Asmaewan2014.files.wordpress.com



KECELARUAN SISTEM PENTAKSIRAN MENENGAH RENDAH : 2012 – 2014

Disediakan Oleh :

NOR ASMAH BINTI ITHNIN

HB 130035

MBT, UTHM, MALAYSIA

PENGENALAN

Sejak tahun 2011, berita berkaitan pemansuhan PMR kerap kali dilontarkan di media massa oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu. Hal ini menimbulkan tanda tanya dan masyarakat Malaysia khususnya golongan terdidik menantikan bentuk penilaian yang akan menggantikan PMR.

Trivia Penilaian Menengah Rendah

• 1957 – Peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE)

• 1960 – Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP)

• 1985 – SRP menggantikan LCE sepenuhnya

• 1993 – Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menggantikan SRP

Justeru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014. Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?

PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka :

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan.

- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid.

- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid.

- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:

• Pementoran

• Penyelarasan

• Pemantauan

• Pengesanan

Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan. Pemantauan PBS ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan. Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan. Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?

Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).

Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka :

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan.

- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid.

- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid.

- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

HAKIKAT SEBENAR DALAM MENDEPANI PBS

Hakikatnya, boleh dikatakan ramai yang tidak setuju dengan cara pelaksanaan PBS. Nampak cantik dan indah sekali dasar penilaian yang digubal oleh Kementerian Pelajaran ini, alangkah molek jika dasar ini dikuatkan dengan system capaian internet yang pantas, malah kaedah penyimpanan data yang konsisten.

Golongan pendidik mahukan Kementerian Pendidikan malaysia (KPM) bertindak segera menyelesaikan masalah server secepat mungkin. Hal ini terbukti dengan adanya kumpulan guru bertindak melakukan demonstrasi di depan bangunan KPM, Putrajaya dan mahu menyerahkannya memorandum & mengajukan masalah ini kepada Perdana Menteri malahan Yang Dipertuan Agong. Hasilnya?

Hasilnya, Presiden Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM). Mohd Nor Izzat Mohd Johari  diarah bertukar sekolah. Bukan semua guru bersetuju dengan cara perhimpunan ataupun demonstrasi bagi menyelesaikan isu SPPBS ini. Ada yang memilih untuk menyuarakan pendapat, luahan hati dan kritikan yang membina terhadap isu SPPBS melalui nukilan ikhlas mereka sepanjang menjadi bahan eksperimen Kementerian Pendidikan Malaysia.

PBS ke PBSMR

Sehingga tahun 2012, masih tiada sebarang maklumat berkenaan PBS, sehinggalah pertengahan Mac hingga April 2012, wakil guru tingkatan 1 bagi setiap subjek bagi setiap sekolah dipanggil untuk Kursus Penyebaran Maklumat PBS Tingkatan 1. Kursus selama 4 hari. Pulang daripada kursus setiap guru diwajibkan untuk memberi taklimat kepada rakan-rakan guru subjek yang lain. Secara kesimpulannya, pada akhir bulan April barulah guru-guru mendapat maklumat tentang PBS.

Antara maklumat yang diberitahu :

1. Tiada peperiksaan untuk pelajar. 100% PBS

2. PBS dibahagikan kepada dua

- PS = Pentaksiran Sekolah

- PP = Pentaksiran Pusat

Pentaksiran Sekolah akan dilaksanakan sepenuhnya oleh guru mata pelajaran mengikut Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Dokumen Standard Prestasi (DSP) :

• Mengandungi Band (1-6)

• Band 1 paling lemah dan Band 6 paling hebat

• Setiap band ini dibahagikan pula mengikut Deskriptor dan Evidens yang tersindiri.

Pentaksiran pusat ialah tugasan yang akan diberikan kepada pelajar oleh pihak Lembaga Peperiksaan. Pelajar akan diberi tempoh tertentu untuk menyiapkan tugasan tersebut. Konsep PBS yang sebenar adalah sepenuhnya kebolehan pelajar mencapai tahap yang dikehendaki. Oleh itu, mereka tidak boleh dibantu oleh sesiapa terutama rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menyiapkan apa-apa pun projek yang diminta oleh guru.

Oleh itu, setiap soalan yang diuji tidak boleh diberikan kepada pelajar untuk dijadikan kerja rumah, semuanya harus disiapkan di dalam kelas. Hal ini berkait rapat dengan waktu mengajar bagi satu-satu masa dalam 35 minit- 40 minit. Tiada ketetapan masa yang jelas dalam melaksanakan sesuatu ujian PBS.

Bagi sekolah-sekolah MRSM dan SBP, mereka mungkin tidak mengalami masalah. Hal ini berbeza dengan situasi sekolah yang majoriti pelajarnya berpencapaian sederhana dan lemah. Lebih menyedihkan lagi, dalam tempoh 30 minit untuk menjawab, pun masih ada banyak ruangan kosong tidak terisi dengan jawapan. Malang juga bagi guru-guru yang mendapati ada sesetengah evidens yang dihantar kosong tidak berjawab. Walaupun guru tersebut baru menyentuh topic pelajaran yang diuji. Situasi ini menimbulkan konflik dalam kalangan guru sama ada hendak menghabiskan silibus atau melaksanakan ujian PBS berkali-kali.

Andaikan setiap mata pelajaran mengandungi 3 bab sahaja, tidaklah menjadi masalah. Hakikatnya, setiap subjek paling tidak mengandungi 8 hingga 12 bab. Bagaimanakah silibus mampu dihabiskan?

3. Setiap pelajar wajib mempunyai fail peribadi yang dikenali sebagai Fail Perkembangan Murid (FPM) . Kandungan di dalam fail ini perlu disimpan evidens pelajar. Dala fail tersebut disimpan evidens terbaik bagi setiap mata pelajaran. Oleh sebab semua subjek perlu mengandungi evidens, keadaan dan pengurusan fail agak terganggu.

Pada tahun 2012 sahaja, guru diberitahu bahawa semua subjek perlu meletakkan evidens untuk disimpan di dalam FPM sebagai bukti pelajar tersebut telah mencapai evidens tersebut walaupun soalan pentaksiran lisan. Maksudnya, masih perlukan kertas. Pada tahun 2013, ketetapan untuk pentaksiran lisan berubah. Evidens bagi pentaksiran lisan adalah pelajar itu sendiri. Sebelum ini, jelas berlaku pembaziran kertas. Namun, perkara ini sudah disedari dan relevannya lisan adalah melalui kemahiran berkomunikasi. Oleh itu, penggunaan kertas pasti sedikit sebanyak mengelirukan pelajar.

Apabila berbicara tentang kertas, ingat pokok Papyrus. Walau bagaimanapun, Kementerian tidak membekalkan kertas pada setiap sekolah. Oleh itu, pihak sekolah perlu mencari alternative bagi menampung penggunaan kertas yang banyak sehingga ada sekolah yang mengeluarkan surat kepada ibu bapa memohon sumbangan semata-mata untuk bayaran tambahan PBS. Bayaran PIBG pun ada keluarga yang mengelat, inikan pula bayaran tambahan PBS.

4. Setiap tingkatan perlu diwujudkan satu Fail Showcase. Fungsi fail ini ialah untuk menyimpan evidens terbaik pelajar di dalam satu tingkatan bagi setiap mata pelajaran.

Contoh..

• B1D1E1 = Rahman terbaik

• B1D1E2 = Fatimah terbaik

Terbaik itu subjektif, boleh jadi kelas kedua ada calon terbaik Bahasa Melayu, yang terbaik tidak semestinya berada pada kedudukan kelas pertama.

5. Walaupun PBS tingkatan 1 sudah berlangsung, perancangan bagi PBS untuk tahun berikutnya masih belum dapat dijawab oleh pihak bertanggungjawab dengan jelas. Rasionalnya, mereka sepatutnya sudah sedia maklum dan berani menjawab apa-apa bentuk soalan yang diajukan oleh pihak media massa selaku wakil ibu bapa mahupun guru-guru.

Kebenaran yang tidak dapat disangkal adalah setiap guru yang dihantar sebagai Juru latih Utama (JU) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia bermula Mac 2012. Selesai berkursus dan berbengkel, mereka diamanahkan member taklimat dan pencerahan kepada semua guru mata pelajaran yang mengajar aliran Menengah Rendah. Beberapa perkara yang nampak sudah terang lagi bersuluh, semua guru diarahkan untuk mengemas kini markah bermula Januari 2012, bukannya April 2014. Malah, ada dalam kalangan guru yang terpaksa mengajar semula topik bab 1 semata-mata untuk melaksanakan PBS. Dalam masa yang sama guru-guru juga perlu menghabiskan silibus mata pelajaran. Jelaslah disini bahawa PBS merupakan system yang tidak sistematik.

Demi tugas dan arahan yang dikeluarkan jabatan mahupun kementerian, semua guru bertungkus-lumus melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan cuba sehabis daya untuk memastikan pelajar mendapat band yang terbaik.

Kami diberitahu berkenaan pencapaian Band semasa di tingkatan 1 akan dicampur dengan pencapaian Band untuk tingkatan 2 dan tingkatan 3. Lembaga Peperiksaan akan menggabungkan keseluruhan pencapaian Band dan mengeluarkan keputusan akhir mengikur rumus mereka. Jadi, setiap pencapaian pelajar mesti disimpan dalam aplikasi SPPBS secara atas talian.

Kaedah merekod data dan evidens menggunakan dua borang yang Nampak tiada beza antara satu sama lain. Hal ini bermakna, guru melakukan kerja yang sama berulang kali. Pembaziran masa turut berlaku.

Borang Transit dan Borang Perkembangan Individu mestilah di dalam bentuk hardcopy oleh sebab dalam setiap kotak evidens berkaitan perlu dicatat tarikh pelajar tersebut mencapai atau menguasai evidens tersebut. Logiknya, bilakah guru-guru lapang untuk metanda evidens? bila pula guru perlu tulis tarikh dalam rekod transit?

Pelajar diberikan peluang untuk menjawab secara ulangan 2 atau 3 kali untuk memberi peluang mereka agar dapat menguasai evidens tersebut.

Pada pandangan anda, bilakah masanya guru akan mengajar sepenuhnya?

Secara teori, kebanyakan guru akan mengajar 3-4 kelas untuk sesuatu subjek. Andaikan Bahasa Melayu mempunyai 30 evidens yang perlu dinilai dalam setiap pelajar, jika stu kelas diwakili 30 orang pelajar, Maka 30 X 4 = 120 pelajar. 120 pelajar pula sekurang-kurangnya perlu mencapai Band 4, 120 pelajar X 30 evidens. Jumlahnya, 3600 evidens. Jika guru mengajar 3 subjek berlainan, semestinya membebankan guru tersebut.

Guru / pentaksir PBS tidak dikecualikan dari sebarang jawatan dan aktiviti. Kadang-kadang, guru terlibat dengan kursus jangkaan 2 hingga 4 hari. Jadi, pelaksanaan PBS tertangguh.

Fail Perkembangan Murid dan Fail Showcase

Menurut dasar PBS, setiap evidens pelajar harus dimasukkan ke dalam Fail Perkembangan Pelajar (FPM)

Secara teoritikal yang dibentangkan dalam dasar PBS memang diakui sangat bagus, memang menyeluruh, kalau boleh kita bagi peluang kat pelajar tu biarlah jawab sampai beratus juta kali pun..asalkan sampai dia mampu lepas.

Setiap evidens meminta pelajar menjawab sekurang-kurangnya 3 kali, barulah menunjukkan pelajar benar-benar menguasai. Kebanyakan guru menghadapi tekanan kerana terpaksa melakusanakannya seorang diri.

Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS)

Semua pencapaian pelajar perlu dikey-in dalam laman web SPPBS secara atas talian kerana pada peringkat akhir nanti, sistem ada rumus sendiri untuk mengularkan band pencapaian pelajar berdasarkan pencapaian pelajar yang dikemas kini oleh guru-guru. Malangnya, system yang diguna pakai sangat teruk kerana sentiasa jammed. Ada kalanya, tidak boleh diakses ke laman berikutnya. Hal ini sudah pasti menimbulkan implikasi yang negative.

Kebanyakan guru melaksanakan tugasan merekod evidens pelajar secara manual di samping menanda evidens. Pada waktu prime-time memang sukar untuk menembusi laman SPPBS. Akibatnya, guru mengambil inisiatif untuk berjaga pada waktu tengah malam di kala semua penghuni di Malaysia lena dengan tidurnya.

Malah, guru-guru terpaksa mengenepikan urusan keluarga semata-mata untuk melaksanakan system ini. Masalah capaian ke laman web SPPBS berlarutan sehingga hujung tahun. Ada dalam kalangan guru yang tertekan kerana pada pukul 3.00 pagi pun masih loading.

Pada tahun 2012 juga, tarikh akhir key-in markah sebelum 31 November. Awal November juga cuti sekolah bermula. Jadi, guru-guru menggunakan masa cuti untuk melunaskan apa yang terbengkalai dalam system SPPBS. Namun, ada dalam kalangan guru yang diberi amanah menjadi Pengawas Peperiksaan STPM dan SPM.

PAJSK

Guru kelas diarahkan untuk key-in maklumat Kelab/Persatuan, Sukan/Permainan dan Unit Beruniform bagi setiap pelajar. Malangnya, sistem yang diguna pakai juga sangat tidak efisien. Aplikasi yang lebih kurang sama dengan SPPBS. Di manakah silapnya ? Natijahnya, implikasi negatif dilihat dalam aspek server, interface, tidak mesra pengguna, loading, dan mewujudkan pembaziran masa dalam kalangan pendidik.

Hal ini menjadi parah sehingga ada segelintir pihak menganalogikan PBS dengan maksud Pandai Bodoh Sama. Kebanyakan guru sememangnya kurang yakin dengan PBS kerana tiada standardized dan validity . Hal ini kerana, 100% soalan disediakan oleh guru mata pelajaran masing-masing. Apa yang menimbulkan persoalan, adakah instrument band 5 sekolah harian pencapaian rendah sama dengan instrument band 5 untuk pelajar SBP? Adakah ia mewujudkan keadilan kepada semua pelajar?

SISTEM AKAN MERUMUSKAN BAND PELAJAR

Hakikatnya, canggih pada nama, tetapi tidak pada sistem.

Contoh pelajar 1 :

Dia menguasai semua evidens band 3 dan beberapa band 4 : keputusannya, band 3.

Contoh pelajar 2 :

Dia menguasai semua evidens band 3, kebanyakan bank 4 (2 evidens tidak menguasai) dan beberapa evidens band 5 : keputusannya, band 3.

Analogi Pandai Bodoh Sama boleh diguna pakai untuk memberi gambaran berkenaan situasi ini. Evidens-evidens band 4 dan band 5 yang pelajar mampu laksanakan ibarat tidak memberi makna buat pencapaian mereka.

Sebagai seorang guru, masih tidak jelas bagaimana mengukur prestasi pelajar. Apatah lagi golongan ibu bapa. Mereka langsung tidak boleh melihat perkembangan anak-anak mereka. Kononnya ibu bapa boleh melihat pencapaian anak-anaknya menerusi system ala-ala SPPBS, tetapi tidak.

Pentaksiran Pusat juga tiada bayangan. Guru-guru melangut . begitu juga dengan pelajar. Kesannya, keseronokan belajar hilang. Setiap hari menjawab soalan PBS. Pelajar juga menghadapi tekanan. Mereka terpaksa sentiasa bersedia dalam semua subjek pada setiap hari.

Kisah PBS Tahun 2013

Pada tahun 2013, PBS dilaksanakan oleh guru-guru yang mengajar tingkatan 2 pula, mereka masih teragak-agak kerana masih belum biasa dengan pengenalan system yang baru ini. Silibus dapat dilaksanakan seawal bulan Januari. Cuma, masalah yang melibatkan SPPBS berlanjutan.

Aplikasi SPPBS semakin menunjukkan kelemahannya. Tahun 2012, data PBS hanya untuk tingkatan 1 sahaja. Kini, data PBS tingkatan 2 pula. Akibat yang boleh dijangkakan oleh golongan cerdik pandai. Tingkatan 1 dan 2 2013 ini semakin teruk berbanding tahun sebelumnya.

Pelbagai persoalan timbul. Antaranya, pelaksanaan PBS ini tiada kajian rintis? Pembangun aplikasi tidak pernah mengkaji bilangan pengguna dalam server? Mereka juga tidak pernah mengkaji jumlah data yang akan disimpan di dalam server? Ini kah lambang sistem yang akan membawa perubahan besar ke arah pembangunan negara yang berdaya saing?

Hakikatnya, server error. Error kerana data overload. Mahu salahkan sistem atau pembangun sistem? Namun, ada pihak yang mencanang golongan guru yang lambat key-in data. Sebenarnya, sistem ini ada jalinan dengan APDM. Sebab itu kemasukan data bermula April 2013.

Pentaksiran Pusat masih tiada berita. Jadi, kebanyakan guru mengandaikan ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Kesimpulannya, perjalanan PBS bagi tahun ini masih mengalami masalah yang sama dengan tahun 2012.

Kisah PBS Tahun 2014

Guru-guru diarahkan untuk melaksanakan PBS seperti biasa. Aplikasi SPPBS masih tidak dibuka sehingga April 2014.

Namun, pada pertengahan Januari sebilangan kecil guru diarahkan untuk menghadiri Taklimat Pelaksanaan PPMR. Bermakna, peperiksaan tetap ada. Kebanyakan guru menyatakan luahan dan ketidakpuasan hati menerusi laman social, blog dan ada yang berani mengulasnya dalam akhbar.

Pihak Lembaga Peperiksaan member pencerahan semula kepada semua guru dan pentadbir di mana keputusan PBS Tingkatan 1 akan dicetak semasa tingkatan 1, PBS Tingkatan 2 untuk tingkatan 2. PBS Tingkatan 3 untuk Tingkatan 3. Semua keputusan tidak akan digabungkan sebagaimana yang semua sedia maklum berkenaan system rumus dalam aplikasi.

Ringkasan PPMR

Subjek peperiksaan (2 Jam)

• B. Melayu

• B. Inggeris

• Sains

• Matematik

• B. Arab/B.Cina/B.Tamil

Lisan

• B. Melayu

• B. Inggeris

Pelbagai Item (kerja kursus)

• Sejarah

• Geografi

• P.Agama Islam

• Pend. Moral

• K. Hidup

• PSV

• PJK

• Sivik

• Muzik

Kriteria penskoran berbentuk A, B, C, D seperti PMR. Persoalan lain pula yang timbul. Mana hilangnya cirri-ciri PBS yang telah diguna pakai? Kenapa tidak dikekalkan sahaja penskoran mengikut band? Apa gunanya PBS yang sedia ada?

Apabila ditanya bentuk soalan, jawapannya “ masih dalam perbincangan”. Pelaksanaan pada bulan Oktober, tetapi masih belum memutuskan bentuk soalan.

Pada pendapat anda, penilaian yang mana yang lebih berkesan. PMR yang soalannya lebih menyeluruh atau PPMR yang skop sangat kecil?

Persoalan timbul lagi berkenaan tawaran kemasukan pelajar ke SBP atau MRSM. PPMR atau PBS yang akan dijadikan batu pengukur. Masih menjadi tanda tanya. SBP dan MRSM mempunyai kaedah pentaksiran sendiri untuk kelayakan kemasukan pelajar. Namun, untuk tawaran kemasukan, mereka masih memerlukan rujukan keputusan bagi peperiksaan awam. Satu lagi persoalan adalah kaedah streaming aliran untuk tingkatan 4 nanti. PBS atau PPMR.

Apabila ditanya kenapa keputusan tidak digabungkan dengan PBS, jawapannya :

“ Kita tahu PBS ni dijalankan oleh guru-guru,

maka kebolehpercayaannya adalah rendah”

Dalam erti kata mahu yang terbaik untuk pelajar. Semua guru merasakan bahawa PBS bukanjalan pengujian yang terbaik. Baru-baru ini para guru menghadiri taklimat Pentaksiran Pusat. Maklumat lain pula diperolehi. Mata pelajaran Geografi, PJK, PSV, KH dan Sivik tiada pentaksiran pusat, hanya pentaksiran sekolah semata-mata.

PBS diperkenalkan kerana sistem pendidikan kita terlampau exam oriented. Guru-guru tidaklah terbeban dengan head count, kelas tambahan dan program-program kecemerlangan ke arah berorientasikan peperiksaan.

Di samping itu, ada juga pihak yang mendakwa pelaksanaan PBS ini ada kaitan dengan isu politik terutama pihak berhaluan kiri yang sentiasa mencari peluang mahu menjatuhkan kerajaan. Mentality masyarakat Malaysia masih pada takuk yang lama. Semua perkara mahu dipolitikkan. Isu sebenar adalah melibatkan Kementerian Pelajaran dan Lembaga Peperiksaan.

Selepas hampir 3 tahun dan peperiksaan tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Hal ini bermakna, tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

Berita ini akhirnya diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ringkasan Mengenai PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga)

• PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan.

• PT3 bagi Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study)

• PT3 bagi mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

• Pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP).

• PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

• Guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara atas talian ke dalam sistem PBS seperti sebelum ini.

• Guru juga tidak perlu lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit selain rekod perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

• Guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

RUMUSAN

Pelajar-pelajar Menengah Rendah bermula sesi 2012 terkontang-kanting dalam menimba ilmu pengetahuan. Perubahan system dari masa ke masa menjadikan mereka tertekan dan mula meragui sistem pentaksiran yang digubal oleh pihak bertanggungjawab.

Selain guru menjadi mangsa selaku pelaksana tegar, ibu bapa turut menghadapi kecelaruan dalam menentukan hala tuju anak-anak mereka dalam penentuan kerjaya. Namun, tiada suara ramai membangkang pelaksanaan PBS pada peringkat awal melainkan golongan cerdik pandai yang mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka.

Kesimpulannya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, masyarakat disogokkan dengan PBS melalui sistem SPPBS. Kemudian khabar angin berkaitan PBSMR yang pernah menjadi butir bicara pegawai dalam Lembaga Peperiksaan Malaysia. Kini, daripada PPMR ke PT3. Pentaksiran Pusat belum berjalan. Daripada pemansuhan exam oriented, kini kembali pula kepada peperiksaan.

Kecelaruan Pentaksiran sebegini bakal meninggalkan kesan kepada pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar menengah rendah. Walau bagaimanapun, mereka terus belajar bagi memastikan pencapaian mereka cemerlang pada setiap masa. Sehingga kini, guru-guru belum dipanggil untuk menghadiri taklimat berkaitan format dan bentuk soalan yang bakal diuji pada bulan Oktober nanti.

BIBLIOGRAFI

KPM (2011). Dokumen Standard Prestasi Bahasa Melayu Tingkatan 1. KPM : Kuala

Lumpur.

KPM (2012). Dokumen Standard Prestasi Bahasa Melayu Tingkatan 2. KPM : Kuala

Lumpur.

KPM (2013). Dokumen Standard Prestasi Bahasa Melayu Tingkatan 3. KPM : Kuala

Lumpur.

KPM (2012). Dokumen Standard Prestasi Sejarah Tingkatan 3 KPM : Kuala

Lumpur.

KPM (2013). Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid Bahasa Melayu Tingkatan

2. Kuala Lumpur.

KPM (2013). Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid Sejarah Tingkatan

3. Kuala Lumpur.

Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil 1/2014









[pic]

[pic]

[pic]

[pic]

................
................

In order to avoid copyright disputes, this page is only a partial summary.

Google Online Preview   Download