TEKS UCAPAN - Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam ...

[Pages:5]TEKS UCAPAN

DATUK NORDIN SIMAN PENGARAH

PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SABAH (JPANS)

SEMPENA PROGRAM SEKALUNG BUDI SEIKHLAS PENGHARGAAN DI DAERAH TUARAN, KOTA BELUD DAN DAERAH KECIL TAMPARULI.

TEMPAT : SHANGRI-LA'S RASA RIA RESORT, TUARAN

TARIKH : 19 JULAI 2016 (SELASA)

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan hidayahNYA dapat kita berkumpul bersama-sama di dalam majlis yang berbahagia ini. Saya ingin juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang sudi hadir bagi menyempurnakan Majlis Sekalung Budi Seikhlas Penghargaan pada hari ini. Pada hari ini kita akan meraikan para pesara yang telah bersara pada 25 Mei 2015 hingga 19 Julai 2016 yang telah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri bagi Daerah Tuaran, Kota Belud dan daerah Kecil Tamparuli.

2. Seperti mana yang kita semua sedia maklum bahawa majlis ini telah menjadi satu acara wajib pada setiap tahun. Namun, dengan adanya majlis ini, bukanlah bermakna kita berasa gembira dengan persaraan dan perpisahan ini, sebaliknya, merupakan satu tanda penghargaan dan kenangan di atas segala sumbang bakti yang telah tuan/puan curahkan.

3. Selain daripada meraikan para pesara, pihak JPANS selaku urusetia penganjur ingin mengambil kesempatan ini memuatkan beberapa program agar program sebegini dapat dimanafaatkan kepada semua penjawat awam, maupun yang sudah bersara, akan bersara dan yang masih lama lagi berkhidmat dengan kerajaan atau dengan Perkhidmatan Awam.

JPANS "WITH U"

4. Pada tahun ini program Turun Padang ini telah di beri nama baharu iaitu JPANS "WITH U". Program JPANS WITH U ini sebenarnya bertujuan bagi membantu melaksanakan dasar kerajaan dalam merakyatkan perkhidmatan awam serta mempertingkatkan sistem penyampaian yang cepat, tepat, berkualiti, proaktif dan responsive dengan mengutamakan pelanggan dan rakyat. Disamping itu program ini secara tidak langsung dapat memperluaskan jaringan kerja dan kolaborasi Strategik dengan semua agensi kerajaan khususnya agensi kerajaan Negeri termasuklah agensi kerajaan di Daerah-daerah.

5. Pengisian Program JPANS WITH U ini adalah:-

i)

Menyemarakkan Transformasi Perkhidmatan di Daerah;

ii) Kempen" I " Ikhlas;

Kempen ini bertujuan menyemarakkan kesetiaan dan Kecintaan kepada Perkhidmatan Awam dan Negara serta membudayakan nilai-nilai murni dan integriti.

"I" ikhlas adalah janji warga jpans kepada pelanggan iaitu memberi perkhidmatan yang terbaik dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan, imbuhan, ganjaran ataupun hadiah. Pada masa yang sama mengajak semua warga perkhidmatan awam menerapkan budaya "i" ihklas bersama-sama dengan kerajaan bagi memakmurkan kesejahteraan hidup rakyat.

iii) Majlis Sekalung Budi Seikhlas Penghargaan dan

iv) Amanat daripada "Stakeholders" (Pihak-pihak yang berkepentingan)

6. Bagi pengisian program Menyemarakkan Transformasi perkhidmatan di daerah dan kempen "I" ikhlas telahpun diadakan di Beluran pada 4 April 2016, di Daerah Tawau pada 24 Mei 2016 Dan hari ini di Daerah Tuaran dengan mengadakan pertemuan dengan pengurus-pengurus sumber manusia di peringkat daerah, khususnya bagi daerah Tuaran, Kota Belud dan daerah kecil Tamparuli dan pihak JPANS akan cuba sedaya yang boleh bagi menyelesaikan masalah dalam aspek perkhidmatan awam agar setiap penjawat awam akan lebih bersemangat untuk menjalankan tugas mereka apabila masalah mereka dapat diselesaikan, InshaAllah. Secara langsung ataupun secara tidak langsung pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah berharap program sebegini dapat memperkasakan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Perkongsian Ilmu telah diadakan melalui Pameran, Interaksi Bersemuka dan juga Ceramah. Semoga ceramah yang disampaikan sebentar tadi oleh YBhg. Datuk Chua Kim Hing dan Puan Aidah Awang, sedikit sebanyak dapat memberi motivasi dan ilmu dan seterusnya dapat dilaksanakan dan dipanjangkan kepada semua penjawat awam yang berkenaan. Sambutan program hari ini amat menggalakkan dan dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat bagi menjayakannya.

7. Hari ini di Majlis Sekalung Budi Seikhlas Penghargaan, kita akan berpeluang mendengar amanat daripada YB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Menteri Kerajaan Tempatan dan seterusnya beliau akan menyampaikan ekpektasi kerajaan kepada Penjawat Awam dan juga kepada Pesara.

8. Dengan mengadakan program "JPANS With U" ini, adalah menjadi harapan agar pihak JPANS dapat mendekatkan lagi kami kepada pelanggan dan rakyat serta bergerak bersama-sama dengan kerajaan memperkuatkan lagi jentera perkhidmatan awam serta dapat mendengar secara dekat keluhan rakyat setempat. JPANS juga akan memastikan objektif atau tujuan sebenar program JPANS "WITH U" ini sampai kepada semua pihak secara langsung ataupun secara tidak langsung dan memberi impak yang positif kepada Negeri dan Negara kita yang tercinta ini.

PENJAWAT AWAM ASET UTAMA PERKHIDMATAN AWAM

9. Penjawat awam adalah tulang belakang kepada kerajaan bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang telah dirangka lebih awal seperti Rancangan Malaysia Ke-11. Tidak dinafikan kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan semasa menjalankan tugasan atau tanggungjawab masingmasing. Sebagai Penjawat awam saya pasti kita akan cekal menghadapinya dan akan sentiasa mencari penyelesaian bagi menghadapi dugaan dan cabaran ini demi Bangsa, Agama dan Negara. Dengan ini, JPANS akan sentiasa membantu semua penjawat awam agar lebih cekap, berilmu pengetahuan, kompeten, setia, berintegriti dan sanggup berkorban dengan penuh keihklasan. Hanya Penjawat awam yang berkualiti tinggi dapat meningkatkan kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam melalui sistem penyampaian pelbagai perkhidmatan yang menepati ekpektasi rakyat dan kerajaan.

10. Adalah juga menjadi harapan kita produktiviti dapat ditingkatkan dalam sistem penyampaian bagi merealisasikan kejayaan agenda transformasi yang digagaskan oleh kerajaan. Produktiviti penjawat awam dengan dua nilai pelengkap iaitu innovasi dan kreativiti adalah penentu kepada keberkesanan program transformasi kerajaan. Saya mengajak semua penjawat awam bersamasama dengan kerajaan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, kerajaan dan Negara dengan kualiti yang tinggi, cepat dan tepat.

PENUTUP

11. Akhir kata dari saya, Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pesara yang diraikan dan diharap majlis yang tidak seberapa ini dapat mengukir seribu kenangan kepada tuan/puan serta keluarga. Berkat hasil usaha gigih dan segala pengorbanan besar yang telah tuan/puan berikan kepada Perkhidmatan Awam telah berjaya meletakkan agensi dimana tuan/puan berkhidmat mencapai matlamat mereka dan seterusnya membawa kemajuan kepada Negeri Sabah dan Negara kita Malaysia. Saya ucapkan Selamat bersara dan selamat melayari kehidupan tuan/puan bersama dengan keluarga yang tersayang.

12. Kepada yang masih berkhidmat, selamat menjalankan tugas anda, marilah kita mengekalkan serta terus mempertingkatkan lagi usaha kita untuk memakmurkan Negara dan kesejahteraan hidup rakyat dengan penuh keikhlasan.

Sekian.

Wabillahit taufiq walhidayah Wassalamualakum warahmatullah wabarakaatuh.

................
................

In order to avoid copyright disputes, this page is only a partial summary.

Google Online Preview   Download