjalanan. Tiba-tiba matanya ternampak seorang pegawai kerajaan sedang bermaharajalela menerima rasuah.

Tanpa berlengah lagi dia lantas menghampirinya.

“Mengapa kau lakukan kerja yang terkutuk ini, hah?” dia menyergah pantas. Pegawai itu pula mengangkat muka ke arahnya.

“Demi untuk kesenangan hidup!” balasnya senang.

“Bukan begini caranya. Carilah rezeki dengan cara yang halal dan direstui oleh Tuhan,” ujarnya bertubi-tubi kali.

“Habis?” Pegawai itu mendongakkan mukanya.

“Bukankah ia salah di sisi undang-undang.” Dia cuba mengingatkan.

“Benar!” pegawai itu menganggukkan kepala.

“Kau dah kahwin?” soalnya lagi tak henti-henti.

“Sudah!” jawab pegawai itu pantas.

“Berapa orang anak kau?”

“Lima,” jawabnya ringkas.

“Semua sudah bersekolah?”

“Sudah.”

“Apa yang terjadi kepada mereka semua kalau kau dipenjarakan?”

Ternyata dia bukan jenis yang mahu mendengar nasihat.

“Kenapa kau sibuk sangat?” pegawai itu naik berang.

“Sekadar mahu mengingatkan,” balasnya.

“Itu bukan urusan kau!”

“Benar!” dia mengangguk kepala.

“Aku tidak mahu melihat kau menyesal nanti!” sambungnya lagi.

“Mengapa kau harus heboh?”

Dia lantas diam dan enggan mengeluarkan kata-kata. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat.

Rasuah sudah menjadi darah dagingnya. Itu saja cara yang mudah untuk memperolehi sumber kekayaan bukan dengan cara bertungkus-lumus. Hingga melupakan konsep bersih, cekap dan amanah. Sedangkan slogan dan kempen bergema di mana-mana saja. Tapi tak diendahkannya langsung.

Entahlah.

Dia sendiri kadangkala tidak mengerti. Hidup manusia memang aneh. Penuh dengan aneka ragam. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Sampai bila dia harus bersubahat dengan musuh negara itu. Seberkas pertanyaan membelenggu benaknya.

Siapa jiran yang tinggal di sebelah rumah kau itu?

Kalau tak silap aku, dia adalah seorang ahli perniagaan. Isterinya bekerja? Persoalan itu tak henti-henti menerjah fikirannya sejak dari tadi. Yang itu, aku kurang pasti. Jawabnya pendek saja.

Mengapa jadi begini? Apakah kau sudah lupa bahawa agama Islam sejak zaman Nabi Muhammad telah menekankan perpaduan ummah dalam konsep hidup berjiran?

Tidak! Aku tidak pernah lupa itu semua.

Dan dia terus meneroka alam kota.

Seorang pemuda sedang khayal menghisap dadah di belakang lorong Masjid India.

Keadaan dirinya sungguh menyedihkan. Di mana badannya kurus dan matanya cengkung. Ini semua adalah bahana najis dadah yang menjadi musuh negara.

“Kenapa kau jadi begini?”

“Aku sebenarnya putus cinta …,” jawabnya lemah dan tak bertenaga lagi.

“Jadi, kau memilih dadah sebagai jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang kau hadapi?”

“Ya!” dia menganggukkan kepala.

“Bagaimana kau memperolehi wang membeli benda haram itu?” soalnya dengan penuh rasa simpati campur sayu. Pemuda itu mengangkat mukanya perlahan-lahan. Dan berkata:

“Aku terpaksa mencuri dan dari upah menjaga serta mencuci kereta.”

“Dulu kau kerja di mana?” soalnya lagi.

“Jabatan Kerajaan.”

“Apa jawatan kau?”

“Kerani Am dan aku hampir-hampir dinaikkan pangkat. Tapi ….” Dia berhenti bercakap. Seolah-olah tak berkuasa lagi untuk meneruskannya.

“Kau harus insaf dengan kembali semula ke pangkal jalan. Serta menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Dan bukannya menjadi sampah masyarakat,” nasihatnya bertubi-tubi.

Wajah pemuda itu kian layu.

“Tak boleh!” pemuda itu menggelengkan kepala.

“Mengapa?” tanyanya dengan penuh kehairanan.

“Kerana ia telah menjadi sebahagian daripada hidupku ….” Dia berterus terang dan lantas mengeluh sendirian.

Secara zahirnya hidup ini penuh dengan pelbagai onak dan duri-duri yang amat menyakitkan yang harus ditempuh. Pemuda itu terus khayal dengan heroin, jarum, lilin dan sudu. Matanya tak berkelip-kelip memerhatikan peristiwa yang amat ngeri itu.

25

CALON

Dia sebenarnya dicalonkan untuk menjadi Pengerusi syarikat. Berkuasa penuh. Segala cakap yang keluar daripada mulutnya tidak boleh dibantah. Keputusan adalah muktamad. Tambahan pula dia bakal memegang saham yang tertinggi dalam syarikat. Duduk dan menyandarkan tubuh pada kerusi eksekutif sambil berpusing ke kiri kanan. Dalam bilik yang dikepung oleh mesin penghawa dingin.

Yang nyata dia benar-benar berlagak seperti seorang calon.

Bak kata orang angan-angan Mat Jenin. Ingin memeluk Puteri Raja akhirnya terjatuh pokok kelapa. Apa salahnya? Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini memang mempunyai cita-cita. Kalau tidak hidup sudah tentu kosong.

Kata putus belum dicapai. Biarpun Datuk Osman akan mengundurkan diri dari jawatan Pengerusi. Mahu menumpukan seluruh perhatian terhadap amal ibadat dan keluarga. Dia sudah lama bergelumang dengan dunia perniagaan. Seperti sudah menjadi darah daging. Kini tampuk Pengerusi harus dilepaskan untuk memberi peluang kepada orang lain untuk menjawatnya.

Sebaik-baik sahaja mesyuarat tamat, dia pantas keluar dari bilik.

Tanpa memandang muka Datuk Osman serta kakitangan syarikat yang lain. Dia mengatur langkah perlahan.

“Karim!”

Kedengaran suara memanggil namanya.

Dia berhenti seketika dan menoleh ke belakang. Muncul Zaid. Berambut lurus dan berbadan tegap. Perlahan-lahan dia menghampiri Karim yang masih tercegat berdiri.

“Macam mana dengan peluang kau, Karim?” tanya Zaid lagi. Sambil membetulkan tali leher.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya menoleh ke kiri kanan. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 4.30 petang. Suasana di ruang pejabat macam dilanggar garuda. Kakitangan yang lain telah pulang ke sarang masing-masing. Aina yang merangkap sebagai setiausaha Datuk Osman masih lagi bersolek di tempat duduknya.

Mata Zaid tunak menanti jawapan Karim. Dia mengeluarkan suara senang:

“Peluang tetap cerah.”

“Rekod kau memang baik,” Zaid cepat menyampuk bagai sang helang menyambar mangsa. Dia ketawa kecil. Begitu juga dengan Zaid.

“Hidup perlu berpura-pura,” tekan Karim pula. Serentak melangkah masuk ke dalam bilik. Zaid mengikuti dari belakang.

Daun pintu segera terkuak.

Karim terus menghampiri jendela kaca. Dia melontarkan pandangan ke bawah dari bangunan yang setinggi 15 tingkat terletak di Jalan Duta.

Titis-titis hawa dingin bagai berpeluh terlekat pada kaca jendela. Kesejukan mesin penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik. Sesekali Karim menyelak kain langsir yang berwarna biru laut serta berbunga putih dan merah. Bola mentari kian meninggi di kaki langit. Jalur-jalur cahaya yang lurus menyinari seluruh bandaraya Kuala Lumpur. Deru kenderaan berlibur di atas jalan raya. Pembangunan menjadikan manusia semakin ramai.

Zaid telah lama melabuhkan punggung di atas kerusi. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip memerhatikan gelagat Karim. Yang menjadi sahabat karibnya.

Karim memalingkan muka.

“Bagaimana dengan tender yang akan datang?”

“Beres!”

“Berapa peratus untuk bahagian kita?” Soalan yang biasa timbul.

Zaid membetulkan duduk.

“Lumayan sekali!” Dia menyilangkan kaki di atas paha.

Karim masih lagi berdiri di sisi meja yang berbentuk empat segi. Kemudian bergerak perlahan-lahan untuk melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia sempat mencuri pandang fail yang berwarna hijau tua di atas meja. Memorandum yang amat penting sekali. Berkaitan dengan tender yang menunggu untuk ditandatangani oleh Datuk Osman. Hanya tawaran dua kali ganda iaitu sebanyak RM 990,000.00. Karim berjaya menjadi sang penakluk. Huh hebatnya!

Dia melonggarkan tali leher.

Tubuh tegap itu disandarkan pada kerusi empuk. Sekejap-sekejap dia memandang ke atas. Dinding konkrit bercat putih.

Zaid memancung lamunannya.

“Kau menjadi orang kepercayaan Datuk. Tentu sudah faham dengan tugas yang bakal kau pikul.” Dia mendongakkan kepala tinggi. Dan cepat memotong:

“Maksud kau untuk meyakinkan dia.”

“Sudah tentu!” Zaid menyokong pendapat itu.

“Kau jangan bimbang, Zaid. Serahkan segala-galanya pada aku.” Karim berperasaan megah. Dia yakin segala rancangan yang diatur akan berjalan dengan lancar. Tanpa sebarang halangan dan rintangan. Datuk Osman pasti akan tunduk. Tak lama lagi dia akan berundur dari jawatan Pengerusi setelah sekian lama bergelumang dengan syarikat.

Masa depan Karim semakin cerah.

Ibarat sang suria yang terbit di waktu pagi. Zaid melontarkan pandangan ke arah bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Setelah lama, dia kembali semula menyapu muka Karim yang bulat berbujur sirih. Dia bersuara tegas:

“Karim, aku harap kau tidak lupa pada janji.”

Dia tertawa kecil bila mendengarnya.

Kedua-dua belah mata hampir tertutup. Begitu juga dengan kedua-dua belah bahunya terangkat. Zaid berwajah serius. Kemudian Karim bersuara:

“Tentang kedudukan kau?”

Dia mengingatkan Zaid semula.

“Kau akan diberi kuasa sebagai Timbalan Pengerusi syarikat. Malah kau akan menjadi pemegang kedua tertinggi saham syarikat.”

Ia bukan teka-teki. Atau sekadar untuk menduga Zaid.

“Tanpa persetujuan daripada ahli-ahli lembaga pengarah yang lain.”

“Ya!” angguk.

“Jadi kau takut akan diisngkirkan?” tanya Karim. Sambil membelek-belek fail tawaran harga tender. Dia pantas menutup semula. Dan meletakkannya di atas rak besi yang terletak di sudut meja.

Zaid tak henti-henti menyoroti persoalan itu.

“Manusia memang mudah lupa daratan.” Dia mengutip semula kata-kata itu.

Karim tidak mengendahkan langsung. Tidak gusar sama sekali dengan ingatan itu.

“Nampaknya kau meragui semangat setiakawan yang telah lama kita bina.” Kata-kata yang terkeluar daripada mulut Karim.

“Tidak!” Zaid mengalihkan perhatian pada permukaan permaidani yang berwarna merah hati.

Dia berwajah selamba. Dan berkata:

“Zaid, kita dah lama berkawan. Takkanlah tergamak aku hendak menipu kau.”

“Sedangkan pantai boleh berubah sekejap masa, inikan pulak manusia.” Zaid menguatkan lagi hujah-hujah. Macam seorang peguambela mengendalikan perbicaraan kes pembunuhan di mahkamah. Untuk membuktikan yang tertuduh tidak bersalah dan dibebaskan daripada sebarang hukuman.

“Kau anggap aku tidak berpegang pada janji?”

“Bak kata orang kerbau dipegang pada tali manusia dipegang pada janji.”

Perdebatan antara Karim dengan Zaid semakin hangat. Setiap janji harus dikota. Bukannya angan-angan kosong. Itulah amalan hidup Zaid. Walaupun melakukan perbuatan yang serong dan penuh noda.

Hawa dingin terasa segar menyapu permukaan kulit. Seperti air terjun di pinggir kali.

“Kau jangan bimbang, Zaid 90% saham syarikat ini adalah hak milik kau,” ikrar Karim berulang kali. Sambil memandang tepat muka Zaid.

Sungguhpun begitu, Zaid masih jelas lagi menyanggah keyakinan yang ditimbulkan oleh Karim.

“Karim, kau jangan lupa bahawa kita ada ancaman yang lebih besar.”

“Ancaman?” Dia terkejut.

“Ya!” Zaid pantas mengangguk-anggukkan kepala.

“Dari siapa?” Karim semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi sambil membetulkan duduknya.

“Alwi,” jawab Zaid ringkas.

“Anak tunggal Datuk Osman. Budak mentah,” Karim membalas mudah.

“Dia mempunyai hak dalam syarikat ini. Tambahan pula dia memiliki ijazah dari luar negeri.” Reaksi Karim tidak panik walau sedikit pun. Dia mengambil jalan pendek.

“Senang!”

“Senang kau kata?”

“Ya!” Karim sekadar mengangguk.

“Maksud kau?”

“Aku ada strategi.”

“Strategi apa?” soal Zaid bertubi-tubi. Umpama muntahan peluru daripada muncung mesin-gun. Ternyata Zaid masih belum mengerti.

Karim enggan menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zaid. Dia melontarkan pandangan ke arah pintu antik. Sebuah diari hitam yang berfungsi sebagai catatan harian terletak di tepi sudut meja. Kemudian kedua-dua bola matanya merenung Zaid yang bakal menjadi rakan kongsi. Sama-sama bersubahat melakukan penyelewengan.

“Aku akan mempengaruhi Datuk Osman.” Perasaan tamak Karim kian meluap-luap.

“Bolehkah perkara ini berhasil?”

“Mengapa kau kata begitu?” Karim kembali menyoal Zaid. Serentak mendongakkan kepala tinggi sedikit.

Suara Karim bergetar menembusi celah-celah dinding.

“Zaid, kalau tak berjaya jangan panggil aku Karim!” ujarnya dengan penuh bongkak. Dia yakin seratus peratus rancangan yang jahat ini pasti berjaya.

Sementara itu, Zaid nampaknya masih lagi merasa was-was.

“Tapi soalnya sekarang Alwi seorang golongan yang terpelajar.”

“Ahhh,” sanggah Karim tak putus-putus.

“Datuk boleh disuntik.” Karim tidak bimbang.

“Tapi ….”

“Sudahlah tu, Zaid,” Karim begitu cepat sekali memancung kata-kata Zaid.

“Jangan difikirkan sangat. Itu perkara mudah saja.”

Zaid diam. Setelah agak lama kemudian dia beralih ke topik lain pula.

“Kau kenal dengan Datuk Jamil?”

“Pemilik syarikat Mawar Holding Sdn. Bhd.”

“Kau masih belum lagi membereskan tugas. Untuk menyekat pengaruh dan kuasa Mawar Holding,” ujar Zaid lagi.

“Apa dia?”

Demikianlah ragam hidup manusia lebih mencerminkan perasaan cemburu dan iri hati. Pantang melihat kejayaan orang lain. Sentiasa mencari jalan mudah mahupun mengambil masa untuk menjatuhkan orang yang berada di puncak kejayaan. Tanpa menghiraukan kekuasaan Allah SWT yang menjadikan manusia dan seluruh alam semesta.

“Datuk Jamil berjaya memperolehi tender membina bangunan kerajaan di Jalan Ampang sebanyak RM 990,000.00.”

“Mana kau tahu semua ini?” Dia bermuka tinggi. Melihat dengan penuh teliti Zaid yang bermuka bulat serta berdahi licin. Berkulit kuning langsat.

“Karim, bukankah kita sentiasa memasang orang di mana-mana sahaja?”

“Jadi?” Dia ingin kepastian.

Sejak dari dahulu lagi dia tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada Zaid. Mereka berdua mempunyai matlamat dan cita-cita yang sama. Mahu menakluki seluruh empayar syarikat Dinihari Holdings Sdn. Bhd.

“Kita mesti sabotaj bekalan simen mereka. Bila mereka gagal menyiapkan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan sudah pasti surat tawaran yang dikemukakan kepada mereka secara automatik akan dibatalkan. Dan tugas kau ialah untuk mengambil alih sepenhnya projek yang terbengkalai itu.” Jelas sekali niat jahat Zaid.

Akibatnya dia menerima habuan pujian yang melambung tinggi.

“Kau memang bijak, Zaid!” Dia tersenyum megah. Dan menjawab:

“Karim rancangan ini pasti akan menguatkan lagi kedudukan kau sebagai Pengerusi syarikat.”

“Dan saham syarikat ini tidak akan goyah selagi kau bertindak sebagai Timbalan Pengerusi syarikat.”

Perkembangan ini amat menggembirakan sekali hati Zaid. Dia sudah terbayang ganjaran lumayan yang bakal diterima. Biarpun terpaksa mendendami orang lain yang bersifat dengki untuk mendapatkan tender. Tidak seperti orang-orang yang tertentu. Lebih mementingkan kualiti kerja untuk mencapai kepuasan yang tinggi. Sepertimana yang dipandang oleh pihak kerajaan. Karim tidak jemu-jemu mengatur rancangan jahat.

“Aku akan upah orang-orang kita supaya melakukan penyelewengan terhadap Syarikat Mawar Holdings.”

Zaid awal lagi telah pun dapat membaca.

“Sudah pasti harga tawaran yang dikemukakan kepada mereka lama-kelamaan akan jatuh merosot.”

“Tepat sekali!” Karim mengangguk-angguk.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 6.00 petang. Zaid bingkas bangun setelah sekian lama memanaskan kerusi.

“OK, Karim! Aku balik dulu!”

“Tapi kau jangan lupa.” Karim macam mengingatkan sesuatu. Dia disapa kehairanan.

“Lupa apa pulak?”

“Kita berkumpul dan enjoy di pub malam ini pukul 8.00 malam. Bidadari-bidadari yang jelita sudah lama merindui kedatangan kita.”

“Tentu untuk celebrate, bukan?”

“Kejayaan awal kita,” balas Karim lagi.

Mereka ketawa terbahak-bahak.

“Kau tak balik, Karim?”

“Aku akan terus ke pub.”

“Kau tak sabar-sabar lagi,” Zaid menyindir.

“Mahu tidak.” Karim kian ghairah.

“Aku pergi dulu!”

“Silakan!” Dia mengatur langkah lima tapak menghampiri pintu. Tangan kanannya begitu pantas sekali menarik daun pintu dan apabila ia terkatup semula bayangannya pun tidak kelihatan lagi.

Karim memasang angan-angan sambil kedua-dua bola matanya menengadah ke atas.

“Tak lama lagi akan bergelar jutawan dalam sekelip mata,” ucapnya sendiri. Cita-citanya tinggi seperti Gunung Fujiyama di Negara Jepun. Tanpa mengira halal dan haram.

“Dengan wang dan harta kekayaan, seluruh dunia ini boleh aku beli,” katanya lagi.

Dia sanggup menzalimi orang lain. Melakukan penyelewengan wang syarikat.

Malah lebih dahsyat lagi memberi rasuah kepada orang atasan. Dia juga menganiaya pekerja-pekerja lain yang mendapat perhatian Datuk Osman. Dengan alasan berpura-pura baik di depan tapi di belakang kaki judi, arak dan perempuan. Serta tidak berdisiplin. Ada juga yang telah dibuang dan diturunkan pangkat.

Datuk Osman terpengaruh dengan tuduhan Karim dalam mengambil sesuatu tindakan. Tanpa usul periksa. Sesungguhnya Karim menjadi dalang yang bakal menruntuhkan Syarikat Dinihari.

Karim berpoya-poya dengan menggunakan duit syarikat.

Tembelangnya telah berjaya dipecah oleh Salleh yang bertindak sebagai akauntan syarikat. Dia telah diugut oleh Karim.

“Ingat, Salleh! Kalau perkara ini sampai pada pengetahuan Datuk ini bermakna keselamatan diri kau terancam!”

“Saya tidak takut pada ancaman Encik Karim. Saya lebih takutkan Tuhan dan tidak mahu bersubahat melakukan kejahatan,” balas Salleh yang mempunyai sifat-sifat jujur dan amanah.

“Ooh, kau nak tunjuk keras kepala, ya!”

Dia enggan mengalah. Perbuatan jahat amat dipandang keji oleh Islam.

“Tiada gunanya kita melakukan kemungkaran. Berdosa hukumnya. Dan kita akan dilontarkan ke dalam neraka jahanam.” Lagak Salleh macam seorang Tok Imam. Zaid serta-merta menjadi panik kerana terlibat sama dalam hal ini. Seperti orang yang hilang arah haluan.

“Habis kita kali ni, Karim.”

“Kita tak akan masuk penjara,” dia menyanggah.

“Tapi dia ada bukti yang cukup.”

“Aku ada rancangan untuk menyingkirkan dia dari syarikat ini,” tegas Karim pula.

“Rancangan apa lagi, Karim?” Zaid seolah-olah sukar untuk mempercayai kata-kata Karim. Sambil mundar-mandir ke hulu ke hilir. Macam orang yang hilang anak. Dia tidak senang duduk.

Karim bagai mendapat ilham.

“Aku akan upah orang-orang kita agar mencuri fail akaun syarikat.”

Rasa cemas Zaid lantas hilang.

“Dengan ini kita tidak akan ditangkap kerana tanpa bukti yang kukuh. Bukan begitu?”

“Kan senang tu!” Karim melapangkan kedua-dua belah tangan.

Demikianlah taktik Karim untuk menutup setiap kesalahan yang dilakukannya. Dia merasakan seolah-olah berkuasa dalam dunia ini. Tanpa menghiraukan Allah SWT yang maha berkuasa ke atas manusia dan seluruh alam fana ini. Dia dapat melihat setiap perbuatan baik atau jahat yang dilakukan oleh seseorang manusia itu. Karim benar-benar tenggelam dalam kemungkaran. Lebih banyak memburu dosa daripada pahala. Sedangkan dunia ini hanyalah penginapan sementara waktu sahaja sedangkan akhirat jualah sebenar-benar tempat lagi kekal abadi.

Layakkah dia menjadi Pengerusi syarikat?

26

CATATAN SEORANG TEMAN

Hisham menatap warkah biru itu. Isinya tertinta kemas dan padat. Bersama bait-bait kata yang indah lagi puitis. Maknanya terlalu mendalam. Seperti lautan biru yang terbentang luas. Hingga membangkitkan kenangan silam. Yang menciptakan memori indah. Ibarat lukisan yang berwarna. Demikianlah sucinya cinta. Macam kilauan sebutir mutiara di dasar lautan. Kesetiaan. Menjadi akar cinta. Tanpa perasaan yang berbelah bagi. Suratan takdir. Penentu segala-galanya dalam dunia percintaan. Tiada siapa yang berdaya menolaknya. Sebagai seorang yang bernama manusia kita hanya mampu merancang. Tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Hisham terpaksa menerima hakikat yang telah ditentukan. Hafizah, seorang sahabat yang mempertahankan kejujuran dan keikhlasan di hati. Biarpun kini terpisah jauh. Dia sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman di seberang laut. Bagi memenuhi cita-cita keluarganya. Agar menjadi manusia yang berguna pada agama dan tak pernah lekang menaburkan bakti pada masyarakat.

Hisham berjaya menjadi seorang pendidik. Kenyataannya mereka berdua berjaya dalam hidup. Sehati dan sejiwa. Itulah yang mereka turapkan dalam konsep persahabatan. Hisham menatap potret Hafizah. Merenungnya dalam-dalam. Angin timur yang menyusup masuk melalui jendela yang terbuka luas seakan-akan membentuk wajah Hafizah di pandangan mata Hisham. Cantiknya laksana bulan jatuh ke riba. Kecantikan. Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini bebas memujanya. Ia juga adalah anugerah Tuhan. Begitu juga dengan cinta. Petang itu cuaca kelihatan redup sahaja.

Hisham membiarkan sahaja angin timur menyapu tubuhnya yang agak tegap. Kadangkala mengeluarkan bunyi yang sungguh gemersik menerjah gegendang telinga.

“Hidup ini zahirnya adalah satu perjalanan yang jauh,” Hafizah bersuara. Dia membetulkan rambutnya yang panjang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu. Mengerbang sedikit akibat ditiup angin.

Hisham mengangkat kepala tinggi sedikit dan menjawab:

“Kita umpama pengembara.”

“Pengembara?” Tiada kepastian. Sama ada Hafizah mengerti atau cuma berpura-pura. Bola mata mereka saling berlaga. Dia dapat merasakan sinar mata Hafizah bagai kaca yang berkilau-kilauan.

Hisham lalu melunjurkan kedua-dua belah kakinya agar rapat dan lurus. Kemudian dia menghela nafas yang panjang. Dan berkata:

“Hingga sampai ke sebuah pelabuhan. Bersama bekalan yang cukup.” Mata Hisham tunak.

“Kau nampaknya arif dalam bidang falsafah,” Hafizah segera memotong. Dia mengutip semula kata-kata itu.

“Aku gemar membaca buku,” terangnya lagi. Hisham berminat sekali untuk mengolah topik ini dengan lebih lanjut lagi.

“Bahan bacaan yang kau pilih?”

“Yang bersumberkan ilmu pengetahuan am. Tanpanya kita akan teraba-raba. Tak ubah macam berada di ruang yang gelap-gelita. Lebih penting lagi dengan banyak membaca akan menjadikan pemikiran bertambah matang dan tajam.”

Macam seorang pelajar yang sedang mengikuti pembelajaran guru dalam kelas. Diam seketika. Hafizah tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna biru air laut. Serta bersulamkan bola-bola manik yang kuning keemasan dan berkilauan.

Hafizah tidak mahu keadaan ini berlarutan. Kebisuan segera dipecahkan.

“Melalui tulisan kau mengharapkan golongan bawahan akan mendapat pembelaan. Bukan begitu?” Dia jatuh hati dengan isu kemiskinan.

Dia mengukir seribu senyuman di hati. Dia tidak keseorangan dalam memikul perjuangan. Hafizah turut berdiri teguh di belakangnya memberi sokongan. Udara berhembus segar. Saujana mata memandang. Dia menoleh semula ke arah Hafizah. Dan berkata:

“Aku mempunyai prinsip hidup yang sendiri.”

Hafizah nampaknya seperti berpuas hati dengan penjelasan Hafiz itu. Ungkapan ini amat menarik sekali apabila dipanjangkan.

“Antara manusia dan Tuhan mempunyai jurang pemisah yang amat dalam. Tuhan bersifat pencipta dan berkuasa. Ke atas seluruh manusia dan alam semesta.”

“Aku amat bersetuju sekali dengan kata-kata kau itu. Kita sebagai manusia hanya hidup buat sementara waktu sahaja di atas muka bumi ini. Akhirat jualah tempat buat kita selama-lamanya,” sokong Hafizah pula.

“Dengan matlamat untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pembaca. Kadangkala aku merasa diri ini masih lagi serba kekurangan,” Hafiz menambah.

Dari segi mesej, Hafizah berwajah ceria dan anggun. Umpama bidadari dari syurga. Yang turun ke bumi bersama haruman kasturi.

Sepi. Tiba-tiba mengambil tempat. Macam berada di ruang yang sunyi. Ungkapan ini betul-betul meninggalkan kesan yang mendalam dari segi maksdnya. Mereka enggan berbicara. Seperti ada kuasa yang mengunci rapat mulut Hisham dan Hafizah. Pohon-pohon yang menghijau bagai bernyanyi-nyanyi. Sambil meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Di kaki langit gumpalan awan hitam seakin tebal meliputi permukaannya. Hujan akan turun. Semenjak dari pagi tadi hingga ke petang cuaca amat panas memijar sekali. Semua ini adalah rahmat Tuhan. Kita harus bersyukur menerimanya. Hisham tidak mahu keadaan ini berlarutan.

“Mari kita ke sana!” katanya sambil mengangkat kepala menunjuk ke arah restoran yang terletak berhampiran dengan taman.

“Hari pun dah nak hujan. Terlalu banyak bercakap tekak pun dah naik kering,” tambahnya lagi.

“Baiklah!” Hafizah sebaliknya tidak membantah dan menganggukkan kepala. Dia mengukir senyuman kecil. Mereka bingkas bangun daripada kerusi kayu yang terletak di bawah pohon yang rendang. Mereka bernasib baik. Setibanya di dalam restoran hujan pun turun dengan lebat. Pelanggan tidak ramai. Boleh dikira dengan jari dalam anggaran dua tiga orang sahaja. Hisham dan Hafizah memilih tempat duduk di sudut yang paling sepi. Bebas daripada sebarang gangguan. Mereka sama-sama memesan minuman yang sama daripada pelayan. Dua gelas air fresh orange. Hafizah memecahkan kebisuan.

“Apakah erti sebenar sebuah persahabatan?” Dia nampaknya tak putus-putus menduga Hisham.

“Mempertahankan kejujuran dan keikhlasan tiap waktu dan ketika,” Hisham menjawab sambil menarik kerusi ke depan sedikit.

Terhenti buat seketika. Pelayan muncul membawa bersama minuman yang dipesan. Dengan penuh tertib perlahan-lahan dia meletakkan dua gelas air fresh orange di atas permukaan meja yang berbentuk empat segi. Hisham mengangkat muka ke atas. Pelayan bermuka bulat dan berdahi licin. Berkulit kuning langsat.

“Terima kasih!” ucap Hisham.

“Sama-sama!” balasnya sambil mengukir senyuman ramah. Tanpa menunggu arahan lagi dia pantas beredar pergi dari sisi meja.

“Silakan!” pelawa Hisham lagi.

“Terima kasih!”

Mereka sama-sama menyedut minuman. Hafizah pantas melepaskan straw yang melekat di bibirnya yang merah bak delima. Dia menyoroti semula persoalan yang terhenti.

“Kau meragui?”

“Kawan yang mudah ketawa memang ramai. Tapi kawan untuk menangis bersama-sama hanyalah sendiri.” Hisham menghabiskan sisa-sisa minuman. Bukankah Islam amat melarang keras pembaziran? Hafizah terus menguji.

“Aku?”

“Tidak sama sekali!” Hisham membalas sambil menggelengkan kepala. Dia membenarkan kata-kata itu. Bukan sekadar omong-omong kosong.

“Setiap janji harus dikotakan.” Dia menguatkan lagi hujah-hujahnya. Macam peguambela dalam perbicaraan kes pembunuhan di mahkamah. Untuk membuktikan yang tertuduh tidak bersalah. Dan dibebaskan daripada sebarang hukuman.

Dia kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah kain yang berwarna hijau muda melitupi permukaan meja. Sekuntum mawar merah terhias indah dalam jambangan kecil yang berwarna putih. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang restoran. Hawanya termampan menembusi di celah-celah dinding yang bercat putih. Irama muzik yang sentimental sungguh menggetarkan jiwa. Hafizah mendongakkan kepala tinggi sedikit. Dan bersuara lembut:

“Tentang cinta?” Dia melukiskan senyuman kecil. Hisham menjadi kaget. Dia tidak menduga sama sekali Hafizah akan menimbulkan perkataan itu.

“Cinta adalah permainan hidup.”

“Indah seperti rama-rama yang berterbangan mengelilingi bingkai lukisan,” Hafizah pantas menyampuk.

“Ada orang yang mengibaratkan cinta umpama setitis embun. Akan kering apabila terbit mentari dari arah timur. Hadirnya cuma seketika. Tidak semua cinta berakhir dengan kegembiraan.” Dia mengingatkan Hafizah.

“Maksud kau pengalaman silam?”

Hisham dengan tiba-tiba sahaja berdiam diri. Dia tidak menjawab. Sebaliknya menengadah ke siling. Berfikir sesuatu. Hafizah tekun memerhati gelagat Hisham. Setelah agak lama dia kembali mengangkat muka dan menarik nafas panjang. Dia bersuara:

“Dalam percintaan terselit juga pahit dan manis.”

“Ini menjadikan kita agar berfikiran lebih matang dalam mengharungi dunia percintaan,” ucap Hafizah pula sambil membetulkan duduk.

Hisham sebaliknya mengangguk-angguk diam. Tanda setuju dengan pendapat itu.

“Kau pernah jatuh cinta?” Hafizah terus meraih kepastian.

“Cinta monyet. Zaman persekolahan.” Hisham membalas dengan senyuman kecil.

“Benar!” Hafizah agak tersipu-sipu malu. Tajuk percintaan semakin hangat.

“Kemuncaknya ialah apabila menaiki jinjang pelamin,” sambung Hisham lagi. Kemudian kedua-dua biji mata Hisham leka memerhatikan dua buah gelas yang telah kosong. Ketul-ketul ais juga beransur-ansur menjadi cair. Hafizah mendongakkan kepala dan bertanya:

“Apakah kunci utama kebahagiaan dalam rumah tangga?”

“Persefahaman, kasih sayang dan saling bertolak-ansur.”

“Aku sering berdoa moga Tuhan akan menganugerahkan aku seorang suami yang beriman dan bertanggungjawab terhadap keluarga.”

“Aku juga begitu. Semoga Tuhan akan mengurniakan aku seorang isteri yang solehah dan mempunyai didikan agama yang kuat.”

Nilai-nilai agama turut diterapkan dalam soal mencari jodoh. Alangkah bertuahnya aku kalau kau menjadi suri dalam hidup ini! Getus hati kecil Hisham.

27

MEDAN

Ledakan bom bergema membelah suasana. Bersama percikan api. Hujan peluru bersimpang-siur. Mayat-mayat bergelimpangan di atas tanah. Darah merah mengalir membuak-buak. Dari arah bukit pertempuran sedang berlaku. Utara dan selatan. Lautan tentera Jepun sukar untuk dibendung lagi. Lebih dua kali ganda daripada pasukan pimpinan Leftenan Rosli.

Sarjan Talib lalu menghampiri Leftenan Rosli.

“Bagaimana, tuan?” Nada suaranya tercungap-cungap kerana menahan penat.

Leftenan Rosli pantas mengangkat muka. Matanya tunak. Kemudian dia lalu menghela nafas yang panjang. Dan berkata:

“Teruskan!”

“Tapi ….”

“Sudah! Kita sudah tidak mempunyai banyak masa lagi!” tegas Leftenan Rosli lagi.

Sarjan Talib terpaksa akur juga dengan arahan daripada ketuanya itu.

“Baiklah!” Dia menganggukkan kepala. Dan pantas berlalu pergi dari situ sambil merangkak dengan penuh berhati-hati di celah-celah batu yang besar. Sementara itu, hujan peluru terus menggila membaham mangsanya. Leftenan Rosli lantas berteriak:

“Sarjan! Hati-hati saya cover!” Beberapa das tembakan dilepaskan dan mengenai sasaran. Sarjan Talib tanpa membuang masa lagi cepat melompat masuk ke dalam kubu yang dikelilingi oleh guni-guni yang dipenuhi dengan timbunan pasir.

“Serang!” pekik Sarjan Talib dengan penuh semangat sekali.

“Nasir …!” Leftenan Rosli bersuara agak perlahan sedikit.

“Saya, tuan!” jawabnya pantas.

“Awak ambil tempat saya.”

“Saya nak lihat keadaan anggota-anggota kita di bawah sana.”

Nasir mengangguk. Tanpa membantah dia melakukan arahan Leftenan Rosli.

“Cover saya!” Dia tak putus-putus memberi arahan. Nasir terus menjalankan tugasnya.

“Tuan, hati-hati!”

“Bagaimana dengan keadaan awak, Osman?”

Dia mengangkat matanya perlahan-lahan.

“Tuan …,” Osman mengerang menahan kesakitan.

“Sudahlah, Man. “Awak banyak kehilangan darah. Lebih baik awak berehat saja!” Leftenan Rosli mendongakkan mukanya sedikit.

Selepas itu, dia lalu mengalihkan pandangan ke arah Rahim pula.

“Rahim, Osman cedera parah. Cepat ambil tempat dia!”

“Baik!” Dia segera meninggalkan kubunya.

“Awak bertahan di sini. Saya nak ke kubu sebelah sana.” Rahim mengangguk diam. Tanpa membuang masa lagi Leftenan Rosli pantas meninggalkan tempat itu. Hujan peluru terus bermaharajalela. Leftenan Rosli terpaksa mengguling-gulingkan badannya untuk menepis.

Tiba-tiba sedas tembakan tepat mengenai kepala Rahim.

“Ya, Allah!” Dia menahan kesakitan. Leftenan Rosli berpaling ke belakang bila mendengar suara itu.

“Rahim!” Dia berteriak. Perlahan-lahan dia rebah ke dalam kubu dan gugur.

Dan Leftenan Rosli hanya sekadar terdaya menggelengkan kepala sahaja bila melihat peristiwa itu.

“Koperal Ahmad lekas ambil tempat Rahim!”

“Baik, tuan!” Dia pantas meninggalkan kubu di sebelah kanan bukit. Malangnya dia tidak sempat sampai ke kubu bahagian bawah. Kerana sedas tembakan hinggap di atas dadanya.

“Ya, Allah!” dia bersuara sambil tangan kanannya menahan darah merah yang membuak-buak keluar.

Kedua-dua biji mata Leftenan Rosli terjojol keluar.

“Koperal Ahmad!” Dia tidak dapat menjawab sebaliknya lalu rebah.

Sekali lagi Leftenan Rosli terpaksa menggelengkan kepala menahan hampa. Kini kubu tersebut kosong. Osman sudah tidak bermaya lagi.

“Yusuf!”

“Saya, tuan!”

“Ambil tempat Osman lekas! Saya cover!”

Dia pantas menerima arahan itu.

Yusuf selamat sampai ke dalam kubu. Sementara itu, Leftenan Rosli menuruni bukit dengan penuh berhati-hati. Sekumpulan tentera Jepun melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya. Bagaikan helang menyambar mangsanya dia melompat pantas masuk ke dalam kubu yang terletak di sebelah kanan bukit. Ali dan Bakar sedang bertahan di situ.

“Tuan, kami kehabisan peluru,” ujar Bakar sambil mengesat peluh yang mengalir di dahinya. Manakala Ali pula memasukkan peluru yang masih tinggal sedikit lagi ke dalam senapang. Leftenan Rosli lalu menoleh ke arah kubu Sarjan Talib di bahagian tepi bukit.

“Sarjan! Campakkan satu beg peluru kepada saya.”

“Baik, tuan!” Dia mengikat rapi beg yang berisi peluru dan tanpa membuang masa lagi dia melambungkannya tinggi ke arah Leftenan Rosli. Dan ini telah dapat dikesan oleh pihak musuh. Salah seorang daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah beg itu. Tapi tidak mengenai sasaran. Leftenan Rosli lebih cepat menyambutnya.

“Ali, jimatkan peluru sikit,” pesan Leftenan Rosli sambil tangannya menghulurkan beg yang berisi peluru itu kepada Ali.

“Baik, tuan!”

Tentera Jepun itu merasa geram kerana gagal melaksanakan misinya. Ini menaikkan lagi api kemarahan ketua seksyen yang berpangkat Sarjan. Dia berteriak dalam bahasa Jepun. Agar terus melakukan serangan ke atas kubu pasukan Askar Melayu.

Tangan Sarjan Talib terus berputar ligat memetik picu mesin-gun dengan penuh bersemangat.

Ini mengakibatkan ramai tentera Jepun yang terkorban. Namun ketua seksyen tidak berputus asa. tentera Jepun. Dia mengarahkan lagi sekumpulan tentera Jepun supaya mara ke depan mengepung bahagian bawah bukit dari arah utara dan selatan. Seperti kilat datang menyambar sebutir peluru telah mengenai rusuk kanan Sarjan Talib. Dengan serta merta mesin-gun terlepas daripada tangannya. Sambil memejamkan kedua-dua belah matanya menahan kesakitan.

“Sarjan Talib! Bakar tolong cover saya!”

Dia tidak membantah. Perlahan-lahan Leftenan Rosli menghampiri Sarjan Talib.

“Nampaknya Sarjan luka parah.” Matanya tajam mengamati kulit Sarjan Talib yang terkopak akibat bedilan peluru. Sudah pasti rasa sakitnya meresapi ke seluruh anggota badannya. Darah merah tak henti-henti mengalir.

“Tak mengapa. Sarjan, awak berehatlah. Jangan banyak bergerak. Awak masih lemah lagi.”

“Tuan, mari kita teruskan …. Saya masih boleh lagi ….” Dia terhenti. Pedih. Dia kemudian lalu membalut lukanya agar dapat meredakan kesakitan sedikit.

“Sarjan, biar saya Bantu,” sampuk Karim tiba-tiba. Darah merah semakin banyak mengalir. Hinggakan kain pembalut yang berwarna putih sudah bertukar warna menjadi merah.

“Berehatlah.” Mata Leftenan Rosli tunak sambil memegang lembut bahu Sarjan Talib.

Sebaliknya Sarjan Talib lalu memejamkan mata kerana menahan rasa sakit yang tak terhingga. Sudah pasti bias peluru telah menjalar ke seluruh tubuh.

Karim yang berada di sebelahnya lalu menemui ajal bila sebutir peluru melekat di dadanya. Dia tidak dapat berkata walau sepatah pun. Lantas rebah di atas timbunan guni yang berisi pasir.

“Karim!”

Sarjan Talib mengangkat kepala dengan lemah. Dan tertunduk hampa sambil memejamkan matanya. Jahanam! Bisik hati kecilnya. Dia bingkas bangun dan mengangkat senjata.

“Jangan, Sarjan! Bukankah awak masih lemah lagi?” larang Leftenan Rosli pula.

Dia memandang tepat wajah Leftenan Rosli.

“Tidak!” ucapnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Tuan, walau apa pun yang akan terjadi saya akan tetap berjuang habis-habisan untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada jatuh ke tangan Jepun. Sama ada hidup atau mati,” ulangnya lagi.

Leftenan Rosli hanya mendiamkan diri bila mendengar kata-kata itu. Agak lama kemudian barulah dia memberi arahan kepada Bakar yang berada di kubu sebelah.

“Bakar lekas bantu Sarjan!”

“Baik!” balasnya sambil menganggukkan kepala.

“Sarjan, saya naik dulu. Tolong cover saya,” katanya serentak memegang lembut bahu Sarjan Talib. Dia lalu mengangguk.

“Baiklah, tuan! Hati-hati,” pesannya lagi.

Leftenan Rosli pantas beredar daripada kubu itu.

“Tuan! Jaga-jaga. Musuh datang daripada arah depan,” laung Sarjan Talib.

Ternyata Osman masih bersemangat lagi untuk mengangkat senjata.

Walaupun luka yang dialaminya amat parah sekali. Namun dia tidak menghiraukan langsung. Leftenan Rosli rasa terharu dengan semangat perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Osman.

“Tuan ….” Nada suaranya lemah.

“Saya akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir …,” ikrarnya sambil memejamkan mata menahan kesakitan.

Semangat keperwiraan Leftenan Rosli kian berkobar-kobar. Seperti api yang sedang panas menyala dan sukar dipadamkan.

Leftenan Rosli lalu menoleh ke kiri dan kanan.

Gerombolan tentera Jepun yang besar sedang mara mendaki bukit. Namun dia tetap bernekad. Akan menentangnya habis-habisan.

Seinci pun bumi yang tercinta ini tidak akan diserahkannya.

Leftenan Rosli merenung tepat wajah Osman. Kemudian dia bersuara:

“Cover saya!” Osman mengangguk diam. Sambil terus menghalakan senapang ke arah musuh. Tembakan yang bertubi-tubi kali jelas kedengaran. Begitu juga dengan hujan peluru dan ledakan bom seakan-akan meruntuhkan bumi.

Dia pantas mendaki bukit. Peluru musuh terus mengekori jejaknya.

Tanpa berlengah lagi dia melayangkan badan ke dalam kubu. Sebaik-baik sahaja dia masuk, Nasir didapati sedang cedera parah. Dia tak putus-putus melepaskan tembakan. Akhirnya Nasir rebah di atas pangkuannya.

“Nasir!” dia bersuara sambil menggoyangkan badannya. Dengan lemah dia membuka kedua-dua kelopak matanya.

“Tuan ….” Dan kembali semula menutup mata buat selama-lamanya. Dia gugur jua.

Leftenan Rosli menggeleng cuma.

Dia lantas memejamkan mata. Sudah ramai anak-anak buahnya yang terkorban.

Peluru mesin-gun bertalu-talu diarahkan.

Sebutir bom tangan dilemparkan ke arah Sarjan Talib.

Bunyinya sungguh kuat sekali.

“Sarjan!” Leftenan Rosli menjerit.

Dan pantas menekupkan muka. Perlahan-lahan dia mendongakkan muka tinggi.

“Koperal Bidin!”

“Saya, tuan!” ucapnya.

“Cepat! Pergi ambil tempat Sarjan Talib!”

Tanpa berlengah lagi dia keluar daripada kubu. Tapi malangnya sebutir peluru telah hinggap di atas pahanya lalu terjatuh. Nasibnya bertambah buruk lagi apabila ditikam hingga mati dengan banet oleh musuh.

“Oh …. ” Dia hanya mampu bersuara perlahan.

“Tuan!” Kedengaran suatu suara memanggil namanya. Tanpa tertunggu-tunggu lagi dia cuba mencari arah dari mana datangnya suara itu. Rupa-rupanya Yusuf. Leftenan Rosli mengangkat kepala sedikit.

“Kenapa, Suf?”

“Harapan kita semakin tipis.”

“Mengapa pula?” Nada suaranya nyata sekali belum mahu mengaku kalah.

“Kita kehabisan peluru!” Dia menggelengkan kepala. Seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Yusuf.

“Tidak! Kita tidak akan berundur. Akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang penghabisan!” ikrar Leftenan Rosli pada Yusuf.

“Perlukah kita minta bantuan daripada Kapten Richard?”

“Tak perlu!” Semangat juangnya memang dalam seperti lautan biru nan luas.

“Kita masih terdaya lagi!”

“Tapi ramai anggota-anggota kita yang cedera dan terkorban,” jawab Yusuf.

Leftenan Rosli enggan mengalah. Pendiriannya tetap tegas.

“Kita masih lagi bernyawa bukan?” Sambil tangan kanannya menggoyang kuat bahu Yusuf. Sebagai perangsang untuk terus berjuang.

Yusuf mengangguk diam sahaja.

Secepat kilat lantas mengangkat senjata.

“Teruskan!” Leftenan Rosli bertindak sebagai pembakar semangat.

Dia lalu mengangkat tangan tinggi. Dan berteriak sekuat-kuat hatinya.

“Tembak!” Pertempuran semakin sengit.

Tentera-tentera Jepun telah dapat memusnahkan kubu di bahagian bawah bukit.

Ali dan Bakar turut terkorban. Tinggal Sarjan Talib seorang diri. Lukanya makin parah. Pandangan matanya berpinar-pinar. Dia cuba merangkak keluar perlahan-lahan daripada kubu. Namun tidak berjaya. Jatuh. Kerana dia sudah tidak bertenaga lagi.

Dia tidak berputus asa. Mencuba sekali lagi. Akhirnya dia berjaya juga. Tetapi terpaksa merangkak di celah-celah mayat tentera Jepun yang bergelimpangan.

Bola matahari kian meninggi.

Jalur-jalur cahaya yang lurus menyinari alam semesta. Bahangnya terasa pedih bila menggigit permukaan kulit. Sarjan Talib terbatuk-batuk kerana kelemasan oleh asap hitam. Tiba-tiba sekumpulan tentera Jepun bersiap sedia untuk melepaskan tembakan ke arahnya. Namun begitu dia sempat juga melontarkan sebutir mortar. Letupan bergema. Kesemua tentera Jepun itu terbunuh.

Dia kian bersemangat tinggi tanpa menghiraukan sedikit pun luka parah yang sedang dialaminya.

Dengan gerak badan yang lemah Sarjan Talib cuba bangun.

Takdir telah menentukan sebutir peluru sesat telah menghinggapi belakang badannya.

“Ah!” Dia rebah semula menyembah bumi. Oleh kerana keadaannya semakin tenat maka dia terus gugur sebagai bunga bangsa yang harum.

“Sarjan!”

Leftenan Rosli menundukkan kepala sambil memejamkan kedua-dua biji matanya. Orang kanannya kini sudah tiada lagi. Kematiannya harus dituntut bela. Keazamannya semakin menggunung tinggi.

“Tembak!”

Kedua-dua belah pihak saling berbalas tembakan. Tiba-tiba sebutir peluru musuh telah menembusi bahu kanannya.

“Ya, Allah!” Sebutir peluru lagi hinggap di dadanya. Leftenan Rosli memejamkan kedua-dua belah matanya kerana menahan kesakitan.

“Tuan!” teriak Yusuf pula.

“Sudah! Jangan pedulikan saya. Teruskan!” Dia melarang Yusuf daripada menghampiri dirinya. Darah merah membasahi timbunan guni yang berisi pasir. Pandangan matanya pula berpinar-pinar. Keazamannya semakin menggunung tinggi.

Namun dia tetap bertekad untuk terus berjuang!

28

OPERASI BUKIT MERAH

Bukit Merah memang menggerunkan. Markas gerila komunis yang terbesar sekali di sempadan Malaysia-Thai. Kekuatannya dianggarkan dua kali ganda kira-kira 100 hingga 280 orang anggota termasuk lelaki dan perempuan. Ia diketuai oleh Tuen Yuen. Dipercayai berketurunan Cina-Siam. Berasal dari selatan Haadyai. Bukit Merah telah banyak mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Dari sumber yang aku perolehi pasukan keselamatan telah memenangi dua pertempuran. Selebihnya dimenangi oleh pasukan Tuen Yuen atau dikenali juga sebagai Harimau Bukit Merah.

Seperkara yang perlu diingat. Tuen Yuen dikatakan amat licin macam belut. Pasukan risik percaya Tuen Yuen mempunyai banyak tempat persembunyian dan tak syak lagi dia dibantu oleh penduduk yang tinggal di pinggir kampung yang bekerja sebagai penoreh getah.

Aku percaya serang hendap melalui bom tangan mengorbankan Leftenan Omar dan anak-anak buahnya pada pagi 18 Mei 1985 adalah angkara Tuen Yuen. Cuma Prebet Abu Bakar sahaja yang terselamat. Dia cedera parah. Menurutnya sewaktu trak yang mereka naiki melintasi kawasan ladang getah itu, mereka ternampak seorang lelaki yang berbadan gempal sedang terbongkok-bongkok menyembah pokok getah.

Pada mulanya mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana dia cuma seorang penoreh getah. Malangnya jangkaan mereka silap. Sebutir bom tangan terus dilemparkan ke arah trak mereka. Prebet Abu Bakar sempat menyelamatkan diri dengan melompat keluar sebelum trak itu terbalik. Leftenan Omar dan anak-anak buahnya menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan di situ juga mereka semua gugur sebagai bunga bangsa. Sementara itu, Prebet Abu Bakar diselamatkan oleh penduduk kampung yang berhampiran.

Itulah tragedi yang menyayat hati yang telah menimpa pasukan Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Port Dickson. Tetap segar bersemadi dalam ingatan kami sehingga ke hari ini. Walaupun telah lama berlalu iaitu kira-kira sembilan tahun namun seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam. Setiap kali selepas sembahyang aku tidak lupa menyedekahkan pahala Al-Fatihah semoga roh mereka yang telah terkorban kerana mempertahankan tanah air yang tercinta dicucuri rahmat serta dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.

Pagi itu, aku telah dipanggil oleh Pegawai Pemerintah iaitu Kolonel Abdullah. Aku sudah menduga. Operasi Bukit Merah akan dipikul oleh pasukanku yang berjumlah 30 orang anggota. Dari taklimat yang aku terima kawasan Bukit Merah rata-rata dipenuhi oleh ranjau dan jerangkap samar. Itulah senjata utama Tuen Yuen dan orang-orangnya.

Aku turut difahamkan akan dibantu oleh pasukan Leftenan Saiful dari arah selatan. Selama lima tahun menceburkan diri dalam bidang ketenteraan sudah berpuluh-puluh operasi aku lalui termasuk di Sabah dan Sarawak. Syukur alhamdulillah semuanya mencapai kejayaan yang cemerlang. Namun aku tidak pernah riak dan takbur. Aku harus berhati-hati sewaktu menjalankan tugas. Bahaya sentiasa mengintai sekiranya aku tidak berwaspada.

Operasi Bukit Merah benar-benar mencabar. Inilah kali pertama aku akan bertempur di sempadan. Entahkan menang, entahkan gugur. Aku sendiri tak pasti. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Andainya ditakdirkan aku gugur di medan perjuangan aku tetap merasa bangga kerana mempertahankan bumi yang tercinta daripada jatuh ke tangan musuh.

Tidak kupinta sama sekali pingat keberanian disematkan ke dada ini kerana mengenangkan segala jasa dan pengorbananku. Cukuplah sekadar menjadi inspirasi dan teladan buat generasi yang akan datang supaya rela berkorban mempertahankan negara yang tercinta.

“Semoga awak berdua akan berjaya dalam misi ini.” Kolonel Abdullah mengakhiri taklimat.

Setelah memberi tabik hormat aku pantas beredar keluar daripada pejabatnya dan mendapatkan Sarjan Karim supaya mengumpulkan kesemua anggota-anggota platun.

Dalam perjuangan aku langsung tidak mengenal erti putus asa.

Maruah agama, bangsa dan negara perlu dijaga. Sebagai ketua aku menjadi contoh untuk menyemarakkan lagi semangat anak-anak buahku.

“Berjuanglah hingga ke titisan yang penghabisan. Menyerah jangan sekali!” Kata-kata yang sering kusematkan ke dalam diri mereka. Sebagai azimat dalam pertempuran nanti. Wajah setiap anggota platun kupandang silih berganti. Akhir sekali kualihkan pandangan pula ke arah Sarjan Karim. Masuk ni, sudah lima kali dia bertindak sebagai pembantuku. Seorang yang berdedikasi dan berdisiplin tinggi.

“Kematian rakan-rakan kita mesti dibela!” Aku menggenggam erat tangan kanan. Dendamku terhadap Tuen Yuen semakin membara. Sukar untuk dibendung lagi seperti api yang dicurahkan dengan minyak tanah. Panas! Marak membakar.

Tambah mengapi-apikan lagi semangat anak-anak buahku.

“Seinci pun jangan kita serahkan bumi yang bertuah ini kepada mereka!”

Aku melihat jam di tangan.

“Sarjan!”

“Tuan!” dia membalas pantas macam peluru.

“Kita bergerak sekarang.” Aku mengeluarkan arahan.

“Skot bersiap semua!” Kedengaran suara Sarjan Karim dengan penuh lantang.

Kami dibawa menaiki helikopter. Perjalanan memakan masa hampir kira-kira dua jam. Kuperhatikan setiap wajah anggota platun tetap tenang seperti biasa. Sebagai anggota tentera kita mesti berani, cekal dan tabah dalam mengharungi perjuangan. Soal mati tidak pernah timbul. Kalau sudah ajal di tangan musuh harus diterima. Setelah sekian lama teroleng-oleng di udara akhirnya kami sampai ke destinasi yang dituju.

Dari atas kelihatan kawasan bukit-bukau yang tebal. Sesuai dengan namanya Bukit Merah menyaksikan tumpahan darah perwira-perwira yang gugur kerana mempertahankan tanah air yang tercinta. Sebaik-baik sahaja turun daripada helikopter aku mengarahkan semua anggota platun di satu tempat.

Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas. Aku memandang tepat muka Sarjan Karim dan Koperal Rahman.

“Bila kita akan bergerak, tuan?” soal Sarjan Karim.

“Besok sebaik sahaja terbit matahari.” Aku menarik nafas yang panjang.

“Leftenan Saiful akan membantu kita dari arah selatan,” sambungku lagi.

“Kita akan bergerak dalam berapa kumpulan, tuan?” soal Koperal Rahman pula yang selama ini berdiam diri serentak membetulkan topinya.

“Dua.” Aku mengisyaratkan dengan tangan.

“Koperal dan saya dalam satu kumpulan. Manakala kumpulan yang satu lagi akan dipimpin oleh Sarjan.”

“Baik, tuan!” Dia mengangguk tanpa banyak membantah. Anggota-anggota platun yang lain mendengar peneranganku dengan penuh teliti.

Aku memandang wajah Sarjan Karim sehinggalah anggota platun yang lain silih berganti. Kemudian aku lalu berkata:

“Menurut maklumat yang diterima daripada pasukan risik jejak-jejak Tuen Yuen dan orang-orangnya amat sukar untuk dikesan. Tapi saya yakin sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.” Aku menanamkan keyakinan ke dalam diri setiap anggota platun.

“Sarjan.”

“Tuan.”

“Kita bermalam di sini.” Aku melipat semula peta dan memasukkannya ke dalam beg galas.

“Baik, tuan!” angguknya.

“Dirikan khemah segera.” Sarjan Karim mengeluarkan arahan. Anggota-anggota platun bersurai untuk menjalankan tugas masing-masing. Ada yang mencari kayu untuk dijadikan tiang khemah, ada yang mencari air di sungai untuk memasak dan ada yang menghidupkan api.

Setelah siap mendirikan khemah aku pun menikmati hidangan tengah hari bersama-sama dengan anggota-anggota platun yang lain.

Kemudian aku ke sungai yang berhampiran untuk mengambil wuduk. Dalam sembahyang aku tak henti-henti berdoa semoga Tuhan mengurniakan kemenangan yang gemilang ke atas platunku. Selepas selesai menunaikan solat Zuhur aku berehat di bawah pokok ketapang yang rendang. Cuaca kelihatan baik. Matahari memancar dengan terik sekali. Kicauan burung-burung sungguh merdu memecah kesunyian hutan belantara yang menghijau. Aku menyandarkan senjata M16 pada pangkal pokok. Sarjan Karim dan Koperal Razak sedang rancak berbual.

Hashim yang menjaga bahagian wireless sedang cuba untuk mendapatkan maklumat daripada Leftenan Saiful dari arah selatan.

Sementara itu, Prebet Mokhtar dan Prebet Ismail sedang berkawal. Kedua-dua biji mata mereka ligat memerhatikan kawasan sekeliling. Sambil senjata siap sedia di tangan. Selalunya kawalan dilakukan bergilir-gilir sampailah ke waktu malam. Manalah tahu kalau pihak musuh yang lebih awal menghidu pergerakan kami untuk membuat serang hendap.

Aku terus melayani fikiran. Tumpuanku semakin tajam terhadap Operasi Bukit Merah.

Dalam benakku tertanya-tanya bagaimana rupa Tuen Yuen agaknya. Pengkhianat negara itu daripada sumber maklumat yang aku terima melalui pasukan risik sungguh zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bak kata orang nama sahaja muka manusia tapi berhati binatang.

Dia tidak teragak-agak membunuh anggotanya yang cuba belot atau berpaling tadah.

Dia juga telah membunuh penduduk yang tinggal di pinggir kampung sekiranya enggan memberikan kerjasama kepada pasukannya. Ini mengakibatkan mereka semua tinggal dalam ketakutan.

Kali ini kau akan bertemu buku dengan ruas Tuen Yuen! Aku akan tentang kau habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir! Negara tidak akan aman dan damai selagi orang-orang seperti kau masih hidup! Aku melepaskan perasaan geram dalam hati kecil. Aku berpaling ke arah senjata M16.

Aku memandang ke atas. Langit membiru seperti air laut. Gumpalan awan putih begitu tebal sekali. Bersih dan terang-benderang.

Daun-daun hijau berguguran. Pohon-pohon bergoyangan mengeluarkan nada bunyi yang sungguh gemersik. Angin dari arah pergunungan bertiup lembut. Sungguh segar bila menyapu permukaan kulit. Ditambah pula dengan keindahan hutan belantara yang menghijau.

Aku mengutip semula salahsilah keturunanku. Sememangnya aku berdarah pendekar. Menurut cerita arwah datuk moyangku dulu pernah berjuang bersama-sama dengan Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah menentang British di Pahang. Ayahku juga seorang anggota tentera. Tapi kini dia telah pun bersara. Dia menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Pegawai Waran 1. Terkenal dengan sifat-sifat berani dan tegas sewaktu zaman darurat. Jadi ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

“Darus dah besar nanti nak jadi apa?” tanya ayah sambil memegang lembut bahu kananku. Dia merenung dalam-dalam wajahku. Aku dapat membaca maksudnya itu. Penuh dengan makna dan harapan.

“Nak jadi askar macam ayah!” aku lantas menjawab dengan penuh semangat.

“Kenapa?” Ayah mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Dapat berbakti pada negara.” Semangatku semakin meluap-luap. Seolah-olah dibakar menerusi peperangan dalam siri Combat yang ditayangkan di kaca televisyen ketika itu.

“Bagus anak ayah kerana mempunyai semangat yang waja.” Dia mengusap-usap lembut rambutku sambil tersenyum kecil.

Aku pun tumpang gembira kerana ayah merestui cita-citaku.

“Tapi …!” Ayah mengangkat jari telunjuk tangan kanannya.

“Darus mesti berjanji dengan ayah supaya belajar rajin-rajin.” Dia memberi ingatan.

“Baiklah, ayah!” aku cuma mengangguk-anggukkan kepala.

Ibu adalah orang yang paling kecewa sekali apabila aku menolak tawaran mengikuti latihan perguruan di Tanjung Malim.

“Tiada hinanya menjadi seorang guru, Darus …,” ibu bersuara lemah melambangkan kekecewaan.

“Apa boleh buat, mak.” Aku lantas memujuk kekecewaan yang membalut hatinya.

“Saya lebih terpanggil untuk menceburi bidang ketenteraan,” sambungku lagi.

Ayah berdiri teguh di belakangku.

“Kalau itulah keputusannya apa kita boleh buat, Mah ….” Ayah terhenti seketika untuk membetulkan duduknya di atas kerusi kusyen yang berwarna daun hijau muda.

“Biarkanlah.” Dia memberi sokongan yang padu.

Ibu tetap juga membantah.

“Tapi ….” Dia pantas berpaling ke arah ayah.

“Dialah satu-satunya anak lelaki kita.” Ternyata ibu amat berat untuk menerima keputusanku.

“Kita harus berbangga, Mah.” Ayah cuba memujuk ibu.

“Kerana punya anak yang bersemangat waja. Rela berkorban demi nusa dan bangsa.” Lagak ayah seperti seorang peguambela terus menguatkan hujah-hujahnya. Ibu diam. Dia benar-benar termampan dengan kata-kata ayah itu. Perlahan-lahan dia merenungku dan berkata:

“Kalau begitu keputusan kau, pergilah. Mak izinkan. Mak doakan semoga kau berjaya menjadi seorang pegawai tentera yang berhemah tinggi seperti ayah kau.” Akhirnya dia mengalah jua.

“Terima kasih, mak,” ujarku penuh gembira bercampur lega. Aku kemudian mengalihkan pandangan ke arah ayah pula orang yang banyak memberi dorongan dan rangsangan supaya aku menceburi bidang ketenteraan. Dia kelihatan tumpang gembira. Senyumannya semakin melebar. Dalam pada itu ayah tetap menammpakkan sifat-sifat ketegasannya dalam menangani tanggungjawab sebagai ketua keluarga biarpun telah lama bersara meninggalkan bidang ketenteraan yang diceburinya hampir 40 tahun.

Kak Long tidak melarangku menceburi bidang ketenteraan seperti ayah juga dia terus memberi galakan dan semangat kepadaku. Tambahan pula suaminya seorang anggota Pasukan Polis Hutan berpangkat Sarjan di Ulu Kinta. Dia telah dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan.

Kak Ngah pula mula-mula seperti ibu melarang keras keputusanku. Dia mendesak aku supaya menerima tawaran latihan perguruan. Tapi lama-kelamaan dia mengalah juga. Apabila melihat ayah dan ibu menghulurkan sokongan yang kuat kepadaku. Dia mahu aku buktikan bahawa aku boleh mengikut jejak ayah menjadi seorang pegawai tentera yang berjaya dan disegani ramai.

Dia bertugas sebagai seorang guru sekolah rendah di Kota Bharu, Kelantan. Manakala suaminya pula baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Dia kini sedang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Pangkalan Cepa.

Mereka berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Hasil perkahwinannya telah dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Sebelum menjadi Pegawai Waran 1 ayah berpangkat Sarjan. Sebut sahaja Sarjan Yahaya semua pengganas akan kecut perut. Ayah sangat terkenal dengan ketangkasan dan keberaniannya merempuh kubu musuh tanpa mengira keselamatan diri. Menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat kepada pasukan Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja.

Dia berpegang teguh pada prinsip gugur kerana mempertahankan bumi yang tercinta daripada mengikut telunjuk musuh.

Ayah juga pernah cedera parah sewaktu bertempur dengan pihak musuh di Grik, Perak kerana menyelamatkan nyawa tuannya. Sebulan lamanya ayah berada di wad kecemasan. Di atas keberaniannya itulah maka ayah telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) sbelum dia bersara iaitu pada tahun 1980.

Kini ayah mampu mengulum sejuta senyuman. Bangganya hati ayah tidak terkira. Perjuangannya dalam mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh tidak berkubur sebaik-baik sahaja dia bersara. Aku terus mewarnai perjuangannya. Kalau boleh biarlah sehingga anak cucu-cicit kami. Walaupun ayah telah lama bersara daripada bidang ketenteraan namun semangatnya masih lagi terus menyala macam api yang membakar. Dia sentiasa memberi aku dorongan dan galakan.

Katanya disiplin serta keazaman yang tinggi adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan.

Kata-kata ayah menjadi azimat yang paling berguna buat diriku.

Hasilnya aku telah menjadi pegawai yang berdisiplin dan berhemah tinggi. Aku sering kali mendapat pujian daripada pegawai-pegawai atasan kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam operasi.

Kejayaanku yang paling cemerlang ialah menumpaskan gerombolan komunis ketiga terbesar di Ulu Kinta, Perak yang mempunyai kekuatan anggota kira-kira 90 orang. Termasuk lelaki dan perempuan. Aku juga telah berjaya membunuh ketuanya yang dikenali sebagai Ah Chee. Platunku telah berjaya membunuh 80 pengganas komunis dan menawan 10 orang termasuk lelaki dan perempuan. Aku juga merasa bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa di pihakku. Cuma dua orang sahaja platunku yang cedera ringan.

Senjata seperti senapang, pistol, pisau dan bom buatan sendiri turut dirampas.

Berita kejayaan platunku telah mendapat liputan meluas dalam akhbar tempatan. Orang yang paling bangga di atas kejayaanku tak lain tak bukan ialah ayah.

“Ayah harap platun kau akan berjaya lagi dalam operasi-operasi yang seterusnya.” Ayah tak henti-henti memberi galakan.

“Insya-Allah, ayah,” janjiku lagi.

“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ayah kerana dengan doa dan dorongan ayah selama inilah maka saya telah berjaya mengecapi kejayaan yang gemilang.”

“Berhati-hatilah Darus semasa menjalankan tugas. Ingatlah kepada Tuhan selalu. Sembahyang apabila tiba waktunya.”

“Syabas, Darus! Awak memang hebat. Saya harap awak meneruskan lagi kecemerlangan ini di masa-masa akan datang,” puji Kolonel Abdullah sambil menjabat erat tanganku. Tapi aku tidak mudah kembang dengan pujian itu.

“Terima kasih, tuan. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama juga. Saya juga sentiasa berdoa agar Batalion ke-10 akan mendapat kejayaan yang lebih cemerlang lagi di masa akan datang,” balasku pula.

Begitu cepat waktu berlalu. Tanpa disedari senja perlahan-lahan merangkak tiba melabuhkan tirainya menyambut malam. Bola matahari yang berwarna seperti buah pinang masak sudah tidak kelihatan lagi.

Malam begitu pekat sekali. Awal-awal lagi aku sudah masuk ke dalam khemah. Senjata M16 sentiasa sahaja setia berada di sisi. Bulan dan bintang tetap indah bersinar. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Bayu malam terasa dingin merembes seluruh tubuh. Hutan belantara sudah menjadi rumah kedua buatku. Sepanjang menceburkan diri dalam bidang ketenteraan sudah tiga kali aku tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan keluarga yang tersayang kerana terpaksa bertugas di perbatasan. Dua kali aku terpaksa beraya di hutan dan sekali di kem.

Hati mana yang tak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga di hari yang mulia.

Tambahan memilukan lagi apabila terkenangkan takbir yang bergema di pagi raya serta menikmati juadah ketupat, lemang dan rending bersama-sama dengan keluarga tersayang. Tetapi demi mempertahankan negara yang tercinta kesyahduan dan kepiluan terpaksa diketepikan.

Sebenarnya aku baru sahaja mendirikan rumah tangga kira-kira tiga bulan yang lalu dengan gadis pilihanku sendiri. Aida namanya. Kami berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban. Waktu itu aku menuntut dalam tingkatan lima manakala Aida pula menuntut dalam tingkatan tiga.

“Aida tidak rasa menyesal memilih abang?” soalku sambil merenung wajahnya yang jelita itu dalam-dalam.

“Menyesal?” Dia memandangku tepat.

“Apa maksud, abang?” Dia menagih kepastian.

“Memilih seorang tentera sebagai suami,” jawabku.

“Jadi?”

“Aida akan selalu ditinggalkan,” jelasku lagi.

“Aida lebih bangga bersuamikan seorang satria negara.” Kata-kata yang keluar daripada mulutnya.

“Betul?” Aku cuba menduga.

“Apa abang masih lagi meragui kejujuran dan kesetiaan hati Aida terhadap abang?” dia membalas.

“Tidak sama sekali, Aida!” aku menggeleng-gelengkan kepala.

“Habis?” dia pantas memotong bagaikan peluru.

“Cuma mahukan kepastian.” Aku mengukir senyuman lebar. Begitu juga dengan Aida. Wajahnya tambah bening dan manis. Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu kuurut perlahan-lahan seperti bayi kecil yang minta dimanja.

Itulah saat-saat indah malam perkahwinan yang dilalui oleh aku dan Aida.

Badanku mula terasa letih. Mataku pula lantas diserang ngantuk. Mungkin kerana perjalanan jauh yang kulalui bersama-sama dengan anggota platun yang lain. Aku terus terlena dibuai oleh mimpi-mimpi yang indah.

Keheningan pagi diserikan lagi dengan kicauan unggas. Bola matahari semakin meninggi dengan jalur-jalur cahayanya mencecah ubun-ubun pergunungan. Selepas sarapan pagi, aku telah menerima arahan daripada pihak markas supaya bergerak ke arah selatan menjejak kesan-kesan Tuen Yuen dan orang-orangnya. Pihak perisik mendapati mereka telah berada di kawasan selatan Bukit Merah sudah hampir sebulan.

Aku pun pantas mendapatkan Sarjan Karim supaya mengarahkan anggota platun bersiap sedia bergerak ke arah selatan. Segala kayu-kayu khemah hendaklah dibuang jauh-jauh dan asap dikambus agar tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.

Setelah segalanya berjalan lancar kami pun bergerak mengikut seperti yang dirancangkan.

Aku mengetuai kumpulan satu berada di sepan. Kumpulan dua berada di belakang di bawah pimpinan Sarjan Karim. Hampir tiga jam perjalanan kami ke arah selatan. Mengharungi hutan rimba yang tebal, sungai dan lurah. Naik bukit turun bukit. Akhirnya aku memutuskan supaya berehat di sebuah kawasan yang lapang.

Bola matahari makin tegak di atas kepala. Bahangnya terasa pedih menggigit-gigit permukaan kulit. Aku mengesat peluh yang membintik di atas permukaan dahi dengan tangan kanan. Kemudian aku mengarahkan semua anggota platun agar membuat satu bulatan. Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas.

“Kita sudah semakin hampir dengan markas musuh.” Aku memberi penerangan.

“Berapa jaraknya, tuan?” soal Sarjan Karim. Aku meneliti semula peta dan memandang wajah Sarjan Karim.

“Tak sampai satu batu.” Aku memandang wajah anggota-anggota platun silih berganti dan bersuara:

“Berehatlah. Selepas makan nanti kita bergerak semula.” Lipatan peta kumasukkan semula ke dalam beg galas.

Sebaik-baik sahaja selesai makan tengah hari, kami meneruskan semula gerakan setelah menerima isyarat daripada Leftenan Saiful yang mengatakan bahawa kedudukan kami tepat dengan markas musuh.

Aku sudah tak sabar-sabar lagi untuk berhadapan dengan Tuen Yuen dan orang-orangnya. Aku akan pastikan dia rebah menyembah bumi atau ditangkap hidup-hidup untuk dibawa ke muka pengadilan. Tak semua manusia yang hidup. Ada juga kelemahannya. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa di dunia dan akhirat.

Aku menggenggam erat senjata M16.

29

RESOLUSI KERIS

“Apa pandangan awak tentang kertas kerja yang telah dibentangkan tadi?” tanya Encik Talib yang berumur dalam lingkungan lewat 40-an sambil membetulkan cermin matanya yang berbentuk empat segi itu. Beliau merupakan salah seorang daripada peserta yang turut bersama-samaku menyertai seminar yang bertajuk “Senjata-senjata Melayu Tradisional” anjuran Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.

“Menarik!” aku menjawab pendek.

“Menarik dari segi apa?” soalnya lagi.

“Kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Profesor Rahim dari Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia tadi telah memberikan kesempatan kepada saya untuk mengenali dengan secara lebih dekat lagi tentang senjata-senjata warisan bangsa Melayu yang unggul,” aku membalas dengan panjang lebar.

“Itu saja!” katanya sambil tersenyum sinis.

“Bagi saya itu adalah rumusan yang dapat saya berikan hasil daripada seminar tadi. Saya rasa Encik Talib tentu mempunyai pandangan yang bernas. Sebagai orang muda, saya ingin mencapai resolusi dengan orang yang lebih berpengalaman dalam bidang Kebudayaan.” Aku berterus terang. Dia lalu membetulkan duduknya dan berkata:

“Saya bersetuju sekali dengan kata-kata awak tu, Amir. Generasi muda seperti awak perlu diberikan kesedaran serta kefahaman tentang kekayaan dan keunikan ciptaan seni bangsa Melayu yang dijelmakan selama ini dan kekal menjadi identiti budaya yang dibanggakan.”

“Menarik sekali pandangan Encik Talib tu. Lagi?”

“Ia juga memberi ilham serta menimbulkan minat para karyawan menghasilkan ciptaan seni yang baru dan lebih bermutu berasaskan kepada unsur-unsur tradisi yang sudah diterima umum.” Aku benar-benar tertarik dengan kata-kata Encik Talib itu. Ini jelas membuktikan bahawa bangsa Melayu mempunyai identiti tersendiri serta sifat-sifat keperwiraan yang perlu dibanggakan oleh generasi kini dan yang akan datang.

“Teori ini memang tidak dapat dinafikan lagi, Encik Talib. Tapi, secara praktikalnya masyarakat Melayu lebih mengenali keris sebagai kumpulan senjata tikam yang utama berbanding dengan senjata-senjata yang lain.” Aku merancakkan lagi perbualan.

“Saya ada membuat kajian tentang keris.”

“Apa yang Encik Talib dapat?” aku menyoalnya dengan penuh minat sambil membetulkan duduk.

“Banyak. Keris memainkan peranan yang khusus dan penting dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan sebagai senjata semata-mata. Hakikat ini jelas dapat dibuktikan kerana terdapat banyak senjata yang dianggap mempunyai kuasa magik dan keramat yang harusnya dihormati di kawasan Nusantara terutamanya di Indonesia. Misalnya Rencong di Aceh, Mandau di Kalimantan dan Badik di Sulawesi Selatan. Fenomena ini akan menjadikan seseorang akan berasa selamat apabila membawa senjata seumpama ini dalam hidup atau perjalanannya.” Dia memberikan penerangan dengan panjang lebar.

Hebat! Senjata-senjata ini pada asalnya merupakan sesuatu yang disebut sebagai senjata menikam. Tetapi lama-kelamaan dalam perkembangan mutakhir akibat daripada berbagai-bagai faktor seperti keadaan geografi serta pengaruh lingkungan, maka timbullah perbezaan bentuk dan fungsinya seperti sekarang ini serta seirama dengan perkembangan kebudayaan secara keseluruhan.

“Saya ada membaca buku yang bertajuk Keris dan Asal-usulnya. Dalam buku itu ada menyentuh bahawa keris dalam penggunaannya merangkumi aspek kehidupan yang amat luas. Ia sudah dianggap sebagai gejala umum sejagat di mana sesuatu yang dianggap penting selalunya berhubungan rapat dengan tatacara kehidupan, khususnya kehidupan spiritual seperti dapat menjaga keselamatan dan kebahagiaan hidup.”

Dia kelihatan mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-kataku itu.

“Itulah kelebihannya kalau kita banyak membaca. Awak meletakkan fakta pada landasan yang tepat. Seperkara lagi yang penting apabila kita membicarakan tentang keris ialah ia juga merupakan hasil karya cipta seni masyarakat Melayu dari segi rupa, bentuk serta mempunyai kelengkapan-kelengkapan yang sangat tinggi. Ini menjadikan keris terdiri daripada berbagai jenis dan sesuai dengan perkembangan seni serantau.”

“Apakah yang telah mendorong Encik Talib sehingga begitu berminat sekali untuk membuat kajian tentang keris?” Aku mengalih tajuk perbualan.

Dia sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu. Dengan wajah yang tenang dia lalu menjawab:

“Menurut penelitian para penyelidik yang bijaksana, keris hanya terdapat di Asia Tenggara khususnya di Kepulauan Nusantara. Ia mengalami perkembangan yang berbeza-beza dari segi bentuk, nama dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat Melayu kerana keadaan geografis Kepulauan Nusantara yang terpisah di antara satu sama lain. Seperti yang telah saya katakana tadi di Aceh dikenali dengan nama Rencong, di Sulawesi Selatan Badik, di Jawa Barat Kujang, di Jawa Tengah dan Jawa Timur Keris. Namun begitu keris sendiri akhirnya tersebar ke berbagai daerah di Tanah Melayu serta Indonesia. Misalnya di Jawa Barat, Madura, Bali, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan.”

“Jadi, selaras dengan perkembangan kebudayaan dan sistem sosial, maka fungsi keris mengalami perkembangan dan perubahan.”

“Benar kata awak tu, Amir!” dia menjawab sambil menganggukkan kepala.

“Perubahan ini dapat diperhatikan misalnya pada keris yang pada mulanya merupakan senjata telah bertukar menjadi barang keramat yang dihormati, dipuja, lambing ikatan keluarga, tanda jasa, tanda pangkat atau kuasa, barang mewah serta lama-kelamaan dianggap sebagai karya seni,” sambungnya lagi penuh perasaan.

“Bagaimana pula dengan peranan seorang Pandai Besi atau Empu yang ditugaskan membuat keris?” soalku lagi.

“Biasanya seorang Empu terdiri daripada keluarga diraja atau Penggawa dalam lingkungan istana. Oleh yang demikian pada zaman dahulu pusat-pusat pembuatan keris berpindah-pindah mengikut jatuh bangunnya sesuatu kerajaan. Keris biasanya dibuat atas titah Raja. Hasil daripada fenomena inilah yang telah menggolongkan keris sebagai kebudayaan istana. Namun begitu ada juga keris dibuat di luar istana tetapi ia masih lagi dalam pengawasan istana,” ujarnya pula.

Baharu aku tahu kini. Keris yang merupakan sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu turun-temurun yang digunakan sejak lebih daripada 600 tahun yang lalu bukan sahaja digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan serangan musuh tetapi juga dijadikan sebagai alat kebesaran Diraja serta disanjung tinggi dan sering dikaitkan dengan kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa. Buktinya keris boleh terbang sendiri mencari musuh atau boleh membunuhnya dengan menikam bekas tapak kaki orang berkenaan.

“Saya sebenarnya sekarang sedang membuat kajian tentang keris.” Aku akhirnya berterus-terang pada Encik Talib.

“Patutlah awak beria-ia benar berbincang mengenai keris dengan saya. Apa yang awak kaji?” tanya Encik Talib yang berkulit cerah serta tidak pernah lekang dengan senyuman itu.

“Saya membuat kajian pada bahagian keris iaitu mata, hulu dan sarung,” aku menjawab pantas.

“Apa yang awak faham tentang ketiga-tiganya?” Dia cuba mendugaku.

“Mata keris diperbuat daripada beberapa lapisan besi yang berlainan jenis dan mempunyai bilangan luk yang tertentu atau lurus sahaja. Ciri-ciri inilah yang membezakan di antara keris-keris tersebut serta mempunyai nama-namanya tertentu seperti Keris Majapahit, Pekaka, Bugis, Jawa, Madura dan lain-lain lagi.”

“Hulu dan sarungnya?” dia pantas mencelah dengan tiba-tiba sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang wajahku.

“Hulu keris lazimnya mempunyai ukiran yang berbagai rupa menggunakan logam yang sama ada daripada kayu atau gading dan adakalanya menggunakan logam yang sama dengan yang digunakan pada mata keris. Manakala sarung keris pula mempunyai bahagian tertentu iaitu sampir, batang serta punggung yang diperbuat daripada kayu atau gading dan ada di antaranya bersalut perak atau emas, berukir indah tertakluk kepada darjat dan kemampuan pemakainya,” aku menjawab soalannya dengan panjang lebar.

“Awak tidak mengkaji asal usulnya?” dia sebaliknya tidak henti-henti menyoalku.

“Para penyelidik berpendapat mungkin ia berasal dari Jawa. Akan tetapi rupa dan perhiasan keris Melayu adalah berlainan daripada keris yang diperbuat di Indonesia. Keris biasanya digunakan untuk menikam musuh di hadapan dengan tikaman secara mendatar serta hulunya terletak di tapak tangan dengan digenggam oleh empat batang jari dari bawah. Ibu jari diletakkan di atas hulu dan menghala ke hadapan.”

Aku tidak pasti sama ada dia bersetuju atau tidak dengan jawapan yang telah aku berikan. Tetapi dari raut wajahnya yang tenang itu telah pun dapat kubaca. Dia ingin menambah lagi fakta daripada huraian yang telah kuberikan tadi. Dan jangkaanku memang tepat sekali. Tanpa membuang masa dia lalu bersuara:

“Masyarakat Melayu menggunakan keris hampir dalam seluruh kegiatan. Umpamanya pada upacara-upacara rasmi seperti perkahwinan, kelahiran dan berkhatan. Di samping itu juga, masih ada lagi upacara lain yang menggunakan keris misalnya kenduri doa selamat sebelum turun ke laut menangkap ikan, berlayar dan bercucuk tanam. Dalam upacara-upacara kumpulan pertama, keris berfungsi sebagai penolak bala. Sementara dalam upacara-upacara kumpulan kedua, keris benar-benar berfungsi sebagai alat menolak bala agar semua usaha berjaya tanpa sebarang gangguan. Dalam upacara perkahwinan pula, keris yang dipakai oleh pengantin dihias dengan bunga untuk membedakan di antara pengantin dengan pengapitnya. Masyarakat Melayu yang tinggal di kampung juga turut membuat keris tiruan yang dibuat daripada bambu dan diletakkan di atas pintu sebagai alat penolak bala.”

Sungguh hebat Encik Talib ni! desis hati kecilku. Dia benar-benar seorang ahli penyelidik yang pakar dalam bidang senjata Melayu tradisional terutamanya keris. Sesungguhnya keris mempunyai pengaruh psikologis yang sangat kuat dalam kehidupan masyarakat Melayu walaupun diketahui umum bahawa pada mulanya ia dijadikan sebagai senjata. Kemudian ia bertukar menjadi barang keramat yang dihormati. Kepercayaan demikian masih meresap sampai sekarang.

“Saya masih kabur dengan fakta yang terdapat di dalam buku “Keris dan Asal Usulnya” di mana ia mengatakan bahawa pada zaman kerajaan Islam khususnya di Tanah Melayu dan masyarakat Melayu amnya,” ujarku pula dengan panjang lebar untuk meminta penjelasan daripada Encik Talib.

Dia nampaknya tidak keberatan untuk menjawab soalanku itu.

“Dalam lingkungan istana, keris merupakan tanda kebesaran atau darjat serta tanda pangkat dan kelengkapan pakaian untuk upacara-upacara rasmi. Dalam kehidupan masyarakat Melayu pula, ia merupakan kelengkapan pakaian rasmi dan barang pusaka yang amat dihargai serta dimuliakan. Tetapi lama-kelamaan keris tidak lagi dianggap sebagai kelengkapan pakaian, bahkan ia menjadi ukuran harta seseorang yakni apabila sarung keris diperbuat daripada logam yang mahal. Keris turut berfungsi sebagai kelengkapan pakaian, dipakai dalam upacara rasmi di istana, upacara-upacara beradat dan juga dalam pertunjukan yang bersifat kesenian. Tidak hairanlah mengapa dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, seseorang peria itu dapat dikatakan berpakaian lengkap apabila sudah berpakaian adat dengan memakai keris di pinggang.”

Satu lagi pengetahuan baru mengenai keris yang telah berjaya aku perolehi daripada Encik Talib! Aku membuat kesimpulan dalam diam.

“Dalam pertunjukan kebudayaan Melayu, keris juga turut memainkan peranan yang penting. Buktinya ada persembahan yang menggunakan keris hanya sebagai pelengkap pakaian dan ada juga yang menggunakan nama keris dalam persembahan taridera seperti Tari Keris,” tambahku lagi.

“Sesuai dengan fungsi sebagai senjata, maka tidak hairanlah mengapa ia sering digunakan dalam persembahan teater untuk membunuh musuh apabila musuh berkenaan tidak dapat ditewaskan tanpa menggunakan senjata. Adegan-adegan seumpama ini banyak kita dapati dalam pertunjukan bangsawan, wayang kulit, wayang golek dan sebagainya,” balasnya pula.

“Saya rasa kita juga harus mengupas keris dari sudut seni.” Aku memberikan cadangan untuk merancakkan lagi perbualan.

“Apa yang awak dapat apabila memerhatikan mata keris sama ada keris berluk ataupun keris lurus?” dia sebaliknya menyoalku sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Terdapat bentuk seperti nyalaan api atau lidah api,” aku menjawab lancar tanpa nada suara yang tersekat-sekat.

“Dari segi manifestasinya?”

“Ia merupakan suatu karya imaginatif yang sangat tinggi nilai seninya. Sekiranya keris itu dilihat pula secara keseluruhan dengan sampirnya, maka tampaklah satu jalinan yang harmonis. Selain daripada itu, dengan adanya berbagai-bagai bentuk tarian yang ada kaitannya dengan keris bermakna seni itu sudah lahir berilhamkan keris. Demikian juga terhadap aspek-aspek seni yang lain yang sangat penting seperti seni ukir serta seni patung.”

“Dari mana awak dapat semua fakta-fakta ini?” dia menyoalku dengan penuh minat sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip memandang wajahku.

“Saya memperolehinya daripada Kurator Unit Ethnologi di Jabatan Muzium dan Antikuiti.” Aku tidak teragak-agak untuk membuat pengakuan.

“Nampaknya awak lebih bijak daripada saya!” Dia sebaliknya menghamburkan kata-kata pujian kepadaku sambil mengukir senyuman yang lebar. Tetapi aku tidak mudah kembang dengan pujian yang telah diberikannya itu. Aku terus menumpukan perhatian untuk mendengar kata-kata yang akan keluar daripada bibir mulutnya.

“Memang tidak dapat dinafikan lagi semuanya ini telah memberikan ilham kepada bahan yang sama di mana terdapat hiasan-hiasan pada keris itu baik pada hulu, rangka mahupun pada bilah serta sarungnya adalah merupakan hasil seni tersebut. Semuanya ini dihasilkan menerusi karya seni yang tinggi mutunya dan keahlian yang sempurna,” ucap Encik Talib pula.

Apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib tadi mengingatkan aku pada bahagian-bahagian sebilah keris Melayu yang terdiri daripada hulu, mata dan sarung. Bagiku ketiga-tiga bahagian ini begitu unik sekali dari segi pembuatannya. Hulu diperbuat daripada kayu, tulang, gading dan juga daripada perak atau emas. Mata diperbuat daripada besi waja. Sarung keris pula diperbuat daripada kayu dan adakalanya dihias dengan perak atau emas. Ganja yang merupakan sekeping besi waja akan menjadikan mata keris bertambah lebar dari bawah ke atas apabila dipasang di kepala mata. Ia bertujuan untuk menyelamatkan buku lali tangan daripada mata keris musuh daripada bertikam. Keris juga mempunyai Pendongkok iaitu benda perhiasan yang biasanya dipasang di bawah hulu keris. Bentuknya seperti cawan kecil yang rapat dengan hujung hulu. Ia dipasang di antara hulu keris dengan mata yang biasanya dibuat daripada tembaga atau emas celup.

Seperkara lagi yang menarik tentang Pendongkok keris ialah ia direka bentuk menyerupai sebentuk cincin yang dipasang di bahagian pangkal hulu keris sebagai perhiasan dan juga pembahagi di antara hulu serta mata keris. Biasanya Pendongkok diperbuat daripada perak atau tembaga dan dihiasi dengan motif-motif bunga dan juga tumbuh-tumbuhan. Ia biasanya dihasilkan melalui teknik-teknik filigree, repouse dan juga tebuk iaitu mengikut kebiasaan pertukangan emas, perak dan tembaga. Sungguhpun jelas kelihatan Pendongkok mempunyai bentuk yang stereotaip namun ia dapat dibezakan melalui reka corak serta teknik-teknik ia dihasilkan dalam membentuk hiasan tersebut.

Namun begitu ada juga Pendongkok yang dilengkapkan dengan hiasan tatahan batu permata yang dicengkam kukuh oleh gandar-gandar. Secara amnya Pendongkok bolehlah ditafsirkan sebagai satu hiasan seni yang menarik yang terdapat pada keris.

“Mata keris mempunyai dua jenis. Satu yang lurus atau juga dikenali sebagai Keris Sapukal dan satu lagi Keris Sempana di mana matanya berlok. Kedua-dua jenis mata ini digunakan untuk bertikam,” kata Encik Talib.

“Seperkara lagi yang menarik tentang mata Keris Sapukal yang panjang ialah lazimnya digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh,” aku menambah.

“Kedua-dua belah tepi mata keris adalah sama tajam.”

“Encik Talib ingat tak berapa ukurannya?” aku tiba-tiba pantas memotong.

“Ukuran sebilah mata keris biasanya kira-kira 15 inci atau 38 cm panjang,” balasnya.

“Bagaimana pula dengan mata keris berlok?” aku menyoalnya lagi dengan penuh minat.

“Bagi mata keris berlok pula, ukurannya kadang-kadang sehingga 20 inci atau 50 cm panjang. Bilangan lok pada mata keris mesti ganjil.”

“Ganjil macam mana, Encik Talib?” tanyaku dengan penuh minat.

“Lazimnya mata keris yang berlok ada tujuh. Akan tetapi ada juga yang sebanyak 15 lok. Mata keris dibuat dari beberapa lapisan besi waja. Sepertimana yang telah kita ketahui, pada zaman dahulu seorang tukang keris yang mahir dan dihormati iaitu Empu atau Pandai Besi bekerja di Istana Raja,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.

Sebelum kedatangan agama Islam ke Semenanjung Tanah Melayu, kebanyakan hulu keris mempunyai bentuk seperti kepala Dewa-dewa Hindu. Bentuk yang biasa merupakan kepala burung Garuda yang dikatkan kenderaan Dewa Vishnu. Di kawasan-kawasan pengaruh agama Hindu seperti di Indonesia terutama di Pulau Bali, bentuk hulu keris seperti kepala Dewa Hindu sehingga sekarang ini.

“Apabila agama Islam tersebar di Tanah Melayu, bentuk hulu yang asal sudah diubah dan diberi nama Jawa Demam yang merujuk kepada cerita Hang Tuah di Melaka atau Ayam Patah Tekak,” ujarku.

“Tetapi walaupun demikian hulu keris Tajon atau kadang-kadang yang dinamakan sebagai Keris Hulu Pekakak di mana ia dibuat di Negeri Patani yang mempunyai bentuk seperti kepala Garuda dengan mata dan paruh yang tajam,” balas Encik Talib pula.

“Bagaimana pula dengan pamor?”

“Pamor ialah corak atau tanda yang terdapat pada bilah keris. Apa yang menarik tentang pamor pada bilah keris ialah ada yang timbul kerana disengajakan dan ada pula yang timbul secara kebetulan.”

“Sungguh menarik sekali!” aku pantas mencelah dengan tiba-tiba kerana tertarik dengan apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib itu.

“Tentu awak nak tahu sebabnya, bukan?” katanya sambil mendongakkan kepala tinggi sedikit dan tepat memandang wajahku.

“Itu sudah semestinya, Encik Talib. Bagi saya, dalam soal menambah ilmu pengetahuan, kita seharusnya tidak segan silu untuk bertanya apabila mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup ini.” Dia sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu.

“Pamor yang timbul secara kebetulan disebabkan oleh proses percampuran besi setelah dibentuk menjadi bilah. Manakala pamor yang timbul secara kebetulan pula berlaku melalui dua cara. Cara pertama ialah dengan mencampurkan logam bilah dengan bahan pamor agar dalam membentuk bilah sekali gus akan timbul pamor yang diinginkan sementara cara kedua ialah dengan membentuk bilah keris tanpa campuran besi yang lain. Kemudian barulah dititik logam sesuai dengan pamor yang dikehendaki,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.

“Nampaknya pamor juga merupakan bahagian keris yang terpenting.”

“Bukan setakat itu saja, Amir. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu lagi, pamor mempunyai kuasa luar biasa yang sangat besar serta dapat mempengaruhi kehidupan si pemiliknya. Pengaruh tersebut tidak sama di antara satu dengan yang lain. Terdapat beratus-ratus nama pamor yang mempunyai magis atau daya keramat yang serba berlainan,” tambahnya lagi.

Sesungguhnya keris mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam kehidupan masyarakat Melayu. Hakikat ini jelas terserlah kerana ramai lagi yang mempercayai bahawa keris mempunyai kuasa luar biasa sehingga dapat mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat Melayu di mana kuasa luar biasa itu berbeda-beda pada setiap keris. Ini jelas membuktikan kepada kita bahawa ada keris yang memiliki daya magis kerana jenisnya dan ada pula keris yang mempunyai daya magis kerana pamornya. Secara keseluruhannya setiap pamor mempunyai daya magis yang tersendiri.

Manakala keris yang melambangkan sebagai senjata untuk membunuh musuh dalam sesuatu pertunjukan banyak digunakan dalam adegan yang menonjolkan fungsi keris kerana seni bermain keris dalam sesuatu adegan merupakan sesuatu yang dipentingkan.

Itulah resolusi yang kami buat berkenaan keris sebelum bersurai.

30

BARAT DAN BUDAYA MELAYU

“Saya benar-benar tertarik dengan negara Malaysia. Ia mempunyai sejarah dan kebudayaan yang luas dengan berbagai unsur luar seperti Islam, Paganisme, India, Cina dan juga Eropah di mana tiap-tiap satunya telah meninggalkan beberapa kesan yang boleh dikenali sebagai warisan oleh semua masyarakat di negara ini,” kata Frank yang berasal dari Australia sebaik-baik sahaja selesai melawat Balai Kebudayaan yang terdapat di Muzium Negara. Dia baru sahaja sampai ke Kuala Lumpur semalam atas undanganku.

Dia amat fasih sekali berbahasa Melayu. Aku mula mengenalinya semasa sama-sama menuntut di Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Seperkara lagi yang menarik tentang Frank ialah beliau amat berminat sekali mengkaji warisan sejarah dan kebudayaan yang terdapat di negara ini.

“Walaupun agama Islam diiktiraf sebagai agama rasmi Malaysia, agama lain boleh dianuti dengan bebasnya oleh masyarakat seperti Cina, India dan lain-lain lagi,” balasku pula.

“Perpaduan yang unggul di antara pengaruh sejarah dan budaya bercampur dengan berbagai tradisi Melayu telah melahirkan corak kebudayaan yang unik,” ucap Frank.

“Apa pandangan awak tentang artifak-artifak kebudayaan yang dipamerkan di balai tadi?” tanyaku.

“Menarik!” dia sebaliknya menjawab pendek sambil membetulkan duduk.

“Menarik dari segi apa?”

“Sesungguhnya artifak-artifak yang dipamerkan di balai tadi menjadi saksi utama terhadap hubungan kebudayaan serta persejarahan di antara orang-orang Melayu dan dunia luar melalui satu perjalanan sejarah yang dialami oleh negara ini sejak dahulu lagi.”

Hebat! Aku benar-benar mengagumi Frank. Dia telah berjaya meletakkan fakta yang berkaitan dengan warisan sejarah dan kebudayaan yang terdapat di negara ini pada landasan yang tepat. Kata-kata yang diucapkannya itu ada terkandung dalam buku yang bertajuk “Sejarah dan Budaya Melayu.” Aku pernah membaca buku itu.

“Sekarang awak buat kajian tentang apa?” aku menyoalnya lagi dengan penuh minat sambil menyedut sedikit air Milo Ais. Frank pula memilih minuman kegemarannya iaitu Fresh Orange.

“Budaya hidup orang Melayu,” jawab Frank yang turut menyedut sisa-sisa air Fresh Orange yang masih tinggal sedikit sahaja lagi.

“Apa yang awak kaji?”

“Istiadat perkahwinan orang Melayu,” balas Frank yang berambut perang dan berkulit putih itu.

“Kenapa awak begitu berminat sekali untuk mengkajinya?” aku tak putus-putus menyoal Frank.

Di luar cuaca memang panas sekali sejak akhir-akhir ini. Hujan pun sudah lama tidak turun. Daun-daun serta rumput yang berwarna hijau telah bertukar menjadi perang akibat cuaca yang panas terik.

“Bagi saya istiadat perkahwinan orang Melayu sungguh unik sekali kerana ia berdasarkan kepada prinsip-prinsip agama Islam yang diadun dan dipersuaikan dengan kebudayaan tradisional Melayu.”

“Sungguhpun pada prinsipnya istiadat perkahwinan ini adalah sama tetapi terdapat sedikit perbezaan dari segi adat yang kebiasaannya dipengaruhi oleh pemahaman dan amalan budaya suku ethnik Melayu di sesebuah negeri atau daerah seperti Minangkabau, Jawa, Bugis, Rawa, Mendailing, Banjar, Aceh, Melayu dan lain-lain lagi,” tambahku pula.

“Bagi kebanyakan masyarakat Melayu, majlis perkahwinan merupakan satu majlis yang istimewa dan diadakan dengan meriah dan dipenuhi dengan upacara adat istiadat Melayu yang gilang-gemilang. Kemeriahan sesuatu majlis perkahwinan itu bergantung kepada kedudukan kedua-dua belah keluarga pengantin dari segi kewangan serta martabat. Persiapan majlis perkahwinan ini lazimnya memakan masa lebih lama lagi dan melibatkan berbagai istiadat yang diadakan dengan penuh meriah.”

Sekali lagi aku terpampan dengan kata-kata Frank yang bermata biru itu. Dari mana dia tahu semua ini? Mungkin dia banyak membuat kajian dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan budaya hidup orang Melayu, desis hati kecilku.

“Mengikut adat resam masyarakat Melayu, sesuatu majlis perkahwinan itu terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu istiadat meminang, istiadat pertunangan, menghantar belanja dan akad nikah, mengasah gigi, berinai iaitu berinai curi dan berinai besar, bersanding, mandi limau serta akhir sekali bertandang,” tambahnya lagi.

“Dari segi agama pula, upacara perkahwinan yang sebenar bermula dengan upacara akad nikah yang lazimnya diadakan di rumah pengantin perempuan. Akad nikah ini diadakan berlandaskan kepada hukum syarak dan setelah upacara ini sempurna maka baharulah kedua-dua pengantin itu sah dari segi hukum syarak sebagai suami dan isteri.”

“Saya pernah mendengar perkataan itu. Tapi, saya kurang jelas apa maksudnya hukum syarak dalam upacara perkahwinan orang Melayu,” akui Frank meminta penjelasan daripadaku.

“Mengikut hukum syarak, terdapat 5 rukun nikah yang mesti dipatuhi. Pertama, pengantin lelaki, kedua, pengantin perempuan, ketiga, seorang wali bagi pihak pengantin perempuan, keempat, dua orang saksi dan yang kelima ijab dan qabul.”

“Oh, begitu!” dia mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda faham dengan penjelasan yang telah kuberikan.

“Bagaimana pula dengan majlis bersanding?” sambungnya lagi dengan penuh minat sambil kedua-dua belah matanya yang berwarna biru itu tepat memandang wajahku.

“Majlis bersanding merupakan acara kemuncak dalam istiadat perkahwinan orang Melayu. Dalam majlis ini, pengantin lelaki dan perempuan sebagai Raja Sehari akan duduk di atas pelamin atau peterana yang dihias indah. Majlis ini biasanya dilakukan setelah pengantin lelaki siap dengan pakaian khas dan sirih latlat atau sirih genggam diterima dari pihak pengantin perempuan. Kemudian baharulah pengantin lelaki dengan diiringi oleh pengapit dan rombongannya diarak dengan bunga manggar serta kumpulan kompang, rebana atau hadrah berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah pengantin perempuan,” terangku pula dengan panjang lebar.

“Kalau tak silap saya dalam buku yang bertajuk “Perkahwinan Orang Melayu” ada menyebutkan bahawanya setibanya di perkarangan rumah pengantin perempuan, rombongan pengantin lelaki tadi akan disambut dengan taburan beras kunyit serta renjisan air mawar dan persembahan pencak silat. Sebelum dipersilakan masuk ke dalam rumah, adakalanya dikenakan beberapa syarat lain seperti tebus pintu dan tebus pelamin. Bukan begitu?” Frank menyoalku sambil mengangkat muka tinggi sedikit.

“Benar.”

“Apa tujuannya?” dia pantas mencelah.

“Tujuannya ialah untuk mengusik-usik rombongan pengantin lelaki supaya menjadi lebih meriah dan mesra.”

“Jadi, setelah syarat-syarat atau halangan-halangan ini dilalui, maka baharulah pengantin lelaki didudukkan bersanding di sisi kanan pengantin perempuan sebagai Raja Sehari.”

“Tepat sekali. Semasa majlis bersanding inilah saudara-mara dan sahabat handai akan tampil seorang demi seorang ke kaki pelamin untuk merenjiskan air mawar serta menabur beras kunyit kepada kedua-dua mempelai. Kemudiannya mereka akan diberi sebiji atau setangkai bunga telur,” ujarku lagi.

“Barulah saya faham dengan tablo yang dipamerkan di Balai Kebudayaan tadi,” kata Frank sambil tersenyum puas.

“Kenapa awak tak tanya saya?”

“Saya sebenarnya asyik memerhatikan pakaian yang dipakai oleh pengantin lelaki dan pengantin perempuan.”

“Pengantin lelaki memakai Tengkolok Sering yang berasal dari Patani. Baju, seluar dan kain sampinnya ditenun di Negeri Kelantan. Manakala corak sanggul emas, kilat dahi emas, dokoh dan pakaian pengantin perempuan pula mengikut gaya pakaian istana Perak dalam tahun 1880-an,” terangku pada Frank.

“Bilangan mata tangga atau tingkat pelamin yang disusun dengan angka ganjil juga merupakan salah satu daripada cirri yang menarik dalam istiadat perkahwinan Melayu.”

“Kenapa awak kata begitu?” Giliranku pula menyoal Frank.

“Ia tertakluk kepada kedudukan pengantin berkenaan, tiga tingkat untuk orang kebanyakan, lima tingkat untuk orang-orang bangsawan dan tujuh tingkat untuk keluarga Diraja,” jawabnya dengan suara yang lancar tanpa tersekat-sekat.

“Saya benar-benar kagum dengan awak, Frank.” Aku menghamburkan kata-kata pujian kepada Frank.

“Kagum?” Dia seolah-olah terperanjat apabila mendengar kata-kata pujian yang keluar daripada mulutku itu. Namun begitu senyuman kecil tetap terukir di wajahnya.

“Ya. Awak bukan saja fasih berbahasa Melayu malahan juga dapat meletakkan fakta yang berkaitan dengan budaya Melayu pada landasan yang tepat.”

“Awak jangan terlalu memuji saya, Azman.” Dia sebaliknya tidak mudah kembang apabila mendengar kata-kataku itu.

“Saya berkata dengan ikhlas.”

“Sudahlah tu. Kita lupakan saja perkara itu. Lebih baik kita teruskan perbincangan tentang istiadat perkahwinan orang Melayu.” Frank mengalih tajuk perbualan.

Dalam istiadat perkahwinan orang Melayu yang diwarisi sejak zaman-berzaman biasanya dimulakan dengan merisik, meminang, menghantar belanja serta akad nikah. Setelah persetujuan dan penetapan hari untuk melangsungkan majlis perkahwinan di antara kedua-dua belah pihak diperolehi, maka baharulah istiadat perkahwinan yang sebenar diadakan.” Aku menyambung semula perbincangan mengenai istiadat perkahwinan orang Melayu yang tergantung buat seketika.

“Seperkara lagi yang menarik ialah dalam buku yang bertajuk “Perkahwinan Orang Melayu” ada menyebutkan bahawa ketibaan rombongan pengantin lelaki lazimnya didahului dengan menghulurkan tepak sirih atau sirih junjung dan diiringi pula dengan bingkisan-bingkisan hantaran yang setiap satunya digubah dengan seindah-indahnya serta disusun berbaris sambil disaksikan oleh ahli-ahli waris dari kedua-dua belah pihak. Setelah barang-barang ini diteliti dan disahkan oleh pegawai adat dan ahli-ahli waris perempuan berdasarkan kepada janji yang telah diikat, maka baharulah upacara akad nikah dilakukan,” celah Frank pula.

“Tentu awak mempunyai pandangan yang menarik tentang peranan hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu.”

“Tradisi hantaran ini lebih merupakan pemberian atau tanda cinta kasih dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan yang biasanya terdiri dari berbagai barang. Di antara barang-barang yang dipentingkan ialah duit hantaran atau wang belanja, persalinan yang lengkap, sejadah dan telekung, tuala mandi, alat solek, sebentuk cincin permata serta diiringi dengan kuih-muih, buah-buahan, bunga rampai dan sebagainya. Jumlah bingkisan hantaran biasanya ganjil seperti 7, 9, 11 atau 13 di mana tertakluk kepada kemampuan dan keinginan pihak lelaki. Ini jelas melambangkan bahawa peranan hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu melambangkan ciri-ciri yang universal,” jawabnya lagi dengan panjang lebar.

“Kesemua barang-barang hantaran ini digubah dengan cukup cermat dan indah. Kemudian ia diletakkan di atas pahar atau bekas-bekas yang beralaskan baldu bertekat dan adakalanya dibalut pula dengan kertas kilat berwarna sehingga dapat memperlihatkan satu persembahan yang paling istimewa kepada seorang raja. Hantaran balas dari pihak pengantin perempuan juga tidak banyak perbezaannya tetapi lebih kepada kuih-muih yang melambangkan kemahiran dan sifat-sifat wanita yang lemah-lembut,” aku menambah.

“Saya sebenarnya sekarang sedang menyusun sebuah buku yang berkenaan dengan istiadat perkahwinan orang Melayu,” akui Frank lagi.

“Awak tulis dalam versi apa?”

“Inggeris.”

“Dah berapa bab awak tulis?” soalku pula bertubi-tubi kali.

“Baru 4 bab.”

“Apa yang awak sentuh?”

“Tentang upacara perkahwinan orang Melayu yang dilakukan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan di mana upacara akad nikah dan bersanding diadakan. Beberapa hari sebelum upacara itu dilakukan, bahagian luar dan dalam rumah tersebut dihias indah. Tanpa mengira keadaan kewangan bapa pengantin perempuan, sudah menjadi kelaziman di rumahnya dibuat sebuah pelamin dan sebuah bilik pengantin,” jawab Frank dengan panjang lebar.

“Tumpuan di dalam bilik pengantin itu ialah katilnya. Biasanya ia dihias indah dengan cadar dan sarung bantal yang dibuat khas dari baldu yang bertekat benang emas yang sesuai untuk sepasang Raja Sehari. Keindahan hiasan bilik pengantin itu sebenarnya menjadi suatu kebangaan kepada keluarga pengantin perempuan,” tambahku.

“Katil di dalam kamar pengantin itu biasanya digunakan oleh kedua-dua pengantin baru itu pada malam pertama dan ketiga. Pada malam kedua biasanya mereka tidur di rumah pengantin lelaki. Itu saja yang saya tahu.”

“Di Perak, biasanya pada malam ketiga sehelai kain putih akan diletakkan di atas cadar katil itu oleh keluarga pengantin perempuan sebelum kedua-dua pengantin baru masuk tidur.”

“Menarik!” kata Frank sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kenapa kain putih itu diletakkan di atas cadar katil?” sambungnya lagi.

“Pada keesokan harinya, kain itu akan diperiksa sama ada mengandungi tompok-tompok darah atau tidak?”

“Darah?” Dia berasa hairan apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu.

“Ya. Di sini darah melambangkan yang pengantin perempuan itu masih lagi dara sebelum berkahwin. Walaubagaimanapun upacara perkahwinan orang Melayu sebenarnya berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain,” terangku.

“Saya amat tertarik sekali dengan katil pengantin yang telah dipamerkan di Balai Kebudayaan tadi,” ujarnya.

“Katil pengantin yang kita lihat tadi berasal dari Terengganu dan berusia kira-kira seratus tahun. Ia diperbuat daripada kayu cengal serta penuh berukir dengan motif bunga-bungaan Melayu. Kepala katil pula diukir sepenuhnya dengan motif awan larat dan berbentuk seperti ambang pintu. Kelambunya pula bersulam dengan benang emas dan digantungkan pada bingkainya.”

Dia sebaliknya diam sambil mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kataku itu. Aku tak pasti sama ada dia berpuas hati atau tidak dengan penjelasan yang telah kuberikan itu. Dari raut wajahnya yang berbentuk bulat itu telah pun dapat kubaca bahawa dia sedang berfikir sesuatu. Agak lama kemudian baharulah dia bersuara:

“Selain daripada itu, saya juga tertarik dengan persembahan Wayang Kulit.”

“Wayang Kulit telah termasyhur sejak lebih dari seribu tahun dahulu di negeri-negeri sebelah Timur Tengah dan Tenggara Asia,” aku menjawab.

“Kalau tak silap saya dalam buku yang bertajuk “Wayang Kulit dan Asal Usulnya” ada menyebutkan bahawa contoh Wayang Kulit yang tertua sekali ialah Wayang Kulit India, Indonesia dan China,” jawabnya pula.

“Benar kata awak tu, Frank. Tetapi rupa patung serta cerita-cerita yang dimainkan amat berlainan sekali.”

Itu saja yang aku ingat tentang persembahan Wayang Kulit. Di kesemua negara yang telah disebutkan tadi, patung Wayang Kulit diperbuat daripada kulit yang dipotong secara boneka dan biasanya sebelah sahaja tangannya yang boleh digerak-gerakkan. Persembahan Wayang Kulit dilakukan di sebalik tabir kain putih dan patung-patung kulit itu ditayangkan serta digerak-gerakkan di antara tabir dan pelita yang tergantung. Kemudian bayang-bayang patung itu akan kelihatan di atas tabir itu. Orang yang melakonkan patung-patung kulit itu dipanggil Tuk Dalang. Para penonton akan duduk atau berdiri di hadapan tabir dan mendengar cerita yang disampaikan oleh Tuk Dalang. Dia juga akan mengubah-ubahkan suaranya mengikut watak patung-patung yang dimainkannya.

“Di negara ini, persembahan Wayang Kulit masih kerap diadakan di Negeri Kelantan berbanding dengan negeri-negeri yang lain,” tambahku lagi.

“Wayang Kulit Jawa mempunyai lebih daripada 100 watak,” celah Frank pula.

“Cerita-cerita Panji merupakan cerita yang paling digemari dalam persembahan Wayang Kulit Jawa.”

“Bagaimana pula dengan cerita-cerita Ramayana yang dipetik daripada Hikayat Seri Rama?” dia sebaliknya pantas memotong.

“Ia jarang dipersembahkan dalam Wayang Kulit Jawa. Patung-patung Wayang Kulit Jawa kebanyakannya lebih besar daripada patung Wayang Kulit yang digambarkan di negara ini atau Thailand.”

“Memang benar kata awak tu, Azman. Dalam buku yang bertajuk “Wayang Kulit dan Asal Usulnya” ada menyebutkan bahawa tulang patung Wayang Kulit serta pemegangnya lazimnya diperbuat daripada tanduk yang dilentur dan bukannya daripada kayu seperti yang terdapat di negara ini. Bentuk lembaga patung Wayang Kulit Jawa juga jauh berbeza daripada yang terdapat pada Wayang Kulit Jawa di Negeri Kelantan. Ini dapat disaksikan dengan membandingkan watak Semar dan watak Pak Dogol.”

“Dari segi bentuk panggung pula, ia dibuat mengikut bentuk panggung yang digunakan di Negeri Kelantan di mana ia telah mula digunakan sejak lebih dua ratus tahun dahulu,” balasku pula.

“Seperkara lagi yang menarik ialah Tuk Dalang boleh menggerakkan patung-patung belulang serta menyuarakan kata bual tanpa dibantu oleh sesiapa pun di sepanjang persembahan Wayang Kulit.”

“Tuk Dalang lazimnya akan dibantu oleh Tukang Unjuk yang duduk di sebelah kiri dan kanannya.”

“Apa pula peranan Tukang Unjuk ni?” dia menyoalku dengan penuh minat.

“Sebenarnya tugas Tukang Unjuk hanya menyediakan patung-patung belulang mengikut ceritanya untuk memudahkan Tuk Dalang mengambilnya apabila dikehendaki,” terangku.

“Batang pisang juga turut digunakan untuk menegangkan kain tabir atau kleh serta untuk mencucuk patung-patung belulang yang sudah ditayangkan,” ujarnya pula.

“Sebuah pelita akan digantung untuk memancarkan bayang-bayang patung belulang di atas kain kleh itu. Pada masa dahulu mereka menggunakan pelita minyak kelapa yang bersumbukan benang kapas,” aku menambah lagi.

“Hebat sungguh budaya orang Melayu!” puji Frank.

31

WAYANG MAT SALIH

“Oh God! Wak Longgg …. Please don’t do it to me!”

“Tolong, tolong Zek!” jerit William.

Kemudian diikuti dengan bunyi ketukan bertalu-talu di pintu.

“William! William! Kenapa kau!”

“Yes, ya, ya, Zek,” kata William separuh ketakutan.

Pintu pun terbuka. William mengesat-ngesat mata.

“Aku bermimpi, Zek. Wak Long nak cekik aku ….”

“Hah kau, William, mimpi berlawan dengan Wak Long lagi. Semalam pun berlawan dengan Wak Long. Dulu, dulu bertumbuk dengan Hanuman. Tak habislah kau bermimpi. Dah tu nyusahkan orang pulak,” tukas Zek.

“I am sorry,” jawab pemuda Inggeris bernama William yang baru tiga bulan berada di Malaysia itu. Dia datang ke negara ini semata-mata kerana cintakan wayang kulit.

“Entah apa nilai wayang kulit pada William. Sedangkan orang Melayu telah lama tidak tengok wayang kulit,” bisik Zek.

Pada suatu petang selepas peristiwa mimpi itu, Zek dan William berbual-bual di Taman Bunga berhampiran Muzium Negara.

“Mengapa awak begitu berminat sekali untuk membuat penyelidikan tentang wayang kulit, William?” soal Zek dengan penuh minat.

“Menarik,” William sebaliknya menjawab pendek sambil membetulkan duduk.

“Menarik dari segi apa?” Zek menyoalnya kembali sambil memandang tepat pada wajahnya.

“Wayang kulit adalah satu teater tradisional yang menggunakan prinsip cahaya serta bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit terdiri daripada pelbagai watak methologi khayalan yang dimainkan oleh Tuk Dalang,” William menjawab panjang lebar.

“Tepat sekali, di samping itu ia diiringi oleh kumpulan muzik paluan gamelan, rebab dan gong,” tambah Zek pula.

“Assalammualaikum,” sapa satu suara.

William dan Zek menoleh ke arah suara.

“Waalaikummussalam. Oh, Pak Ya.”

“William, ini Pak Ya, Pak Dalang dari Kelantan. Kadang-kadang dia pun mengajar di Akademi Seni Melayu tempat kau belajar tu.”

Pak Ya menghulur tangan pada William.

“Apa khabar, saudara William,” sapa Pak Ya penuh sopan. Mereka saling berkenalan dan bertukar-tukar fikiran.

Pada William pertemuannya dengan Pak Ya penuh bermakna dan sungguh-sungguh menguntungkan. Pertemuan yang tidak dirancang itu memberi khabar gembira pada William. Pak Ya sendiri akan bermain wayang pada minggu hadapan sempena hari jadi sultan.

William telah dijanjikan oleh Pak Ya untuk dibawa ke Kota Bharu untuk melihat sendiri persembahan itu.

Setelah Pak Ya beredar, Zek pun cepat-cepat mengusik William.

“Eloklah kau pergi ke sana. Di sana bolehlah jumpa Wak Long yang kau minati dan Pak Dogol sekali.”

“Siapa pula Pak Dogol tu?” tanya William kehairanan.

“Itulah, pelajaran kau tentang wayang kulit belum seberapa. Eloklah ke sana berjumpa Mahasiko, Said, Samad, Wak Yah dan Eden sekali.”

“Eden, siapa Eden tu, Zek. Orang Melayu ke orang Iraq?” tanya William kehairanan.

“Bila kau ke Kelantan nanti kau tanyalah pada Pak Ya!”

“Kau ni suka sangat berahsia. Aku kan student, banyak benda yang harus kuambil tahu. Nanti bila pulang ke England aku kena tulis buku. Bapa aku nak terbitkan cerita wayang kulit ini,” kata William separuh merayu.

“Oh jadi kau datang ke Malaysia ni semata-mata mahu buat cerita tentang wayang kulitlah!”

William mengangguk-angguk hatinya berbunga penuh harapan.

Kini telah tiba hari yang ditunggu-tunggu William. Bersama dengan Zek mereka sudah berada di sebuah bangsal wayang kulit yang bakal didalangkan oleh Pak Ya di bandar Kota Bharu.

Orang ramai sedang berkerumun di suatu sudut di Padang Paduka. Pak Ya sedang memainkan cerita percintaan Seri Rama dengan Sita Dewi. Cerita pun bermula. Orang ramai semakin khusyuk. Begitu juga William dan Zek. Pada William inilah peluang seumur hidupnya yang tidak mungkin dilupai.

Semakin lama cerita semakin rancak. Wak Long, Pak dogol dan kawan-kawan sudah muncul beberapa kali. Bunyi gendang dan serunai silih berganti. William asyik memerhatikan Pak Ya memainkan patung-patung.

Seri Rama dan Sita Dewi yang terpisah sedang dalam kesedihan. Hanuman dan hamba sahaya sedang mengembara mencari Sita Dewi.

Hamba sahaya terdiri daripada Pak Dogol, Wak Long, Samad, Said Wak Yah dan Eden juga turut mengembara mencari Sita Dewi. Bunyi paluan gendang dan gong menyemarakkan perasaan. William kian seronok melihat watak-watak Wak Long dan kawan-kawan dengan lebih dekat.

Tiba-tiba Pat! Pat! Pat! bunyi papan yang dihentak kuat. Itu adalah tanda mula perlawanan antara Hanuman dengan Jit Afrit. Paluan gong semakin rancak. Genderang perang sedang berbunyi. Degupan jantung penonton semakin kuat. Perlawanan hebat akan terjadi sebentar lagi. William ikut terangsang. Tiba-tiba dia terbangun. Entah kuasa apa membuat William bersilat. Yah! Yah! William bersuara. Matanya pula merawang ke udara.

Zek termangu.

“Apa dah jadi pada kawan aku ni!” kata Zek separuh berbisik bimbang.

Belum sempat Zek berbuat apa-apa William merapati kelir wayang.

Patung Hanuman dan Jit Afrit yang sedang berjuang hebat dirampas daripada Pak Ya. Tiba-tiba William pula yang mengambil peranan sebagai Tok Dalang. Suasana di bangsal wayang jadi kelam-kabut. Semua bunyi-bunyian terhenti.

Tiba-tiba semua lampu dan pelita padam. Orang yang menonton bersorak bagai jong karam. Anak-anak kecil menangis kerana kegelapan. Sepantas kilat William diberkas oleh juak-juak wayang. Pak menggeleng-gelengkan kepala. Zek juga termangu-mangu.

“Inilah kalau dah syok sangat!” kata Zek dalam hati.

“Orang putih naik syeikh weh!” kata suara ramai bersorak.

32

NEKAD

Dia sudah nekad. Tidak akan merompak lagi. Tidak akan membunuh orang lagi. Tangannya penuh dengan kekotoran. Neraka jahanam ini mesti ditinggalkan sebelum terlambat. Dia harus memulakan penghidupan yang baru. Penuh aman dan tenteram. Menjadi manusia yang berguna pada masyarakat. Bukannya penjenayah yang ditakuti. Dia membulatkan tekad seperti bola.

Bosan!

Ya, benar. Dia ingin bertaubat. Kembali semula ke pangkal jalan. Selama ini dia asyik melakukan kerja yang sia-sia. Nama sahaja manusia tapi berhati binatang.

Hari ini dia mungkin lepas. Tapi esok atau lusa belum pasti lagi. Dia mesti berhenti!

Siapa Tahir?

Seorang penjenayah yang kejam. Namanya sentiasa terkandung dalam fail polis. Gambarnya sering terpampang di dada akhbar. Polis menawarkan hadih yang lumayan kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat hingga tertangkapnya Tahir.

Dia lalu tersandar di atas kerusi yang agak usang itu.

Sambil tangannya membelek-belek pistol revolver .32. Yang telah meragut ramai nyawa. Kemudian dia mengeluarkan pula peluru kelongsong. Dan melemparkannya pantas ke atas simen. Hingga bertaburan merata-rata.

Dia mendengus.

Serta menengadah ke atas siling yang telah dimakan anai-anai. Kesan-kesan retak juga kelihatan di dinding. Warna cat sudah lapuk. Bersama habuk-habuk halus.

Kemudian dia lantas memejamkan kedua-dua belah matanya. Oh, Tuhan mengapa aku sanggup menzalimi diri sendiri! Dia meluahkan rasa penyesalan.

Orang yang bergelumang dengan dosa tidak akan mendapat tempat di syurga yang penuh dengan kenikmatan. Sebaliknya akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam yang penuh dengan azab seksa yang pedih.

Namun dia tetap yakin, msih belum terlambat lagi. Tiada jalan lain lagi selain daripada meminta keampunan daripada Allah SWT. Kerana Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Lamunannya terhenti seketika. Apabila Din Jambang muncul dengan tiba-tiba. Ketua kumpulan Helang Hitam. Penjenayah nombor satu negara.

Rupanya garang.

Tidak pernah tersenyum. Orangnya berbadan tegap. Seorang penjenayah yang kejam. Dahsyat seperti binatang. Tidak mempunyai langsung sifat berperikemanusiaan. Dia akan membunuh orang yang cuba menghalang cita-citanya.

Tahir mengangkat muka.

Din Jambang berdiri tegak. Lantas menepuk bahu Tahir.

“Bagaimana?” Bunyi suaranya garau. Mengaum bak singa lapar yang mahu menerkam mangsanya. Amat sesuai sekali dengan sifatnya. Hampir memecahkan ruang tamu rumah yang usang itu. Yang menjadi markas kumpulan Helang Hitam sejak berkurun-kurun lamanya.

Tahir tersentak dengan persoalan itu.

Namun dia tidak gentar sedikitpun, memberanikan diri. Dia telah lama bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia tahu. Membantah kata-kata Din Jambang bererti menempah maut.

Dia menggelengkan kepala sebagai tanda membantah.

“Tidak!”

“Mengapa?” soal Din Jambang dengan penuh angkuh.

Sambil mengatur langkah lima tapak. Kemudian perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas kerusi yang bertentangan dengan Tahir. Kedua-dua belah kakinya lalu disilangkan di atas meja yang berbentuk empat segi itu.

Din Jambang mengeluarkan sekotak rokok besar daripada poket baju jaket kulit yang berwarna hitam pekat. Tanpa berlengah lagi dia lantas menghulurkannya pada Tahir.

“Tidak!” dia menolak.

Sebaliknya Din Jambang lalu menjepit rokok di bibir. Api segera dicucuhkan. Kemudian dia menyimpan semula kotak rokok ke dalam poket. Sambil menghembus asap yang memutih. Berkepul-kepul memenuhi ruang.

Tahir kembali semula memecahkan persoalan yang terhenti buat seketika.

“Aku minta kau kecualikan aku daripada misi ini.” Dia mengeluarkan nada suara yang tenang.

Dengan secepat kilat Din Jambang menarik muka tanpa berkata walau sepatah pun. Kerana terkejut.

“Kecualikan?”

“Ya!” ujar Tahir serius.

“Kau dah silap agaknya!” Muka Din Jambang turut berubah. Dia berasa pelik. Dengan tiba-tiba sahaja Tahir berani membantah. Selalunya sebagai orang kanan dia patuh pada segala arahan. Tanpa banyak soal dan karenah. Namun Tahir tetap mempertahankan hujahnya.

“Memang selama ini aku silap, Din. Dan kini sudah tiba masanya untuk aku membetulkannya. Din Jambang memadamkan api rokok di atas simen. Kemudian memijakkannya hingga lenyek.

Dia lantas ketawa terbahak-bahak. Hingga tertutup kedua-dua belah matanya. Begitu juga dengan bahunya turut terangkat. Gemanya menyusup melalui celah-celah dinding yang retak. Kerana terlalu gelihati. Tetapi bagi Tahir ia adalah suatu penghinaan. Dia merenung lama wajah Din Jambang dengan penuh tegas.

“Kau tak ingat ke? Hendak menempah maut!” Din Jambang memberi amaran sambil menudingkan jari kanannya ke arah Tahir. Dia cuba mengugut. Agar Tahir menarik balik keputusannya. Tetapi Tahir tetap bertekad, dia tidak akan tunduk dengan ugutan itu.

“Apa nak buat kalau sudah ditakdirkan aku akan maut di hujung senjata kau.”

Din Jambang lantas naik berang bila mendengar kata-kata itu.

Api kemarahannya kian memuncak. Bagai disimbah minyak. Panas! Marak menyala.

“Lagi, lagi takdir!” Din Jambang bersuara lantang. Sambil melepaskan tumbukan yang kuat di atas meja. Kedua-dua belah kakinya pantas ditarik semula turun ke bawah.

“Ini semua adalah ketentuan Tuhan, Din,” sokong Tahir lagi.

“Ya! Sekarang baru kau mengenal Tuhan. Tapi sebelum ni?” soal Din Jambang bertubi-tubi kali. Umpama muntahan peluru daripada muncung mesin-gun.

“Kita sebagai manusia amat kerdil di sisi-Nya.”

“Maksud kau kita jadi begini kerana takdir?” Din Jambang terus menagih kepastian.

“Din, kita dah jauh tersesat. Dan kita harus kembali semula ke pangkal jalan.” Tahir cuba memujuk.

Nyata Din Jambang seorang manusia yang tidak makan nasihat.

“Ah! sudah! Kau jangan nak bersyarah pulak!” Sekali lagi dia melepaskan tumbukan yang kuat di atas meja. Kemudian dia lalu menegakkan kepala.

“Bukankah ini semua adalah untuk kesenangan hidup kita!” Dia mengutip semula kata-kata itu. Mengingatkan Tahir. Matlamat utama kumpulan Helang Hitam.

Sementara itu, protes Tahir semakin menjadi-jadi.

“Tapi cara kita salah. Dengan menganiaya orang yang tidak berdosa, membunuh dan merompak!” balasnya sambil meninggikan suara sedikit.

Jelas sekali dia kian bersemangat. Tidak gentar lagi dengan Din Jambang. Walaupun dia bergelar penjenayah nombor satu negara. Dia hanya takut pada Tuhan. Yang amat berkuasa menjadikan alam semesta ini. Bukannya pada Din Jambang.

“Itu saja jalan mudah untuk mencapai kekayaan!”

Din Jambang sungguh tegas dalam mempertahankan haknya. Kumis lebat memenuhi dagunya. Perdebatan makin genting. Nampaknya tidak ada jalan penyudah yang akan ditemui. Din Jambang tetap tidak mahu mengaku kalah. Perbuatan jenayah seolah-olah sudah sebati dengan darah dagingnya.

Mata Tahir tajam memandang Din Jambang.

Dia tidak berputus asa. Semangatnya kental seperti besi waja.

“Kita mesti membina kekayaan dengan cara yang halal. Aku akan ikut.”

Din Jambang mengerutkan mukanya. Serta menggelengkan kepala. Dia benar-benar tidak mengerti. Apakah benda yang telah merasuk fikiran Tahir? Din Jambang lalu mengangkat muka tinggi.

“Kau bodoh, Tahir!”

Tahir sebaliknya berpura-pura tidak faham dengan maksud Din Jambang itu.

“Maksud kau?”

“Kalau kita ada duit banyak dan kaya raya semua orang akan mendampingi kita termasuk saudara mara. Tapi kalau kita miskin mereka pandang tak ubah macam sampah!” Dia melepaskan perasaan geram bercampur marah.

“Dengan merompak dan membunuh kita akan dipandang lebih hina lagi, Din.”

Din Jambang lantas menepuk dahi. Terus mengangkat kepala. Fikirannya kian kusut. Dia hairan. Tahir begitu cepat sekali berubah. Macam orang yang kena pukau. Dahulu tangannya amat ringan untuk merompak dan membunuh.

“Tahir, Tahir kau memang tak sedar. Agaknya dah kena sampuk!” katanya sambil ketawa berdekah-dekah. Bunyinya seperti motosikal yang tersumbat. Sekali lagi kedua-dua belah matanya tertutup rapat. Manakala kedua-dua belah bahunya turut terangkat.

Tahir naik bengang melihat gelagatnya itu. Dengan wajahnya yang penuh seius dia pantas bersuara:

“Din, ini bukan lawak jenaka!”

“Lawak jenaka?” Ketawa Din Jambang semakin menjadi-jadi. Ternyata dia gagal mengawal hilai tawa. Tahir menahan perasaan geram. Sambil menggenggam erat penumbuk. Rasanya ingin sahaja dilepaskannya padu ke muka Din Jambang. Hingga jatuh tersungkur. Agar dia tahu sama ada langit itu tinggi atau rendah. Namun dia tetap bersabar. Kerana dia mempunyai prinsip yang tersendiri. Bertindak bukan mengikut perasaan. Tetapi adalah pemikiran.

Ketawa Din Jambang perlahan-lahan reda.

Dia kembali semula menyimpulkan persoalan itu.

“Kita mana ada kelulusan?”

“Benar!” Tahir menganggukkan kepala.

“Tapi kita masih boleh menyumbangkan sesuatu yang berguna pada agama, bangsa dan negara.” Dia menyuarakan pendapat.

“Melalui cara apa?” Din Jambang mendabik dada. Sombong dan bongkak.

“Membanteras jenayah.”

Suhu darah Din Jambang kian mendidih.

“Sudah! Kau jangan nak berangan-angan menjadi manusia yang baik!” Dia tetap membantah. Berdegil dan keras kepala.

“Kenapa kau kata begitu?” Tahir gagal mengawal perasaan marah.

“Kerana kau seorang penjenayah!” celah Din Jambang yang jelas enggan melepaskan Tahir keluar daripada tempat itu. Dia khuatir rahsianya akan bocor pada pihak polis. Namun Tahir tetap bertekad di dalam hati. Akan menghapuskan kegiatan kumpulan Helang Hitam.

“Aku sudah bosan menjadi buruan polis!”

Tahir melepaskan rasa geramnya. Dengan melepaskan satu hentakan yang kuat ke atas meja. Din Jambang lalu bersuara bila melihat kelakuannya itu:

“Jadi?”

“Tuhan boleh mengubah seseorang manusia itu daripada jahat menjadi baik. Dengan syarat manusia itu sendiri yang mengubahnya!” Din Jambang sebaliknya menentang habis-habisan. Seperti bala tentera yang sedang berjuang di medan peperangan hingga ke titisan darah yang penghabisan.

“Tahir, lebih baik kau lupakan saja niat kau tu. Mari kita tumpukan pada misi Kedai Emas di Jalan Tunggal malam ini!”

“Aku tak mahu!”

“Kau betul-betul nekad hendak meninggalkan kumpulan ini.” Din Jambang terus menagih kepastian.

“Aku bukan bergurau, Din.”

Mata Din Jambang tunak. Tapi penuh dengan muslihat. Dia lantas menyeluk tangan ke dalam poket bajunya. Dengan serta-merta mengeluarkan pistol revolver .32. Tahir sudah masak dengan taktik itu. Dia tidak alpa.

“Sebelum terlambat kau harus dihapuskan!”

Dengan secepat kilat Tahir menendang meja di hadapannya. Din Jambang jatuh terpelanting hingga ke belakang. Seperti nangka busuk bunyinya. Sedas tembakan kedengaran memecahkan ruang tamu rumah usang itu.

Tahir bingkas bangun.

Dia bersedia menerima tindakan yang selanjutnya. Din Jambang memandang Tahir dengan penuh rasa geram. Seperti seekor harimau lapar yang mahu menerkam mangsanya.

Kedua-dua biji matanya terjojol keluar. Sambil mengertap rapat giginya.

“Bangsat!” dia bertempik sekuat hati. Api kemarahannya kian meluap-luap. Dia pantas bangun untuk memberikan cabaran.

Anggota-anggota lain muncul. Apabila mendengar bunyi tembakan itu. Mereka tercegat berdiri. Menyaksikan pertarungan antara dua jaguh untuk menentukan sama ada hidup ataupun mati.

Din Jambang lalu memalingkan muka ke arah mereka.

“Pergi!” tengkingnya lagi sambil mengangkat tangan tinggi menghalau mereka semua supaya pergi dari situ.

“Biar aku sahaja yang menamatkan riwayat si bangsat ni!” ucapnya sambil menudingkan jari tepat ke arah Tahir. Mereka semua akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Din Jambang. Dengan pantas beredar jauh dari situ.

Belumpun sempat mereka berdua beradu kekuatan, kedengaran bunyi siren polis. Din Jambang menjadi kaget. Dia merasa hairan bagaimana pihak polis boleh menghidu persembunyian kumpulan Helang Hitam. Sedangkan ia adalah sebuah kawasan yang jauh terpencil daripada kawasan bandar. Amat sulit daripada pengetahuan mereka.

Anggota-anggota kumpulan Helang Hitam bertempiaran lari seperti dilanggar garuda. Untuk menyelamatkan diri.

Din Jambang memandang sahaja gelagat mereka. Sementara itu hati kecil Tahir merasa lega sekali. Rancangannya telah pun berjaya. Din Jambang memandang tepat wajahnya. Tahir tak putus-putus memujuk.

“Din, marilah kita menyerah diri.” Dia mengeluarkan nada suara yang lembut.

Tetapi sebaliknya Din Jambang membuntangkan kedua-dua biji matanya sebagai tanda geram. Kemarahannya sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Pembelot!” dia bersuara lantang. Serentak dengan itu melepaskan sedas tembakan ke arah Tahir. Sebaliknya mengenai dinding.

33

DIA RELA MENGUNDURKAN DIRI

Pagi masih muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-benderang. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Sang camar putih berkicau riang. Bebas berterbangan ke sana sini. Bayu laut bertiup lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Daun-daun hijau dan kering berguguran.

Ombak tak putus-putus memukul pantai. Buih-buih memutih. Membasuh pasir dan batu-batu kecil.

Sudah seminggu Azmi berada di sini. Port Dickson. Sebuah kawasan peranginan yang terkenal di Malaysia. Dia sebenarnya mencari ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.

Azmi memandang laut yang membiru. Hidup manusia di atas muka bumi ciptaan Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih berganti. Penuh suka dan duka.

“Aku terang-terang tidak setuju dengan cara kau tu,” kata Azmi kepada Karim, rakan kongsinya dalam Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd.

“Kenapa?” soal Karim yang berwajah bulat macam bujur sirih.

“Kau menggunakan cara yang salah.”

“Maksud kau?” Dia pura-pura tidak mengerti sambil membetulkan tali lehernya yang berwarna hitam. Dia kelihatan enak bersandar di atas kerusi pusing. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik besar dan berbentuk empat segi itu.

“Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang!” tentang Azmi habis-habisan. Dia memandang serius wajah Karim. Yang dua tahun lebih muda darinya. Karim sebaliknya tertawa. Menyirap darah Azmi. Apabila melihat gelagat Karim itu. Yang mempersendakan nasihatnya.

Karim membuka kotak rokok dan menghulurkannya kepada Azmi.

“Terima kasih!” dia menolak.

Karim terkejut.

“Dah berhenti merokok?”

“Ya,” jawab Azmi ringkas. Karim menjepit rokok di bibir dan menyucuhkan api. Dia menyedut dan menghembuskan keluar asap perlahan-lahan. Putih berkepul-kepul. Menari-nari. Itulah yang diperhatikan oleh Azmi.

Karim mengangkat kepala tinggi sedikit memandang Azmi. Dan berkata:

“Agama dan undang-undang lain. Kau masih belum faham lagi tentang konsep bisnes.” Dia membuang habuk rokok ke dalam bekas kaca yang berbentuk bulat macam bola.

“Aku faham!” Azmi menganggukkan kepala.

“Bisnes untuk mendapatkan untung,” sambungnya lagi.

“Dah tu. Apa kaitannya agama dan undang-undang dengan bisnes?” sanggah Karim.

“Rasuah adalah perbuatan kotor.” Azmi mengingatkan rakan kongsinya itu.

“Azmi, Azmi!” Karim menggeleng-gelengkan kepala. Dia kemudiannya menyucuhkan puntung rokok ke dalam bekas yang bulat itu.

“Kau hairan?” Dia dapat membaca reaksi Karim.

Kedua-dua biji mata Karim tepat memandang wajah Azmi. Yang berkulit cerah. Berambut lurus serta bermisai tebal. Badannya agak kurus sedikit.

“Kau masih mentah lagi,” ucap Karim.

“Mentah?”

Karim mengangguk sambil membetulkan duduknya.

“Ya! Macam budak hingusan.”

Sekali lagi darah Azmi menyirap. Namun begitu dia tetap bersabar. Walaupun hati kecilnya merasa sakit apabila Karim mengecapnya sebagai budak hingusan.

Tok! Tok! Tok!

Perbualan mereka terhenti seketika. Apabila kedengaran bunyi pintu diketuk orang.

“Masuk!” kata Karim sambil meninggikan kepala. Sarina, setiausaha syarikat muncul bersama fail.

“Ini dia fail-fail yang Encik Karim minta.” Dia menyerahkannya kepada Karim.

Karim lalu mengambil pen dan menandatangani kesemua fail tersebut. Kemudian dia menyerahkannya semula kepada Sarina.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu, Encik Karim?” tanya Sarina lagi. Orangnya manis dan cantik. Usianya awal 20-an.

“Tak ada!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Encik Azmi?” Dia kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah Azmi.

“Baiklah. Saya pergi dulu,” ujarnya sambil mengukir senyuman manis. Karim mengangguk. Dia menguak daun pintu dan menutupnya kembali perlahan-lahan.

“Maafkan aku, Azmi. Aku harap kau tak kecil hati. Aku lakukan semua ini untuk kesenangan kita bersama jugak,” Karim bersuara setelah bayangan Sarina hilang daripada pandangan mata.

“Itu aku tidak tahu, Karim. Tapi ....” Dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata. Karim lebih pantas memotong.

“Projek tu bernilai RM 1.8 juta. Kalau terlepas rugi besar kita.”

Demikianlah sikap Karim. Tegas orangnya. Setiap keputusan yang diambilnya tidak boleh diubah. Kalau hitam katanya maka hitamlah. Kalau putih katanya maka putihlah. Tetapi ketegasannya tidak bertempat. Azmi diam. Dia serba salah. Keuntungan yang bakal diperolehi oleh Syarikat Setia Corporation Sdn Bhd akan menambahkan lagi rezeki kepada keluarganya. Tetapi dengan cara memberi rasuah semata-mata untuk mendapatkan projek itu adalah tidak berkat. Dia mahu mencari rezeki dengan cara yang halal. Cara yang diredai oleh Allah SWT. Agar selamat isteri dan anak-anaknya.

Azmi kembali menyorot muka Karim. Dia memakai baju berlengan panjang yang berwarna daun hijau muda.

“Tak adakah cara lain untuk kita mendapatkan projek tu?” Azmi bersuara lembut. Dia cuba menggunakan psikologi untuk memujuk rakan kongsinya itu. Karim sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala. Pendiriannya tetap. Tidak boleh diubah lagi. Dia tidak menghiraukan nasihat Azmi.

“Tak ada, Azmi. Itu saja jalan yang terbaik buat kita,” ujar Karim pula.

Dia mengeluh dengan tindakan Karim itu.

“Aku tetap tak setuju, Karim!”

“Come on man. Dunia kita bisnes. Kita perlukan duit. Mereka sanggup tolong kita. Asalkan kita memberikan mereka habuan yang lumayan,” terang Karim dengan penuh panjang lebar.

Sekali lagi Azmi diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Tidak dapat berkata-kata. Dia memerhatikan wajah Karim dalam-dalam. Dia berdoa dalam hati kecilnya. Semoga dia dilindungi oleh Allah SWT daripada melakukan kerja yang terkutuk ini.

Karim memancung lamunannya.

“Minggu depan kita perlu sediakan wang berjumlah RM 800,000,” katanya sambil membetulkan duduk.

“RM 800,000?” Azmi terkejut mendengarnya.

“Ya. Banyak itu yang mereka minta.”

“Kerja gila.”

“Kerja gila? Kenapa kau kata begitu?” soal Karim sambil mendongakkan kepala.

“Karim, aku takut nanti yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran. Silap-silap kita tak boleh bayar gaji pekerja.” Dia tidak jemu-jemu menasihatkan Karim.

Karim ketawa apabila mendengar kata-kata Azmi itu. Azmi berwajah serius. Hatinya geram. Terbakar. Panas. Seperti api yang disimbahkan minyak. Dia kecewa dengan sikap Karim. Yang langsung tidak ambil peduli nasihatnya.

“Aku pelik betul dengan kau ni. Bergurau tak kena tempat,” balas Karim pula.

Hati Azmi bertambah sakit. Kemarahannya semakin meluap-luap. Dia tetap bersabar. Sabar itu separuh daripada iman.

“Aku tak suka bergurau, Karim.” Nada suara Azmi serius.

“Okey, aku minta maaf. Aku tahu. Kau tak suka bergurau. Setiap kerja yang dilakukan perlu bersungguh-sungguh. Itu prinsip hidup kau.”

“Dah tu.” Wajah Azmi semakin serius.

“Itu perkara kecil. Mudah. Mereka perlu berkorban.”

“Berkorban?”

“Ya. Kita tahan gaji mereka,” kata Karim.

“Melampau. Kita tidak boleh menzalimi mereka. Berdosa.” Azmi bertambah geram. Tindakan rakan kongsinya itu tidak berperikemanusiaan.

“Itu aku tahu,” balas Karim sambil menjepit rokok di bibirnya. Dia mengambil pemetik api dan menyucuhkannya pada rokok. Dia menghembuskan asap keluar perlahan-lahan.

“Kita bayar gaji mereka lewat,” ujarnya lagi.

“Mereka semua kan ada keluarga. Kita sebagai majikan patut bertimbang rasa,” kata Azmi lagi.

“Maksud kau, kita mesti tunduk pada mereka?”

“Mereka juga mempunyai hak sebagai pekerja. Kalau mogok siapa yang akan rugi? Kita juga.” Dia membidas sekeras-kerasnya tindakan yang diambil oleh Karim.

Karim endah tak endah sahaja dengan kata-kata rakan kongsinya itu. Dia menyedut rokok dan menghembuskan asap keluar.

“Sebagai majikan kita mempunyai kuasa untuk bertindak. Kita singkirkan saja mereka.” Karim mengambil jalan mudah.

“Kau ingat senang?”

“Apa pulak susah? Ramai lagi yang mahu bekerja dengan kita. Syarikat kita maju dan berkembang.”

“Entahlah ....” Azmi merengus. Karim menyucuhkan api rokok pada bekas kaca itu.

“Kau tentu sudah masak dengan prinsip hidup aku. Berpendirian tetap. Bukan seperti lalang yang ditiup angin. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Apa yang aku kata mesti dikota. Jadi, tak usahlah kau cuba nak ubah prinsip hidup aku.”

Azmi mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku faham! Aku bangga mempunyai seorang kawan seperti kau. Berpendirian tegas. Tapi apa yang aku cakapkan ni demi untuk masa depan syarikat kita juga.”

Karim diam. Nasihat Azmi baginya umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Dia malas lagi hendak bertekak dengan Karim. Dia pura-pura melihat jam di tangan. Kemudian dia bingkas bangun.

“Kau nak ke mana?” tanya Karim sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang wajah Azmi.

“Aku ada urusan. Aku harap kau fikirlah masak-masak nasihat aku tadi,” ulangnya lagi.

“Azmi, dalam dunia bisnes kita tidak boleh mudah mengalah. Kita punya banyak persaingan. Kita mesti berani membuat keputusan. Kalau tidak kita akan ketinggalan.”

“Tapi keberanian kau tak bertempat.” Dia terus menyanggah kata-kata Karim.

Lamunan Azmi yang jauh melayang itu terhenti. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip melihat laut yang membiru. Melihat ombak terus memukul pantai. Melihat buih-buih memutih. Bayu laut menyapu seluruh badannya. Dia berteduh di bawah pohon cemara yang rendang. Dingin rasanya. Jalur-jalur cahaya matahari terpantul di atas permukaan daun-daun hijau. Bayu laut yang bertiup kencang menerbangkan daun-daun hijau dan kering yang gugur. Berterbangan entah ke mana. Mengikut tari bayu laut.

Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. bukannya sebuah syarikat yang kecil. Mereka juga mempunyai sebuah kilang kelapa sawit di Kampung Serting Hilir.

Pada satu pagi dia datang menemui Karim sambil membawa sebuah akhbar harian berbahasa Melayu.

“Lebih baik kita hentikan saja operasi kilang kelapa sawit di Kampung Serting Hilir tu.”

“Hentikan? Kenapa?” Karim menyoal dengan penuh hairan.

“Kau tak baca surat khabar ke?”

“Kenapa pulak?” soal Karim lagi umpama muntahan peluru daripada muncung senapang.

“Kau tengok ni,” kata Azmi sambil menghulurkan akhbar berkenaan kepada Karim.

Dia pantas menyambutnya. Muka depan akhbar itu memaparkan tentang berita pencemaran air sungai di Kampung Serting Hilir. Akibat pembuangan sisa-sisa bahan kilang kelapa sawit mereka. Berita itu sedikit pun tidak menarik perhatian Karim. Dia menyerahkan semula akhbar itu kepada Azmi.

“Kilang kelapa sawit ni dah banyak memberi keuntungan kepada kita. Senang-senang kau suruh tutup.”

“Sisa-sisa bahan buangannya mencemarkan alam sekitar. Orang-orang di Kampung Serting Hilir tidak dapat menggunakan air sungai untuk minum, memasak dan mencuci,” jelas Azmi pula.

“Itu bukan masalah kita,” jawab Karim senang.

Dia cukup berang apabila mendengar kata-kata Karim itu.

“Bukan masalah kita kau kata? Silap-silap kita boleh dikenakan tindakan undang-undang.”

“Kita kan banyak wang. Masalah itu boleh diatasi,” Karim membalas sambil memandang Azmi yang berdiri tegak.

“Ya, itu aku tahu. Dengan wang kita boleh membeli segala-galanya. Tapi kita tidak boleh menodai pemberian Tuhan di atas muka bumi ini.”

“Aku mahu syarikat ini maju ke depan. Bukannya ke belakang. Walau apa pun yang terjadi kilang itu tidak akan ditutup,” bentes Karim lagi.

Azmi berwajah hampa. Seperti bala tentera yang tewas di medan perang. Karim memang degil orangnya. Jenis tak makan pujuk. Jenis tak makan nasihat.

Kalau diturutkan hati mahu sahaja dia berhenti dari Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. Tetapi dia tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru. Dia sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Dahulu isterinya bekerja. Tetapi sekarang sudah berhenti. Dia mahu isterinya menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Mengasuh anak-anaknya menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Dia juga tidak terlepas daripada tanggungjawab itu. Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dia tetap meluangkan masa memberikan belaian kasih sayang kepada isteri dan nak-anaknya. Pada hari minggu dia akan membawa keluarganya bersiar-siar. Dia mahukan keluarganya bahagia harmoni. Baginya itulah harta yang paling bernilai.

Dia melihat jam di tangan.

Tepat menunjukkan pukul 10:00 pagi. Bola matahari semakin meninggi di kaki langit. Laut biru tenang. Ombak masih lagi terus memukul pantai. Mengapung buih-buih memutih. Cantik. Membasuh pasir dan batu-batu kecil. Bayu laut bertiup segar. Enak. Pohon-pohon cemara mengalunkan irama gemersik. Apabila daun-daunnya bergeseran antara satu sama lain.

Riuh-rendah kedengaran suara orang mandi di pantai. Hari Ahad. Hari untuk berhibur bersama keluarga. Setelah seminggu suntuk penat bekerja.

Azmi juga merupakan pemegang saham yang kedua terbesar dalam Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. Pemegang saham yang terbesar ialah Karim. Yang merupakan pengasas Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. Dia adalah raja. Segala keputusan yang dibuatnya tidak boleh dibantah. Semua tindakannya betul biarpun salah di mata pekerja-pekerja yang lain. Azmi dan pekerja-pekerja yang lain tidak mempunyai hak untuk bersuara. Dia mengamalkan konsep mentimun dengan durian.

Seperkara lagi Karim suka mencari kelemahan orang lain.

“Kenapa kau tak naikkan gaji, Nasir? Kan dia sudah hampir tujuh tahun bekerja dengan syarikat ni,” kata Azmi pada Karim pada suatu petang.

“Dia tak pandai kerja. Lembap.”

“Tapi aku tengok dia rajin orangnya.” Dia membela Nasir.

“Orang yang pandai bekerja saja akan dinaikkan gaji. Itu prinsip aku.”

“Kau tak kasihan kepada dia?” tanya Azmi lagi.

“Nak kasihan apa?” dia sebaliknya menyoal kembali Azmi.

“Keluarga dia besar. Isteri tak bekerja. Anak pulak lima orang.” Cara Azmi bercakap tak ubah macam seorang peguambela di mahkamah. Yang berusaha untuk melepaskan yang tertuduh daripada sebarang hukuman.

“Kalau aku fikirkan itu semua syarikat ini akan rugi.” Karim mematahkan hujah-hujah Azmi.

Azmi melemparkan pandangan yang tajam pada wajah rakan kongsinya itu. Dan bersuara:

“Jadi, kau tak luluskan surat sokongan aku untuk menaikkan gaji Nasir.”

“Tidak!” jawab Karim sambil menggeleng. Kau zalim, Karim! Tak berhati perut. Tak berperikemanusiaan. Kau perah tenaga orang lain sehingga kering semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Manusia jenis apa kau ni, hah? Protes Azmi dalam hati kecilnya.

Selang beberapa bulan Nasir pun berhenti kerja.

“Saya terpaksa tinggalkan syarikat ini, Encik Azmi. Gaji yang ditawarkan oleh Syarikat Mutiara Construction Sdn. Bhd. lebih lumayan daripada syarikat ini,” jelasnya pada hari terakhir dia bekerja di Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd.

Azmi menarik nafas panjang. Dan mengangguk.

“Saya faham, Nasir! Tapi kehilangan awak merupakan satu kehilangan yang besar kepada syarikat ini. Saya tahu. Awak kecewa kerana surat sokongan saya untuk menaikkan gaji awak tidak diluluskan oleh Encik Karim. Bukan?” Kedua-dua biji mata Azmi tunak memandang Nasir yang berambut kerinting serta berkulit hitam manis.

“Saya tak kisa itu semua. Islam menyeru umatnya supaya menganggap setiap kerja yang dilakkan di atas muka bumi ini sebagai satu ibadah. Saya sayangkan syarikat ini. Saya seronok bekerja di sini. Tapi saya perlu juga fikirkan masa depan keluarga saya, Encik Azmi,” ujarnya dengan penuh panjang lebar.

34

TEGUH

Sayup-sayup kedengaran bunyi burung punai. Pak Hamid terhenti seketika. Dia mendongakkan kepala ke atas memandang bola matahari yang kian meninggi di kaki langit. Bahangnya terasa pedih bila menggigit permukaan kulitnya yang hitam manis itu. Kemudian dia toleh ke kanan dan kiri sambil menarik nafas panjang.

Cuma tinggal satu relung lagi yang perlu ditajak. Dia mengatur langkah lima tapak ke arah taliair untuk membasuh lumpur yang melekat di kakinya. Kemudian perlahan-lahan dia menuju ke arah pondok usang yang terletak tidak jauh dari situ. Tajak pantas disandarkannya pada tiang pondok itu. Pak Hamid lalu melabuhkan punggung di atas pangkin kayu sambil mengesat peluh yang mengalir dengan kain putih yang melilit kepalanya.

Angin bertiup perlahan terasa segar menyapu tubuhnya apabila dia membuka baju. Mengibas-ngibas ke kanan dan kiri untuk mendapatkan hawa dingin.

Kopi yang telah sejuk itu lantas diteguknya untuk menghilangkan dahaga. Ubi rebus yang sejuk juga melepasi kerongkongnya. Bekalan daripada isterinya yang setia iaitu Mak Limah sebagai buat perut.

Kemudian dia menyucuhkan api pada rokok daun.

Dihembusnya asap yang memutih berkepul-kepul memenuhi ruang udara.

Kedua-dua biji matanya yang tua itu sayu memandang sawah padi yang terbentang luas. Dia teringat semula. Buah padi yang menguning melambai-lambai bila ditiup angin. Alangkah damainya.

Jiwanya dibalut pilu. Bila wajah Seman terdampar di ruang matanya. Lintah darat yang menghisap darah orang-orang Kampung Batu Lebar.

“Pak Hamid dah tua.”

“Jadi?”

“Jualkan saja tanah tu!” desaknya.

“Jual?” Pak Hamid terperanjat.

“Ya!” angguk Seman.

Mata Pak Hamid tunak memandang Seman. Manusia yang tidak berhati perut.

Seman mengangkat muka.

“Pak Hamid cakap berapa harganya? Kami boleh bayar!” ujarnya dengan penuh angkuh.

Pohon-pohon nyiur mengeluarkan bunyi yang gemersik bila ditiup angin. Tanah merah berlumpur akibat hujan lebat malam tadi.

Pak Hamid menghela nafas panjang.

Kesayuan terpancar jelas di wajah tuanya itu.

“Mengapa pula?” Dia meminta penjelasan daripada Seman.

“Demi untuk pembangunan.”

Pak Hamid lantas berasa hairan. Dia benar-benar tidak mengerti.

“Pembangunan apa?” soalnya bertubi-tubi kali. Seperti muntahan peluru daripada muncung mesin-gun.

“Sebuah kilang simen akan dibina di sana,” Seman pantas menjawab sambil menudingkan jari telunjuknya tepat ke arah hamparan sawah padi yang menghijau bak permaidani yang terbentang luas.

Sebaliknya Pak Hamid tidak berpuashati dengan kenyataan itu.

“Kenapa pula kampung ini dijadikan sasaran dan bukannya di bandar?” Lagak Pak Hamid tak ubah seperti seorang senator yang membentangkan usul perbahasan di Dewan Negara.

“Sebab kampung ini mempunyai potensi besar untuk maju. Tambahan pula ia dapat membekalkan tenaga buruh yang ramai terutama sekali daripada anak-anak muda,” jelas Seman lagi.

Diam.

Dia memandang tajam tubuh Seman yang gempal itu. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Sementara itu Seman berasa bosan melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Pak Hamid itu sambil berkata:

“Sudahlah! Jangan dikir-fikirkan lagi. Orang-orang kampung yang lain sudah pun setuju menjual tanah sawah mereka. Cuma Pak Hamid seorang aje yang belum memberi kata putus!” Seman ternyata belum berputus asa terus mempengaruhi Pak Hamid agar mengubah pendiriannya.

Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Kemudian bersuara:

“Aku tak setuju, Seman!” dia bersuara sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Serta-merta sahaja wajah Seman diselaputi rasa hampa bila mendengar jawapan itu.

Umpama bala tentera yang kecundang di medan perang.

“Apalagi yang Pak Hamid mahu?” Seman mengeluh.

“Ini tanah pusaka aku,” jawab Pak Hamid mempertahankan haknya. Perdebatan antara mereka berdua makin hebat.

“Jadi, Pak Hamid tak suka pembangunan?”

Geleng.

“Bukan aku tak suka.”

“Habis?” Seman bagaikan tak sabar-sabar lagi pantas memotong.

“Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini memang berhak menikmati kemajuan ….” Dia tak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Hah, faham pun!” balas Seman megah.

Pak Hamid enggan mengalah.

“Tapi ….”

“Tapi apa?” Seman meninggikan suara. Pak Hamid merenung wajahnya dengan penuh dalam seperti lautan biru nan luas.

“Tempatnya tak sesuai.” Pak Hamid memberi penerangan.

Reaksi Seman pula umpama orang yang tak berdaya lagi untuk meneruskan hidup bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Pak Hamid.

“Tak sesuai macam mana lagi, Pak Hamid?”

“Seman, kau tahu bukan bahawa sisa-sisa bahan buangan kilang itu akan mencemarkan seluruh kampung ini termasuk sekali air sungai. Asapnya pula mendatangkan penyakit kepada orang kampung,” ujar Pak Hamid pantas membantah projek tersebut.

“Pak Hamid jangan menolak tuah!” Seman mengutarakan alasan yang kukuh. Agar dapat melembutkan hati Pak Hamid yang keras seperti seketul batu pejal.

“Tidak, Seman!” Pak Hamid menggelengkan kepala.

Dia tetap berdegil. Walau apa pun yang bakal terjadi dia tetap tidak akan menjualkan tanah sawahnya yang luas cuma sekangkang kera itu.

“Seman, sampai mati pun aku tak akan jual,” ikrarnya lagi dengan berkobar-kobar. Seman memandang tepat wajah orang tua yang bersemangat besi waja itu.

“Baiklah!” Seman bersuara sambil mengangguk.

“Tapi saya yakin suatu hari nanti saya akan dapat jugak membeli tanah itu.”

Pak Hamid hanya diam. Membisu seribu bahasa. Tanpa berkata walau sepatah pun.

Seman bergegas pergi dari halaman rumah Pak Hamid menuju ke arah kereta Mercedes Benz yang berwarna hitam pekat. Tangannya begitu pantas membuka pintu. Dan menghempaskannya semula dengan kuat. Seolah-olah melepaskan kemarahan yang memuncak kepada Pak Hamid.

Secepat kilat dia menghidupkan enjin mengaum bunyinya seperti seekor harimau yang lapar mahu menerkam mangsanya. Pak Hamid memandang sahaja gelagat yang sengaja dipamerkan oleh Seman itu.

Kereta mewah itu bergerak perlahan-lahan kerana lumpur meliputi tayar. Perjalanannya juga tersekat-sekat akibat lubang yang terdapat di permukaan jalan tanah merah. Lama-kelamaan bayangan kereta Seman beransur-ansur hilang daripada pandangan Pak Hamid.

Tanpa membuang masa lagi, dia mengatur langkah ke arah anak tangga. Sambil menanggalkan sepatu yang sudah nampak benar usang dan meletakkannya di tepi anak tangga. Kemudian dia membuka tudung tempayan dan menceduk air dengan tempurung lalu membasuh kedua-dua belah kaki. Selesai sahaja membasuh kedua-dua belah kaki, dia lalu menapak mata tangga secara perlahan-lahan satu persatu.

“Apahalnya Si Seman itu datang kemari?” sergah Mak Limah yang muncul tiba-tiba dari dapur. Sebaik-baik sahaja Pak Hamid mencecahkan kaki di anjung rumah.

Dia tidak menjawab pertanyaan itu.

Pak Hamid memilih untuk berdiam diri. Sambil merenung tajam wajah isterinya yang juga jelas dimamah usia. Kemudian Pak Hamid melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang yang telah lapuk.

Tubuhnya yang kurus itu disandarkannya pada tiang seri. Mak Limah hanya memandang sahaja kelakuan suaminya.

Bola matahari kian meninggi. Panasnya hingga boleh mencairkan otak.

Ruang anjung rumah ditutupi dengan setengah dinding papan. Ini menjadikan angin mudah menerpa masuk. Terasa segar bila menyapu permukaan kulit Pak Hamid dan Mak Limah yang dimakan kedut.

“Entahlah,” Pak Hamid mengeluh.

“Kenapa pulak, bang?”

Mak Limah semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi dan perlahan-lahan menghampiri suaminya.

“Tak lama lagi projek kilang simen akan bermula di kampung kita.”

“Jadi?” tanya Mak Limah tak putus-putus.

Pak Hamid mencuri pandang ke luar melalui jendela kayu yang terbuka luas. Banjaran gunung yang memanjang tambah subur menghijau. Pokok rambutan, langsat, sukun, cempedak dan lain-lain lagi meliuk-liuk ke kanan dan kiri bila ditiup angin. Ini semua adalah anugerah Tuhan. Dia memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga di hati kecilnya.

Dia hampir terlupa menyoroti semula persoalan yang terhenti buat seketika.

Pak Hamid bersuara serentak mengangkat muka:

“Tanah sawah kita juga terlibat sama.”

“Jadi?” Mak Limah mengulangi soalan yang sama.

“Dia mendesak abang agar menjualkannya.”

“Jadi abang setuju?” Mak Limah meninggikan kepala sedikit.

Geleng.

“Tidak sama sekali!” Dia berwajah tegas.

Dia tetap mempertahankan haknya yang sejati hingga ke titisan darah yang penghabisan.

“Saya bimbang, bang!” Mak Limah bersuara cemas. Seperti dibayangi rasa ketakutan. Namun Pak Hamid tidak menampakkan perasaan yang resah gelisah sebaliknya bersikap tenang.

................
................

In order to avoid copyright disputes, this page is only a partial summary.

Google Online Preview   Download